Thursday, August 28, 2008

Pengamal media perlu patuhi hukum-hakam agama

Tanggal 3 Mei setiap tahun wartawan menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Di negara kita, wartawan menyambutnya dengan mengadakan pelbagai forum, seminar dan pertemuan.

Sekalipun pertubuhan media sedunia, 'Freedom House' tidak lama dulu, meletakkan Malaysia pada kedudukan 154 daripada 193 negara dalam indeks kebebasan media, ia adalah daripada perspektif Barat yang mungkin tidak sesuai dijadikan kayu pengukur bagi 'Malaysia sebagai sebuah negara Islam'.

Di rantau Asia Pasifik, indeks kebebasan media Malaysia dilaporkan pada kedudukan 32 daripada 39 negara - baik sedikit daripada tujuh negara lain iaitu Afghanistan, Brunei, China, Laos, Vietnam, Myanmar dan Korea Utara.

Badan pemantau antarabangsa, Reporters Without Borders (RWS) atau Wartawan Tanpa Sempadan yang beribu pejabat di Paris, Perancis dalam laporan tahunan 2003, pula meletakkan Malaysia di tempat ke-104 daripada 166 negara, yakni lebih rendah daripada Thailand (tempat ke-82) tetapi lebih tinggi daripada Indonesia (tempat ke-110) atau Filipina di tempat ke-118.

Kedudukan itu lebih baik berbanding 2002 yang menyaksikan Malaysia di tempat ke-110 di kalangan 139 negara, jauh lebih rendah daripada Indonesia (tempat ke-57), Thailand (tempat ke-65) dan Filipina.

Sekalipun kita menyokong usaha untuk meleraikan kekangan terhadap media kerana wujudnya pelbagai sekatan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kita berpendapat media di Malaysia seolah-olah sudah terlupa tanggungjawab sosialnya.

Apa dimaksudkan dengan tanggungjawab sosial ini adalah dalam memenuhi keperluan untuk mendidik rakyat terutama generasi muda dalam konteks 'sebuah negara Islam' yang dilaung-laungkan itu.

Di sinilah terletaknya kekesalan kita yang amat sangat. Pada ketika kebebasan media Malaysia berada pada tahap terendah mengikut piawai antarabangsa, pada waktu yang sama juga sesetengah media negara menyemaikan budaya negatif yang menyumbang kepada kerosakan anak bangsa.

Dunia media massa Malaysia hari ini terlalu mementingkan laba sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembina masa depan generasi muda. Daripada media elektronik sehingga media cetak, semuanya berlumba-lumba mendapatkan pelanggan sebanyak mungkin seterusnya mengaut keuntungan berlipat ganda.

Bagi media cetak pula, daripada akhbar nasional (arus perdana) sehingga akhbar dan majalah picisan, kebanyakannya menyiar gambar dan cerita murahan yang diharap dapat 'menggoda' pembaca.

Bayangkan dengan hanya beberapa akhbar mingguan nasional berbahasa Melayu, pihak ini bersaing hebat untuk menyiarkan gambar-gambar artis separuh bogel untuk tatapan seisi keluarga pada hujung minggu.

Artis-artis terbabit orang Islam manakala negara ini pula sudah diisytiharkan sebagai negara Islam, malah negara Islam contoh pula!

Akhbar-akhbar nasional ini juga berbangga menyiarkan keputusan judi (empat nombor ekor) sedangkan pada ruangan lain disiarkan pula segmen agama yang kadang-kadang terdapat rencana yang membicarakan kebinasaan terhadap orang yang bersubahat melakukan maksiat itu.

Majalah-majalah separuh lucah semakin banyak memenuhi gerai-gerai terbuka. Tiada halangan untuk budak-budak sekolah mendapatkannya. Bagi majalah wanita dan hiburan pula, adalah menjadi kebiasaan untuk mereka menggunakan gambar penghias muka depan yang menggoda.

Selain majalah separuh lucah, akhbar dan majalah berbahasa Melayu juga sarat dengan kisah berunsur tahyul dan misteri. Kunjungilah gerai-gerai akhbar, kita akan berpeluang menatap akhbar dan majalah dengan tajuk muka depan seperti 'Misteri Kubur Berasap' atau 'Pasangan Zina Melekat'.

Bagi pengamal media elektronik seperti TV pula, selain rancangan yang semakin 'daring', disiarkan juga iklan yang mungkin boleh membuatkan 'datuk nenek' kita pengsan.

Misalnya, sedang kita sekeluarga menikmati sebuah drama Melayu jam 12.30 tengah hari, tiba-tiba disiarkan sebuah iklan krim membesar dan menegangkan payu dara. Maka terkeluarlah istilah seperti 'menonjol' yang membuatkan kita tersipu-sipu di depan anak-anak.

Berhubung hal inilah, kita tertanya-tanya di mana letaknya fungsi kementerian-kementerian yang bersangkutan terutama KDN dalam merealisasikan kehidupan yang syumul di 'sebuah negara Islam'. Apakah 'negara Islam' yang diuarkan-uarkan itu hanya sebagai penyedap mulut saja sedangkan realitinya jauh panggang dari api?

Apabila maksiat menjadi-jadi kita hilang punca. Kes penderaan, rogol, bunuh tidak dapat dibendung menyebabkan masyarakat menyalahkan satu sama lain. Pemimpin mencadangkan itu dan ini, tetapi ternyata semuanya menemui jalan buntu.

Berhubung hal ini kita lihat betapa penyakit yang menimpa masyarakat tidak dirawat dan diberikan ubat yang betul. Jika kaki kiri yang busuk akibat penyakit kencing manis, mengapa pula dipotong kaki kanan. Jika mahu mengubati sesuatu penyakit, carilah puncanya.

Demikian juga penyakit masyarakat yang melanda kita. Kaedah rawatan perlu ditangani daripada akar umbi. Di sinilah kita berpendapat pengamal media amat penting peranan mereka.

Jika pengamal media tahu dan patuh kepada hukum-hakam agama manakala kerajaan bersedia menjalankan pentadbiran dan undang-undang berdasarkan al-Quran (bukankah 'negara ini sebuah negara Islam!'), kita optimis masyarakat kita dapat diselamatkan. Allahuakbar.

No comments: