Friday, January 28, 2011

Di atas robohan kota Melaka…

Posted on 28th JAN 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya akan datang umat ini suatu golongan yang berlebihan dalam bersuci dan berdoa." (HR. Ahmad dan Abu Daud)
***

“DI atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…” demikian kata-kata keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmi yang sewajarnya menjadi panduan bagi anak bangsa terutama orang Melaka yang akan mengenang kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka 500 tahun lalu di tangan Portugis (1511).

Sebenarnya ada satu pantun yang sangat mengusik jiwa mengenai perkara ini yang berbunyi:

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan saya serahkan.

Sebagai peminat Sejarah, masih tertanam di ingatan saya akan catatan bahawa pada Julai 1511, Melaka telah jatuh ke tangan armada Portugis. Kini selepas hampir 500 tahun peristiwa memilukan itu, apakah agaknya yang bakal terjadi di bumi Melaka teristimewanya akhir-akhir ini?

Lebih 10 tahun lalu, ketika menganggur, saya gemar mengisi masa mengikuti ceramah tokoh PAS, antaranya membabitkan Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa. Dalam salah satu ceramahnya, beliau memberitahu orang Melayu Melaka memerlukan masa sekurang-kurangnya 10-15 tahun untuk berubah ke arah menerima kehidupan Islam sepenuhnya termasuklah dari segi politik. Ketika itu (malahan sehingga sekarang), parti politik Islam (PAS) tidak mempunyai sebarang kerusi dalam Dun Melaka, begitu juga di peringkat Parlimen.

Ustaz Mujahid (kini sudah bergelar Dr) mengungkapkan perkara itu 10 tahun dulu, jadi saya percaya tempohnya sudah sampai bagi rakyat Melaka bersedia dalam membuat pembaharuan termasuk memilih parti Islam yang insya-Allah akan mengembalikan kegemilangan Islam di bumi Melaka lebih lima abad lalu sebelum empayar bertuah itu dilanggar oleh si Benggali Putih.

Kini dengan beradanya umat Islam Melaka pada tahun 2011 iaitu 500 tahun selepas moyang mereka dihambat keluar daripada negeri bersejarah, apakah Islam dengan segala hukum hakamnya berpotensi dinobatkan kembali menepati peribahasa bagaikan sireh pulang ke ganggang?

Kita percaya, umat Islam sudah terlalu rindu untuk melihat Islam kembali berdaulat. Kerinduan itu memukul pilu hati yang bagai disayat-sayat dan dirasakan semakin mendesak sejak akhir-akhir ini apabila menyaksikan dengan mata sendiri penyelewengan dan aneka maksiat yang begitu hanyir.

Berlabuhnya bulan pertama 2011, menyaksikan parti Islam berpeluang menguji penerimaan rakyat Melaka terhadapnya pada pilihan raya kecil N27 Merlimau yang insya-Allah akan diadakan pada masa terdekat. Sudah sekian lama, pencinta kehidupan Islami mahu menikmati kesyahduan di bawah payung Islam, jadi diharapkan di Merlimau ini akan membuah hasil sebagai anak sulung.

Kemudian pada pilihan raya umum ke-13 nanti, didoakan parti Islam mengorak langkah lebih jitu untuk mengepali Pakatan seterusnya menerajui negeri dan menggembalikan kedaulatan Islam seperti dinikmati rakyat pelbagai bangsa dan kepercayaan agama di bumi bersejarah lebih 500 tahun lalu.

Insya-Allah di bawah naungan Islam, semua akan selamat kerana kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1,400 tahun lalu adalah untuk membawa rahmat kepada sekalian alam.

No comments: