***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepada-Nya, dan mereka pula bertasbih bagi-Nya, dan kepada-Nya-lah jua mereka sujud." (Al-'A'raaf Ayat 206)
***
PADA sebuah majlis ilmu yang penulis hadiri baru-baru ini, penceramah menyatakan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah bagaikan pemimpin terakhir Soviet Union, Mikhail Gorbachev yang membuka laluan kepada berakhirnya empayar terbesar dunia itu.
Gorbachev memulakan program pembaharuan perestroika dan glasnost manakala Abdullah juga melaksanakan pembaharuan di peringkat bawahan (rakyat) dengan salah satu slogan terkenalnya ‘bekerja bersama saya bukan bekerja untuk saya’. Abdullah juga terbabit dalam usaha penambahbaikan pasukan polis dan pencegahan rasuah dan sama seperti Gorbachev yang kehilangan kuasa, beliau juga turut disingkirkan oleh juak-juak yang tidak sabar berkuasa.
Akibat kebangkitan rakyat, empayar Soviet Union akhirnya terlerai kepada 15 republik merdeka pada 1991 dengan Russia mendakwa sebagai pewaris. Boris Yeltsin dengan cepat menonjolkan dirinya sebagai wira rakyat sekali gus berjaya menabalkan dirinya sebagai Presiden Russia yang pertama.
Dalam kes Abdullah pula, selepas diasak kuat oleh tokoh dan orang dalam partinya sendiri, beliau menyerahkan jawatan walaupun hakikatnya beliau menang pada pilihan raya umum ke-12 pada 11 Mac 2008. Tetapi prestasi kurang memberangsangkan Umno-BN pada pilihan raya itu selepas berlaku kebangkitan rakyat yang menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, menyebabkan Abdullah terlalu tertekan, lantas menyerahkan kuasa.
Gorbachev yang masih hidup (sekalipun isterinya Irina mati beberapa tahun selepas kehancuran Soviet Union) dapat menyaksikan detik-detik pedih kehancuran negaranya, tetapi bagaimanakah nasib Abdullah agaknya? Masih sempatkah beliau menyaksikan kehancuran partinya, seterusnya gabungan perikatan Barisan Nasional dan akhirnya tertawannya Putrajaya di tangan pesaingnya?
Walau apapun dihadapinya, syabas diucapkan kepada Abdullah kerana beliau telah merintis jalan kepada kebangkitan rakyat. Kebangkitan rakyat ini bagaikan tidak dapat dibendung dan buktinya Pakatan Rakyat menang pada setiap kali pilihan raya kecil sehinggalah mereka digagalkan di Bagan Pinang oleh calon bernama Isa Samad yang kini dilantik sebagai peneraju Felda. Isa adalah liabiliti kepada Umno-BN kerana kes politik wang (rasuah)nya, sekali gus memudahkan Pakatan dalam usahanya ke Putrajaya.
Apabila Gorbachev tersingkir, Yeltsin cepat-cepat mengambil alih kuasa. Pengganti Abdullah, Dato’ Seri Najib Razak pun begitu, demikian juga Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak sabar-sabar untuk ke jawatan nombor dua. Namun kedua-duanya tidak dapat membendung kebangkitan rakyat yang sebenarnya sudah bosan berada dalam cengkaman Umno-Perikatan (BN) sejak lebih setengah kurun lampau.
Namun kebosanan rakyat itu sebelum pilihan raya 2008, tidak dapat disalurkan kepada perikatan parti atau pihak yang dapat menyaingi Umno-Barisan Nasional. Ini kerana parti-parti saingan Umno-BN yang berjuang sendirian, jelas kelihatan tidak boleh digantungkan pengharapan.
Pakatan Rakyat hanya terbentuk selepas pilihan raya itu yang membabitkan kerjasama longgar PAS, PKR dan DAP. Namun selepas dilambung dan diuji badai dan samudera, pakatan itu kian mantap dan Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua yang berlangsung di Pulau Pinang pada 18 Disember lalu membuktikan komitmen ini.
Apabila PAS dan DAP ternyata dapat bekerjasama dengan Singa DAP, Karpal Singh, menyatakan beliau bersedia mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan dan PAS sebagai rakan sekutunya; ternyata kedudukan Umno-BN seperti telur di hujung tanduk, bagaikan empayar Soviet Union di ambang kehancuran.
Persefahaman PAS-DAP inilah yang paling ditakuti oleh pemimpin Umno-BN. Ini terbukti dengan tindakan mereka termasuk media massa memperbesar-besaran pergeseran kedua-dua parti termasuklah kerap mengulang-ulang kenyataan lama Karpal Singh – “langkah mayatnya dulu.”
Selain menyerang hubungan PAS-DAP, mereka juga menghabiskan banyak masa untuk menghancurkan PKR dan pemimpinnya Anwar Ibrahim. Ternyata mereka gagal, PKR kini dalam landasan pemulihan dan pembersihan selepas pemilihan parti manakala Anwar terus disepakati sebagai peneraju yang berupaya memperhebat gabungan ketiga-tiga parti – PAS, PKR dan DAP.
Jika Gorbachev yang menerajui empayar paling hebat gagal menahan tumbangnya kuasa beliau di Kremlin, mampukah Najib dan sekutunya mempertahankan Putrajaya daripada jatuh ke tangan Pakatan.
Sewajarnyalah Najib dan rakan-rakannya belajar daripada Gorbachev dan Abdullah yang berundur secara baik bagi membolehkan peralihan kuasa berjalan secara aman dan lancar.
Jika Gorbachev dapat menerima kejatuhan itu dengan hati terbuka, lantas banyak menghabiskan masa tuanya di Amerika dan negara Barat lain (termasuklah ketika pemergian si isteri tersayang), tidak usahlah Najib menyebut-nyebut pasal bermandian darah atau berpisah nyawa daripada badan bagi mempertahankan kerusi empuk dan mahligai bergemerlapan di Putrajaya.
Mungkin adalah lebih baik merancang pemergian jauh-jauh bersama isteri tersayang ke UK, USA, Australia, New Zealand atau mungkin ke negara pewaris Soviet Union, Russia yang ditinggalkan Gorbachev!
No comments:
Post a Comment