Tuesday, December 30, 2008

Perihal pengantin glamour

Tiada apa yang lebih hangat diperkatakan masyarakat Melayu masa kini berbanding kisah perkahwinan Mawi dan Ekin. Perbualan (perbahasan?) mengenai perkara ini bukan saja 'terakam' di bilik media, pejabat, kedai kopi malah singgah di rumah tangga - termasuk antara suami isteri dan anak-anak.

Pada kesempatan ini, diucapkan selamat berbahagia kepada pasangan berkenaan. Di sini apa yang ingin disentuh penulis ialah daripada 1,001 perkara yang diperkatakan mengenai kisah cinta dan mahligai bahagia yang bakal didirikan, hanya sedikit saja yang membicarakankan dari sudut kehendak Islam. Pendeknya soal agama tidak banyak diberi perhatian.

Budaya Melayu pun, sama ada dari segi adat, perhiasan dan sebagainya hanya sekali sekala kedengaran.

Pelbagai aspek urusan perkahwinan yang merupakan satu ibadat, telah tersasar daripada kehendak Islam. Bakal perkahwinan glamor ini juga tersimpang sedikit sebanyak dari segi adat tetapi kata bijak pandai semuanya tertutup dengan 'wangi-wangian' dunia iaitu kecantikan, wang ringgit, kemasyuran, pangkat dan pelbagai elemen 'firdausi' lain.

Kebanyakan pihak mengejar laba dan 'syurga dunia' daripada perkahwinan ini. Daripada orang bisnis yang sibuk dengan aneka pesediaan seperti tempat, pakaian dan dekrorasi membawa kepada bakal pengantin, keluarga pengantin, peminat malah kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu, semuanya mabuk dengan elemen kemasyuran, nama, cinta dan seumpamanya.

Semuanya dipandang indah manakala agama tersisih di tepi. Banyak perkara boleh diperkatakan di sini tetapi eloklah dilontar antara persoalan itu, moga-moga dapat dijawab oleh pihak berautoriti dalam agama dan adat.

Misalnya, apakah pandangan tuan dari segi hukum mengenai pengumuman perkahwinan dibuat bakal sejoli yang duduk rapat dan mesra sekali sedangkan mereka belum lagi bertunang atau menikah?

Khidmat enam perunding pakaian juga sudah diperkata. Mereka terdiri daripada Muslim dan 'non-Muslim'. Dalam perkahwinan biasa dan di kampung pun, ada mak bapak pengantin perempuan mengambil khidmat tukang andam lelaki (kadang-kadang mak nyah!). Mereka masuk bilik pengantin, sarungkan pakaian, solekkan pengantin dan apa lagi dibuat tidaklah diketahui.

Alangkah rugi si pengantin lelaki kerana kecantikan isterinya sudah dilihat lelaki lain. Bukan saja lelaki lain itu dapat lihat, dia dibayar lumayan pula! Pembaziran, entahlah?

Kepada tuan puan yang kerap bertegang leher menegakkan budaya Melayu yang kononnya lebih rela mati anak daripada adat itu, apa pandangan tuan puan mengenai pengumuman perkahwinan di atas pentas ini oleh bakal pengantin sendiri?

Penulis menimbulkan persoalan mengenai betapa orang Melayu semakin tersasar daripada kehendak Islam ini berdasarkan aduan seorang saudara baru (Muslimat) yang mendakwa sebahagian orang Melayu tidak mengamalkan ajaran agama sebaliknya memandang rendah dan menghina kefahaman saudara baru mengenai Islam.

Katanya, orang Melayu yang didampinginya mendakwa 'Islam mereka adalah yang terbaik' sedangkan selepas beliau mengikuti pelbagai kelas pengajian Islam, beliau mendapati sebahagian orang Melayu adalah Islam baka saja, mereka tidak pun menunaikan tuntutan agama.

Misalnya, katanya, ada perempuan Melayu berkata, bertudung itu tidak wajib. Mereka ini bukan orang tidak pandai, malah ada daripadanya lepasan universiti. Mereka mendakwa, dalam Quran pun tiada perintah untuk orang perempuan bertudung.

Sekarang sudah menjadi trend sesetengah wanita mengaku Islam - kejap bertudung, kejap hampir berbogel. Macam iklan biskut pula. Kejap ada, kejap tak ada. Nikah di masjid bertudung litup tetapi pada majlis resepsi, buka bahu dan dada! Apa nak jadi agaknya orang Melayu/Islam ini?

Wanita itu berkata sebagai saudara baru, dia menjadi 'confuse' (keliru). Kawan-kawan perempuannya berkata, "awak perlu ikut kami kerana kami lebih Islam daripada kamu! Kami lebih tahu pasal Islam berbanding kamu. Kami lebih dulu Islam daripada kamu."

Begitu juga dalam amalan kehidupan lain, katanya. Sebahagian orang Melayu tidak beramal dengan kehidupan Islam. Sebagai contoh, dakwanya, bekas suaminya (wanita ini memeluk Islam ketika mahu berkahwin) sendiri bertindak menceraikan sesuka hatinya dan tidak mengikut ajaran Islam dalam soal seperti nafkah.

"Saya tahu Islam amat tekankan tanggungjawab suami atau bekas suami. Sepanjang perkahwinan, dia pun tidak mengajar saya pasal Islam. Selepas bercerai saya ingat mahu lepaskan Islam, tetapi mujurlah saya berpeluang untuk pergi belajar, misalnya ke Perkim. Dulu saya terumbang-ambing tetapi kini saya cuba cari cahaya kebenaran (nur) itu. Itulah sebabnya saya hubungi awak."

Katanya, orang Melayu tidak boleh dijadikan contoh sebagai pengamal Islam terbaik. Dalam kes penceraian saya, pegawai di pejabat agama pun mengenakan tekanan ke atas saya. Sebagai saudara baru, saya terasa tersisih, orang Melayu tidak dapat menolong saya manakala orang Cina termasuk saudara-mara sudah lama menjauhkan diri, katanya yang membahasakan diri sebagai Nur.

Nur dalam pencarian 'nur' sentiasa memerlukan contoh teladan semasa selain kisah-kisah lampau yang membabitkan srikandi Islam seperti Fatimah Az-Zahra, Aisyah Abu Bakar dan Asma Abu Bakar.

Jadi mampukah majlis Mawi-Ekin dengan 'soksek dan glamor 1,001 malamnya' dapat dijadikan panduan dalam Nur dalam pencarian 'nur'nya?

No comments: