Monday, October 13, 2008

Nasihat kepada muda-mudi: Tuntutlah ilmu bagi memerdekakan bangsa

Kukerap terlupa apa yang kupelajari pada masa tua
sedang yang kupelajari pada masa muda
tidak pula kuterlupa
takkan berkesan ilmu itu
kecuali yang dituntut pada masa muda
kalaulah boleh dibelah hati si pelajar pada waktu muda
kelihatan ilmunya umpama ukiran di atas batu
ilmu itu tak akan berkesan jika dituntut pada usia tua
Pabila tumpul hati
tumpullah pendengaran dan penglihatan
hidup manusia bergantung dua; akal dan logikanya
Pabila luput kedua-duanya, hidup sia-sia tidak berhaluan

RENUNGILAH syair Arab ini dan fikir-fikirkanlah maksudnya. Semakin tua seseorang semakin sukarlah untuk dia menerima ilmu.

Fikiran seseorang kanak-kanak masih banyak ruang kosong, membolehkan dia mudah menerima ilmu sedangkan orang dewasa banyak perkara perlu difikirkan menyebabkan dia sukar menerima perkara baru, kata orang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Kali ini saya utarakan kepentingan anak-anak muda kita gigih menimba ilmu pada ketika negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan tidak lama dulu.

Selain anak-anak muda, adalah penting untuk pemimpin kita memikirkan masa depan negara yang masih muda ini. Sebagai seseorang insan, 50 tahun adalah usia meniti kematangan tetapi bagi sesebuah bangsa dan tamadun, usia setengah abad adalah amat muda.

Perkara pertama yang mahu disentuh adalah mengenai erti kemerdekaan itu sendiri. Bagi seorang kanak-kanak, Hari Merdeka mungkin bermaksud hari mengibar bendera perarakan dan nyanyian. Bagi sesetengah orang, perlakuan itu bermaksud menunjukkan semangat patriotik.

Tetapi bagi seorang dewasa yang matang fikirannya tentulah maksud kemerdekaan itu lebih daripada itu. Kemerdekaan mempunyai maksud terlalu luas dan bukan bebas daripada cengkaman penjajah asing saja.

Saya teringat khutbah Jumaat yang saya amati di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun lalu. Khatibnya berkata kemerdekaan bukan saja bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain.

Kemerdekaan juga bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsanya sendiri. Khatib mengambil contoh perjuangan Rasulullah s.a.w. untuk membebaskan bangsa baginda (Quraisy) daripada penjajahan mental ketua suku kaum mereka.

Hampir 10 tahun selepas berhijrah ke Madinah, barulah baginda dapat memerdekakan penduduk Makkah daripada amalan keji seperti menyembah berhala. Selepas pembersihan kota suci Makkah, Islam dapat berkembang dengan pesat di seluruh Jazirah Arab.

Bagi orang Melayu yang merdeka jiwanya, tentulah kemerdekaan itu tidak hanya bermaksud bebas daripada cengkaman penjajah British saja. Ramai yang berkata penjajahan dalam bentuk fizikal mungkin tidak berulang tetapi cengkaman kuasa asing dalam bentuk lain masih wujud. Contohnya penjajahan dari segi ekonomi dan budaya.

Hari ini kita dapat saksikan kebenaran dakwaan itu. Dari segi ekonomi, kita masih bergantung kepada kuasa besar perdagangan yang bukan di kalangan negara Islam manakala globalisasi menyaksikan penduduk dunia amat mengenali KFC, McDonald's, Coke dan sebagainya.

Kita juga amat mengenali Hollywood dan Bollywood, sekali gus mengesahkan kita sebenarnya tidak merdeka dalam erti kata sebenarnya.

Jika kita menghayati apa yang berlaku kepada bangsa Melayu sendiri, kita akan sedar dalam banyak segi kita masih jauh daripada menepati maksud kemerdekaan itu.

Orang Melayu masih hidup dalam kelompok-kelompok tertentu dengan kumpulan berkuasa menjajah kumpulan yang tiada kuasa. Kumpulan tiada kuasa berterusan ditekan, hatta dalam menyatakan pandangan masing-masing.

Berdasarkan senario ini, adalah amat penting untuk anak-anak muda menimba ilmu sebanyak mungkin bagi memerdekakan bangsanya daripada diterus dijajah termasuk oleh bangsanya sendiri. Ilmu itu amat berkesan ditimba semasa muda sebagai bekalan untuk berjuang sepanjang hayat.

Janganlah persia-siakan usia muda kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara - hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, zaman mudamu sebelum tuamu dan masa kayamu sebelum papamu." - Riwayat Al-Baihaki daripada Ibnu Abbas.

No comments: