Friday, January 8, 2010

Siar buah dada, apakah kita ikut cara Islam?

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Orang yang mati itu yang mengikutinya tiga. Yang balik dua dan yang tinggal bersamanya satu. Yang balik keluarga dan harta (pangkat) nya. Yang tinggal bersama adalah amalannya." (Hadis riwayat Bukhari)
***

SAYA suka akan jawapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengenai permasalahan atau sentimen perkauman yang dicetusan pihak-pihak tertentu. Kembalilah kepada Islam, kembalilah kepada ketuanan Islam, demikian kerap katanya yang pada pendapat saya dapat menjawab persoalan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam artikelnya di Mingguan Malaysia, 27 Disember lalu bertajuk 'Antara tuduhan penjahat dan jahat'.

Buatlah apa yang Islam suruh, dan tinggalkan apa yang Islam larang; maka selamatlah segala-galanya termasuklah akhbar Utusan Malaysia (juga Mingguan Malaysia) yang menurut Dr Mohd Riduan dituduh sesetengah pihak sebagai mengapi-apikan sentimen perkauman, malah ada yang melabelkannya sebagai penjahat.

"Jika akhbar itu penjahat bermakna wartawan, kolumnis dan juga penulis akhbar ini juga penjahat," demikian antara lain luah menggambarkan kekecewaan beliau.

Dalam Islam segala-galanya mudah dan Allah insya-Allah akan memberi jalan keluar kepada hamba-hamba-Nya yang taat. Seorang penjahat tidak selama-lama berstatus penjahat.

Lihatlah karektor penjahat yang bernama Umar al-Khattab. Ketika permulaan Islam, beliau adalah samseng kota Makkah, tetapi selepas mendapat hidayat Islam, dia menjadi pembela Islam sehingga ada riwayat menyatakan jika syaitan berselisih jalan dengannya, mereka akan melarikan diri.

Malah seorang lelaki yang membunuh 99 orang dan kemudian menambahnya kepada 100 juga berpeluang bertaubat, inikan pula kita yang sentiasa diberi keberkatan dan hidayah-Nya.

Seorang Muslim yang baik akan bermula dengan muhasabah diri. Koreksilah diri sendiri sebelum cuba mengkoreksi orang lain, kata pemimpin Malaysia kepimpinan melalui teladan. Apabila diri sendiri berada di landasan-Nya, insya-Allah segala-galanya akan berjalan teratur dan begitu cermat sekali.

Sebagai kolumnis di Mingguan Malaysia, Dr Mohd Riduan boleh membantu memuhasabahkan akhbar yang menampung penulisannya. Saya yang sudah lama tidak membeli akhbar ini (memboikotnya) terperanjat melihat gambar muka depan di bahagian atas kanannya yang memaparkan gambar pelakon bernama Zarina yang mendedahkan alur buah dadanya. Paparan ini adalah sedutan daripada seksyen Pancaindera akhbar yang sama yang sudah pasti mempamerkan gambar pelakon berkenaan dalam aksi lebih menggiurkan.

Apa pandangan Dr Mohd Riduan mengenai penyebaran secara meluas gambar-gambar seperti ini? Ibaratkan Dr Riduan menumpang tempat (sebagai kolumnis) dalam rumah (Mingguan Malaysia) yang sama-sama ada maksiat dalamnya, adakah hati tenteram membiarkannya saja?

Bagi seorang Muslim yang taat, tentu sekali tidak. Tentu sekali saya tidak rela nama saya, apatah lagi wajah saya disekalikan dalam akhbar yang menyiarkan wanita menunjukkan payu dara. Seboleh-bolehnya saya mahu lari sejauh-jauhnya daripada semua ini. Saya tidak mahu terbabit, hatta bersyubahat sekalipun.

Apakah mengambil dan menyiarkan gambar-gambar menunjukkan buah dada wanita itu Islamik dan tidak jahat? Apakah ia selari dengan ajaran Islam? Demikianlah, kita rujuk kembali cakap-cakap Tok Guru Nik Abdul Aziz; kembalilah kepada Islam, kembalilah kepada kedaulatan Islam.

Apabila kita kembali kepada Islam, kita tahu mempamerkan buah dada itu adalah haram hukumnya, orang yang memperaga diri begitu berdosa, orang yang menyiarkannya pun berdosa dan saya sebagai pembaca yang menatapnya pun berdosa. Jadi, minta ampunlah kita semua kepada-Nya kerana kejahatan kita itu.

Janganlah kita baca saja ayat al-Quran tetapi tidak amalkan. Kita pun baca hadis tetapi buat tidak tahu saja. Takkan kita hendak diam saja mendengar hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim ini: "Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi sebenarnya bertelanjang yang condong pada maksiat dan menarik ORANG LAIN melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya."

Tidakkah akhbar ini sedar, ia sudah menarik orang lain kepada maksiat. Bayangkan jika akhbar ini dijual sebanyak 600,000 naskhah, kira-kira 2.4 juta pembaca (4.8 juta biji mata), sudah melihat alur payu dara Zarina, tidakkah kita rasa berdosa dan masih mahu orang kata kita orang baik-baik.

'Lu pikirlah sendiri' (kata orang muda) bagaimana mahu jawab di depan Rabbul Jalil (Allah SWT) nanti?

Apabila sudah tahu perkara ini, kita sebagai orang akhbar hendak angkat-angkat pula perempuan tunjuk buah dada. Sepatutnya kita boikot perempuan seperti ini, ini tidak kita pun sama-sama meraikan kehebatan tubuh badan mereka. Apa, adakah kita masih menganggap diri kita baik, macam malaikat?

Demikianlah apabila orang tuduh kita jahat kita boleh muhasabah diri. Koreksilah lagi diri kita. Di muka surat sukan akhbar yang sama, apa pula keputusan nombor ekor. Apa pulak ni? Bukankah judi itu haram, orang cetek agama pun tahu ia haram. Malah dalam akhbar yang sama, kadang-kadang disiarkan rencana ustaz dan kolumnis juga, haram berjudi, tetapi apa pasal kita siarkan keputusannya pula? Mahu wang masyuk ya? Fikir-fikirkanlah sumber wang nak bagi makan anak bini itu halal ke haram?

Apakah penyiaran keputusan nombor ekor bermakna kita mahu menggalakkan judi? Insaflah kejahatan kita, tidak malukan kita untuk mengaku kita orang-orang baik? Orang-orang baik tak dedah atau siar tubuh termasuk alur buah dada atau main atau siar keputusan judi; mereka mahu lari sejauh-jauhnya daripada ini semua.

Sempena Tahun Baru Hijrah 1431 dan Masihi 2010 ini, marilah kita bersama-sama muhasabah diri. Saya dan tuan puan sebenarnya jahat-jahat belaka. Kita hidup tidak ikut cara hidup Islam, kita pandai cakap dan tulis saja. Kepada Dr Mohd Riduan, penulis memohon ampun di atas kerasnya artikel ini supaya kita bersama-sama menegakkan yang hak dan menghancurkan yang batil termasuk dedah aurat perempuan dan judi!

Jika Islam dapat selesaikan isu dedah aurat dan judi, tentunya isu dan sentimen perkauman ada jawapannya. Mengapa kita tidak mengikut kaedah disediakan Islam? Bukankah itu akan menyelamatkan kita dunia dan akhirat!

*** Komentar
Saya cukup hairan mengapa akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu masih 'dulu, kini dan selamanya(?)' menyiarkan keputusan empat nombor ekor. Tidak adakah pihak yang membolehkan memberhentikan perkara yang dikelaskan sebagai dosa besar ini? Besarkah untung daripada penyiaran keputusan nombor ekor ini sehingga ia tidak boleh dihapuskan? Sekarang ini pula disiarkan iklan SMS keputusan empat nombor ekor, jadi makin meriahlah ruangan Sukan akhbar ini dengan iklan-iklan ekor. Sungguh banyak iklan ekor sehingga kadang-kadang 'memakan' dua tiga muka surat dengan berita sukan sungguh sedikit di bahagian atas muka surat. Setitik darah yang terjadi dalam tubuh akibat makan hasil judi atau bersyubahat dengannya, diancam dengan api neraka, jadi tidak takutkah kita semua, termasuk karyawan-karyawan di akhbar berkenaan. Semoga tuan puan dan saya dijauhkan daripada ancaman ini. Amin.

No comments: