Tuesday, January 25, 2011

Tangani isu Interlok bagai menarik rambut dalam tepung

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (Maksud ayat 26-27 Surah Al-Isra')
***

KAMUS Inggeris Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (1991) mendefinisikan interlock (interlok) sebagai berpanca ataupun bercantum; manakala kamus The New Oxford Dictionary of English mendefinisikannya sebagai satu ‘verb’ (perbuatan) ‘of two or more things’ engage with each other by overlapping or by the fitting together of projections and recesses; their fingers interlocked’.

Sekalipun sudah puluhan tahun terjumpa perkataan interlok selepas membaca novel Interlok karya Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussein pada tahun 1976 (semasa saya dalam tingkatan dua), kini barulah saya sibuk mencari kamus bagi memahami perkataan interlok selepas novel Interlok menjadi kontroversi sehingga naskhahnya dibakar pihak tertentu.

Novel Interlok yang saya baca selepas meminjamnya daripada perpustakaan sekolah itu adalah buah tangan Pak Abdullah yang mendapat hadiah sagu hati dalam pertandingan menulis novel sempena 10 tahun kemerdekaan (1967). Dulu novel ini kurang dipedulikan, hanya dibaca oleh peminat sastera dan sejumlah ulat buku seperti saya.

Apa maksud Pak Abdullah memberi tajuk Interlok pada novelnya? Soalan ini boleh dijawab dengan tepat oleh Pak Abdullah sendiri manakala mereka yang sudah membaca dan memahami isinya hanya boleh membuat andaian dan tanggapan. Ketika membacanya dulu, saya memahaminya sebagai penyatuan tiga bangsa utama di Tanah Melayu kemudian Malaysia – Melayu, Cina dan India - yang sesuailah novel ini disertakan bagi sebuah peraduan bertaraf nasional selepas 10 tahun negara merdeka.

Apabila buku ini diberi nafas baru selepas diangkat menjadi novel komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi murid tingkatan lima mulai tahun ini (2011), buku ini dicetak semula; pada kulit belakang cetakan terbarunya (2010) ada tertulis: “Novel ini memaparkan tema tentang integrasi tiga kaum utama – iaitu Melayu, Cina, dan India. Ketiga-tiga kaum ini berusaha untuk menjalani hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat.

“Novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep ‘1 Malaysia’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Penggunaan bahasa yang bersahaja akan memudahkan murid untuk memahami novel yang menarik ini.

“Secara keseluruhannya, pemikiran, tema, persoalan, gaya bahasa, dan teknik penceritaan yang digunakan dalam novel ini dapat menarik minat murid untuk membaca dan menghayatinya.”

Berdasarkan apa ditulis ini, semuanya nampak indah (menepati maksud interlok) tetapi mengapa masalah timbul? Kenapa ia diperbesar-besarkan sehingga kelihatan seperti keadaan tidak terkawal dengan sudah berlakunya kejadian membakar novel ini?

Apa yang berlaku ada kumpulan kurang senang dengan beberapa paparan yang dakwa mereka menghina golongan tertentu. Antara paparan didakwa sensitif itu adalah dalam Buku Tiga (Keluarga Maniam) pada Bab 1 muka surat 221 yang ditulis: “…Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta pariah. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.”

Pelbagai pihak termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan juga penulis Pak Abdullah sendiri berhujah ini bukan penghinaan sebaliknya gambaran sebenar keadaan masyarakat dari India yang berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun-tahun 1900-an.

Bagi menangani kemelut novel Interlok ini, kebijaksanaan amat dituntut, peribahasa Melayu menyatakan; ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak rosak.

Masing-masing ada hujah tersendiri; misalnya ada berpendapat novel ini boleh didiskusikan di peringkat pengajian tinggi (terutama di kalangan pelajar jurusan sastera) di mana pelajar sudah matang tetapi tidak di sekolah di mana semua murid daripada pelbagai latar belakang, tahap pemikiran dan pencapaian (ada yang teruk dalam PMR tetapi meneruskan persekolahan) akan terdedah kepadanya.

Jika dulu novel ini dibaca segelintir golongan (peminat sastera, kaki buku dan cendekiawan), apabila dijadikan teks Komsas ia akan dibaca puluhan malahan ratusan ribu pelajar dan guru, lantas boleh mengakibatkan suasana kurang sihat di kalangan pelajar seperti ejek mengejek dan sebagainya.

Apapun, terpulanglah kepada kebijaksaan semua pihak, terutama perancang dan cendekiawan (termasuk guru) untuk merumuskan apa yang terbaik untuk masa depan anak bangsa dengan satu syarat – orang politik tolonglah jauhkan diri daripada bermain api bagi meraih sokongan dalam isu ini!

No comments: