Friday, October 31, 2008

Pengalaman lalu: Siapa hantu Pendang, Anak Bukit?

Dibakar naluri ingin tahu selepas berhari-hari disogokkan media massa mengenai keganasan 'petugas PAS' di Pendang dan Anak Bukit, akhirnya saya dan beberapa rakan sampai di kawasan ini pada petang menjelang pengundian (17 Julai 2002).

Saya mahu mengesahkan sendiri benarkah wujud atau siapakah sebenarnya yang menjadi pengacau atau 'hantu Pendang dan Anak Bukit' dalam pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Seperti malam Aidilfitri, suasana malam hari berkenaan begitu sibuk sekali. Bayangkan Pendang yang terkenal dengan sawah saujana mata memandang, mengalami 'traffic jam' sehingga jam 2 pagi.

Jalan rayanya yang 'membelah sawah' bukan saja menampung deretan kenderaan sejauh 10 kilometer tetapi juga orang ramai. Sejak keluar dari persimpangan bertingkat Alor Setar Utara menunju pekan Langgar, kami lihat kenderaan berderetan menuju pekan Pendang.

Kesesakan bukan saja disebabkan banyaknya kenderaan dari luar, tetapi juga kempen pada saat-saat akhir.

Menjelang maghrib, kami sampai di sebuah pekan kecil bernama Tanah Merah. Di sini kenderaan berengsot-engsot dan akhirnya tahulah kami puncanya. Kerja-kerja menurap jalan sedang dilakukan maghrib itu!

Kalau malam raya, kerja itu serupa dengan merebus ketupat. Jika ditanya orang yang merebus ketupat, mengapa mereka berbuat demikian, nescaya mereka akan berkata: "Sebagai persiapan hari raya."

Anehnya jika ditanya pihak yang menaja kerja-kerja menurap jalan itu, jawapan diberikan selalunya begini: "Kerja-kerja ini untuk kebajikan rakyat dan tiada kena mengena dengan pilihan raya!"

Saya perhatikan kawasan yang diturap itu adalah berdekatan kaki lima kedai-kedai orang Tionghua.

Beberapa orang berdiri di luar kedai, memandang kerja-kerja berkenaan. Di wajah mereka, terbayang kepuasan. Agaknya, lambing dacing sudah berada dalam kepala masing-masing.

Berbicara mengenai orang Cina ini, saya tertarik untuk mendedahkan pengalaman saya berinteraksi dengan anggota masyarakat ini. Disebabkan hampir setiap hari saya menaiki bas untuk perjalanan jauh ke tempat kerja, kadang-kadang saya berpeluang berbual dengan penumpang di sebelah. Mereka termasuklah pemuda dan pemudi Cina.

Sebahagian besar daripada mereka adalah pelajar institusi pengajian tinggi atau pun baru menamatkan pengajian. Golongan ini ramai menaiki kenderaan awam kerana belum mempunyai pendapatan tetap atau baru saja bekerja.

Saya cuba memancing golongan ini berbincang isu ketuhanan. Selalunya saya mulakan dengan pertanyaan: "Do you know that there are more Chinese Moslem than Malay Moslem?"

Mereka tercengang dan saya terus mengambil kesempatan itu untuk menyatakan bahawa di negara China ada lebih 50 juta orang Islam. Saya juga katakan kemungkinan Islam di Malaysia datangnya dari negara China. Buktinya ada batu bersurat di Pantai Timur Semenanjung mempunyai ciri-ciri kecinaan.

Kebanyakan pemuda-pemudi Cina ini saya kesan tidak mempunyai kepercayaan ketuhanan yang kukuh. Mereka berpegang kepada apa yang diamalkan ibu bapa masing-masing tetapi sebagai golongan terpelajar tidak pula percaya apa yang mereka amalkan itu.

Ada yang tidak percaya kewujudan Tuhan. Ringkasnya mereka tidak percaya kepada Tuhan.
Kepada mereka saya melontarkan soalan ini. "Awak tidak percaya kewujudan Tuhan, okay, cuba bayangkan jika kamu karam dalam laut, kamu hampir lemas, siapa kamu seru untuk menolong kamu?"

"My mother," kata seorang pemuda.

"Katakan, 'your mother' sudah mati?" tanya saya. Pemuda berkenaan kelihatan terpinga-pinga.

"'You' sudah pasti akan jerit, 'God, God, oh, God, please help me, God!'" kata saya.
Pemuda berkenaan mengiyakan.

"Sekarang tugas 'you' carilah God itu," kata saya.

Demikianlah, saya mengandaikan sebahagian orang Cina tercari-cari erti ketuhanan sebenar. Siapa lagi yang boleh menunjukkan jalan itu kecuali orang Islam sendiri.

Malangnya, di negara kita sudah menjadi semacam satu ketetapan 'orang Islam itu Melayu, Melayu itu Islam'.

Tanggapan kalau masuk Islam bermakna masuk Melayu dikhuatiri orang Cina. Mereka tidak lihat sebarang istimewanya untuk menjadi orang Melayu. Orang Melayu ramai yang miskin, orang Melayu ramai yang tidak amanah, ada orang Melayu minum arak dan main judi sedangkan orang Cina pun tahu arak dan judi itu haram di sini Islam.

Jadi bagi mereka tidak ada gunanya masuk Islam (jadi Melayu) jika hidup orang Melayu lebih teruk daripada mereka.

Di Pusat Khidmat Wakil Rakyat PAS Pendang, saya bertemu seorang Cina Islam bernama Faizal Tan. Beliau adalah ahli jawatankuasa Penerangan PAS Pusat dan di peringkat negeri Timbalan Lajnah Hubungan Antara Kaum (Hak) Perak.

Katanya, Barisan Nasional (BN) dan Umnolah yang menjejaskan orang Cina daripada mengenali Islam. Kelakuan dan tindak laku buruk sesetengah pemimpin mereka menyebabkan orang Cina tidak dapat melihat keindahan Islam itu.

Sudah terbukti (melalui proses mahkamah) sebahagian daripada adalah pemimpin korup, rasuah dan sebagainya.

"Saya kerap katakan kepada orang Umno, fikirkanlah, jika kamu dapat tunjukkan teladan baik, kita akan dapat memikat sejumlah orang Cina untuk menerima Islam. Alangkah bertuahnya kita. Kita boleh meningkatkan peratusan orang Islam di negara ini kepada 70 atau 80 peratus. Alangkah indahnya itu..."

Ketika berada di Pendang, saya cuba mencari kebenaran apa yang dikatakan 'kempen jahat pembangkang' seperti diheboh-hebohkan media massa arus perdana. Setiap hari, isu ini terus diperkatakan terutama oleh televisyen yang menyiarkannya daripada 'kita celik mata' sampai ke malam buta.

Dalam mengadili satu-satu tuduhan, untuk berlaku adil kedua-dua pihak (yang menuduh dan dituduh) perlu dihadapkan untuk memberi keterangan. Bagaimanapun apa yang berlaku hari ini hanya satu pihak saja dibenarkan bercakap, membuat segala tuduhan tetapi pihak yang dituduh pula tidak diberi peluang membela diri.

Oleh yang demikian, apabila menatap akhbar harian, akan terbacalah kita macam-macam tuduhan yang dibuat pemimpin BN ke atas lawannya sedangkan jawapan daripada pihak lawan tiada. Kalau ada pun, banyak daripada faktanya diselewengkan.

Bagi pilihan raya kecil di Pendang dan Anak Bukit ini akan muncullah wajah tokoh politik BN daripada paling atas sampai bawah di kaca TV dan akhbar bagi melontarkan segala tuduhan tetapi pihak yang dilawan tidak ditampilkan langsung.

Perkara ini samalah seperti satu medan pertarungan di mana seorang 'pahlawan' dibekalkan pedang berkilau di gelanggang manakala lawannya diikat tangannya ke belakang!

Sewajarnyalah jika ditampilkan Menteri Besar Kedah (ketika itu), Syed Razak Syed Zain dalam satu wawancara TV, di sebelahnya mesti ada Persuruhjaya PAS Kedah (kini MB Kedah), Ustaz Azizan Abdul Razak.

Satu-satu pertarungan mesti membabitkan dua pihak. Jika ada satu pihak saja, tidaklah dinamakan pertarungan. Ada peribahasa menyebut, 'it takes two to tango'. Jika seorang ayah yang menerima laporan pergaduhan dua orang anaknya, hanya menerima dakwaan seorang saja, itu namanya zalim.

Sepanjang tempoh singkat berada di Pendang dan Anak Bukit, saya tidak ketemui sebarang pengacau (hantu) pilihan raya. Semuanya berjalan lancar, tidak seperti dilaporkan media massa.

Tetapi kata sesetengah orang, hantu (syaitan) itu mana ada di kawasan bersih dan terang. Kata mereka hantu ada di tempat sunyi, di kuburan, di lorong belakang dan tempat menjijikkan. Tempoh saya berada di Pendang terlalu singkat untuk melihat atau mengenali hantu-hantu ini.

Bagaimanapun saya bernasib baik apabila bertemu Adun PAS bagi kawasan Kuala Berang, Dr Mamad Puteh (kini bekas) yang bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan Hulu Terengganu di UPU Alor Madi, Anak Bukit.

Berdasarkan pengalamannya yang berada dua minggu di Anak Bukit, dia mengesahkan 'memang ada hantu di sana'.

Katanya, hantu-hantu itu adalah:
1) Hantu fitnah. Hantu ini adalah media massa. Surat khabar, TV dan radio adalah gengnya. Susah dipisahkan satu sama lain. Hantu jenis ini percaya dia saja betul, lepas itu hasut orang percayakan dia. "Dah banyak hari saya tak baca surat khabar dan tengok TV," kata Dr Mamad.

2) Hantu tabur wang/harta benda. Hantu jenis ini beri cencaluk, kain pelikat, batik dan pelbagai buah tangan lain. "Hantu beri cencaluk ini, saya lihat sendiri," kata Dr Mamad.

3) Hantu janji projek. Hantu jenis ini rasmi batu asas sana, batu asas sini sedangkan bila projek sebenar akan bermula tidak diketahui.

4) Hantu pengugut. Jenis hantu ini pakar buat ugutan. Kalau tak dapat bapa, anak isteri orang pula mahu dipulas.

Kata Dr Mamad, selain hantu kecil-kecilan ini, pihaknya juga menghadapi hantu peringkat nasional.

Mereka adalah hantu pendidikan, hantu ekonomi, hantu sosial dan pelbagai jenis hantu lain.

Hantu pendidikan merosakkan sistem pendidikan negara, hantu ekonomi menjahanamkan ekonomi manakala hantu sosial menghancurkan masa depan anak-anak kita, katanya.
"Hari ini pendidikan anak bangsa kita amat huru-hara. Banyak hantu hidup dalam ekonomi kita, manakala hantu yang menaja projek dan rancangan maksiat semakin banyak. Itu sebab maksiat dan gejala sosial semakin menjadi-jadi" katanya.

Thursday, October 30, 2008

Surat daripada Pengerusi BN bawa padah, hikmah

Tepat pada pagi hari mengundi (8 Mac), saya menerima surat paling istimewa - daripada (PM sementara) Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Sepatutnya saya melompat gembira kerana PM kenal saya (nama saya jelas tertera dengan huruf besar) dan sanggup mengutusi surat kepada saya. Siapalah saya untuk menerima surat daripada PM.

Tetapi saya tidak jadi berbuat demikian (melompat gembira) sebab ibu bapa dan adik beradik saya pun menerima surat yang kandungannya sama. Bermakna bukan saya saja dikenali PM, ibu bapa dan adik beradik saya pun PM kenal. Surat itu menjadi lebih tidak bermakna sebab ramai kawan-kawan saya pun menerimanya. Bermakna di kampung, bukan saya saja dikenali PM tetapi hampir semua penduduk.

Berikut adalah surat kepada saya daripada PM (Pengerusi Barisan Nasional).

BARISAN NASIONAL MALAYSIA

25 Februari, 2008

(Nama Penerima dan Alamat Penerima - amat tepat)

Nama Penerima (tepat sekali)

Empat tahun telah berlalu sejak saudara mengamanahkan Barisan Nasional dengan mandat besar untuk mentadbir negara. Dalam tempoh tersebut, kami telah bekerja secara bersungguh menunaikan segala janji dan memastikan bahawa segala keputusan yang diambil adalah adil dan bermanfaat untuk semua.

Pengurusan ekonomi yang baik dan komitmen untuk memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan terpinggir, telah meletakkan rumah pada asas yang kukuh. Ekonomi negara berkembang pada kadar 6.3 peratus dalam tahun 2007, pencapaian terbaik semanjak tahun 2004, defisit fiskal negara diturunkan kepada 3.2 peratus daripada KDNK, nilai dagangan antarabangsa melangkau tahap lebih 1 trilion ringgit, kira-kira 1.3 juta peluang pekerjaan diwujudkan, pasaran saham negara beberapa kali mencatat nilai tertinggi dalam sejarah dan lima koridor pembangunan dilancarkan. Kadar kemiskinan berjaya kita turunkan secara ketara, jurang antara bandar dan luar bandar berjaya dirapatkan, di samping dipastikan rakyat dapat menikmati kualiti hidup bermutu terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Alhamdulillah, segala sasaran ini telah berjaya kita capai dalam suasana begitu mencabar, berhadapan dengan harga minyak dunia dan harga komoditi yang melambung tinggi.

Benih-benih perubahan juga disemai di pelbagai bidang lain. Misi Nasional telah diperkenalkan untuk memberi fokus kepada usaha mencapai Wawasan 2020 dan untuk kita dapat melangkah seterusnya. Pendidikan terus menjadi keutamaan dan jelas dibuktikan dengan peruntukan paling besar dalam sejarah serta pelancaran dua pelan tindakan bertujuan memperbaiki akses serta meningkatkan standard. Kita juga telah mengambil langkah, memperkukuhkan institusi-institusi negara antaranya perkhidmatan awam, pasukan polis serta syarikat berkaitan kerajaan.

Malaysia terus memainkan peranan aktif di arena antarabangsa, membina jambatan persahabatan di serata dunia. Di peringkat nasional, kita sering diperingatkan tentang peripentingnya usaha gigih, keadilan serta kebijaksanaan dalam mengukuhkan lagi perpaduan nasional dalam sebuah negara muda seperti Malaysia. Kami bertekad untuk memastikan bahawa setiap rakyat ada tempat di bumi Malaysia ini. Tahun lalu, kita sama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 dalam suasana perpaduan dan kebersatuan yang tinggi, melangkau maju ke hadapan untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya.

Adalah ketara, kemajuan telah berjaya dicatatkan dalam pelbagai aspek. Namun, masih ada tugas yang perlu diselesaikan di dalam beberapa perkara. Contohnya, usaha memerangi rasuah dan membanteras jenayah yang telah bermula dan mesti diteruskan. Sesungguhnya Barisan Nasional sedia dan komited untuk meneruskan usaha ini demi mencapai matlamat kita.

Harga minyak yang terus meningkat serta beberapa isu antarabangsa lain mungkin akan menjejaskan kedudukan ekonomi tempatan. Namun, kami bersiap sedia mengambil langkah awal dan tindakan segera bagi terus memelihara kesejahteraan rakyat, walau apa jua cabaran yang mendatang.

Keyakinan ini terbit dari hakikat bahawa Barisan Nasional yang saya pimpin ini telah teruji dan terbukti mentadbir negara. Kami memahami keperluan rakyat dan telah sekian lama menunaikan segala janji. Kami sedia untuk mengemudi negara kea rah tuju seterusnya. Misi dan visi kami jelas untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Kami memerlukan sokongan saudara pada tanggal 8 Mac ini. Hasrat untuk melahirkan Malaysia yang lebih selamat, aman dan makmur hanya akan tercapai sekiranya kita sama-sama bersatu hati dan berganding bahu, demi generasi hari ini dan generasi akan datang.

(Tanda tangan)

Abdullah Hj Ahmad Badawi

Pengerusi Barisan Nasional

Selepas membaca surat daripada PM ini, hati saya meradang. Soalan pertama, bila pula saya memberi amanah kepada Barisan Nasional pada pilihan raya lalu? Kalau betul saya telah memberi amanah kepada Barisan Nasional, mana pula pihak-pihak ini boleh tahu saya telah berbuat demikian? Tentulah ada yang tak kena dalam bab ini.

Kedua, di sini saya mahu tahu, duit siapa digunakan untuk menampung kos mencetak, membuat dan mengeposkan surat ini? Bukan saya saja dapat surat daripada PM, tetapi saya percaya berjuta-juta pengundi lain juga mendapat surat ini. Pada bahagian atas kanan sampul surat putih surat yang saya terima dinyatakan, Bayaran Pos Jelas (Postage Paid) Pejabat Pos Kuala Lumpur, Malaysia No. WP 0071. Di bahagian atas kiri pula tertulis: If undelivered, please return to: - P.O. Box No. 12176, 50768 Kuala Lumpur, Malaysia.

Ketiga, macam mana pula PM tahu nama penuh dan alamat saya? Saya bukan orang terkenal, cuma seorang penduduk kampung. Kalau PM tak kenal saya, mesti ada orang beritahu nama dan alamat saya pada PM. Siapa agaknya pihak yang tidak amanah ini? Senang-senang saja jual nama saya pada PM.

Walau bagaimanapun saya ucapkan tahniah kepada PM kerana mengutus surat ini. Izinkan saya menyatakan sedikit sebanyak pandangan saya mengenai kandungan surat ini. Mana tahu mungkin PM tergerak hati untuk membacanya dan menimbangkan syor saya untuk bermuhasabah diri. Yalah, saya cuba berbudi bahasa untuk membalas surat PM yang sudi mengutusi saya.

* Wahai PM yang baik hati. Rakyat kebanyakan dan orang kampung seperti saya tidak faham perkataan dan istilah pelik seperti defisit fiskal, KDNK, perdagangan antabangsa, koridor, pasaran saham dan duit trilion ringgit. Susah rakyat nak bayangkan berapa banyak duit trilion ringgit itu sebab Si Mat pekebun getah di kampung saya nak 'cekau' RM10 sehari pun susah, ini nak bayangkan trilion ringgit. Cukup sekadar Si Mat difahamkan harga beras tak naik, gula tak naik, ikan kembung tak naik, tepung tak naik dan cili tak naik.

* Si Musa Nelayan tidak faham Misi Nasional termasuk memantapkan pendidikan. Beliau hanya tahu masa mendaftarkan anaknya Si Lijah ke Tingkatan Satu di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air awal tahun ini, dia terpaksa menebalkan muka meminjam duit daripada sanak saudara kerana kos masuk sekolah kira-kira RM500 sedangkan kerajaan dan pemimpin mencanangkan ke seluruh dunia pendidikan di Malaysia FREE.

* Setiap rakyat ada tempat di bumi Malaysia? Eehh macam mana pulak ni. Dulu semasa ulang tahun sambutan ke-50 kemerdekaan negara, rakyat ditunjukkan hanya orang Umno, MCA dan MIC saja yang boleh mengambil bahagian. Mereka saja yang berkorban nyawa dalam kemerdekaan negara. Dalam perarakan ada bendera Umno, MCA dan MIC, tak da pula bendera PAS dan lambang Roket. Ertinya orang ini tiada tempat. Orang TV pun sama, apabila beri komentar termasuk pada pilihan raya baru-baru ini apabila menyebut BN berkata 'Kita' dan ketika menyebut pembangkang menyebut 'Dia orang'. Ingat orang pembangkang itu bukan orang Malaysia ke, mereka datang dari 'Outer Space' ke?

* Janganlah salahkan atau berlindung di sebalik harga minyak dan komoditi dunia yang berterusan naik untuk terus menindas rakyat. Sepatutnya anda yang berjanji menjadi hamba rakyat ketika pilihan raya lalu, terus menjadi hamba rakyat dulu, kini dan...

* Selamat? Aman? Makmur? Kurang selamat dan amanlah sebab duit tabung masjid pun kena kebas. Budak-budak kena culik dan hilang, anak bunuh ibu bapa. Makmur...? Kalau makmur buat apa orang Umno Penang berdemonstrasi sekarang ini? Jangan-jangan mereka cuba lawan dan cabar TPM Najib Tun Razak yang tidak lama dulu berkata demonstrasi bukan cara dan budaya kita. Orang Umno Penang ini amal budaya apa pula?

* BN sudah teruji dan terbukti? Ha, keputusan PRU ke-12 ini adalah ujian terbesar untuk BN. Bersabarlah selepas empat negeri jatuh. Buktikan bahawa BN tahan diuji dan pemerintah Pusat jangan biarkan budak-budak di Penang, Perak dan Selangor berdemonstrasi sebab itu bukanlah budaya kita! Malu nanti apabila orang lain tempelak. Tak percaya tanya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang sekali pun kalah menunjukkan sikap 'gentleman'. Sebuah akhbar mingguan berbahasa Melayu pada 16 Mac melaporkan berita dengan tajuk 'Demonstrasi bukan cara terbaik: Koh'. Kata Koh, demonstrasi jalanan bukan cara terbaik bagi menyatakan pandangan dalam sesebuah negara pelbagai kaum. Katanya, perkara itu menjadi pendirian PM Abdullah dan kepimpinan tertinggi BN terhadap kumpulan tertentu selama ini. Jadi orang Umno Penang dan di tempat lain, jangan malukan lagi PM dan TPM. Mereka sudah tersangat malu!

Berkata benar, walaupun pahit

Mengikuti rancangan 'Jejak Rasul' dan ceramah kursus haji, penulis difahamkan pada zaman jahiliah, manasik haji sudah terpesong antaranya tawaf dalam keadaan berbogel di depan Kaabah. Kemudian Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. untuk membersihkan amalan yang mencampur-adukan kebenaran dan kebatilan itu.ampur-adukan kebenaran dan kebatilan itu.

Hari ini kita cukup bimbang apabila amalan ibadat seperti puasa yang menjadi Rukun Islam ketiga juga sudah dicampuradukkan dengan budaya atau gaya hidup yang kononnya untuk mempamerkan rasa muhibah seperti buka puasa dan sahur bersama malah Presiden Amerika Syarikat pun menganjurkan majlis berbuka puasa, sedangkan George Bush pun tidak berpuasa.

Tidak cukup dengan berbuka puasa atau sahur bersama, kemudian kita diperlukan berkongsi raya, dan yang terbaru kita digemparkan dengan 'ketidakbolehan' dan 'kesalahan besar' seorang pegawai beragama Islam menasihatkan anak buah Islamnya daripada mengucapkan 'selamat' kepada penganut sebuah agama dalam merayakan hari kebesaran mereka.

Pengucapan dan penggunaan perkataan 'selamat' itu mencetuskan kontroversi sedangkan jika dalam bahasa Inggeris, perkataan yang digunakan adalah 'Happy'. Selama ini 'Happy' diterjemahkan sebagai 'Selamat', jadi itulah masalahnya. Jika 'Happy' diterjemahkan sebagai 'Bergembiralah', kemungkinan 'ketegangan' itu dapat diredakan.

Langkah pegawai Islam itu menasihatkan kakitangan Islam itu tidak ada kena mengena dengan sebarang agama. Dia tidak menghina sesiapa pun, dia cuma memberi nasihat. Terpulanglah kepada orang yang menerima nasihat, sama ada untuk mengikutnya atau tidak.

Seperti dia menasihatkan saudara seagamanya supaya berpuasa, sama ada si penerima nasihat tadi mahu melaksanakannya atau tidak terpulang kepadanya. Dia mahu berpuasa boleh, tidak mahu berpuasa pun boleh, tetapi tanggunglah sendiri akibatnya.

Jika pemberi nasihat tadi mengingatkan saudara seagamanya supaya jangan minum arak, dia tidak menghina sesiapa. Dia tidak menghina orang yang mahu terus minum arak, dia pun tidak menghina orang yang lulus lesen arak atau makan duit daripada keuntungan cukai bisnes arak. Cuma dia nasihatkan saudara seagamanya jangan minum arak. Kalau sudah dinasihat, masih mahu minum, itu terpulanglah. Cuma akibatnya tanggunglah sendiri.

Dengan memberi nasihat tadi, terlepaslah si pemberi nasihat akan permasalahan hal berkaitan di akhirat nanti, insya-Allah. Dia mungkin akan merintih, 'Aku lemah ya Allah, aku cuma mampu beri nasihat, maka terpulanglah kepada Kau ya Allah, sama ada mereka mahu menerima nasihat itu atau tidak.'

Berdasarkan laporan dan hujah dalam semua akhbar, tidak langsung dinyatakan pegawai yang memberi nasihat itu menghina mana-mana agama atau penganutnya. Tidak ada sekali pun. Dia cuma memberi nasihat atau pandangan untuk saudara seagamanya, tidak lebih daripada itu.

Dalam al-Quran sendiri dinyatakan larangan untuk mencela sembahan selain Allah, melalui ayat 108 Surah al-'Anam yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan."

Tuesday, October 28, 2008

Malaysia ke arah sistem dua parti yang menguntungkan rakyat

Pilihan raya Presiden Amerika akan berlangsung 4 November 2008. Adalah menarik untuk melihat bagaimana sistem dua parti (Republikan dan Demokrat) mendominasi pemikiran rakyat Amerika. Adakah Malaysia juga layak ke arah sistem dua parti ini?

Senario Pertama: Pada hari penamaan calon (24 Februari), penulis berpeluang berbual dengan seorang pemantau pilihan raya dari sebuah universiti tempatan yang beraksi dengan video-camnya. Beliau mendakwa sedang merakamkan mana-mana pelajar dan kakitangan universitinya yang terbabit dalam politik kepartian.

Katanya, dia tidak peduli sama ada individu terbabit menyokong parti pemerintah atau pembangkang. Tugasnya hanya membuat rakaman dan kemudian menyampaikan kepada pihak atasan universiti. Terpulang kepada pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.

Senario Kedua: Media massa menjadi jurucakap parti pemerintah semasa kempen dan ketika pilihan raya. Apa saja mengenai parti pemerintah dilaporkan baik manakala kegiatan termasuk manifesto pembangkang digelapkan. Kalau ada, yang disiarkan perkara negatif.

Bayangkan ketika bersiaran langsung mengumumkan keputusan pilihan raya, pengacara TV menggunakan perkataan 'Kita' apabila merujuk kepada Barisan Nasional dan 'Pihak-Pihak Ini' apabila merujuk kepada pembangkang.

Hal ini seolah-olah membayangkan negara ini dimiliki Barisan Nasional manakala pihak pembangkang adalah 'makhluk (orang) asing' yang cuba menawan negara. Berita mengenai kemenangan PAS, KeADILan dan DAP di beberapa negeri dilambat atau tidak disiarkan.

Senario Ketiga: Selepas perikatan rakyat menawan empat negeri (Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah) dan mengekalkan Kelantan, pemimpin Barisan Nasional cuba menanamkan perasaan cemas di hati rakyat dengan menguar-uarkan betapa sukarnya membentuk kerajaan negeri-negeri tersebut.

Namun bagaikan boomerang, isu berkenaan memalitkan najis ke muka mereka apabila negeri-negeri dimenangi BN seperti Perlis, Terengganu dan Johor, masalah kepimpinannya lebih parah. Malah krisis di Perlis dan Terengganu memalitkan malu bukan saja kepada kedua-dua menteri besar tetapi juga kepada perdana menteri.

Berdasarkan tiga senario ini (sebagai contoh saja kerana ada banyak insiden kebobrokan Umno-BN), melalui keputusan pilihan raya jelas rakyat sudah muak dengan propaganda murahan mereka. Rakyat pada alaf baru ini, terutama generasi muda adalah kaya maklumat yang tidak lagi mendapat menerima slogan-slogan murahan seperti 'BN menang rakyat senang', 'Selamat, Aman dan Makmur' serta 'Umno - dulu, kini dan selamanya'.

Rakyat bukan lagi dapat didendangkan dengan filem-filem Hindustan yang melekakan sebaliknya mahukan bukti. Sebagai contoh, jika 'BN menang rakyat senang', betulkan rakyat boleh senang pada ketika harga barangan, tol dan minyak semakin meningkat?

Apabila rakyat menolak propaganda murahan mainan Umno-BN dengan menafikan majoriti dua pertiganya di Parlimen di samping berkuasa di lima negeri, kini terbukalah ruang kepada sistem politik dua parti di negara ini seperti diamalkan negara maju, Amerika Syarikat dan Britain. Di Amerika ada dua parti saja iaitu Demokrat dan Republikan manakala di Britain pula ada dua parti terkuat, Buruh dan Konservatif.

Dengan perikatan rakyat (PAS, KeADILan dan DAP) menguasai 82 kerusi Parlimen berbanding 140 oleh (Umno-BN), kedua-dua pihak mempunyai kekuatan hampir seimbang.

Dalam senario begini, perikatan rakyat bila-bila saja boleh menjadi pemerintah, dan pemerintah bila-bila masa saja boleh menjadi pembangkang apabila berlaku 'cross over'. Pilihan raya umum ke-13 (2012?) bakal menyaksikan pertarungan sengit dua kumpulan ini (Perikatan Rakyat dan BN?)

Sesuai dengan negara kita yang mahu mencapai status negara maju pada 2020, persiapan wajar dilakukan ke arah sistem dua parti. Bukan parti saja perlu dievolusikan (seperti meniadakan sebutan parti pemerintah dan pembangkang), tetapi dalam hampir semua bidang kehidupan.

Senario Pertama perlu dihapuskan. Universiti (termasuk bidang pendidikan) perlu dibebaskan daripada cengkaman politik kepartian sebaliknya dijadikan pusat keilmuan dan keintelektualan. Hapuskan kegiatan pantau memantau yang hanya menjejaskan kesuburan keintelektualan sebaliknya menjumudkan modal insan (siswazah).

Hapuskan Senario Kedua iaitu ketakutan dan kejumudan dalam bidang media massa. Apabila negara menuju kepada sistem dua parti, media massa perlu bebas dalam laporan mereka. Tidak timbul lagi isu media massa menjadi budak suruhan BN, tetapi ia bebas memberi liputan kepada kedua-dua pihak kerana yang dipentingkan wibawa dan 'track record' calon dan parti. Media massa Amerika dan British mungkin dapat dijadikan sempadan.

Hapuskan Senari Ketiga iaitu ketakutan dan fobia di kalangan rakyat. Slogan-slogan seperti 'Hanya BN mampu memerintah', 'pembangkang cetus huru-hara' dan ugutan 'kalau pembangkang menang, rakyat makan ubi kayu' perlu dihapuskan daripada minda rakyat. Sehubungan itu melalui kemenangannya pada PRU ke-12, gabungan PAS, KeADILan dan DAP perlu membuktikan kemampuan mereka memerintah lebih baik daripada BN.

Apabila ini berlaku, pada PRU ke-13 nanti, insya-Allah, gabungan ini akan menggantikan BN sebagai pemerintah. Perkembangan ini akan membawa kepada kewujudan sistem dua parti yang menjadi amalan negara maju. Setiap parti akan berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat.

Apabila gagal, mereka akan disingkirkan pada pilihan raya berikutnya. Perkembangan ini akan mewujudkan perimbangan (check and balance), memberi keuntungan kepada rakyat sepanjang masa. Inilah ciri-ciri negara maju idaman semua!

Monday, October 27, 2008

Agama, akhlak syarat utama pilih suami, menantu

Baru-baru ini penulis menghadiri empat majlis perkahwinan dan satu kenduri arwah. Banyak lagi jemputan penulis uzurkan diri. Mungkin badan sudah panas manakala kepala pusing selepas makan terlalu banyak nasi briani dan minyak, daging serta minum air batu. Demikianlah, orang Melayu 'pulun' habis - ada yang sibuk menikahkan anak dan ada yang terkenangkan arwah tersayang menjelang bulan puasa tidak lama lagi. Itulah sebabnya mereka buat kenduri, kenduri dan kenduri.

Apa yang penulis amati, majlis perkahwinan orang Melayu masa kini melalui evolusi masa, antaranya semua majlis yang dihadiri, tiada satu pun yang mengamalkan makan secara berhidang sebaliknya berdasarkan konsep layan diri - ceduk sendiri dan makan. Layangan petugas adalah minimum - ada gadis dan pemuda yang menghulur buah tangan - kotak kecil mengandungi gula-gula dan coklat (tetapi bukanlah jenis coklat yang disalutkan ke strawberi!). Sekarang hampir tiada buah tangan kotak telur bunga telur.

Khemah orang sekarang pun 'dahsyat-dahsyat'. Walau di ceruk kampung, khemahnya adalah daripada kain yang menyeret hingga ke tanah dan dalam waktu terakhir ini penulis tidak ketemui lagi khemah 'simple' daripada atap zink dan tiang besi. Kalau khemah dibuat daripada buluh, rasanya sudah 10 tahun penulis tidak ketemui.

Pendeknya sudah berlaku pelbagai perubahan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Ini termasuklah kad kahwin, yang baru-baru ini bapa penulis mengomel. Katanya, apalah budak-budak sekarang, buat kad kahwin, disertakan gambar bakal pasangan pengantin berpeluk-peluk. Masa mereka ambil gambar itu, dia orang ingat dia sudah jadi suami isteri ke?

Budak-budak sekarang sudah melampau, kata pula seorang ustaz ketika majlis agama yang penulis hadiri baru-baru ini. Beliau mengulas tiga dugaan utama seseorang manusia (lelaki) iaitu perempuan, harta dan pangkat. Apabila memperkatakan dugaan perempuan, beliau berkata budak-budak sekarang kalau bercinta, melampaui batas, berlebih-lebih.

Ambil contoh kalau seseorang pemuda itu sedang mabuk bercinta. Pukul tujuh, ketika ke masjid untuk solat maghrib, kita nampak dia di atas motor sedang bercakap dengan 'aweknya' menggunakan telefon awam, pukul 9.30 malam, ketika kita balik dari masjid, dia masih bertenggek atas motor itu, berbual lagi. Apa benda yang sedap sangat agaknya dia bualkan sampai berjam-jam itu? Tak terfikirkah dia maghrib sudah lepas, nanti Isyak dan subuh pun boleh terlepas sama.

Itulah orang sekarang, kata ustaz itu. Belum kahwin boleh bercakap berjam-jam, tetapi selepas kahwin 'silent' (senyap) saja. Sebab masa belum kahwin dulu, dia dah cakap habis-habis, jadi lepas kahwin dia tidak ada bahan nak cakap lagi. Pasangan ini sudah habis modal jadi dia orang 'silent', 'silent', 'silent', alih-alih kita dengar dia orang dah bercerai pula.

Ini berlainan dengan orang dulu, kata ustaz itu. Pasangan pengantin dulu tak kenal satu sama lain. Mereka ikut saja cakap mak bapak. Kalau keluarga mereka dah berkenaan kat seorang anak dara itu, mereka ikut saja. Ketika mula kahwin mereka 'silent' saja, tetapi selepas beberapa tahun kahwin, tup-tup anak dah lapan, 10 dan 12! Itu tandanya apa? Tanda bahagialah tu!

Dalam sebuah kuliah subuh 27 Ogos yang penulis hadiri, penceramah dalam bab nikah kahwin, berkata kalau kita sebagai bapa (penjaga) kepada anak-anak gadis, pilihlah bakal menantu yang baik agama dan akhlaknya. Jalankan siasatan dan risikan sama ada bakal menantu solat lima waktu dan menunaikan amalan agama lain. Soalan pertama untuk rombongan bakal menantu, 'budak' tu sembahyang tak, bukan seperti kebanyakan kita yang bertanyakan, dia kerja apa, gaji dia berapa, 'pass' universiti mana dan pakai kereta apa?

Kalau soalan pertama (solat tak?), dia 'fail', lebih baik jangan dijadikan menantu. Orang yang tidak solat, sudah pasti 'fail' dalam bab-bab lain seperti puasa. Kalau dia tidak takutkan Allah, bagaimana dia nak menjalankan tugasnya sebagai pemimpin dalam rumah tangga, nak memimpin isteri dan anak-anaknya?

Bagi calon isteri pula, carilah juga yang kuat beragama walaupun ciri-ciri lain seperti keturunan, subur (tidak mandul) dan kecantikan juga penting. Janganlah seperti orang sekarang yang suka cari orang glamor seperti artis. Perkahwinan adalah satu ibadat, bukan untuk bermegah-megah, kononnya dapat kahwin artis, pelakon hebat dan sebagainya tetapi agama dan akhlaknya tidak diperhatikan.

Kata ustaz itu, antara calon isteri yang baik ialah yang murah mas kahwinnya. Hal ini termasuklah wang hantarannya, tidaklah terlalu mengada-ngada seperti orang sekarang, hendakkan RM11,111.11 atau RM22,222.22 atau RM33,333.33 atau RM44,444.44. Hidup biarlah berpada-pada, janganlah nak riak, nak menunjuk-nunjuk. Semuanya akan membawa kehancuran. Sia-sia saja amal perbuatan sedangkan kita hendakkan keredaan Allah SWT. Sekian, wassalam.

Artikel Kepilan

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan, mengkritik hebahan melampau dan majlis perkahwinan besar-besaran yang dakwanya menyumbang ke arah penyuburan nilai-niai negatif, antaranya pembaziran dan menyalahi hukum agama.

Gambaran dan laporan melampau berhubung perkahwinan seorang artis terkenal dengan seorang usahawan tempatan di dada-dada akhbar baru-baru ini telah menimbulkan persoalan, apakah kesannya kepada masyarakat sehingga mengkesampingkan isu-isu yang lebih penting daripadanya.

Adakah wartawan-wartawan hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sahaja sebuah 'current issue'. Sedangkan banyak lagi isu yang boleh diketengahkan untuk tatapan umum.

Yang nyata kesannya kepada masyarakat ialah sehingga menganggap isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.

Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di 'highlight', menggambarkan masyarakat Islam khususnya, gila kepada budaya pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.

Kini, isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri perkahwinan melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang sangat memberi pengaruh.

Semua liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup 'ideal', melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan yang membina Taj Mahal.

Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini, yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit yang memalukan.

Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi kenapa berita ini menjadi lebih penting daripada yang lain dan digembar-gemburkan oleh media.

Ia sudah menjadi riak, takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum kerana mahu meng'highlight'kan orang-orang seumpama ini.

Antaranya ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula dibuat. Pentas khas diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah ibadah. Seramai 30 krew produksi pula akan bekerja keras.

Memanglah masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah, menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama?

Kita tidak tahu, apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ? Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa dengan budaya keglamoran artis-artis.

Bukan masanya lagi apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran berjuta ringgit, belanja majlis perkahwinan berjuta, merancang akad nikah di dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai jutaan ringgit.

Tetapi dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah?

Bagaimana dengan nasib mangsa peperangan di Lubnan, Palestin, Iraq dan Afghanistan? Bagaimana dengan nasib masa depan anak dan isteri yang ditinggalkan ini?

Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik.

Memang di sisi lain mungkin akan dijawab ia tidak ada kena mengena. Tetapi itulah sebenarnya gambaran masyarakat kita. Jika ia tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang bertanggungjawab menggembar-gembur hal ini.

Lebih-lebih lagi para artis di negara kita menjadi 'role model' kepada golongan remaja dan kami percaya kita perlu menyemai budaya yang lebih baik dan bukannya pembaziran dalam melakukan sesuatu. CAP memandang berat hal ini.

Ia bukan satu tafsiran cemburu tetapi mestilah dilihat dalam bentuk keprihatinan, kepekaan terhadap orang lain yang turut menjadi anggota masyarakat Malaysia. Ia juga satu bentuk budaya bermegah, membazir yang tidak dituntut oleh mana-mana agama mahupun budaya yang sihat.

Kesederhanaan adalah yang terbaik dan CAP mengharap semua pihak dapat mengamalkan sikap dan budaya ini.

Tragedi Benazir: Apa kata Maududi mengenai asas pemerintahan Islam

Awal pagi 28 Disember tahun lalu sebelum menaiki bas ekspres Melaka-KL, seperti biasa saya singgah di gerai akhbar. Terkejut besar saya lihat tertampang di hampir semua akhbar laporan BENAZIR TERBUNUH. Terasa debaran jantung saya sedikit kencang kerana Benazir 'bukanlah asing pada saya'.

Ini kerana ketika Benazir menjadi Perdana Menteri Pakistan bagi kali kedua (1993-1996) secara kebetulan ketika itu saya adalah Pengarang Luar Negara sebuah akhbar arus perdana. Tempoh pertama Benazir menjadi Perdana Menteri adalah pada tahun 1988-1990.

Ketika menerajui negara pada penggal kedua itu, Benazir pernah membuat lawatan ke Malaysia. Sempena lawatan itu, 'bos' mengarahkan saya mengatur dan membuat wawancara eksklusif dengan Benazir.

Hendak dijadikan cerita saya gagal dalam misi itu. Maka 'bos' pun hentam saya cukup-cukup, apatah lagi sebuah akhbar pesaing berjaya mewawancara Perdana Menteri Pakistan itu.

Benazir punya pasallah saya kena marah. Oleh itu saya sentiasa ingat akan Benazir. Jadi apabila saya menatap laporan dia terbunuh dalam satu letupan di Rawalpindi, saya tersentak sebentar tetapi tidaklah terkejut sangat kerana berdasarkan perkembangan dan sejarah politik di Pakistan dan cabaran Benazir sendiri, kejadian menyedihkan itu bukanlah sesuatu luar biasa.

Benazir, sebelum kembali ke Pakistan, dalam satu sidang akhbarnya di London pada September 2007, menyatakan dia bersedia menghadapi apa saja kemungkinan dalam misinya pulang ke tanah air. Beliau kembali ke Pakistan sebulan kemudian selepas berada lapan tahun di luar negara.

Sekalipun bernasib baik berbanding seorang lagi bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, yang terpaksa kembali dalam buangan di Arab Saudi sebaik saja pesawatnya mendarat, Benazir hampir terbunuh apabila satu serangan berani mati ketika beliau menyertai satu perhimpunan umum yang menyebabkan lebih 120 terbunuh.

Benazir nampaknya tidak serik dengan kejadian itu. Beliau terus mengkritik kepimpinan Presiden Pervez Musharraf sekalipun laporan-laporan agensi berita Barat menyatakan kepulangan Benazir adalah untuk berkongsi kuasa dengan Musharraf yang terkenal sebagai anak emas Barat dalam kempen memerangani keganasan global, kononnya.

Gandingan Musharraf-Benazir amat direstui kuasa Barat. Kedua-duanya pro-Barat, sedia tunduk kepada kehendak paksi Amerika dan kuncu-kuncunya. Tetapi nampaknya ada yang tidak kena menyebabkan hajat Barat melihat perkongsian kuasa Musharraf-Benazir tidak menjadi. Malah Benazir makin lantang mengkritik Musharraf menjelang pilihan raya kebangsaan yang dijudualkan 8 Januari depan.

Sebelum terbunuh, Benazir sebagai pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP), disifatkan sebagai tokoh paling hampir yang boleh menjatuhkan Musharraf. Nawaz Sharif jauh ke belakang, demikian juga pemimpin-pemimpin lain.

Berikutan pembunuhan Benazir, apa kesudahannya bagi Pakistan? Berdasarkan sejarah di benua kecil India (Pakistan, India, Bangladesh dan Sri Lanka), apabila berlaku pembunuhan seseorang pemimpin itu, partinya akan disanjung dan tokoh yang menggantikannya kemungkinan besar akan menjadi pemimpin negara.

Di Pakistan sendiri, selepas penggantungan bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto, (Perdana Menteri Pakistan pada awal 1970-an), namanya (Benazir) menjadi masyhur sehingga dia berupaya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali. Tetapi hajat Benazir untuk menjadi pemimpin Pakistan buat kali ketiga tidak kesampaian, sebaliknya dia sendiri maut.

Di India pembunuhan pemimpin dinasti Nehru-Gandhi seperti PM Indira Gandhi menyemarakkan nama anaknya, Rajiv. Kemudian selepas Rajiv dibunuh, pemimpin Parti Kongres (I) begitu disanjung sehingga membolehkan seperti Narashima Rao menjadi Perdana Menteri.

Demikian juga berlaku di Bangladesh yang membabitkan Presiden Mujibur Rahman, Sheikh Hasina dan Begum Khaleda Zia manakala di Sri Lanka nama-nama seperti Bandaranaike menghiasi tampuk pemerintahan kerana berlaku pembunuhan terhadap anggota keluarga.

Jadi di Pakistan, kemungkinan besar, sokongan simpati rakyat diperolehi oleh PPP selepas ini. Oleh itu tidak menghairankan jika penganti Benazir sebagai pemimpin PPP akan menerajui kuasa di Pakistan selepas ini.

Namun apa yang menjadi kebimbangan, pemimpin-pemimpin ini akan bergantung kuasa kepada 'Polis Dunia' (Amerika) yang tidak akan membiarkan perkembangan di Pakistan berjalan begitu saja.

Jika Pakistan tunduk dan pak turut kepada 'Polis Dunia', ia akan menjadi kebimbangan seluruh umat Islam. Ini kerana Pakistan, sebagai satu-satunya negara Islam yang mempunyai senjata nuklear, dilihat sebagai model Republik Islam oleh sesetengah pihak.

Pergolakan berterusan di Pakistan sebahagiannya disebabkan pemimpin dan rakyatnya tidak mengikut garis panduan yang sediakan negarawannya seperti Muhammad Ali Jinnah dan Abul A'Ala Maududi.

Kuasa mutlak hak Allah

Berhubung perkara ini adalah menarik untuk kita melihat pandangan intelektual dan negarawan Islam kebanggaan Pakistan, Abul A'Ala Maududi, mengenai 'asas-asas pemerintahan Islam'.

"Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah.

Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT.

Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan.

Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah.

Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia.

Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin.

Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut.

Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya.

Selama tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah).

Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah.

Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran.

Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri.

Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah.

Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam.

Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat.

Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia.

Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.

Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber.

Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia.

Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut.

Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut.

Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya.

Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut.

Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan.

Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri.

Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak.

Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik.

Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta.

Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya.

Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia.

Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik."

Friday, October 24, 2008

Sudah pencen baru tahu hakikat

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad memetik bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter sebagai berkata: "Rakyat awam Palestin kini dilayan seperti binatang seolah-olah mereka telah didapati bersalah kerana melakukan satu jenayah besar."

"Ini adalah semata-mata kerana mereka telah mengundi calon-calon daripada gerakan Hamas. Amerika Syarikat kini menjadi kuasa utama bagi menghalang rakyat awam Palestin daripada menikmati hak mereka. Mereka di nafikan sebarang bantuan hatta bagi memenuhi keperluan hidupan harian mereka sendiri."

Demikianlah betapa ramai pemimpin tidak lagi berkuasa bercakap lantang mengenai hak asasi manusia, perdamaian dan keamanan kononnya.

Carter dan 'geng pencennya' seperti Bill Clinton, Mikhail Gorbachev, Margaret Thatcher (dan terkini Tony Blair dan tidak lama lagi George W Bush), berani bercakap mengenai ketidakadilan dan kerakusan pemimpin kerajaan yang bersemayam di Washington, London, Moscow dan Paris. Hakikatnya mereka berani sebab tidak lagi berkuasa.

Kenapa Carter baru sekarang perasaan penduduk Palestin dilayan seperti binatang? Tidakkah dulu ketika beliau menjadi Presiden Amerika, penduduk Palestin juga diperlakukan bagai binatang. Adakah ketika beliau menjadi orang paling berkuasa di dunia dulu, rakyat Palestin mendapat layanan 'first' atau 'world class'?

Carter, Yasser Arafat dan Anwar Sadat, asyik berbincang, berbincang dan terus berbincang, tetapi bagaimana nasib rakyat Palestin. Tidakkah ketika itu mereka pun hidup lebih teruk daripada bintang? Zionis mengganas, Carter pun buat-buat tidak tahu.

Bill Clinton 'sebagai manusia paling berkuasa' di dunia pun ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat, hanya membatu apabila ribuan umat Islam Bosnia disembelih pengganas Serb.

Demikian juga Thatcher, si Wanita Kuku Besi tidak peduli akan nasib manusia di Dunia Ketiga. Clinton selepas tidak berkuasa, cuba-cuba berperanan sebagai Duta Keamananan di Aceh selepas tsunami kononnya, tetapi nampaknya tidak menjadi.

Gorbachev pula adalah penyembelih umat Islam di Asia Tengah. Blair lagi teruk. Beliau bersama Presiden Amerika Syarikat yang akan tamat 'kontrak' Bush adalah penyembelih ratusan ribu rakyat Iraq.

Semuanya ada rekod buruk mengenai kemanusiaan. Tetapi selepas tidak lagi berkuasa, tahu pula mereka mana yang baik dan mana yang buruk. Lantang pula mereka bercakap mengenai kesamarataan dan keadilan.

Jika dikaji sejarah peradaban manusia, ada tokoh ternama insaf selepas tidak lagi berkuasa atau nyawa sudah berada di halkum. Firaun pada zaman Musa adalah salah satu contoh.

Selepas hampir lemas, barulah dia mengakui kebenaran dan Tuhan Nabi Musa a.s. tetapi semuanya sudah terlambat. Banyak kisah raja-raja besar dunia mengungkap perkara yang sama.

Harun Al-Rashid, Khalifah Abassiyah yang terkenal dan mempunyai kerajaan dari Timur ke Barat, melolong bertanya, mana barisan askar-askarnya hebat dan lengkap bersenjata itu untuk menghalang kedatangan Malaikat Maut.

Harun insaf bahawa sekuat mana dan sebanyak mana kuasanya, dia pasti mati. Keinsafan itu datang ketika berada di katil pembaringan, menunggu maut.

Tetapi ada insan yang keinsafan itu tidak datang sekalipun berada di ambang kematian. Abu Jahal adalah salah seorang daripadanya. Ketika hampir maut di medan perang, dia mengucapkan kalau masa hidup dia tidak beriman, apatah lagi di ambang kematian.

Di tanah air kita pun, keadaan yang sama berlaku. Ramai orang yang sudah pencen baru insaf, termasuklah orang nombor satu negara. Selepas tidak berkuasa barulah dia terhegeh-hegeh nampak itu tidak betul, ini tidak betul sedangkan ketika dia berkuasa, semuanya betul saja pada pandangannya; pendapat orang lain tidak diterimanya langsung.

Demikianlah perjalanan hidup manusia dipenuhi pelbagai pancaroba. Ada bijak pandai mengungkapkan mengenai kepelikan manusia; semasa kecil, tenaga dan akal kurang bagi mengharung dunia; apabila muda, tenaga banyak, nafsu tinggi tetapi pengalaman kurang maka mudahlah tersadung; apabila sudah tua, akal banyak, pengalaman pun banyak tetapi TENAGA SUDAH HABIS, maka terbantutlah segala cita-cita. Yang ada hanya menunggu masa ke kubur!

Tetapi selepas Tenaga Sudah Habis itulah, masing-masing sibuk, bercakap begitu begini seperti Carter, Gorbachev dan di tanah air kita, si 'dia'.

Thursday, October 23, 2008

Berakhirnya episod 'angkat tangan' di masjid

Sejak kecil lagi, amalan 'angkat tangan' menjadi sebahagian cara kita memilih ketua atau memutuskan sesuatu perkara.

Di sekolah, ketika mahu memilih ketua darjah, sesetengah guru akan meminta murid-murid mengemukakan nama calon dan kemudian menjalankan pengundian bagi menentukan siapa paling disukai menjadi ketua darjah.

Siapa yang meyokong calon tertentu akan mengangkat tangan. Calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi ketua darjah, yang kedua terbanyak dipilih penolong ketua darjah dan seterusnya.

Amalan ini juga diamalkan di sesetengah sekolah bagi memilih pengawas, ketua dan jawatankuasa pasukan beruniform, kelab, rumah (sukan) dan sebagainya.

Demikian juga dalam memutuskan sesuatu perkara, misalnya jika kelab sekolah mahu menganjurkan lawatan ke suatu tempat, ahli kelab akan memutuskannya dengan mengadakan undian.

Apabila dewasa dan memasuki dunia pekerjaan, kita dapati pemilihan ketua dan ahli jawatankuasa kesatuan juga menggunakan kaedah pencalonan dan 'angkat tangan' atau yang lebih kemas menggunakan 'kertas undi'.

Apabila umur meningkat, menjadi kebiasaan seseorang itu mendekatkan dirinya di surau dan masjid.

Apabila 'menjadi ahli' surau atau masjid, dapatlah disaksikan pelbagai perkara baru yang mematangkan diri kita.

Di sini setiap tahun atau dua tahun sekali diadakan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau surau.

Kaedah yang biasa kita saksikan pada pemilihan AJK ini ialah setiap jemaah berhak mencalonkan nama ahli kariah untuk jawatan pengerusi, setiausaha dan sebagainya.

Selepas beberapa nama dicalonkan, akan dibuat undian dengan cara jemaah mengangkat tangan. Calon yang mendapat undi terbanyak akan diamanahkan sesuatu jawatan itu.

Malangnya, di kebanyakan masjid dan surau hari ini, kaedah 'mengangkat tangan' sudah pun berkubur. Sebaliknya satu kumpulan orang bukan kaki masjid, secara tiba-tiba dilantik ke jawatan berkenaan.

Baru-baru ini saya terbaca risalah penerangan garis panduan baru pelantikan AJK masjid/madrasah di sebuah negeri di selatan tanah air.

Dinyatakan dalam risalah itu penaung masjid adalah Pegawai Kemajuan Negeri, Pegawai Daerah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.

Mengenai pelantikan AJK masjid dinyatakan bahawa cadangan pelantikan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kariah berkenaan.

Bagi pelantikan AJK surau/madrasah, cadangan dibuat oleh Pengerusi Lembaga Masjid dan disahkan oleh Pengerusi JKKK.

Selain itu, cadangan pelantikan disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan dan jika Adun kawasan itu bukan beragama Islam, maka pengesahan dibuat oleh pihak lebih tinggi.

Juga dinyatakan JKKK dikehendaki mengadakan mesyuarat bersama dengan AJK Lembaga Masjid bagi membincangkan jawatankuasa baru.

Garis panduan baru ini menunjukkan betapa JKKK mempunyai kuasa yang begitu hebat sehingga boleh menentukan siapa yang layak dan tidak layak untuk dipilih menjadi AJK Masjid.

Bukankah ini bermakna mempolitikkan masjid sedangkan selama ini orang yang kerap berjemaahlah dilantik menjadi AJK masjid oleh 'orang kaki masjid' sendiri.

Terdapat banyak laporan mengenai usaha pihak tertentu mempolitikkan pemilihan AJK masjid malah masjid pula dijadikan lokasi parti pemerintah untuk melebarkan pengaruh.

Kata mereka, jangan politikkan masjid. Tetapi apa yang berlaku mereka menjadikan masjid pentas meraih dan mencari pengaruh politik.

Umno - dulu, kini dan...menyusahkan rakyat

Kepimpinan Umno sedang bergolak. Pemimpin Umno bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Kedudukan dan pangkat dan kuasa menjadi impian. Semua berebut jawatan tertinggi. Matlamat menghalalkan cara, yang penting aku berada di kemuncak kuasa. Itulah Umno, dulu kini dan ...

Dulu, semasa aku kecil Umno dan kapal layar cukup kuat di kampungku. Apa tidaknya, ayahku pun pernah jadi 'ranas' (runners) untuk Umno masa pilihan raya. Dapatlah $10 (dulu belum pakai tanda RM). Tok guru aku pun kuat sokong Umno. Katanya, orang Melayu bukan undi calon (kalau wakilnya bukan Islam), tetapi pemimpin teratas, Tunku atau Tun Razak.

Pengalaman masa kecilku dengan Umno, sedikit saja. Jadi aku tidak mahulah sentuh Umno zaman Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn. Masa itu aku tidak peduli bab politik. Yang aku tahu belajar dan terus belajar, maklumlah nak jadi orang pandai. Disebabkan orang tuaku bantu Umno dan tok guruku pun orang Umno, aku kira Umno masa itu oklah.

Aku nak cerita Umno selepas tahun 1986. Tahun itulah aku mula bekerja sebagai wartawan. Jadi tahulah aku sikit sebanyak pasal cerita Umno ini. Tahun 1986 ini, pemimpin Umno berkelahi besar. Tup-tup Musa Hitam 'resign' daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, dia dan Mahathir dikatakan bagus 'kliknya'. Pemimpin 2M. Ini menyebabkan ada dua kumpulan dalam Umno. Ada geng Musa Hitam ada geng Dr Mahathir.

Peletakan jawatan Musa Hitam menyebabkan Umno berkrisis sepanjang tahun. Pemimpin menyalahkan satu sama lain. Sebagai pemberita, aku diheret ke sana, ke sini. Sanusi Junid, kata macam ini, Anwar Ibrahim kata macam itu pula. Ghafar Baba pula lain 'story', Khalid Yunus pula lain pula cakapnya.

Perbalahan pemimpin Umno ini habiskan 'current' saja. Buat aku penat, dan orang lain penat. Sepatutnya mereka bersatulah, membangunkan bangsa, negara dan agama seperti yang sering dia orang ucapkan. Ini asyik bergaduh aja. Apabila bergaduh banyaklah tenaga, wang ringgit dan apa saja dibelanjakan untuk tujuan tidak berfaedah.

Kemudian tahun 1988 berlaku satu kejadian teramat dahsyat. Sebab asyik saman menyaman dan tidak puas hati, dalam satu kes, mahkamah putuskan Umno parti tidak sah. Ertinya Umno sudah mati. THE END. Apabila Umno sudah mati, aku sebagai wartawan lagi susah. Kena berkejar sana, berlari sana, buat liputan. Bukankah pemimpin Umno ini menyusahkan rakyat saja. Bergaduh sampai parti diisytiharkan sudah mati. Apabila parti mati barulah mereka berpuas hati, agaknya.

Apabila Umno mati, ada geng pulak dalam Umno. Punyalah dia orang menyusahkan wartawan seperti saya dan banyak orang lain. Kejap kena kejar PJ, kejap kena pergi Bangsar. Pada satu majlis di PJ, aku dengar Rais Yatim dan Ku Li (Tengku Razaleigh) lanyak cukup-cukup sama Dr Mahathir. Belasah sana, belasah sini. Itu tidak kena, ini tidak kena. Yang kena (bagus) dia orang saja. Turut hadir Rahmah Osman, mana agaknya puan ini sekarang?

Apabila Umno sudah mati, Dr Mahathir hidupkan Umno Baru. Masa mula-mula Umno Baru ini hidup, dalam suratkhabar, dituliskan Umno Baru, kemudian Umno (B) kemudian tidak pakai apa-apa lagi, Umno saja. Hakikatnya, parti yang ada sekarang adalah Umno Baru. Umno lama dah mati. Umno baru inilah yang banyak menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...(tak beranilah aku tulis sebab besok siapa tahu).

Sepuluh tahun kemudian (1998), Umno sekali lagi menyusahkan rakyat. Besar juga kesnya. Kali ini Timbalan Presidennya merangkap TPM, Anwar Ibrahim dipecat. Apabila dipecat, Anwar pun buatlah 'tour' jelajah Malaysia, cerita dia dizalimi.

Selain Anwar, turut berceramah satu negara adalah salah seorang Naib Presiden Umno ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Tujuannya untuk menenangkan ahli-ahli Umno. Ketika Anwar dipecat, Abdullah ada di Durban, Afrika Selatan, menghadiri Sidang Kemuncak Komanwel atas kapasitinya sebagai Menteri Luar, mewakilkan Mahathir.

Apabila balik (atau bergegas pulang?), Abdullah pun memulakan siri 'slow talk'nya kepada ahli-ahli Umno - menerangkan keadaan. Abdullah menjelajah kampung dan bandar, menceritakan keadaan sebenar. Beliau berusaha mengurangkan 'damage' yang sudah berlaku kepada Umno. Apa perkara sebenar yang diceritakan Abdullah itu?

Pada masa Anwar dipecat, saya sudah 'resign' daripada tugas sebagai wartawan. Saya sudah bosan dengan dunia kewartawanan begitu. Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan semasa. Suatu hari saya sempat mengikuti 'talk' Abdullah kepada ahli-ahli Umno di Dewan Masjid Al-Azim yang terletak dalam Kompleks Masjid Al-Azim di tengah-tengah bandar Melaka.

Apa Abdullah cakap mengenai Anwar? Katanya, dia pun sedih dengan pemecatan Anwar. Mereka sama-sama dari Penang. Kongsi banyak perkara. Kongsi banyak rasa. Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh ada dalam Umno, katanya. Ini kerana Anwar telah BUAT BENDA ITU. Kerana sudah 'buat benda itu', Umno tidak dapat terima Anwar, katanya.

Demikianlah Umno berpecah lagi. Menyusahkan rakyat saja. Bukankah lebih baik semua tenaga yang ada digembleng untuk kebajikan rakyat. Ini asyik bergaduh saja, dulu, kini dan...Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya bangsa Melayu ini dapat ditolong.

Kalau betullah Umno dah tolong orang Melayu, baguslah. Tetapi aku percaya jika orang Umno, terutama pemimpinnya tidak bergaduh besar sepanjang masa, macam anjing dan kucing, maka lebih banyaklah orang Melayu sudah tertolong. Apabila pemimpin asyik bergaduh macam mana rakyat nak jadi baik. Kata orang bapa borek, anak rintik.

Sebab apa pemimpin Umno ini asyik bergaduh? Salah satu sebabnya aku ingat, dia orang tidak amal Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Jika terima Islam sepenuh, selamat dunia akhirat. Taklah selalu gaduh-gaduh macam sekarang.

Orang Umno mahu ingat parti sendiri pun pernah mati, nanti Melayu pula akan mati. Kesian Hang Tuah dengan 'Melayu Tak Hilang Dari Dunia'nya. Jadi tolonglah pemimpin Umno, jangan menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...seperti yang awak sudah buat selama ini.

Tuesday, October 21, 2008

Kezaliman dikhuatiri akan hancurkan Kuala Lumpur

Saya bukan kaki TV. Tetapi apabila berada di sofa, terpandang jua rancangan disiarkan. Salah satu perkara yang menangkap pancaindera saya kebelakangan ini adalah iklan dan cereka pendek patriotik menjelang ulang tahun kemerdekaan negara tidak lama dulu.

Salah satunya menunjukkan betapa sukar kita membina negara terutama ibu kota Kuala Lumpur; daripada desa dan kampung, bertukar menjadi bandar dan seterusnya kota metropolitan dengan bangunan tersergam megah, tinggi mencakar langit.

Suara dalam filem pendek ini mengingatkan, banyak perkara sudah berubah tetapi satu tetap kekal iaitu perpaduan. Lalu ditunjukkan gambar budak Melayu, Cina dan India bekejar-kejaran. Perpaduan sesama rakyat menjadi asas kemajuan, dan janganlah kita musnahkan negara atau memperjudikannya dengan mengenepikan perpaduan.

Saya bersetuju dengan ingatan itu. Alangkah ruginya jika segala apa kita bina seperti kota Kuala Lumpur dengan bangunan hebat dan jalan raya berselirat dengan kenderaan mewah dan cantik akan musnah semata-mata perpaduan sesama rakyat tidak dapat dikekalkan. Sayang sungguh kita pada kota Kuala Kumpur, yang sama-sama kita bina daripada keringat dan air mata.

Bukankah kita telah bersama-sama, tidak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya membina Kuala Lumpur dengan pelbagai pengorbanan, tetapi tergamak pula menghancurkannya apabila tidak menitikberatkan perpaduan, demikian saya terfikir, mengiyakan apa yang dinyatakan melalui filem pendek itu.

Namun demikian pandangan saya bertukar serta-merta selepas menghadiri satu majlis ilmu di masjid yang pengajarnya membicarakan kitab 'Hikam'. Terpegun saya apabila Tuan Guru itu bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baru boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini adalah alam ini (selain daripada Allah SWT).

Tersentak saya daripada tidur yang panjang apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal.

Terfikir di benak saya, adakah saya salah seorang daripada manusia tidak berakal itu sebab saya pun sayang dan kagum pada kehebatan Kuala Lumpur?

Orang berakal akan berfikir bukan saja apa-apa yang hebat itu seperti kota Kuala Lumpur, malah New York, London atau Istanbul, semuanya akan musnah. Cuma orang kafir saja takut mati dan kemusnahan sebab itulah mereka cari pemuda-pemuda Islam dan kemudian menuduh mereka mahu meletupkan London, Glasgow dan New York. Mereka musnahkan Baghdad, Kabul dan Baitulmaqdis, mereka tidak sibuk pun, mereka dianggap sebagai 'pembebas dunia' pula.

Jika diri kita sendiri akan musnah, jadi apa nak dihairankan sangat jika Kuala Lumpur musnah atau hancur lebur.

Bukti sudah ada depan mata, tetapi kita buat-buat tak pandang dan tak ingat. Bukankah sikit masa dulu, Banda Aceh musnah, dihancurkan oleh tsunami yang melanda ganas, menyebabkan hampir 200,000 orang mati? Bangunan yang hebat-hebat di Aceh runtuh, mayat-mayat bergelimpangan.

Jika Banda Aceh yang terletak di seberang Selat Melaka boleh musnah secara mengejut, Allah boleh melakukan apa saja termasuk terhadap Kuala Lumpur. Kepada-Nya kita berserah diri, usah asyik mengejar kebendaan yang pasti musnah suatu hari nanti. Hari kiamat juga akan menyusul, memusnahkan segala-galanya.

Dalam al-Quran pun ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah.

Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak.

Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal.

Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah.

Selepas mendengar kuliah Tuan Guru, saya berfikir, dakwaan perpaduan boleh mengekalkan keutuhan Kuala Lumpur adalah pandangan sisi, hanya separuh benar. Jika kita meneliti kehancuran kaum Tsamud dan kerajaan Sabak, kedua-duanya dimusnahkan disebabkan kedurhakaan penduduknya kepada Allah SWT. Kemajuan dan kehebatan mereka dalam urusan dunia seperti membina bangunan dan empangan menyebabkan penduduknya lupa akan kebesaran Allah SWT.

Kuala Lumpur malah Malaysia mengundang kemusnahkan jika kehidupan penduduknya tiada kebarakahan. Maksiat menjadi-menjadi, penyelewengan sudah sebati manakala pemimpinnya bagaikan serigala, mencari saat mencengkam golongan miskin. Saat kehancuran akan tiba jika rasuah dan riba dianggap urusan halal seperti berjual beli.

Semakin hari, gejala moral semakin teruk di tanah air tercinta. Sudah banyak kes luar biasa seperti ibu bunuh anak, anak bunuh ibu bapa tetapi pemimpin dan rakyat terus hanyut dalam aneka kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Sewajarnya kes luar biasa ini dijadikan iktibar, mencetuskan rasa bimbang dan cemas di hati, apa agaknya dosa-dosa dan kesalahan kita sehingga negara dilanda suasana begitu teruk sekali.

Banjir di Johor dulu adalah suatu kejadian luar biasa. Dan Kuala Lumpur juga pada 10 Jun lalu dikejutkan satu banjir besar. Banyak harta benda musnah. Kejadian itu boleh dianggap amaran SWT, tetapi apakah pemimpin dan rakyat termasuk warga KL mengambil iktibar? Apakah pemimpin terus bangga dengan segala projek 'Smart', 'Bestari' dan pelbagai slogan muluk-muluk?

Jika Allah SWT menurunkan banjir 10 kali ganda (lebih besar) daripada kejadian 10 Jun lalu, apa akan jadi dengan Kuala Lumpur yang kita banggakan itu? Doa kita agar kita jauhkan daripada malapetaka, sebaliknya kehidupan kita dirahmati Allah SWT.

Kesimpulannya, usahlah berbangga dengan kehebatan kita membangun KL atau negara sedangkan kita kufur kepada nikmat-Nya. Kita terus melakukan pelbagai kezaliman (rakyat terus di-ISA-kan), rasuah semakin menjadi-jadi manakala golongan bawahan semakin derita dengan kos kehidupan semakin tinggi.

Semoga kita tidak hanya mampu mengibar bendera (terbesar, terpanjang dan terbilang) pada ulang tahun kemerdekaan negara, sebaliknya, jika sudah benar-benar merdeka, lakukanlah perubahan, termasuk membebaskan tahanan ISA. Doa orang dizalimi cepat termakbul, takut-takut mereka mendoakan kehancuran negara kita, terutama pemimpin zalim!

Harakah: Dari kedai runcit ke menara gading kekangan dikenakan

Sebelum pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998, saya hanya menjadi pemerhati kepada perkembangan PAS dan akhbar terbitannya, Harakah.

Tidak pernah terlintas di hati untuk menyertai PAS apatah lagi berkhidmat di Harakah. Namun pengalaman bersama aktivis PAS bukan baru kerana ketika menuntut bagi ijazah pertama pun, pada awal tahun 1980-an, saya pernah ke majlis ceramah PAS.

Ceramah itu berlangsung di bawah rimbunan pokok, selepas isyak, diterangi lampu 60 watt dengan hanya dihadiri segelintir orang.

Ketika bekerja di syarikat akhbar harian berbahasa Melayu yang sentiasa mendakwa 'akhbar nombor satu negara' mulai pertengahan 1980-an, Harakah hanya menjadi bahan rujukan bagi berita-berita PAS.

Setiap keluaran Harakah diikat dalam satu fail besar dan diletakkan di perpustakaan. Ia menjadi rujukan wartawan. Apabila ada kes membabitkan PAS dan menjelang muktamar parti itu, fail Harakah dicari-cari.

Akhbar yang menjadi rujukan itu mungkin keluaran awal Harakah yang mula diterbitkan pada tahun 1987.

PAS dan Harakah tenggelam timbul dalam kehidupan saya sebagai seorang wartawan akhbar arus perdana sehinggalah munculnya gelombang berikutan pemecatan Anwar.

Peristiwa ini membawa kepada 'hidupnya' ceramah PAS yang selama ini amat malap di negeri-negeri pantai barat Semenanjung.

Pada 1998 selepas meninggalkan akhbar berkenaan, saya mula berjinak-jinak dengan ceramah PAS yang mendapat sambutan. Ribuan orang membanjiri ceramah sama ada ia diadakan di padang terbuka atau laman rumah individu tertentu.

Penceramah seperti Ustaz Fadzil Nor, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar menarik minat ramai dan sentiasa dinanti-nanti kunjungan mereka tetapi bagi penyokong di negeri-negeri pantai barat, gadingan penceramah PAS dan DAP membuka lembaran baru dan mencelikkan mata pelbagai pihak.

Berikutan kemasukan tokoh seperti Dr Hasan Ali ke dalam PAS menambahkan kemeriahan dan minat saya untuk mengikuti ceramah yang kadang-kadang berlangsung hampir setiap malam di kawasan berhampiran.

Sekalipun ramai hadirin seronok mengunyah kacang rebus atau 'pekena' sup 'gear box' ketika ceramah, setidak-tidak ceramah menjadi pemangkin untuk mengubah pendirian dan sikap.

Masa menganggur memberi lebih banyak masa untuk saya muhasabah diri dan apabila melihat bapa dan ibu mentua serta ramai sanak saudara memberi sokongan tidak berbelah bagi pada PAS, saya pun akhirnya mendaftar sebagai ahli.

Alangkah menakjubkan masa itu kerana mentua dan saudara-mara menawarkan saya menaiki kenderaan mereka jika ceramah itu diadakan di tempat yang jauh.

Saya fikir tentulahlah mereka akan menyebelahi saya jika berlaku pertelagahan dengan isteri kerana hampir setiap malam saya keluar rumah dan balik jam 1.00 atau 2.00 pagi.

Pada bulan Mei 1999, saya kembali menjadi pelajar di sebuah universiti tempatan bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

Di sinilah saya perhatian betapa hebatnya Harakah dalam minda para pelajar. Daripada tesis pelajar sehinggalah teks khutbah Jumaat universiti, isi kandungan Harakah tidak jemu-jemu dibicarakan.

Selepas 'timbang punya timbang', saya juga memutuskan subjek Harakah sebagai kajian tesis saya. Untuk memulakan kerja tentulah saya perlu ke perpustakaan dan antara tugas utama ialah menyemak dan mengkaji tesis-tesis lama.

Alangkah terkejut saya kerana banyak sungguh pelajar menjadikan Harakah sebagai bahan kajian.

Berpandukan rujukan berkenaan, tentulah tidak sukar bagi saya meneruskan projek tesis itu, demikian fikir saya.

Tetapi sangkaan saya salah kerana dalam kelas-kelas perbincangan dengan pensyarah kemudiannya, ada yang memberikan 'pandangan aneh' apabila saya katakan kajian saya adalah mengenai Harakah.

Lama kemudian barulah saya faham dengan 'pandangan aneh' itu. Ketika itu satu 'arus pelik' melanda universiti-universiti tempatan dengan pelbagai arahan baru yang akhirnya membawa kepada penguatkuasaan Akujanji.

Suara-suara lantang yang membicarakan isu keadilan, kemiskinan dan kebebasan bersuara melalui saat suram dan akhirnya terus hilang kerana 'pelajar tidak sedia menggadaikan masa depan' semata-mata kerana mahu menjadi idealis perjuangan.

Namum pada ketika kekangan dan cengkaman semakin menjerut, masih ada yang berani bersuara, misalnya, dalam pembentangan kertas kerja oleh seorang pelajar Komunikasi.

Beliau mengemukakan apa yang didakwanya 'Teori Pembohongan Media'. Baginya media tidak boleh dipercayai, kebanyakannya penipu besar. 'Teori Pembohongan Media' itu memang tidak ada dalam buku rujukan, jadi tidak tahulah nasib pelajar itu selepas membentangkan kertas kerja berkenaan.

Pada bulan September 1999 saya memulakan tugas sebagai Pengarang Berita di Harakah walaupun jawatan yang saya pohon sebagai penyunting. Ketika itu saya masih bergelar mahasiswa.

Sebagai pengelola bilik berita, saya menyedari Harakah juga dikunjungi pelajar universiti yang mahu melengkapkan tesis dan membuat kajian. Ini menunjukkan Harakah masih mendapat tempat di hati cendekiawan tetapi cengkaman pemerintah ke atasnya semakin menjadi-jadi.

Kemuncak daripada 'kemenangan besar' pembangkang pada pilihan raya November 1999, keluaran Harakah pada awal tahun 2000 dihadkan daripada dua keluaran setiap minggu kepada dwi bulanan.

Selepas pelbagai siri tekanan dikenakan ke atas Harakah seperti dakwaan di bawah Akta Mesin Cetak ke atas pengarang dan pencetaknya, Harakah semakin panas tetapi ironinya jumlah edarannya semakin merosot.

Antara faktor yang menyumbang kemerosotan itu ialah kesukaran mendapatkan Harakah di pasaran. Jika pada kemuncak krisis Anwar dulu (1998/99), Harakah mudah diperolehi tetapi selepas pilihan raya umum 1999, selain premis jualan yang semakin berkurangan, pekedai yang sedia menjual Harakah pun melakukannya secara sorok-sorok.

Seorang pekedai runcit yang saya kenali menjual Harakah di bawah kaunter. Jika pembeli dikenali berhajat, barulah dia menjualnya. Seorang lagi pekedai yang berani mempamerkan Harakah bersama-sama akhbar lain, suatu hari mendapati kedainya dipalang (ditutup) oleh pihak berkuasa tempatan. Terkejut besar pekedai itu, tetapi itulah risiko yang terpaksa dihadapi penjual Harakah.

Walaupun pelbagai kekekangan dikenakan daripada pekedai kepada cendekiawan di universiti, Harakah tetap tabah mengharungi liku-liku perjuangan Islam. Hari ini ketika di ambang memasuki dekad ketiga, Harakah memerlukan komitmen pejuang untuk bersama-sama membantu membangunkan Islam.

Monday, October 20, 2008

Alam semula jadi sumber inspirasi Dr Abdul Halim Ramli

Di Semabok, Melaka (kampung halaman penulis), Dr Abdul Halim Ramli dan kliniknya, cukup terkenal. Di sini saya menukilkan kisahnya yang ditulis tidak lama dulu.

Memelihara ikan dan berkebun - demikian antara hobi Dr Abdul Halim Ramli yang kliniknya terletak berhampiran Semabok Inn yang banyak mendapat publisiti dalam internet.

Sebagai bukti 'kesungguhan' beliau terhadap ikan, di dalam bilik rawatannya ada sebuah akuarium besar dengan sesekor ikan kelisa keemasan 'berenang-renang lembut', mendamai serta menceriakan suasana.

Sepanjang mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta, penulis belum pernah berjumpa seorang doktor 'menyimpan ikan' dalam bilik rawatan. Yang biasa ditemui ialah akuarium ikan diletakkan di luar (tempat menunggu pelanggan) bagi 'menghiburkan dan melekakan' anak-anak dan peminat ikan sebelum 'nama' mereka dipanggil ke kamar doktor.

Selain ikan dan berkebun, alam semula jadi menjadi sumber inspirasi doktor yang tidak lokek dengan senyuman ini, 'mencaj' dirinya. Mungkin itulah sebabnya doktor ini 'mesra alam', mudah didekati dan lembut pula tutur budi bicaranya.

Selain 'mencaj' dirinya dengan alam semula jadi, anak saudara tokoh wanita negara, Tan Sri Fatimah Hashim ini, tidak lupa memperkenalkan minat yang sama kepada anak-anak dan isterinya yang kini bergelar Dato' dan berjawatan pengarah kesihatan sebuah negeri.

Dr Abdul Halim berkata, sejak anak-anaknya masih kecil mereka diajar mengenal, menghayati dan memahami alam semula jadi. Antara aktiviti mereka lakukan sekeluarga ialah memanjat gunung dan memerhati burung (bird watching).

Apabila doktor yang kerap dilihat berbaju putih ini menjelaskan minatnya untuk memerhati burung dalam wawancara ini, terbayang di mata penulis lagak A R Tompel bersama teropongnya ke sana ke sini dalam filem 'Keluarga 69'. Selain burung, A R Tompel juga meneropong 'awek'.

Khayalan dan senyuman penulis segera terputus apabila terdengar Dr Abdul Halim bertanyakan anak penulis berusia 14 tahun yang turut serta dalam wawancara itu.

"Hah, awak kenal burung kunyit besar?" Budak lelaki itu menyatakan "tidak tahu", menyebabkan doktor lepasan Tanta (sebuah universiti di Mesir) itu 'menyambung ceramah mengenai hobi burungnya'.

Sebagai seorang bapa dan tokoh masyarakat, tentulah doktor yang dikurniakan enam anak ini tidak terlepas daripada membicarakan hal-hal berkaitan dunia pendidikan.

Rekod pencapaian anak-anaknya dalam pelajaran begitu membanggakan. Anak pertama, kini seorang doktor, mendapat 9A dalam SPM; manakala yang kedua, seorang peguam juga mendapat 9A dalam peperiksaan sama.

Anak ketiga dan keempat kini sedang belajar ilmu kedoktoran, seorang mendapat 9A dan manakala seorang lagi 8A dalam pemeriksaan SPM manakala anak kelima yang kini mengikuti pengajian A-Level, mendapat 10A dalam peperiksaan sama. Anak keenamnya kini berada dalam Tingakatan Dua sebuah sekolah terkenal di Melaka. (pencapaian ini dicatat beberapa tahun lalu)

(Berikut adalah petikan wawancara dengan Dr Abdul Halim yang menjadi calon Adun PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004 lalu.)

* Mengenai masa depan pendidikan generasi muda.
Saya cukup bimbang dengan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Sumber-sumber guru memberitahu saya 'standard' kertas PMR bagi Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris telah direndahkan. Ertinya ujian ini mudah dan kemungkinan ramai murid akan mencapai tahap tertinggi (A). Jika ini berlaku, pihak berkenaan dengan mudah akan mengisytiharkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sudah terbukti kejayaannya.

Saya bimbang akan kesannya sama ada dari segi jangka panjang atau pendek. Dari segi jangka pendek, ramai pelajar akan layak ke sekolah berasrama penuh. Dari segi jumlah pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi kemudiannya, mungkin ramai, tetapi dari segi mutu ia diragukan.

Contohnya ada. Misalnya mengapa ramai pelatih kolej kejururawatan gagal dalam kursus mereka. Berdasarkan keputusan peperiksaan SPM, mereka mempunyai kelayakan tetapi apabila mengikuti kursus yang banyak menekankan aspek teknikal dan amali yang kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris, ramai pelatih Melayu telah gagal.

Ini menunjukkan 'standard' pencapaian peperiksaan mereka, walaupun layak untuk mengikuti kursus, tidak begitu memuaskan untuk menghadapi cabaran pada peringkat lebih tinggi.

* Usaha ke arah kecemerlangan
Saya suka tekankan mengenai 'time management' (pengurusan masa). Setiap orang perlu bijak menguruskan masa masing-masing. Setiap orang mempunyai masa yang sama - 24 jam sehari. Di sini saya ingin menyentuh hal berkaitan pelajar kerana ia lebih mudah kerana saya juga mempunyai anak-anak.

Setiap pelajar perlu memperuntukkan masa yang cukup untuk belajar dan bermain selain keperluan asasi lain. Memperuntukkan masa semata-mata untuk belajar adalah silap.

Tidak ada orang yang boleh berjaya jika dia hidup dengan menghadap buku saja.
Kita juga perlu meluangkan masa melakukan kerja-kerja yang mengembirakan dan menjadi minat kita.

Saya tertarik dengan kata-kata seorang pujangga Inggeris, William Woodworth yang berbunyi: "What is life, if full of care, you don't have time to stand and stare." (Apa maknanya hidup jika ia penuh dengan pengawasan sehingga anda tiada masa untuk berdiri dan merenung diri).

* Kejayaan hakiki
Biasanya kejayaan dikaitkan dengan perolehan di atas kertas (peperiksaan), kerjaya, pangkat dan pemilikan material. Erti kejayaan pada kebanyakan orang ialah apa kerja kamu, apa pangkat kamu, berapa besar atau banyak rumah kamu dan apa jenis dan jumlah kereta kamu dan berapa banyak duit kamu. Ini suatu bentuk ukuran yang tidak tepat. 'Yardstick' ini tidak betul.

Di sini pentingnya pendidikan Islam secara total bagi mengerakkan kita melahirkan anak-anak yang bukan saja berjaya dalam bidang masing-masing tetapi juga sebagai insan bertakwa.

Jika kita melahirkan seorang jurutera, kita mahukan seorang jurutera bertakwa; jika melahirkan seorang doktor, kita mahukan seorang doktor yang bertakwa dan jika melahirkan seorang arkitek, kita mahukan seorang arkitek yang bertakwa.

Kita bukan saja mahu melahiran profesional bertakwa tetapi semua insan bertakwa.

Jika seseorang itu menjadi tukang sapu sekali pun, kita mahukan dia menjadi tukang sapu bertakwa. Jika dia seorang petani, dia petani yang bertakwa.

Dia bersyukur dengan rezekinya yang dikurniakan Allah dan tidak akan membikin kacau manakala orang kaya pula tahu kewajipannya terhadap orang miskin.

Dari sini barulah mudah terbentuk keluarga bahagia, seterusnya masyarakat bahagia, negara bahagia dan dunia yang bahagia.

'Wartawan, marilah kita bersama-sama ke bar!'

"Apa yang hanya boleh dipercayai jadual (waktu) solat dan keputusan nombor ekor," kata sahabat saya, seorang guru. Terkejut besar saya mendengar dakwaan ini, tetapi itulah diucapkannya sebagai menyatakan kurang senang dengan kandungan akhbar harian hari ini.

Seorang ustaz dalam ceramahnya pula berkata; "Daripada awak bazirkan masa baca 'paper', lebih baik awak baca al-Quran, dapat pahala. Kadang-kadang baca 'paper' ini mendatangkan dosa sebab banyak maksiat dalamnya."

Demikianlah tanggapan sesetengah orang terhadap akhbar arus perdana. Dari sehari ke sehari, semakin banyak orang hilang kepercayaan kepada akhbar arus perdana. Kini banyak pihak mengambil sikap 'baca boleh, percaya jangan'.

Mereka mencadangkan orang ramai tidak membeli akhbar berkenaan, sebaliknya membacanya melalui internet, atau susah sangat pergi ke perpustakaan atau baca di pejabat. Satu lagi cadangan, beli senaskhah akhbar dan kongsi beramai-ramai membacanya, atau baca saja di kedai mamak.

Kini ada gerakan, terutama membabitkan orang politik, mengambil tindakan drastik, memboikot akhbar arus perdana. Mereka kurang senang dengan laporan akhbar berkenaan yang dakwa mereka berat sebelah, malah wartawan dan editornya tidak mematuhi etika kewartawanan yang dituntut dalam bidang ini.

Pada artikel ini bukanlah hajat saya menulis mengenai etika kewartawanan, tetapi mengambil kesempatan melontar idea untuk dikongsi dan direnungi golongan bernama wartawan termasuk para editor.

Suatu hari di Hentian Puduraya, saya ketemui seorang kawan lama, wartawan (penyunting kanan) di syarikat akhbar yang pernah menjadi majikan saya. Selain akhbar sekarang, dia pernah bekerja puluhan tahun bersama syarikat akhbar Melayu yang mendakwa 'Akhbar Nombor Satu Negara'.

Dalam pertemuan itu saya nyatakan rasa kurang senang mengapa akhbar diterbitkan di tempat dia bekerja sekarang semakin galak menyiarkan gambar artis perempuan tidak senonoh (terkoyak sana, terkangkang sini, kerap membongkok untuk menunjukkan aset paling berharga manakala berkemban pula menjadi kemestian).

Saya tanya dia sebagai wartawan kanan yang sudah berkhidmat puluhan tahun, takkan dia sebagai orang alim dan abid (dulu saya selalu lihat dia ke surau), tak tegur 'budak-budak muda' sezaman saya dan dia yang kini dilantik editor. Takkan sesetengah editor bergelar Dato' ini tidak dapat menerima teguran jika apa dikatakan itu hakikat, untuk kebaikan mereka juga di dunia dan akhirat?

"Takkan kau tak cakap kat editor-editor tu kau tidak setuju dengan cara dia orang," kata saya.

Terperanjat saya apabila dia berkata: "Susahlah Sheikh (dia panggil saya Sheikh), soru punya pasal, susahlah aku mahu cakap itu macam. Lebih baik aku duduk diam-diam, tidak lama lagi aku pencen. Kan itu macam lebih selamat?"

Saya pun 'bantai' dia lagi: "Hoi, takkan kau nak biarkan depa buat pesta artis tiap-tiap tahun di Arena of Stars, Genting Highlands tu? Apa, kau nak biarkan budak Fasha (artis) tu terus tayangkan 'body'nya?" Sebenarnya saya pun (ter)tengok siaran langsung anugerah tahunan itu di mana Fasha pakai gaun yang menampakkan hampir keseluruhan belakang badannya. Dia ingat ini Hollywood ke?

Melihat dia membisu, saya pun terus hentam dia: "Duit keuntungan daripada bisnes inilah yang dia orang kumpulkan, kemudian bagi bonus kat kau orang. Lepas tu, kau bagi anak bini makan!"

Kawan saya itu cepat-cepat berkata; "Maaf Sheikh, bas aku sudah sampai agaknya." Dia pun dengan segera bergegas, meninggalkan saya begitu saja.

Seorang penulis blog (blogger), mendakwa betapa tidak bermaruah dan tiada harga diri dan pendirian editor dan pemberita pada hari ini. Kebanyakannya dengan mudah dapat dibeli oleh ketua pengarang apatah lagi pihak di luar sana.

Editor seolah-olah menjadi burung kakatua atau hamba sahaya kepada orang politik. Apa saja pemimpin politik katakan, mereka tulis tanpa fikirkan logiknya. Apabila orang politik menyatakan 'kenaikan ini tidak membebankan pengguna', mereka pun tulis perkara yang sama dalam akhbar mereka.

Apabila politikus berkata, majlis seperti Piala Monsun boleh menjadi menjadi medan dakwah atau menjana perkembangan ekonomi, mereka pun ulanginya dalam akhbar mereka.

Penulis blog berkenaan mendakwa, jika 'chief editor' berkata: "Mari kita ke Genting, raikan artis-artis", maka semua anak buahnya akan pergi. Satu pejabat akan pergi. Tidak ada yang membangkang. Semua sudah jadi 'yesman' - daripada wartawan pelatih, wartawan kadet, wartawan Gred D sehinggalah editor seksyen - semuanya tunduk, semuanya menuju ke Genting! Agak-agaknya budak pejabat pun pergi!

Sekalipun tahu majlis itu berunsur maksiat, tiada yang berani membantah. Semuanya diam sebab seperti kata penyunting kanan, sahabat lama saya yang ditemui di Puduraya - "nanti miss soru!". Editor seksyen agama bagaimana...pergi atau tidak ke Genting?

Sempena majlis di Genting, akhbar berkenaan baru-baru ini menyiarkan gambar barisan artis-artis perempuan yang tersenarai untuk menyertai pertandingan, di muka depannya.

Gambar besar warna-warni itu menunjukkan hampir semua artis berkemban. Maka terlondeh dan tersembullah benda sensitif yang patut disorokkan. Macam mana boleh terjadi begini?

Tidak adakah petugas akhbar bantah penyiaran gambar itu? Editor agama, bagaimana? Apakah anda juga diam saja? Pegawai agama, macam mana? Ada nasihat budak-budak muda bergelar Dato' yang dilantik pengarang-pengarang ini? Ada tak nasihatkan 'budak-budak' itu bahawa penyiaran keputusan nombor ekor adalah haram?

Dulu semasa saya bertugas di akhbar berkenaan, seorang editor kanan akhbar bahasa Inggeris milik syarikat kumpulan akhbar itu yang terletak bersebelahan pejabat kami, gemar mengungkapkan kata-kata ini setiap kali selesai melakukan kerja: "Let's go to the bar!"

Jadi kalau beginilah sikap wartawan hari ini termasuk editornya yang sudah kering hati, sudah tiada hati untuk membantah perkara-perkara maksiat, apalah salah menerima ajakan editor itu - MARILAH KITA BERSAMA-SAMA KE BAR!

Friday, October 17, 2008

Pihak berkuasa; tolonglah, Hentian Puduraya sudah nazak!

Kini Kuala Lumpur dikuasai Pakatan Rakyat. Ini kerana 10 daripada 11 ahli Parlimennya terdiri daripada gabungan parti yang disertai KeADILan, DAP dan PAS. Hanya sebuah saja Parlimen dikuasai BN iaitu Setiawangsa melalui wakilnya Zulhasnan Rafique.

Sekalipun Pakatan Rakyat menang besar di Kuala Lumpur, kuasa dan wang masih di tangan kerajaan dan pemimpin BN. Zulhasnan masih Menteri Wilayah Persekutuan, malah mempunyai seorang timbalan. Kedudukan Datuk Bandar, Ab Hakim Borhan juga tidak berubah.

Jadi Zulhasnan dan Ab Hakim adalah tokoh selayaknya diberikan warkah ini. Namun begitu, jika wakil rakyat Pakatan Rakyat dapat menyokong untuk mengukuh atau mengutarakan permasalahan ini, ia dikira satu kemajuan juga demi kepentingan rakyat terbanyak - orang awam.

Masalahnya adalah berkenaan Hentian Puduraya. Disebabkan hampir setiap hari penulis menaiki bas di Puduraya, jadi penulis sudah masak akan permasalahannya. Stesen bas yang dirasmikan oleh Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn pada 2 Oktober 1976 itu, sudah terlalu nazak, tidak mampu lagi menampung kepesatan pembangunan pengangkutan awam masa kini.

Dilaporkan sebanyak 90 syarikat bas beroperasi di sini di samping perkhidmatan teksi ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air. Ada antara syarikat bas ini seperti Transnasional dan Durian Burong sudah mengorak langkah ke depan termasuk menyediakan perkhidmatan bas dua tingkat.

Bahagian bawah Hentian Puduraya tidak dapat dimasuki bas-bas ini, jadi terpaksalah diletakkan di tepi-tepi jalan bersebelahan hentian. Ini menyebabkan laluan menjadi sempit, mengakibatkan kesesakan amat teruk. Berdasarkan hujah ini saja (kemajuan dalam bidang pengangkutan awam), Puduraya tidak sesuai lagi sebagai hentian bas utama ibu kota yang sering didakwa bertaraf antarabangsa itu.

Kedua, laluan masuk bas ke bahagian bawah (tempat mengambil dan menurunkan penumpang) adalah selorong saja. Jadi pada kebanyakan masa, bas-bas berbaris panjang, kadang-kadang sampai sekilometer jauhnya dari Puduraya. Bagi pemandu bas tentulah keadaan ini mengazabkan selain menghabiskan masa. Bagi penumpang yang baru sampai, mereka terpaksa turun dan kadang-kadang berjalan sekilometer jauhnya untuk ke hentian.

Bahagian bawah yang menempatkan bas, selain begitu sempit bagi pemandu memasukkan bas (terbanyak banyak tanda-tanda tiang dilanggar), keadaan di situ begitu tercemar dengan asap dan kotoran lain. Hanya mereka yang mengalaminya dapat merasakan azabnya sedangkan menteri dan pegawai tinggi yang sesekali membuat tinjauan di Puduraya tidak merasakannya.

Banyak lagi kedaifan Puduraya, yang jika ditulis, akan berjela-jela panjangnya. Penulis tidak berminat melanjutkannya sebaliknya mengundang wakil rakyat atau menteri menjadi penumpang bas (tanpa diiringi pengawal) bagi merasai sendiri suasana berada di Puduraya.

Cuma penulis mahu menarik perhatian wakil rakyat dan menteri mengapa sehingga kini Plaza Rakyat di sebelah Hentian Puduraya yang diuar-uarkan sebagai hab pengangkutan moden tidak siap-siap sekalipun sudah lebih sedekad dibangunkan.

Kuala Lumpur kini sudah dikuasai Pakatan Rakyat, malah negeri jirannya (Selangor) sudah berkerajaan baru (Pakatan Rakyat), tetapi Plaza Rakyat tidak siap 'dulu, kini dan selama-lamanya'. Tidak lama dulu, Zulhasnan (Menteri Wilayah Persekutuan) ketika ditanya bila Plaza Rakyat akan disiapkan, dengan yakin menyatakan tahun 2007. Kini bukan saja tidak siap, struktur asasnya pun terbiar begitu saja.

Sudah 10 tahun penulis berulang-alik antara Hentian Puduraya dan Plaza Rakyat (hanya stesen LRT yang boleh digunakan), keadaannya tetap sama, melalui susur gajah sementara yang dari sehari ke sehari semakin uzur. Dinding dan bumbung susur gajah sudah menghitam dan apabila melalui kawasan pembuangan sampah, keadaan begitu meloyakan.

Dari platform stesen LRT, boleh dilihat dengan jelas kehodohan Plaza Rakyat yang dijanjikan untuk keselesaan rakyat itu. Struktur asasnya sudah hitam, kren berkarat, besi-besi yang juga berkarat bergelimpangan, manakala kawasan terbuka menjadi lompang menakung air, mungkin menampung ribuan nyamuk. Mungkin inilah nyamuk yang menyebarkan pelbagai penyakit termasuk denggi di ibu kota!

Ohh, alangkah sedihnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung semua ini. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun lamanya atau mungkin sepanjang hayat. Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, penulis merayu orang besar dan berkuasa, tolonglah rakyat awam kerana merekalah yang telah meletakkan anda ke kedudukan sekarang.

Antara perkara perlu disegerakan - fikir, rancang dan usahakan bagaimana bas-bas boleh memasuki bahagian bawah Hentian Puduraya dengan selesa dan cepat. Memanglah selama ini kerja gila dilakukan - bas-bas yang banyak itu (ingat ada 90 syarikat bas beroperasi di Puduraya) semuanya terpaksa melalui genting (bottle neck) yang dapat dilalui sebuah bas saja!

Orang tidak sekolah tinggi pun tahu, jika ada satu lorong saja untuk bas memasuki bahagian bawah Hentian Puduraya, keadaan akan menjadi kelam-kabut setiap hari. Jadi kepada pakar-pakar bangunan dan bandar, buatlah sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini buat sementara waktu sebelum sebuah perhentian baru dapat disiapkan.

Jika masalah ini dapat dilakukan, tidaklah ada kalanya penulis terpaksa menaiki bas yang dijadualkan berlepas 6 petang pada 8 malam, insya-Allah.

Thursday, October 16, 2008

Selamat tinggal 'sebahagian Melayuku'

"HOI tak malu, pakai kereta Umno buat!" jerit sekumpulan ahli Puteri Umno ketika sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki petugas PAS melepasi mereka pada hari pengundian tidak lama dulu.

Saya yang berdiri di belakang mereka, kebingungan dengan 'cara berkempen' itu. Jika ini mahu dijadikan ukuran tahap pemikiran dan 'budaya' anak-anak muda kita, alangkah malangnya bangsaku, bangsa Melayu.

Hari ini 'Melayu' menjadi tumpuan hebat daripada pemimpin tertinggi negara sampailah kepada anak-anak di bangku sekolah.

Macam-macam isu diketengahkan, antaranya 'ketuanan Melayu'. 'dilema baru Melayu' (new Malay dilemma), 'Melayu malas', 'pemikiran Melayu tidak berubah','Melayu mudah lupa' dan penggunaan bahasa Inggeris bagi menggantikan bahasa Melayu dalam pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.

Sesudah negara merdeka lebih setengah abad, adalah manfaat untuk kita muhasabah (mengkoreksi) diri sama ada Melayu mengalami perubahan atau tidak.

Saya tertarik dengan kebimbangan seorang menteri kononnya Melayu kini menghadapi kemungkinan hilang identiti.

Katanya, perkara ini terjadi jika masyarakat Melayu berterusan hilang amalan budayanya disebabkan oleh pengaruh luar.

Beliau berkata sebahagian budaya Melayu tidak lagi diamalkan disebabkan paksaan menunaikan ajaran agama tanpa asas dan penggunaan bahasa Inggeris serta perdagangan antarabangsa.

"Apabila orang Melayu tidak lagi bercakap bahasa Melayu, tidak mengikuti ajaran Islam dan tidak mempamerkan budaya Melayu, mereka tidak lagi memenuhi kehendak Artikel 160 (Perlembagaan Persekutuan) yang memperincikan seseorang Melayu," katanya.

Artikel 160(2) menyatakan seseorang Melayu sebagai menganut ajaran Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu.

"Jika Melayu kehilangan jati diri, mereka tidak lagi termaktub di bawah Perlembagaan itu," katanya.

Berhubung ajaran agama dalam isu membabitkan budaya, beliau mendakwa ada pihak tidak menggalakkan permainan wayang kulit kerana ia tidak Islamik.

Dari segi budaya, orang Melayu sebenarnya sudah banyak berubah. Saya akan menceritakan pengalaman saya bagi membuktikan orang Melayu sudah banyak berubah ke arah kebaikan sekali gus meninggalkan budaya lapuk.

Ia diharap dapat melenyapkan pandangan kononnya orang Melayu perlu mengekalkan budaya mereka terutama yang bersangkut-paut perkara karut-marut.

Waktu saya kecil dulu (tahun 60-an), antara budaya orang Melayu negeri saya ialah 'pesta mandi tolak bala' yang diadakan di Tanjung Kling pada bulan Safar. Ia juga diadakan di tempat lain seperti Bukit Gedung.

Sebelum pesta bermula, berderet-deretlah kereta lembu dihias indah memenuhi jalan raya menuju Tanjung Kling. Bunyi gendang dan gong sudah cukup membuatkan saya teringin ikut sama.

Di Tanjung Kling, pelbagai acara diadakan. Lelaki perempuan bebas bergaul manakala joget lambak dan dondang sayang menjadi tumpuan.

Sambutan Maulidurrasul juga saya nantikan. Pada perayaan ini, diadakan perarakan 'kapal berhias' (yang dipenuhi bunga telur dan manggar) sepanjang jalan menuju masjid.

Kapal berhias tercantik mendapat hadiah manakala saat ditunggu kanak-kanak seperti saya adalah berebut mendapatkan bunga telur.

Pada majlis perkahwinan orang Melayu, amalan bersanding menjadi kemestian.

Sebelum 'hari berlangsung', ada hari berinai kecil, berinai besar dan sebagainya. Kecantikan (aurat) perempuan didedahkan kepada tetamu.

Pada malam hari 'berlangsung' dan 'bertandang' diadakan joget lambak.

Sesetengah penduduk di negeri saya memanggilnya 'cak kun cak'. Perempuan dan lelaki pun terkinja-kinja di laman rumah.

Mereka berjoget dan terus berjoget sehingga awal pagi. Pengantin yang 'sporting' turut berjoget.

Saya yang ketika itu masih 'berhingus', terlopong mulut memerhatikan gelagat itu. Suatu ketika, saya saksikan pergaduhan.

Seorang lelaki yang pasangan jogetnya diusik lelaki lain, bertindak menumbuk lelaki berkenaan, seterusnya berlakulah pergaduhan sehingga ke jalan raya.

Apabila orang suruh balik, saya pun balik, tetapi sempat juga mendengar siren kereta polis.

Meniti zaman kanak-kanak, saya sempat melalui pengalaman dirawat bomoh. Jika demam, selain klinik luar (out door - orang kampung saya panggil Odo), bomoh juga dipanggil.

Bomoh menyembur air sirih ke muka dan tubuh manakala tandan pinang muda dilalukan di badan pesakit untuk menghilangkan gangguan.

Saya juga difahamkan ada orang melepaskan ancak di sungai dan laut. Macam-macam benda diletakkan di atas 'perahu kecil' seperti pulut kuning, telur dan ayam golek untuk makanan penunggu. Di tepi busut pun ada orang letakkan benda-benda ini.

Memikirkan kenangan ini, menginsafkan bahawa bangsaku sudah banyak berubah. Kebanyakan orang Melayu sudah menolak budaya sia-sia ini.

Hakikatnya perubahan ini bukan berlaku dalam masa singkat tetapi membabitkan beberapa generasi.

Seorang ustaz di surau kampung saya memberitahu perubahan masyarakat Melayu ini adalah atas daya usaha guru-guru agama yang tidak mengenal erti jemu dalam berdakwah.

Hari ini, kata ustaz itu, jika seseorang tuan rumah mahu buat majlis joget lambak atau kugiran pada malam perkahwinan, imam-iman dan pegawai syarak tidak akan menikahkan anak mereka.

Usaha menghapuskan budaya kurafat bangsa Melayu berjalan terus. Malangnya hari ini ada pihak mahu mempertahankannya dengan alasan ia sebahagian budaya dan adat resam bangsa Melayu.

Contoh jelas adalah perarakan burung petalawati di Kelantan tidak lama dulu dan adat bersanding, menepung tawar dan teater serta nyanyian puja semangat seperti Puteri Santubong atau Puteri Ulik Mayang.

Sesetengah kesenian Melayu ditolak kerana ia membabitkan percampuran lelaki perempuan serta mendedahkan aurat seperti mak yong, rodat dan menora serta wayang kulit.

Saya amat bersyukur kerana banyak daripada budaya dan adat resam Melayu yang menyeleweng daripada ajaran Islam sudah terkubur.

Saya tidak kesal untuk mengucapkan 'selamat tinggal' kepada budaya Melayu ini. Tiada sebab untuk kita mempertahankannya atas alasan tidak mahu budaya dan adat resam Melayu pupus!