Thursday, August 28, 2008

Mendaulatkan hukum-hakam Islam tanggungjawab setiap Muslim

Setiap Muslim wajib mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam. Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti, demikian beritahu seorang tuan guru dalam kelas tafsir al-Quran mingguan yang penulis ikuti baru-baru ini.

Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi. Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan begitulah seterusnya. Selain usaha, doa amat penting, demikian beritahu Tuan Guru.

"Marilah kita berdoa semoga pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam. Bukankah beliau daripada keturunan baik-baik dan datuknya seorang ulama?" kata Tuan Guru.

Tuan Guru amat bimbangkan masa depan umat Islam negara ini kerana pemimpin terdahulu sudah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. Malangnya perisytiharan itu tidak disertai dengan pelaksanakan hukum-hakam Islam.

Kes ini berat, kata Tuan Guru. Apabila seorang itu bercakap mengenai perkara yang tidak dibuatnya, amat dibimbangi Allah akan menjatuhkan hukuman ke atasnya di dunia lagi. Sama seperti mengatakan negara ini negara Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran.

Tuan Guru sedih kerana ada pemimpin kerajaan yang berani mengumpulkan imam-imam dan pegawai masjid dan kemudian meminta mereka memberikan pandangan bagaimana hendak menangani jenayah rogol, bunuh, zina dan sebagainya yang semakin menjadi-jadi.

Kata Tuan Guru adalah berdosa untuk memberi pandangan sebab jalan penyelesaian sudah ada dalam al-Quran. Panduannya sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan keluar? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.

Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara tanpa bicara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.

Sudah lama Umno/BN mentadbir negara. Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam, buatlah sekarang sebab parti berkenaan sudah diberi kepercayaan besar oleh rakyat. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa.
Ini kerana sudah lebih 50 tahun Umno menguasai kerajaan. Kalau dalam tempoh selama itu tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi...500 tahun?

Kita berani katakan Islam di Malaysia adalah Islam yang ditadbir dan bukan Islam yang mentadbir sebab anak-anak sekolah juga diajar perkara ini.

Misalnya dalam subjek Kenegaraan Malaysia dalam Pengajian Am 1 Peringkat STPM, antara lain pelajar diajar bagaimanakah agama Islam ditadbirkan di Malaysia.
1. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam terletak di bawah kuasa negeri.
2. Setiap negeri menggubal Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing.
3. Setiap negeri juga membentuk Majlis Agama Islam yang mengandungi tokoh-tokoh Islam dan bertindak sebagai badan perundangan Islam yang sebenar di negeri itu.

4. Tugas utama Majlis Agama Islam termasuk:
a) Membuat peraturan-peraturan mengenai agama Islam.
b) Mengeluarkan fatwa.
c) Mentadbir masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama.
d) Mengutip zakat, fitrah dan bayaran yang lain yang diwajibkan bagi orang Islam.
e) Mengurus wakaf.

5. Di samping itu sebuah Jabatan Agama Islam yang mengandungi pegawai-pegawai kerajaan juga dibentuk untuk membantu Majlis Agama Islam menjalankan tugasnya.
Perlembagaan Persekutuan juga mengehadkan pemakaian undang-undang Islam.

1. Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran agama Islam termasuk Mahkamah Syariah bagi negeri yang berkenaan.

2. Bagaimanapun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa atas umat Islam dan mengenai pengamalan ajaran Islam setakat ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.

3. Dengan itu Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah pada paras menjatuhi penjara sehingga tiga tahun, hukuman denda sehingga RM5,000 dan hukum sebat sehingga enam rotan.

4. Mengikut suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Bawahan tidak mempunyai kuasa kehakiman ke atas perkara-perkara yang telah menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

5. Undang-undang HUDUD tidak diamalkan di Malaysia.
Dinyatakan juga bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad.
1. Bidang kuasa sivil meliputi:
a) Perkahwinan.
b) Penceraian.
c) Nafkah anak dan isteri.
d) Pewarisan harta.
2. Bidang kuasa jenayah meliputi:
a) Kesalahan matrimoni seperti tidak taat kepada suami.
b) Kesalahan hubungan seks seperti persetubuhan haram, berkhalwat dan pelacuran.
c) Kesalahan minuman keras seperti menjual dan meminum arak.
d) Kesalahan keimanan seperti tidak solat Jumaat, tidak berpuasa atau tidak membayar zakat.
e) Kesalahan pertukaran agama seperti tidak mendaftarkan masuk atau keluarnya daripada Islam.
f) Kesalahan berhubungan dengan perjudian.

Fakta-fakta ini jelas sekali menunjukkan bahawa Islam di Malaysia adalah Islam diperintah dan bukan Islam yang memerintah. Di sinilah terletak kesedihan kita yang amat sangat kerana hukum-hakam Islam belum lagi didaulatkan di bumi Malaysia.
Sehubungan itu, sejajar dengan ajakan Tuan Guru, marilah bersama-sama kita berdoa semoga pembesar dan pemimpin negara kita akan terbuka hati mereka untuk mendaulatkan hukum-hakam Allah.

Jika sejarah telah membuktikan apabila Raja-Raja Melayu memeluk Islam, rakyat akan berbondong-bondong mengikutinya, maka hari ini diharapkan apabila pembesar dan pemimpin negara terbuka hati untuk mendaulatkan hukum-hakam Islam, insya-Allah seluruh negara akan mengikuti dan insya-Allah rahmat Allah akan menyirami bumi bertuah ini! Amin...Ya Rabbal Alamin.

No comments: