***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dam barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir." (Al-Kaffi 39)
***
Tiga tonggak pemerintahan sesebuah demokrasi ala Westminster adalah kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman tetapi sesetengah pihak menambah satu lagi, ‘the fourth estate’ iaitu media massa.
Dalam sebuah demokrasi kukuh yang mana wujud sistem dua parti di negara maju seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat, perwakilan kedua-dua pihak (pemerintah dan pembangkang) hampir seimbang, memberi peluang terbuka kepada perbahasan sihat bagi kesejahteraan negara tetapi hal ini jarang kedapatan di negara-negara sedang membangun.
Di kebanyakan negara Dunia Ketiga, suara wakil pemerintah adalah dominan manakala pembangkang amat lemah. Hal ini bukan saja berlaku di peringkat Pusat (Persekutuan) tetapi juga di negeri-negeri. Apabila hal ini berlaku, dikhuatiri kadar penyelewengan adalah tinggi dan tiadanya pihak berwibawa bagi melakukan peranan sebagai pemantau (check and balance).
Pembangkang yang lemah atau tidak adanya wakil pembangkang (sifar pembangkang) di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seperti diidamkan oleh seorang menteri besar sebuah negeri paling maju di tanah air kita tidak lama dulu, mendedahkan kerajaan dan wakilnya kepada penyelewengan tanpa teguran atau bantahan. Apabila tiadanya ‘check and balance’ dalam pentadbiran, berleluasalah amalan korup; jenayah pihak berkenaan termasuk peneraju negeri hanya didedahkan selepas dia tidak lagi berkuasa.
Hal ini sewajarnya dapat diminimumkan kerana penyelewengan yang seolah-olah dibiarkan itu akan merugikan negara, negeri, masyarakat seterusnya individu. Banyak wang dan masa dibazirkan sedangkan negara dan negeri boleh jauh ke depan jika penyelewengan ini dapat dicegah atau pantau pada peringkat awal lagi.
Disebabkan perwakilan pemerintah adalah dominan sedangkan pembangkang bagaikan hidup segan mati tak mahu, media massalah sewajarnya berperanan melakukan ‘check and balance’ itu. Media massalah wajar menjadi pemantau bagi membantu mengatasi penyelewengan wakil-wakil kerajaan termasuk ketuanya yang diberikan amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.
Namun hal ini seolah-olah kurang berkesan di negara kita; media massa sudah lupa peranannya sebagai ‘the fourth estate’ sebaliknya tidak habis-habis mengipas kerajaan dan wakil-wakilnya. Perkara ini tersangat bahaya dalam sesebuah negara demokrasi, dengan tiada teguran dan kritikan akan meletakkan negara ke jurang bahaya. Jika pembangkang (pengkritik) lemah (termasuk tidak cukup wakil di Parlimen dan Dun) adalah menjadi tanggungjawab media massa untuk memikul tugas berkenaan.
Pemilik dan pengamal media sewajarnya kembali berperanan sebagai mata dan telinga masyarakat, apa saja yang tidak benar disanggahnya sama ada yang terbabit seorang perdana menteri, menteri besar hatta ketua pembangkang dan wakilnya. Kalau benar katakan benar, kalau salah katakan salah walaupun ia amat pahit.
Berdasarkan perkembangan semasa, kita amat kesal apabila media dijadikan kuda tunggangan atau membiarkan dirinya diperlakukan sedemikian oleh pihak tertentu. Amat malang bagi individu tertentu malah sampai ke peringkat ketua kesatuan sekerja seperti Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari dikenakan tindakan semata-mata menegur peneraju akhbar yang lupa menjalankan tugas ‘check and balance’ ini sebaliknya bermatlamat memuaskan nafsu serakah pihak tertentu dan menyelamatkan periuk nasi mereka.
Bagi kita pendedahan Ketua Audit Negara dalam laporan terkininya menjelaskan betapa bobroknya sesetengah kerajaan negeri, tetapi hal ini tidak ambil peduli sesetengah media massa arus perdana. Sewajarnya media berperanan memanjangkan pendedahan ini sebagai satu langkah bagi memastikan urus tadbir dilakukan secara bijak dan berhemah oleh semua pihak dan dalam konteks negara kita sama ada oleh kerajaan BN atau Pakatan Rakyat.
Jika ditinjau di negara luar seperti Indonesia pada zaman reformasi, media adalah penggerak kebangkitan rakyat, persoalannya adalah media massa kita mahu terus jumud dulu, kini dan selamanya?
No comments:
Post a Comment