Saturday, January 9, 2010

KM tegah jual Suara Keadilan, Harakah di Melaka Sentral

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Dua hal yang paling aku cemaskan atas engkau; panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Sesungguhnya panjang angan-angan itu dapat melupakan akhirat, sedang mengikut hawa nafsu dapat menjauhkan diri daripada kebenaran."

"Aku menjamin tiga orang dengan tiga hal; orang yang gila dunia, orang yang rakus mengumpulkannya dan orang yang kikir harta benda, dengan kefakiran yang tidak akan kaya sudahnya, kesibukan yang tidak ada sudahnya serta kesulitan yang tidak pernah ada jalan keluarnya."
***

BANGUNAN di Melaka Sentral yang baru beroperasi tidak sampai lima tahun, sudah mengalami kerosakan ketara. Di stesen bas, terutama yang menempatkan bas ekspres, lantainya sudah mendap, ada jubin di ruang penumpang menaiki bas, sudah tersembul keluar.

Maka terpaksalah dipanggil kontraktor menyimennya kembali, tetapi keadaan bertambah buruk apabila tapak tanah semakin menurun yang bukan saja menyebabkan lantai berjubin kembali rosak tetapi juga menyerlahkan ruang-ruang ternganga terutama berhampiran tiang-tiang.

Keadaan lantai yang tinggi rendah itu membahayakan pengguna yang mudah tersadung jika mereka tidak berhati-hati. Jubin yang tersembul sekalipun disimen kembali tetap mendatangkan bahaya kepada pengguna, terutama kepada golongan veteran dan kanak-kanak.

Selain bangunannya yang mulai rosak, penggunaan bas tempatan yang uzur sudah beberapa kali dikemukakan media tetapi nampaknya orang Melaka masih gemar barangan antik termasuk basnya bagi disesuaikan dengan imej bandar raya bersejarah. Orang ramai tidak susah menyaksikan bas-bas buruk yang masih beroperasi, pergi saja ke Melaka Sentral untuk melihat deretan bas buruk atau merasai pengalaman menaiki bas-bas itu.

Selain bangunan stesen bas, bangunan Pasar Besar Melaka yang juga terletak dalam kompleks Melaka Sentral juga mengalami kerosakan serius sehingga menyebabkan peniaga menghentian kegiatan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan. Buat sementara mereka ditempatkan dalam khemah-khemah di luar bangunan pasar.

Bangunan-bangunan Melaka Sentral dibeliti pelbagai masalah tetapi Ketua Menteri, Mohd Ali Rustam mempunyai pendekatan tersendiri bagaimana segala masalah ini dan kepekungan lain dapat disembunyikan. Beliau mengambil pendekatan unik dengan memerintahkan peniaga-peniaga di Melaka Sentral tidak menjual akhbar-akhbar kritis seperti Suara Keadilan, Harakah dan Siasah.

Seorang peniaga akhbar yang enggan namanya disiarkan berkata, pengharaman penjualan akhbar itu adalah atas arahan khas Ketua Menteri. Pegawai-pegawainya akan sentiasa memantau, mana-mana penjual yang degil akan dikenakan tindakan.

Ditanya bentuk tindakan, beliau berkata akhbar berkenaan akan dirampas dan ada kemungkinan kontrak sewaan gerai mereka akan ditamatkan. Katanya, ketika ini kebanyakan mereka menyewa gerai dengan bayaran kira-kira RM1,500 sebulan.

Pembeli yang sudah biasa mendapatkan akhbar kritis di Melaka Sentral ternyata marah dengan tindakan terbaru Ketua Menteri itu. Kata mereka larangan penjualan itu, menunjukkan pihak terbabit takut dikritik.

"Kalau benar, tidak ada yang perlu mereka takutkan atau mahu sembunyikan," kata seorang pembaca tetap Suara Keadilan, Aidil.

"Mengharamkan Suara Keadilan dan Harakah daripada dijual menunjukkan mereka tidak berani berdepan dengan rakyat secara 'gentleman' sebaliknya menggunakan kuasa untuk mengunci minda orang ramai," katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa akhbar kerajaan negeri 'Melaka Hari Ini' yang menggunakan dana awam, dijual secara berleluasa di Melaka Sentral malah dilambakkan secara percuma di premis kerajaan dan institusi awam seperti masjid dan sekolah sedangkan isi kandungannya banyak memuji-muji ketua menteri dan kuncu-kuncunya dengan gambar mereka terpampang di sana sini.

Aidil bertanya, apakah pemimpin hari ini suka dipuji-puji tetapi tidak rela dikritik. "Dengan dikritiklah seseorang itu akan bertambah baik tetapi jika sentiasa dipuji dia akan leka dan tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik," katanya.

Seorang lagi pembaca yang kerap membeli akhbar di Melaka Sentral yang hanya mahu dikenali sebagai Das, berkata kritikan akan membangunkan minda orang ramai. Katanya, beliau mahu mengkritik tindakan kerajaan negeri yang mahu mengadakan pengangkutan monorel dengan kos RM2 bilion di bandar Melaka.

"Wahai orang kerajaan negeri; bukankah lebih baik wang itu digunakan untuk membaiki perkhidmatan bas awam di bandar Melaka. Lihatlah bas-bas awam di Melaka sudah buruk-buruk, berilah kesempatan kepada pengusaha untuk membeli bas baru, janganlah mahu dibazirkan wang, kasihanilah rakyat yang terpaksa naik bas buruk, berilah 'can' (chance) mereka rasai bas baru!"

*** Info
Sementara bercakap mengenai hal ehwal negeri Melaka ini, semalam (Jumaat, 8 Januari 2010), Masjid Jamek Kampung Duyong yang terletak tidak jauh dari Perigi Hang Tuah secara rasmi dinamakan semula sebagai Masjid Laksamana Hang Tuah. Terdengar seseorang berkata: "Depa tahukah setakat mana kealiman dan ketawadukan Hang Tuah itu? Jangan-jangan Hang Tuah tidak wujud, hanya legenda saja. Bukankah lebih baik dinamakan masjid itu mengikut nama sahabat-sahabat Nabi seperti Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Amru Al-As, Salman Al-Farisi dan sebagainya. Banyak masjid di negara kita mengambil nama sahabat nabi seperti Masjid Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar dan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah di Setapak Jaya.

No comments: