Posted on 27th JAN 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (An-Nahl: 125)
***
SAYA membaca novel Interlok karya Abdullah Hussein ketika di tingkatan dua pada 1976. Saya melakukan atas dasar hobi, ertinya, di atas inisiatif sendiri, bukan terpaksa melakukannya.
Minat saya yang mendalam terhadap kesusasteraan Melayu menyebabkan saya sudah ‘khatam’ banyak novel Melayu ketika itu dan Interlok adalah salah satu daripadanya.
Selepas membaca Interlok saya tidak pernah mendengar perihal novel ini sehinggalah sekarang. Namun nama penulisnya, Pak Abdullah Hussain ada tempat dalam media massa.
Penulis dari Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah ini adalah salah seorang idola saya dalam penulisan bahasa Melayu. Novel terakhir Sasterawan Negara Kelapan (1996) yang saya baca adalah Imam, sebuah buku agak tebal tetapi saya gagahi juga menghabiskannya.
Novel Interlok muncul selepas diisytihar pemenang sagu hati peraduan menulis novel sempena kemerdekaan negara ke-10 (1967). Dulu novel ini hampir langsung
tidak dibicarakan tetapi mengapa sekarang buku ini menjadi isu panas?
Benarkah dulu isi novel ini ‘betul’ belaka sehingga tidak ada seorang pun menegur tetapi sekarang ‘salah’ sehingga ada pihak mengugut membakarnya?
Pada pandangan saya Interlok tenggelam sejak sekian lama; dibaca oleh ulat buku seperti saya yang menjumpainya secara kebetulan di perpustakaan sekolah dan mungkin diteliti oleh segelintir sasterawan tetapi kini buku ini diangkat menjadi novel komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi murid tingkatan lima. Ertinya novel ini ada ‘saham’ dalam pencapaian pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jadi, dulunya novel ini hanya diketahui segelintir khalayak yang tidak ambil peduli sangat akan kandungannya tetapi kini sebagai teks sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia yang amat penting itu, puluhan ribu pelajar dan guru (saya difahamkan buku ini digunakan di sekolah-sekolah kawasan tengah Semenanjung seperti Kuala Lumpur) menatap dan mengkajinya saban hari.
Jika dulu pembacanya, adalah selektif (pembaca tegar dan peminat sastera) tetapi kini buku ini menjadi bacaan wajib pelajar daripada pelbagai latar belakang seperti kaum dan peringkat pencapaian akademik dan daya fikirnya.
Demikianlah, pada pandangan saya perkara ini perlu difikirkan oleh semua pihak termasuklah perancang, pendidik, politikus, sasterawan, budayawan, karyawan dan cendekiawan.
Antara kandungan buku ini didakwa sensitif oleh sesetengah pihak adalah dalam Buku Tiga (Keluarga Maniam) pada Bab 1 muka surat 221 yang ditulis: “…Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta pariah. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.”
Tentunya pihak-pihak berkaitan mempunyai hujah masing-masing (misalnya Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Pena, yang mahu Interlok kekal sebagai teks Komsas, berhujah bahawa novel ini tidak menghina mana-mana kaum), pada pandangan saya semua pihak perlu akur kepada keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah membuat keputusan mengenai pemilihan novel yang telah pun digunakan pada sesi persekolahan yang bermula 3 Januari lalu.
Tentunya kementerian telah mengkajinya secara serius, kalau tidak masakan pada belakang novel berharga RM13.80 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu ditulis: “Novel ini memaparkan tema tentang integrasi tiga kaum utama – iaitu
Melayu, Cina, dan India. Ketiga-tiga kaum ini berusaha untuk menjalani
hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat.
“Novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan
perpaduan seperti konsep ‘1 Malaysia’ yang diilhamkan oleh Perdana
Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Penggunaan bahasa yang
bersahaja akan memudahkan murid untuk memahami novel yang menarik ini.
“Secara keseluruhannya, pemikiran, tema, persoalan, gaya bahasa, dan
teknik penceritaan yang digunakan dalam novel ini dapat menarik minat
murid untuk membaca dan menghayatinya.”
Oleh demikian pada pendapat saya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak boleh tunduk kepada mana-mana pihak yang mendesak penggunaan novel ini dibatalkan sehingga mahu membakarnya.
Jika tunduk beliau seolah-olah beralah demi untuk menjaga masa depan karier politik (periuk nasi) dan partinya demi meraih sokongan kumpulan tertentu. Ini sewajarnya tidak berlaku; menarik balik novel yang telah diiiktiraf hasil sastera bermutu oleh kerajaan pada masa Tuanku Abdul Rahman (1967) adalah satu penghinaan yang tidak dapat diterima sama sekali.
Apabila hal ini dibiarkan berlaku, apakah kita bersedia untuk menarik balik penggunaan buku-buku teks yang hebat seperti ‘Sejarah Melayu’ kerana ia juga terdedah kepada dakwaan pihak tertentu kononnya ada isi kandungannya menghina kumpulan tertentu?
Sewajarnya apa yang boleh dilakukan sekarang adalah memahamkan seluruh generasi baru akan sejarah (liku-liku) yang dilalui anak bangsa (tidak kiralah Melayu, Cina, India dan sebagainya) sebelum dan selepas negara ini mencapai kemerdekaan.
Apa yang dipaparkan Pak Abdullah Hussain dalam Interlok adalah gambaran kehidupan di Tanah Melayu pada era British, membawa kepada kemerdekaan seterusnya penubuhan Malaysia, sewajarnya dapat dijadikan panduan guru untuk mengimbau kisah itu kepada murid tetapi perkara itu perlu dilakukan dengan amat berhati-hati.
Ini kerana novel Interlok ini bukanlah dibaca kalangan tertentu saja seperti saya yang membacanya pada 1976 tetapi semua murid daripada pelbagai latar belakang termasuk kaum dan tahap pemikiran.
Mungkin sesetengah murid akan terasa disindir dan menjadi bahan guruan murid lain, tetapi di sinilah letaknya cabaran bagi pemimpin terutama guru dalam mematangkan pelajar (generasi muda) bagi menghadapi hakikat kehidupan – di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung!
No comments:
Post a Comment