***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku memperkenankan permohonanmu." (Surah Ghafir ayat 60)
***
APABILA novel Interlok menjadi isu panas, saya mengambil peluang menatap dengan teliti naskhah novel Interlok cetakan terbaru (2010) edisi murid; pada kulit depan bahagian atas tertera lambang 1. Itulah lambang 1-Malaysia. Ertinya projek 1-Malaysia mahu dijayakan melalui penggunaan novel ini sebagai novel komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) di sekolah menengah.
Telahan saya itu diperkukuhkan lagi dengan menghalusi catatan pada kulit belakangnya: “Novel ini memaparkan tema tentang integrasi tiga kaum utama – iaitu Melayu, Cina, dan India. Ketiga-tiga kaum ini berusaha untuk menjalani hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat.
“Novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep ‘1 Malaysia’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Penggunaan bahasa yang bersahaja akan memudahkan murid untuk memahami novel yang menarik ini.
“Secara keseluruhannya, pemikiran, tema, persoalan, gaya bahasa, dan teknik penceritaan yang digunakan dalam novel ini dapat menarik minat murid untuk membaca dan menghayatinya.”
Semuanya berjalan lancar, novel itu telah siap sedia untuk digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima (SPM) tahun ini (2011) dengan diterbitkan bagi edisi baru ini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2010, tetapi tiba-tiba Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan kuncu-kuncunya membuat hal, mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik novel itu sebagai bacaan wajib murid sekolah menengah.
Beliau kemudian menyemarakkan isu ini sehingga membawa kepada pembakaran naskhah novel karya Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain oleh pihak tertentu. Apabila ini berlaku, bermakna orang kuat PM Najib sendiri nampaknya cuba menggagalkan konsep 1-Malaysia yang dibina oleh ‘bos’nya. Jika orang kuat sendiri tidak percaya kepada projek 1-Malaysia melalui penggunaan novel ini, bermakna rapuhlah apa diusahakan itu.
Memanglah jika dibaca novel itu mengikut keratan-keratan seperti paparan didakwa sensitif ini (dalam Buku Tiga (Keluarga Maniam) pada Bab 1 muka surat 221) yang ditulis: ‘…Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta pariah. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing’, seseorang itu berpendapat ada unsur penghinaan, tetapi itu tidak benar kerana dia perlu menilai novel ini secara keseluruhan iaitu apa mesej yang mahu disampaikan.
Murugiah dan kuncu-kuncu nampaknya cuba mengaut keuntungan politik dengan membuat tafsiran sendiri sedangkan penulis cuba membawa gagasan besar penyatuan kaum-kaum yang walaupun daripada pelbagai latar belakang asal usulnya yang membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Itulah sebabnya tajuk novel ini adalah ‘Interlok’, yang bermaksud mengikat semua kaum kepada penyatuan.
Orang di luar dunia pendidikan seperti Murugiah mungkin bijak meneka dan membuat andaian dan tafsiran sendiri, tetapi hakikatnya para pendidik iaitu guru (jauhari) yang mengenal manikam. Sebagai contoh halusilah apa diperkatakan penulis buku Twitter Bahasa Malaysia Tingkatan 5 (terbitan Info-Didik Sdn Bhd) iaitu Khairuddin Ayip dan Esah Bujang mengenai nilai murni novel Intelok.
“Terdapat beberapa nilai murni daripada novel ini. Antaranya ialah baik hati, contohnya Lebai Man mahu Seman dan ibunya tinggal di rumahnya terlebih dahulu setelah keluar dari rumah, manakala Lazim sanggup bersama-sama penduduk kampung mendirikan rumah untuk didiami Seman, sebab mereka tahu Seman sebatang kara.
Seterusnya berdikari, contohnya Seman tidak menyusahkan keluarga Lebai Man dan Lazim agar dia tinggal di rumah mereka setelah dirinya dihalau keluar dari rumah oleh Cina Panjang, sebab dia mahu berusaha sendiri.
Selain itu kerajinan, contohnya Lee Kim Lock rajin bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki dalam dunia perniagaan dan akhirnya kedainya merupakan kedai paling besar di Simpang Empat.
Di samping itu hormat menghormati, contohnya penduduk kampung yang berdekatan dengan Simpang Empat saling menghormati walaupun berlainan kaum dan latar belakang pada saat-saat menjelang kemerdekaan negara atas kesedaran perpaduan kaum sahaja dapat mewujudkan keamanan.
Akhir sekali patriotisme, contohnya penduduk kampung berdekatan Simpang Empat bersatu padu menentang Malayan Union yang dibawa oleh penjajah Inggeris, untuk memastikan negara boleh mencapai kemerdekaan.”
Jelaslah, Abdullah Hussain tidak bersifat rasis mengetengahkan watak-watak dalam novelnya ini. Beliau mengambarkan watak manusia secara universal, ada Melayu, Cina dan India baik; dan ada Melayu, Cina dan India jahat. Ada Cina rajin, ada Cina malas dan ada Melayu rajin dan ada Melayu malas serta ada India rajin dan India malas. Hal ini adalah biasa iaitu putih hitam kehidupan.
Demikianlah amat silap dan bahaya apabila Murugiah dan kuncu-kuncunya membuat tafsiran sendiri dan bertindak terburu-buru. Natijahnya satu projek 1-Malaysia Najib Razak telah terbarai, angkara orang kuatnya sendiri!
No comments:
Post a Comment