Monday, January 10, 2011

Apa kaitan gadis seksi dengan Petronas?

Posted on 10th JAN 2011
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Jika orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat seksa (pada Hari Kiamat) bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya (nescaya mereka menyesal)." - Al-Baqarah: 165

***
APABILA berkereta bersama anggota keluarga dalam perjalanan jauh, soal stesen dan jenama (syarikat) minyak yang bakal menjadi tempat persinggahan dibahaskan anak-anak. Saya dan isteri pun turut sama, jadi keadaan dalam kereta menjadi gamat. Setiap orang mahu menegakkan hujah (benang basah?) masing-masing.

Ada yang berkata RON-97 baguslah dengan prestasi hebat walaupun ia lebih mahal daripada RON-95. Kononnya RON-95 ‘minyak koman’ dan ‘mudah terbakar’. Macamlah dia jurutera minyak. Ada yang berkata minyak Petronas bagus, ada yang berkata minyak Shell ada kuasa ‘vrooom’. Ada yang mengingatkan Mobil, Caltex dan Esso adalah milik asing, jadi jangan singgahlah kerana “kita kena sokong perjuangan Palestin.”

Namun suatu hari ketika topik minyak ini hangat dibahaskan dalam kereta, saya terkedu mendengar hujah isteri saya: “Kita pilih Petronas kerana di stesen ini ada tempat solat yang bagus. Ada surau lelaki dan perempuan. Stesen minyak lain sukar untuk jumpa surau.

“Kita isi minyak di Petronas dengan niat dia dapat untung, dia akan laburkan sedikit daripada duit itu menambah selesa suraunya!”

Saya sangat setuju dengan pandangan isteri saya itu. Selain bersifat patriotik menyokong syarikat minyak nasional, kita dapat berbakti, menambah keuntungan Petronas agar perkhidmatannya kepada orang awam seperti penyediaan kemudahan surau dan bilik air dapat dipertingkatkan. Tentunya Petronas (peneraju, pegawai dan seluruh kakitangannya) dapat pahala kerana ada saham kebajikannya seperti penyediaan surau dan kemudahan awam lain.

Syabas kepada Petronas yang begitu hebat bukan saja di dalam negara tetapi juga di persada antarabangsa. Daripada pembacaan, saya tahu Petronas terbabit dalam cari gali minyak di negara-negara yang begitu jauh seperti Sudan dan negara Asia Tengah bekas republik Soviet Union seperti Turkmenistan dan Kazakhstan.

Namun di samping menambah koleksi pahalanya, saya kurang senang apabila Petronas yang kita bangga-banggakan itu turut sama terbabit dalam menaja gadis-gadis litar seksi sama seperti syarikat-syarikat minyak antarabangsa lain pada acara pemotoran.

Saya tidak pernah menyaksikan pertarungan secara langsung di Sepang, tetapi berdasarkan paparan di media massa, saya perhatikan Petronas juga tidak kurang hebatnya mempromosi gadis seksi sama seperti pihak lain. Bagaimana ya, Petronas yang saya sangka ‘alim’ dengan mendirikan banyak surau itu pun terbabit sama dalam mengeksploitasi wanita untuk tujuan komersialnya.

Bagi saya tiada kaitan langsung dengan gadis seksi dengan sukan pemotoran. Apakah dengan kehadiran gadis litar seksi dapat memperlajukan motosikal atau kereta lumba ditaja atau menggunakan minyak Petronas? Jika syarikat antarabangsa lain menggunakan gadis seksi, Petronas tidak perlu meniru-niru sebaliknya menggagahkan diri dengan ketegasan prinsip dan wibawa sendiri. Saya percaya Petronas tanpa gadis litar seksi akan mendapat kebarakahan Illahi yang akan menyebabkan ia dihormati kawan dan lawan.

Masih tidak yakin akan kehebatan golongan yang patuh kepada hukum hakam Illahi? Kajilah dan cuba dalami sejarah Islam bagaimana golongan yang dilihat lemah dan kecil dapat menewaskan pihak dipandang perkasa. Insaflah 313 (ada mengatakan 319) orang pejuang Islam dapat menewaskan lebih 1,000 tentera Musyrikin Makkah dalam Perang Badar; jadi jika Petronas patuhi hukum-hakam Allah, insya-Allah ‘vrooom’nya akan menjadi tersangat hebat!

No comments: