***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu daripada seorang menjadi ramai. Daripada dirimu, Allah menciptakan isterimu dan daripada kedua-duanya, Allah membiakkan ramai lelaki dan perempuan. Bertakwalah kepada Allah dan dengan nama-Nya, kamu saling meminta antara satu sama lain dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu." (Surah an-Nisak, ayat 1)
***
KETIKA ini kisah peletakan jawatan Misbun Sidek sebagai jurulatih perseorangan pasukan badminton negara menghiasai bahagian belakang akhbar (seksyen sukan). Sejak di IPT lagi saya meminatinya dan selalu juga membicarakan keunikan Misbun.
Ketika Misbun hebat dengan pukulan pancung dan servis S-nya pada tahun awal 1980-an, pensyarah kami turut membincangkan hal ehwal pemuda dari Kanchong Darat, Banting ini. Antara persoalan mereka mengapa Misbun berlatih dengan berlari di bawah sinaran matahari terik ‘tengah hari buta’.
Ada yang menuduh Misbun ‘gila’ dan tak kurang juga mahu tahu rahsianya Bagi mereka luar biasa sungguh kelakukan pemenang pingat emas Sukan SEA 1981 ini. Malah Misbun berjaya memasuki pertandingan akhir All England pada 1986 di mana dia ditewaskan Morten Frost Hansen.
Ketika zaman kehebatannya, selalu saya impikan alangkah syahdunya jika Misbun Sidek dapat merintis jalan ahli sukan pertama mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya.
Maksud saya, Misbun pakailah seluar trek panjang bagi menggantikan seluar katuk yang biasa dipakai ahli sukan lelaki. Ketika ada nama itulah, Misbun boleh buat tuntutan dan mengenakan syarat: “Kalau mahu saya main, benarkan saya pakai pakaian menutup aurat sepenuhnya sejajar dengan kehendak agama saya, Islam. Kalau tak, saya berhenti (letak jawatan).”
Mungkin pada awal 1980-an itu, Misbun masih muda; dia tidak terfikirkan hal itu. Tetapi sekarang sudah ada beberapa contoh yang membuktikan ahli sukan yang mengutamakan penampilan menutup aurat sepenuhnya sudah berjaya di peringkat antarabangsa.
Jadi kepada ahli-ahli sukan muda kita termasuk atlit wanita fikir-fikirlah perkara ini, seterusnya bertindaklah seperti pelarian pecut Bahrain, Ruqaya Al-Ghasara.
Kalau anda fikir anda ahli sukan yang hebat (termasuklah ahli sukan angkat berat wanita yang mendedahkan sebahagian buah dadanya) oleh itu terpaksa menayangkan aurat anda, Ruqaya lagi hebat, dia adalah juara acara 200 meter pada Sukan Asia di Doha pada 2008. Malah pada Sukan Olimpik di Beijing 2010, Ruqaya tetap istikamah berhijab.
Namun apa yang saya perhatikan ahli sukan kita gemar meniru pakaian atlit Barat yang hampir semuanya berlari, melompat dan berenang dalam keadaan hampir berbogel. Anda, sebagai jaguh kampung sudah berani lawan Allah SWT, apa agaknya akan anda lakukan jika anda sudah sekelas Ruqaya?
Insaflah, seorang atlit wanita Muslim yang masyhur pada tahun 1980-an dulu dengan kerap berseluar pendek, kini sudah bertudung litup. Anda bila lagi?
Jangan tunggu sehingga pencen, kerana lebih awal bertaubat lagi baik kerana ajal di tangan-Nya, minta-mintalah jangan ketika tengah asyik bersukan dengan seluar katuk, kita jalan, apa macam?
Didoakan semoga semua ahli sukan Muslim kita mempunyai rasa cinta mendalam kepada agama sebagaimana ditunjukkan Ruqaya Al-Ghasara!
No comments:
Post a Comment