Monday, January 31, 2011

Pengangkutan awam: Surat terbuka kepada Datuk Bandar KL

Posted on 8th FEB 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)
***

SELEPAS kerap menaiki pengangkutan awam seperti bas ekspres dan kereta api aliran ringan pada waktu pagi untuk ke tempat kerja, suatu hari teringin pula saya beralih angin dengan memandu sendiri.

Perjalanan sepanjang lebuh raya dari selatan lancar, namun sebaik saja melepasi Plaza Tol Sungai Besi, kelihatan ribuan kenderaan berasak-asak ke ibu kota. Pejalan kaki nampaknya lebih laju daripada kenderaan yang bergerak-berhenti itu.

Tidak sanggup mengharungi perjalanan dalam lautan kenderaan itu, lagi pun menyedari kereta saya sudah agak uzur, saya memasuki sebuah stesen minyak berhampiran plaza tol itu, mencari tempat meletakkan kenderaan, seterusnya merehatkan diri. Fikir saya dalam masa sejam tentulah keadaan kembali reda tetapi jangkaan saya salah.

Keadaan bersesak-sesak itu berterusan berjam-jam lamanya, membuatkan saya hilang sabar, lantas menghidupkan enjin kereta seterusnya mengharungi perjalanan ‘mencabar’ ke pejabat. Sudah pasti saya tiba terlalu lewat di pejabat, tetapi apa yang dapat saya lakukan?

Sebelum berlepas, ketika termenung-menung di stesen minyak itu, saya perhatikan hampir semua kereta bermuatkan pemandunya saja. Ertinya setiap orang memandu tanpa penumpang dan saya percaya hampir semuanya dalam perjalanan ke pejabat masing-masing untuk memulakan tugas. Keadaan ‘seorang sebuah kereta’ inilah antara faktor yang menyumbangkan kepada kesesakan jalan-jalan raya di ibu kota.

Sebelum menyalahkan orang lain, saya terpaksa mengaku saya juga penyumbang kepada kesesakan itu kerana menaiki kereta seorang diri sedangkan ada empat lagi tempat duduk kosong. Namun hanya pada hari itu saya berkenderaan sendiri sedangkan pada kebanyakan hari saya menaiki pengangkutan awam.

Satu pertanyaan timbul; mengapa orang suka bersesak-sesak dengan setiap orang memandu kenderaan sendiri sedangkan antara penanda aras kemajuan sesebuah kota adalah kemudahan pengangkutan awamnya yang canggih dan selesa.

Kunjungilah kota hebat dunia seperti London dan Tokyo, pengangkutan awamnya begitu efisyen. Jaringan laluan ‘tube’ (kereta api bawah tanah) kota London berselirat diumpamakan sarang labah-labah.

Jika pada tahun 70-an dan 80-an pengangkutan awam di KL sinonim dengan bas mini tetapi hari ini perkhidmatan kereta api ringan iaitu RapidKL (dulunya Star), Putra (RapidKL) dan Monorail menjadikan Kuala Lumpur setanding malah jika tidak, adalah lebih baik daripada kota-kota besar dunia dari segi pengangkutan awam.

Namun jika ditinjau dari segi perkhidmatan kenderaan awam lain seperti bas, Kuala Lumpur seolah-olah masih tidur dengan mimpinya yang panjang. Kepada pengguna pengangkutan awam ini, perkhidmatan masih di takuk lama dengan masalah seperti kesesakan dan ketidak-tepatan jadual masih tidak dapat diatasi.

Disebabkan perkhidmatan bas yang tidak memuaskan ini dan kurangnya sistem bas penyambung (feeder bus) di kebanyakan stesen LRT menjadikan arus pergerakan kenderaan awam tidak berkesan dalam memenuhi kehendak warga kota yang perlu bergerak cepat.

Bayangkan seorang penumpang RapidKL atau Monorail yang serba canggih selepas tiba di sebuah stesen akan terpaksa termenung lama memikirkan bagaimana dia hendak ke destinasinya sedangkan di sesetengah stesen tiada pengangkutan awam seperti bas. Mungkin yang ada hanyalah teksi dengan sesetengah pemandunya adalah orang yang suka 'cekik darah'.

Ketidakberkesanan sistem pengangkutan awam menyebabkan ramai warga kota memilih untuk memandu sendiri ke pejabat atau urusan lain. Dalam kesesakan pagi di jalan-jalan sesak ibu kota dalam sesebuah kereta ada seorang (pemandu) dalam kereta itu. Jika setiap orang mahu memandu sendiri ke pejabat sudah tentu jalan ibu kota akan sesak sekali gus berlaku pelbagai pembaziran.

Kita tidak perlu meniru Jakarta dalam memperkenalkan peraturan kenderaan dengan sejumlah penumpang tertentu saja dibenarkan memasuki ibu kota, tetapi memadailah dengan segera membaiki sistem pengangkutan awam kita.

Kita juga tidak perlu stesen pengangkutan awam begitu hebat dan canggih seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan tetapi hal-hal kordinasi dan peningkatan kos (kepada pengusaha dan penumpang) tidak dapat diselesaikan sehingga kini walaupun hub itu sudah mula beroperasi 1 Januari lalu.

Rakyat marhaen hanya perlukan pengangkutan awam yang murah dan efisyen bagi membolehkan mereka bergerak dengan pantas dan selesa. Semoga pengurusan kota raya KL termasuk datuk bandar dan menteri bertanggungjawab dapat memenuhi permintaan mudah rakyat ini pada ketika Wilayah Persekutuan meraikan ulang tahun ke-37, 1 Februari lalu.

No comments: