Sunday, January 10, 2010

Muslim dilagakan agar Barat kuasai dunia

***
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Di kalangan manusia ada yang menyembah Allah di pinggir-pinggir (dalam keraguan). Jika dia ditimpa kebajikan tenteramlah (hatinya), tetapi jika dia ditimpa cubaan (malapetaka), ia berbalik menjadi kafir. Dia telah merugi di dunia dan akhirat." (Q.S. Al-Haj: 11)
****

JIKA Presiden Amerika Syarikat ke-43, George W Bush menghancur-leburkan bumi anbiya Iraq dan Afghanistan terkenal dengan ungkapannya "kamu bersama kami menentang keganasan atau kami perangi kamu," Presiden sekarang, Barack Obama dengan mudah dapat memenangi dunia Islam dengan memberi jaminan akan lebih mengerti di samping merapatkan hubungan dengan negara umat Islam ketika menyampaikan ucapan bersejarah kepada dunia Islam di Universiti Kaherah pertengahan tahun lalu.

Jika setahun lalu, rejim Israel melancarkan serangan gila terhadap Gaza; hari ini rejim Mesir yang dipimpin oleh seorang Islam pula bertindak zalim dengan membina tembok agar bantuan kemanusiaan tidak dapat disampaikan kepada penduduk Gaza yang menderita.

Demikian betapa hebatnya konco-konco Obama merancang agar pemimpin umat Islam 'dibius' otaknya untuk menzalimi saudara seagamanya. Jika sedikit masa dulu, dunia Islam bangkit penuh kesedaran terhadap saudara seagama mereka di Palestin dan penjuru lain dunia, tetapi nampaknya hari ini Muslim sudah berjaya dilagakan sesama sendiri.

Di Afghanistan dan Pakistan keadaan malang itu jelas kelihatan. Muslim sesama Muslim berperang, hampir setiap hari dunia dikejutkan dengan siri pengeboman berani mati yang mengorbankan ramai orang awam. Hakikatnya persengketaan yang tercetus adalah mainan kuasa besar dan musuh Islam yang tidak senang duduk diam selagi Islam dan pengikutnya tidak dapat dihancurkan.

Sengketa di Pakistan dan Afghanistan bukankah Amerika yang menjadi peniup apinya? Pakistan yang terpesona dengan janji bantuan berbilion dolar, menggerakkan pemburuan terhadap apa yang mereka dakwa saki baki Taliban yang akhirnya menjerumuskan negara kepada perang berpanjangan yang tidak pernah diisytiharkan.

Apabila Muslim sesama Muslim bersengketa, kuasa besar bertepuk tangan; mereka mampu membawa onar ke bahagian lain dunia bagi meneruskan penindasan terhadap umat Islam.

Kini umat Islam begitu lemah dilanyak semahu-mahunya oleh Zionis Amerika, Israel dan sebagainya, tetapi disebabkan pemimpinnya sudah dibeli hati dan budinya lantas berkiblatkan Washington, London, Paris dan Moscow, mereka bersikap bagaikan tidak apa-apa, malah menambahkan penderitaan sesama Muslim seperti tindakan penguasa Mesir membina tembok di Gaza.

Umat Islam kini diratah musuh disebabkan sikap pemimpin mereka yang penakut, meninggalkan satu sunnah besar iaitu perisytiharan Al-Baraah (Al-Taubah) ke atas musuh-musuh Islam sebagaimana yang diperkatakan oleh ilmuan Islam, Syed Qutb. Ketika ini tiada pemimpin negara umat Islam yang bersedia menyeru kepada kesepakatan ummah sejagat dan kemudian mengisytiharkan perang termasuk pemulauan dan boikot apa saja perkara berkaitan rejim Zionis dan sekutu-kutunya.

Persidangan demi persidangan, mesyuarat demi mesyuarat, tetapi umat Islam terus dizalimi - daripada krisis Bosnia, Kosovo, Chechnya, Kashmir, Selatan Thailand, Arakan (Burma), Selatan Filipina (Mindanao), semuanya tiada jalan penyelesaian.

Malah krisis Palestin yang sudah berpuluh-puluh tahun berlarutan di bumi ketiga paling suci dalam Islam, terus gagal ditangani. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pun nampaknya berwajah kaku, mungkin sudah bosan membicarakan isu ini yang pada hakikatnya membawa kepada penubuhan OIC lebih 40 tahun lalu.

Hakikatnya, ada jalan menyelamatkan ummah iaitu kembali kepada al-Quran. Bukankah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk." (QS. Ali Imran 3:103)

*** Info
Petikan kuliah Subuh hari ini 24.1. 1431 (10.1.10)
Dalam melakukan kerja di dunia, seseorang itu apabila tiba masanya (umur 55 atau lebih sikit) boleh pencen, dan jika tak larat menunggu tempoh itu, dia boleh berhenti sesuka hatinya, tetapi dalam melakukan kerja ibadat kepada Allah SWT tidak ada istilah pencen. Buatlah ibadat termasuk segala kebajikan sehinggalah kamu masuk kubur. Misalnya tidak ada istilah pencen dalam menunaikan solat. Hujan ribut, sakit, dipenjara, dalam perjalanan di darat, di udara, di laut; solat tetap solat, ia wajib ditunaikan.

No comments: