Thursday, January 20, 2011

Negara maju: Dari mana hendak ke mana?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Penyesalan ketika maut datang menjemput
"Siapa yang menyalahgunakan segala pemberian Allah kepadanya, pasti akan menyesal ketika maut datang menjemputnya, dan akan ditanya masa hidupnya sekalipun hanya sebentar, untuk dicela dan tahu apa yang telah hilang, jauh, yang telah ada, dan yang datang kemudian, semua menurut kelalaiannya." (Tafsir Ibnu Katsir)
***

SUATU hari ketika menatap halaman sebuah akhbar; saya tersenyum sendirian apabila membaca temu ramah wartawan yang bertanya seorang wanita yang dipilih penyimpan paling konsisten sebuah bank tempatan mengapa dia prihatin dalam hal itu, dia berkata: “Untuk masa depan!”

Hati saya tergeletek kerana wanita itu berusia 75 tahun, masa depan apa lagi yang mahu difikirkannya? Namun di samping ketawa saya juga kagum kerana dia masih beringat-ingat akan masa depan pada usia itu.

Namun kekaguman itu serta merta pudar apabila saya teringat tazkirah seorang rakan tabligh yang berkata lebih kurang begini: “Di hadapan orang berusia 60 atau 70 tahun adalah kubur, itulah yang perlu difikirkan, itulah destinasi kita, sudah cukupkah bekalan ke alam sana?”

Pada hari yang lain pula saya terbaca kisah menarik ini: Seorang profesor sudah terlambat untuk ke kelas pengajian di universiti berdekatan. Dia menahan sebuah teksi, memberitahu si pemandu membawa kereta paling laju dia mampu. Pemandu menekan pedal minyak, membawa teksi bagikan orang gila.

Si profesor lantas bertanya, “eh mana kamu mahu bawa aku?” Pemandu menjawab: “Bukankah tuan hanya menyuruh saya pandu selaju mungkin tanpa menyatakan destinasinya?”

Demikianlah antara misalnya akan terjadi jika pemimpin kita sibuk mencanangkan mahu menjadikan negara maju atau berpendapatan tinggi tetapi tidak mempunyai destinasi (matlamat)nya.

Sewajarnya negara boleh dipandu menuju status maju, tetapi rakyat kebanyakan jangan dibiarkan keciciran. Dalam Islam, seseorang itu boleh menjadi kaya raya tetapi dia jangan lupa dalam kekayaannya itu ada hak orang miskin yang perlu dilunaskan. Itulah zakat namanya.

Ya., kini negara kita dipandu laju menjadi negara maju atau berpendapat tinggi tetapi mengapa soal haram tidak diambil peduli? Mengapa pula mahu diadakan hab hiburan maksiat, mengapa mahu dibenarkan judi bola dan sebagainya? Tak ingatkah di depan kita (kebanyakan menteri sudah berusia lebih 60 tahun) ada kubur seperti diingatkan teman tabligh saya.

Kemudian mengapa kehidupan rakyat awam (orang kebanyakan) mahu disusahkan? Apabila harga barangan asas seperti petroleum, gula dan gas dinaikkan, secara automatik harga barangan dan perkhidmatan turut melambung. Kini minyak masak sukar ditemui dalam pasaran, harga bawang melambung tinggi manakala pengusaha warung dan restoran turut menaikkan harga makanan dan minuman.

Negara ini boleh saja dipenuhi bangunan tinggi pencakar langit, hab-hab maksiat yang hebat, restoran bertaraf antarabangsa, rumah mewah bagaikan istana dengan segelitir rakyat berpendapatan hebat bagi melayakkan ia digelar negara maju berpendapatan tinggi, tetapi apakah ertinya jika sebahagian besar rakyat bagaikan slogan lama – dulu, kini dan selamanya – miskin dan merempat?

Ini yang kita tidak mahu, jadi agihkan wang pendapatan negara yang kerap rakyat dengar berbilion-bilion ringgit itu secara bijaksana; berilah rakyat peluang menikmatinya sekarang ini, janganlah biarkan mereka kempunan sehinggalah mereka masuk kubur seperti diingatkan teman tabligh itu. Bahagiakan rakyat sekarang bukan cuba bahagiakan mereka selepas mereka dimamah tanah!

No comments: