Monday, January 24, 2011

Signifikan 17 Januari dan penggulingan Presiden Tunisia

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan." (Maryam: 59)
***

TANGGAL 17 Januari mempunyai makna besar kepada dunia dan juga diri penulis. Pada tanggal inilah 20 tahun lalu (1991) tentera bersekutu dikepali Amerika Syarikat menyerang Iraq selepas Presidennya, Saddam Hussein menggempur seterusnya menakluk Kuwait.

Perang Teluk yang dicanangkan oleh Presiden Amerika, George (Sr) Bush ini mempunyai kesan besar kepada media massa. Buat pertama kalinya orang awam boleh menyaksikan perang melalui skrin televisyen. Wartawan CNN, Peter Arnett berupaya membuat liputan perang dari Baghdad, kota yang menjadi sasaran tentera bersekutu selain Basrah.

Keghairahan membuat liputan berita perang turut menjangkiti media massa tempatan. Ketika itu penulis yang bertugas di akhbar Berita Harian turut membantu menerbitkan keluaran khas perang yang diedarkan pada sebelah petang. Akhbar itu dijual dengan harga rendah, hanya untuk menampung kos, mungkin 20 sen senaskhah (penulis tidak berapa ingat lagi).

Selepas akhbar khas ini mendapat sambutan, lahirlah ilham untuk menerbitkan akhbar petang berbahasa Melayu pertama yang menyamai konsep Malay Mail. Penulis yang turut termasuk dalam kumpulan perintis akhbar baru ini bekerja siang malam bagi menjayakan penerbitan Harian Metro.

Dua bulan selepas bermula Perang Teluk, muncullah Harian Metro di khalayak, dan kini selepas 20 tahun (Harian Metro akan menyambut ulang tahunnya ke-20 Mac ini), ia muncul sebagai akhbar paling besar jualannya di tanah air dengan edaran lebih 350,000 naskhah sehari.

Dua dekad selepas peristiwa di bumi Iraq menggegarkan dunia Arab, kini orang Arab dikejutkan dengan penggulingan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali oleh rakyatnya sendiri.

Penyingkiran Zine El Abidine melalui Revolusi Bunga Melur membawa maksud hebat kepada dunia Arab terutama kepada diktator di rantau itu – dari Algeria sehinggalah ke Yaman.

Ternyata rakyat di dunia Arab tidak sanggup lagi berketuakan pemimpin (diktator) yang mahu memerintah dari dulu, kini dan selamanya. Kebanyakan pemimpin ini menyerahkan kuasa kepada anak-anak, seolah-olah keturunan mereka saja layak mentadbir negara.

Menyampahnya rakyat Mesir terhadap pemimpin mereka menyebabkan seorang mengulas: “Kapal terbang diktator Zine El Abinine bukan saja singgah di Mesir tetapi akan mengambil seorang lagi penumpang (Hosni Mubarak) untuk diterbangkan ke Arab Saudi.”

Tulisan saya di blog ini bertajuk ‘Ramai tak hantar anak ke sekolah agama rakyat’ mendapat reaksi seorang pembaca yang menulis:

Assalamualaikum!

Saya amat setuju dengan pandangan saudara tentang fenomena ibu bapa tidak mengambil berat menghantar anak ke sekolah rendah agama.

Sebagai seorang guru agama di sekolah menengah kebangsaan, saya mengakui majoriti murid yang tidak bersekolah rendah agama semasa di sekolah rendah selalunya lemah dalam subjek agama khususnya berkaitan amalan solat fardu, bacaan al-Quran dan tulisan jawi.

Keadaan lebih parah jika ibu bapa murid itu sendiri memang tidak mementingkan tuntutan agama dalam kehidupan seharian.

Saya memang kasihan melihat sesetengah murid yang begitu muda ini tidak terdedah dengan kehidupan beragama disebabkan sikap ibu bapa/keluarga mereka.

Wajah-wajah mereka masih suci dan bersih tetapi rohani kosong dan rapuh. Kami di sekolah memang berusaha memberi pengisian agama dalam jiwa remaja-remaja ini tetapi kuat manalah pengaruh pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah kerana masa terhad ditambah murid juga perlu belajar subjek-subjek lain.

Remaja-remaja ini memerlukan sokongan dan pengaruh ibu bapa/keluarga dalam menghayati agama. Jika sokongan dan pengaruh ini tidak ada mereka akan mudah hanyut dan lalai kerana peringkat usia seperti ini contoh teladan dan pemantauan oleh ibu bapa amat penting dan lebih berkesan. Sekian. – SAIDA, Klang

No comments: