Thursday, December 18, 2008

Bencana alam: Percaturan politik apakah yang halang komitmen OIC?

Kira-kira 10 tahun lalu, dunia Islam menangisi tragedi berdarah di Bosnia Herzegovina. Dilaporkan puluhan ribu orang Islam menjadi mangsa kerakusan gerila Serb dan pemimpin Serbia-Montenegro seperti Slobodan Milosevic yang gila mahu menghidupkan negara Yugoslavia.

Penderitaan ummah di negara Balkan itu seolah-olah tidak didengari oleh kebanyakan negara dan umat Islam lain. Hal ini difahami kerana Bosnia dan jirannya yang mempunyai majoriti umat Islam - Albania - terletak di tengah-tengah benua Eropah.

Nama Bosnia pun begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tercetusnya peristiwa pahit itu yang menyedarkan ummah bahawa ada saudara mereka hidup tersepit di kalangan bangsa Eropah lain.

Sekalipun tragedi Bosnia adalah antara peristiwa hitam paling pahit dialami umat Islam, pembabitan pertubuhan yang memayungi ummah - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah pada tahap minimum.

Kumpulan Penghubung OIC yang turut dianggotai oleh Malaysia ketika itu, sekalipun bekerja keras membantu memulihkan keadaan di Bosnia terutama pada peringkat akhir konflik, pembabitannya terhalang antara lain disebabkan pengaruh kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam isu berkenaan.

Amerika dan Nato terbabit dalam percaturan politik Eropah yang ketika itu masih merasai kesan kehancuran Soviet Union dan blok komunis Eropah Timur. Sebarang campur tangan dalam krisis Bosnia dilihat sebagai terbabit dalam konflik era pasca keruntuhan Soviet Union yang memungkinkan Amerika menjadi kuasa tunggal dunia.

Berdasarkan situasai berkenaan, kita tidak hairan jika OIC 'tidak habis-habis dengan agenda pertemuan pemimpinnya di meja bulat' untuk membincangkan isu Balkan tetapi tanpa melakukan tindakan yang boleh dibanggakan.

Sejak beberapa tahun lalu pula, OIC juga difahami tidak berupaya menangani isu keganasan antarabangsa yang akhirnya membawa kepada pencerobohan negara Afghanistan dan Iraq oleh Amerika kerana ia dianggap konflik politik. Dalam percaturan politik 'yang berkuasa itulah yang benar', oleh itu pihak lain langsung tidak berani bersuara.

Malangnya dalam tragedi terbaru yang menimpa dunia umat Islam (gempa dan tsunami) di Asia Selatan dan Asia Tenggara, OIC dan sesetengah negara umat Islam terus dengan 'sikap lama'nya iaitu tidak bertindak proaktif bagi meringankan penderitaan saudara seagama mereka.

Kira-kira 100,000 orang dilaporkan sudah mati di Aceh, sebuah wilayah yang dikenali 'Serambi Makkah', tetapi bantuan daripada OIC dan sesetengah negara Islam masih tidak kunjung tiba.

Kali ini apakah alasan yang hendak diberi? Adakah ini disebabkan keterbatasan atau ketidakupayaan dari segi politik? Adakah bencana alam ini juga membabitkan percaturan politik sehingga OIC dan negara Islam lain tidak berani campur tangan? Bumi terbabit (Aceh/Indonesia) juga negara Islam, jadi apakah yang menghalang mereka daripada menghulur atau menyegerakan bantuan?

Tragedi kali ini bukanlah konflik bikinan manusia seperti di Bosnia, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Mindanao, Ambon dan Palestin, tetapi adalah bencana alam yang memerlukan komitmen semua pihak dalam usaha pemulihan.

Berdasarkan perangkaan, daripada AS$2 bilion (RM7.6 bilion) bantuan untuk mangsa tsunami, penyumbang utama adalah di kalangan negara bukan majoriti umat Islam seperti Jepun (AS$500 juta), diikuti Amerika Syarikat (AS$350 juta) dan Britain (AS96 juta).

Sebagai perbandingan negara Islam/Arab yang kaya seperti Arab Saudi menyumbangkan AS$10 juta, Kuwait juga AS$10 juta dan Emiriyah Arab Bersatu (AS$2 juta).

Berdasarkan perkembangan tidak sihat di kalangan negara umat Islam dan OIC yang memayungi lebih 1.2 juta ummah di lebih 55 negara, adalah wajar perubahan drastik dilakukan bagi mengaktifkan umat Islam yang seakan-akan masih lenyak dibuai mimpi sedangkan ratusan saudara mereka sudah terkorban manakala jutaan lagi hidup menderita dan di ambang menjadi korban.

Jika tsunami berjaya menyedarkan banyak pemimpin umat Islam Asia Tenggara supaya kembali ke landasan agama seperti tidak lagi menganjurkan pesta lara sempena tahun baru, apakah kejutan lain diperlukan oleh menyedarkan umat Islam terutama pemimpinnya di seluruh dunia mengenai tanggungjawab mereka kepada ummah?

Hakikatnya, kejutan itu sudah acap kali berlaku (seperti kezaliman di Palestin, pencerobohan bumi Iraq dan Afghanistan ), tetapi umat tetap lalai - leka memuaskan nafsu duniawi pada ketika sesetengah pemimpinnya masih 'berkiblatkan' Washington dan London.

No comments: