Monday, January 3, 2011

Perangai Yahudi berleluasa dalam media massa?

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun dan Dia memberikan kepadamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur." (Surah an-Nahl, ayat 78)
***

Kita terpanggil untuk memuzakarahkan hal ehwal media massa tanah air berdasarkan peristiwa mutakhir ini di mana pihak ini berkecenderungan menyiarkan laporan mengikut kepentingan dan nafsu masing-masing.

Satu contoh sangat jelas bagaimana media ini sangat ‘bias’ (berat sebelah) dalam laporan masing-masing adalah berhubung pendedahkan WikiLeaks mengenai pemimpin negara ini. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ‘ditelanjangi’ habis-habisan tetapi hal membabitkan Perdana Menteri, Najib Razak tidak disebut langsung. Kita faham media mempunyai alasan dan kepentingan masing-masing tetapi janganlah bertindak keterlaluan dalam membodoh-bodohkan rakyat.

Sikap memilih-milih dalam pemberitaan ini mengingatkan kita kepada tafsiran al-Quran mengenai perangai orang Yahudi yang bertindak mendedahkan sebahagian kandungan kitab Taurat dan menyembunyikan sebahagian yang lain. Dalam Ayat 85 Surah Al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang maksudnya; “…Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.”

Dalam menangani pendedahan WikiLeaks sewajarnya orang beriman berpandukan al-Quran; pada Ayat 6 Surah Al-Hujurat Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

Tetapi lihatlah, apa yang dilakukan oleh media ini? Apakah pendedahan berdasarkan risikan diplomat asing mahu dipercayai tanpa sebarang penelitian dan siasatan dan kemudian bertindak lebih gampang seolah-olah Ketua Pembangkang itu sudah didapati bersalah dan perlu dihukum? Namun dalam hal membabitkan Perdana Menteri mengapa menikus saja? Sewajarnya dalam kedua-dua kes, sebarang pihak termasuk media perlu membuat pemeriksaan dengan amat teliti, tidak terburu nafsu dan sesuka hati mencanangkan apa didakwa keburukan pihak lain.

Dalam hal menghadapi fitnah si fasik pembawa berita ini (WikiLeaks), kita mengkagumi reaksi bersahaja Presiden Iran, Ahmedinejad yang walaupun negaranya diapi-apikan dengan pendedahan risikan Amerika kononnya Raja Arab Saudi, Abdullah mendesak kehancuran Iran, menganggap ia usaha jahat bertujuan memusnahkan hubungan baik kedua-dua negara.

Demikianlah sewajarnya tindakan orang beriman, berhati-hati dalam sebarang tindakan, tetapi nampaknya peneraju media massa ini tidak peduli semua itu, yang penting tokoh yang disasarkan, ditamatkan riwayatnya secepat mungkin. Mungkinkah disebabkan terlalu tebal fahaman asabiyah, dendam dan kejahatannya, pihak ini sudah tertutup rapat hatinya atau hatinya sudah menjadi batu, tidak dapat lagi menilai kebenaran dan kebatilan.

Disebabkan hati sudah gelap, itulah sebabnya pihak ini berterusan memperkosa dunia media massa dengan penghasilan akhbar dan majalah yang penuh dengan bahan maksiat; jengoklah kandungan bahan penerbitannya – dedah dan lucah – menjadi kebangaan puak ini untuk mencari sesuap nasi bagi diberi makan kepada anak isteri. Mereka juga tidak peka, halal haram hasil perolehan sehingga menjadi pak sanggup menyiarkan keputusan judi (empat nombor ekor) saban minggu semata-mata bagi meraih sedikit habuan dunia.

Anehnya pada masa yang sama puak-puak ini mendakwa merekalah pejuang agama melalui bidang penulisan; hakikatnya bagaimana boleh dicampur-adukan antara yang hak dan batil. Mungkinkah hal ini dapat dilakukan disebabkan mereka sudah diresapi perangai Yahudi, mengambil apa yang mereka fikirkan baik tetapi menolak atau menyembunyikan apa yang mereka fikir tidak mengutungkan diri!

No comments: