Monday, January 17, 2011

Mengharapkan pelancongan Islamik di Langkawi

Posted on 17th JAN 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Panjang umur, pendek akalnya

1. Ali r.a. berkata, "Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Akan datang kaum akhir zaman panjang umur tetapi sedikit akal. Mereka membicarakan tentang kebaikan hanya sebatas kerongkongan dan keluar daripada agama bagai panah meluncur dari busarnya'."

2. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pada malam diisrakkan ke langit aku melihat bibir para lelaki dipotong dengan gunting daripada neraka. Aku bertanya, 'Siapakah mereka wahai Jibril?' 'Mereka ialah alim ulama yang memerintahkan kebaikan kepada manusia tetapi melupakan dirinya sendiri'." (Petikan majalah HIDAYAH Jan 2011)
***

SELEPAS kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Pas menerajui Kedah berikutan kejayaannya pada pilihan raya umum 2008, dipercayai pihak berkenaan sudah memulakan daya usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan.

Tentunya dalam amalan membabitkan cara hidup pihak awam, cabarannya besar, namun ia perlu diteruskan kerana dakwah Islam tidak terlalu menekankan hasilnya tetapi kesungguhan dan istikamah sesuatu usaha itu. Sebagai contoh, dalam dakwahnya, Nabi Muhammad s.a.w. sudah berusaha keras mengislamkan Abu Talib tetapi sehingga akhir hayatnya bapa saudara dikasihinya itu tetap dalam kafir. Nabi boleh berdakwah, tetapi memberi hidayah adalah Allah SWT.

Sebagai pengunjung ke Langkawi pada musim cuti sekolah Disember lalu, penulis mempunyai beberapa cadangan bagi membantu memantapkan industri pelancongan pulau legenda Mahsuri ini ke arah menepati kehendak Islam agar dapat memberi kejayaan dunia dan akhirat kepada semua pihak termasuklah penduduk Langkawi sendiri. Kejayaan dunia dan akhirat inilah yang kita kehendaki sejajar dengan penghulu doa ‘Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar’ yang bermaksud “ya Allah berikan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkan kami daripada api neraka.”

Antara tempat penulis kunjungi adalah Pulau dan Tasik Dayang Bunting. Memang sungguh indah pulau dan tasik ini. Namun di pinggir tasik ini yang dijadikan tempat mandian, penulis dapati pelancong lelaki dan perempuan mandi di tempat (kawasan air dikepung) yang sama. Pemandangan adalah kurang mengenakkan; faham-fahamlah jika perempuan sudah bayah kuyup sekalipun berpakaian seluar dan kemeja-T berlengan panjang dan bertudung, maka terbonjollah sana sini.

Amat malang jika perempuan-lelaki bebas bersama dengan berpakaian begitu. Jika Dayang Bunting masih hidup, pasti dia terkedu melihat pencemaran itu. Oleh itu penulis mencadangkan agar pihak berkuasa membuat tempat mandian berasingan untuk lelaki dan wanita.

Penulis percaya hal ini tidak memerlukan pengubah-suaian dan kos yang banyak; memadailah di pasang pemidang dengan bilik persalinan berasingan lelaki-perempuan. Pasti kerajaan Pakatan Kedah yang diterajui Pas tidak menghadapi masalah mengeluarkan arahan ini. Apabila pengasingan ini dilakukan, suasana akan lebih sopan dan harmoni, Dayang Bunting pasti tersenyum melihatnya!

Di Pantai Cenang, penulis melihat beberapa Mat Salih berseluar katuk manakala Minah Salih menutup tubuh dengan secebis kain di dada dan kemaluan saja. Terseksa juga jiwa terpandangkan bonjolan dan lipatan pada daging mereka. Ya Allah, Kau ampunilah dosa hamba-Mu ini yang tersilap pandang di Pantai Cenang.

Seorang penduduk asal Langkawi yang penulis temui di Kampung Kelibang, Pak Lah Salleh berkata ada penduduk prihatin pernah memasang papan tanda di pantai-pantai Langkawi meminta pengunjung agar bersopan sedikit dalam berpakaian, tetapi kebanyakan papan-papan tanda itu ditumbangkan oleh pihak tertentu.

Kata Pak Lah, akhirnya penduduk setempat menjadi lali dengan pemandangan itu dan inilah antara perkara yang membimbangkan insan prihatin sepertinya kerana keadaan itu mengundang pelbagai masalah sosial kepada penduduk.

Beliau juga bimbang dengan penjualan minuman keras dalam tin oleh segelintir pekedai Melayu. “Disebabkan harga minuman dalam tin ini murah, dikhuatiri remaja dan anak muda Melayu turut membelinya bagi tujuan berseronok-seronok yang akhirnya menyebabkan bermacam-macam kejahatan lain,” katanya.

Pak Lah mendakwa tidak banyak perubahan berlaku berkaitan bab mendedahkan aurat secara keterlaluan dan penjualan minuman keras ini ketika Umno-BN memerintah Kedah dan sekarang ini apabila Pas-Pakatan berkuasa. Beliau berharap kerajaan sekarang dapat berusaha lebih keras membendung perkara kurang menyenangkan ini.

Berdasarkan pengamatan, penulis berpendapat masjid-masjid di Langkawi juga boleh dipertingkatkan peranan dalam memperhebatkan pelancongan Islamik di pulau legenda ini. Alangkah eloknya pakej-pakej pelancongan memasukkan kunjungan ke masjid-masjid sebagai atur acaranya sama seperti kemestian menziarahi Makam Mahsuri dan juga melawat pusat memproses minyak gamat.

Penulis percaya hal ini jarang dilakukan kerana didapati masjid-masjid kelihatan kurang bermaya ketika solat waktu termasuk pada siang hari. Jemaahnya tidak sampai satu saf; jadi alangkah eloknya jika rombongan pelancong dapat ditarbiyah melalui kunjungan ke masjid pada masa tertentu bagi menunaikan solat jamak dan qasar. Bagi yang bukan Islam pula, kunjungan ke masjid, akan dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap agama rasmi negara ini.

Kebanyakan pelancong ke Langkawi dari tanah besar Semenanjung menggunakan perkhidmatan feri sama ada di Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Penulis percaya dengan berkuasanya kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Pas di Kedah mampu mewujudkan suasana Islamik bagi penumpang feri di Kuala Kedah.

Alangkah eloknya jika sebelum feri memulakan perjalanan ada taklimat perjalanan oleh petugas, kemudian diikuti pembacaan doa menaiki kenderaan dan keselamatan agar dilindungi dan diberkati Allah SWT.

Namun apa yang penulis perhatikan pada perjalanan pergi dan balik pada bulan Disember 2010 itu, penumpang disajikan bunyi bising tayangan video filem ‘Jangan Pandang Belakang, Congkak’ yang ceritanya merapu yang penuh dengan unsur bertentangan dengan nilai agama.
Sesetengah pelancong mengharapkan perjalanan mereka menjadi ibadat lantas diganjari oleh Allah SWT tetapi apabila berada dalam suasana begitu, dikhuatiri mereka berada dalam kemurkaan Yang Maha Berkuasa sedangkan Dia boleh menghukumkan dengan menenggelamkan feri pada bila-bila masa saja.

Demikianlah, penulis memohon pengharapan agar kerajaan PAS Kedah dapat berusaha bagi membuka jalan bagi industri pelancongan Islamik di negeri itu, khasnya di Langkawi. Alangkah bagusnya, jika bersuka ria dalam melancong pun kita dapat, ganjaran istimewa daripada Allah SWT pun kita dapat sejajar dengan doa ‘Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar’.

2 comments:

mr edz said...

hehehe.. kat pantai tu rasa macam kat negara omputih

joe penang said...

Payah nak cadang idea pd Ust Azizan. Carilah org yg boleh nasihat dia.
Ramai org pas kedah x puas hati kat dia. Proses islamisasi di Kedah lambat wp pas yg perintah
Wallahua'lam