Thursday, November 3, 2022

8 Rabiulakhir 1444: Duit kopi RM5 pun disapu... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, apabila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah kalbu (hati)." (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)


SAYA sungguh bertuah kerana dapat menatap dua buku Timur dan Barat hampir serentak di mana ada pendapat penulisnya kelihatan sama. Buku itu adalah 'Islam at the Crossroads' (Islam di Persimpangan Jalan) karya Muhammad Asad (Leopold Weiss) dan Mengenal Diri dan Wali Allah karya Mustapha Mohamed Al-Jiasi Al-Ahmadi.


Buku karya Muhammad Asad itu sudah lama saya beli tetapi mengulang kembali pembacaannya manakala buku karya Mustapha (seorang ustaz dari Kelantan) itu sedang disyarahkan oleh seorang tok guru di sebuah masjid berhampiran kampung saya.


Muhammad Asad membincangkan masalah umat Islam dewasa ini yang sebahagian besarnya meninggalkan ajaran dan budaya Islam sebaliknya melakukan penerimaan besar-besaran cara hidup Barat manakala Mustapha mengambil permasalahan umat dari segi kerohanian kerana tidak ramai orang Islam mengenal diri dan agama yang mereka anuti.


Dalam bab rumusannya, Muhammad Asad antara lain menyatakan: "...I have tried to show that Islam, in its true meaning, cannot benefit by an assimilation of Western civilisation. But, on the other hand, the Muslim world has today so little energy left that it does not offer sufficient resistance. The remnants of its cultural existence are being levelled to the ground under the pressure of Western ideas and customs." Ringkasnya Asad berkata orang Islam tidak dapat faedah daripada penerimaan tamadun Barat tetapi mereka terlalu lemah untuk menolaknya, menyebabkan saki-baki budaya mereka pupus di bawah tekanan idea dan cara hidup Barat.


Ustaz Mustapha pula menulis: "…umat Islam pada zaman moden ini sudah banyak kehilangan moral sifat-sifat kerohanian, tambahan pula kerosakan dunia hari ini adalah disebabkan tekanan-tekanan meniru peribadi kebudayaan Barat (maksiat) yang sangat pesat meluas di rantau ceruk kerana memang ia sangat sesuai dengan nafsu ammarah sehingga kebudayaan umat Islam sendiri hampir tertelan bulat-bulat oleh kebudayaan Barat.


"Maka kepada zaman-zaman yang seumpama ini bolehkah hendak diharap dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang makmur dalam erti kata sebenar yakni dalam serba maju bagi segi kebendaan ataupun kerohanian? Pada menjawabnya mustahil jika ada pemimpin yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab terhadap agama Allah di mana ada keazaman hendak menjalan polisi politik supaya roh Islamiyah dan keimanan dapat hidup berkembang kembali dalam majoriti setiap anggota masyarakat.


"Kebenaran dan keikhlasan terhadap agama Allah sukar hendak dicari kecuali seorang pemimpin itu benar-benar kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah yang tetap waja. Tinjaulah pemimpin-pemimpin besar dulu umpama Nabi kita Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabatnya adalah terdiri daripada manusia yang kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah. Dengan demikian maka tak hairanlah bahawa negara-negara iman di zaman itu dapat ditegakkan di bumi Allah yang halal ini." (muka surat 51 daripada buku Mengenal Diri dan Wali Allah karya Mustapha Mohamed Al-Jiasi Al-Ahmadi, Pustaka Aman Press, Kelantan)


Tok guru ketika mensyarahkan bab ini berkata, kerosakan dalam masyarakat kini adalah disebabkan oleh mereka yang diberi amanah menjadi khianat. Ada pemimpin dan pegawai khianat, mereka berlumba-lumba untuk menimbun kekayaan, sedangkan apa dikehendaki oleh Islam adalah setiap orang kaya dengan sifat kerohanian. Apabila seseorang itu kaya dengan sifat-sifat kerohanian maka apabila menjadi pemimpin dia akan menjadi pemimpin bertakwa, apabila dia menjadi pegawai kastam dia menjadi pegawai kastam bertakwa, dan apabila dia menjadi pegawai polis dia menjadi pegawai polis bertakwa.


Ini tidak, kata tok guru, pemimpin hanya tahu menimbun kekayaan, sesetengah pegawai kastam menggelapkan wang jutaan ringgit manakala ada segelintir anggota polis, duit kopi RM5 pun disapunya. Demikian juga ada penghulu dan tok sidang nak duit pelincir.


"Sebab apa semua ini berlaku? Mereka sebenarnya tidak kaya dengan sifat-sifat kerohanian dalam diri masing-masing. Mereka hanya mahu kaya harta benda saja, tengoklah rumah masing-masing, masya-Allah amat hebat sekali," kata tok guru.


Cara hidup materialistik Barat nampaknya sudah membarah dalam kehidupan masyarakat di mana kejayaan diukur antara lain daripada timbunan harta; soal halal dan haram ditolak ke tepi, jadi jelaslah kepada kita kebenaran pandangan diutarakan kedua-dua sarjana Islam dari Barat (Muhammad Asad) dan Timur (Ustaz Mustapha) itu.

Wednesday, November 2, 2022

7 Rabiulakhir 1444: Kemewahan melampau akhiri kekuasaan...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Imam Abu Ya'la meriwayatkan daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu mengucapkan 'Laa ilaaha illallah' dan 'istighfar'. Perbanyakkanlah bacaan dua kalimat itu kerana iblis mengatakan, "Abu membinasakan manusia dengan dosa-dosa, dan mereka membinasakan aku dengan 'Laa ilaaha illallah' dan 'istighfar'. Ketika aku melihat mereka membacanya, maka aku akan membinasakan mereka melalui hawa nafsu, hingga mereka menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk."


KETIKA saya dalam darjah lima sekolah rendah dulu (1973), dalam mata pelajaran Tawarikh (Sejarah), antara tokoh diperkenalkan adalah Akbar (menggunakan tajuk Akbar Agung atau Akbar the Great). Beliau adalah maharaja ketiga dinasti Moghul yang memerintah pada 1556-1606 Masihi selepas Babur (Zahiruddin Shah) dan Humayun.


Ketika mula memerintah Akbar digambarkan sebagai seorang Muslim yang taat. Beliau dapat meluaskan tanah taklukan Moghul tetapi selepas lama berkuasa Akbar yang kononnya mahu menyatupadukan rakyatnya memulakan satu ajaran baru yang dinamakan Din Ilahi, dicatatkan sebagai menggabungan ajaran Islam, Hindu dan beberapa agama lain. Beliau digantikan anaknya Jehangir (1606-1627M).


Kemewahan yang melimpah-luah tergambar dengan pembinaan Taj Mahal di Agra, sebuah bangunan perkuburan istimewa oleh pemerintah kelima dinasti Moghul,Shah Jahan (1628-1658). Beliau mula mengarahkan pembinaannya pada 1631 Masihi sebagai kenangan buat isteri kedua yang paling dicintainya Mumtaz Mahal. Taj Mahal hanya siap 22 tahun selepas Mumtaz meninggal dunia. Pembinaannya membabitkan 20,000 tukang-tukang pakar.


Bangunan perkuburan yang diiktiraf sebagai salah satu daripada benda ajaib di dunia itu menggunakan 28 jenis batu marmar bernilai tinggi sepenuhnya; keunikannya dikatakan warnanya berubah mengikut waktu. Di dalam Taj Mahal kedapatan makam Shah Jahan dan Mumtaz, lambang percintaan dua sejoli; yang mungkin kisahnya mahu diabadikan oleh pasangan romantis dari serata dunia yang berkunjung ke sini.


Shah Jahan digantikan anaknya, Aurangzeb (1659-1707 M). Sesudah Aurangzeb pemerintah-pemerintah semakin lemah yang tidak dapat mempertahankan kelanjutan kerajaan Moghul.


Sekalipun kerajaan Moghul mencatat kegemilangan dalam pelbagai bidang terutama pembinaan dengan karya-karya arkitektur yang indah dan mengagumkan misalnya bangunan masjid berlapiskan mutiara, istana hebat dan perkuburan menakjubkan seperti Taj Mahal, ada beberapa faktor kelemahannya yang menyebabkan kehancurannya pada tahun1857.


Ahli sejarah menyatakan antara faktornya adalah:


1.Berlaku stagnasi dalam pembinaan kekuatan angkatan bersenjata sehingga tidak dapat memantau gerak langkah tentera Inggeris di wilayah-wilayah pantai. Begitu pula kekuatan pasukan daratnya semakin kurang handal, terutama dalam menggendalikan persenjataan buatannya sendiri.


2. Kejatuhan moral dan hidup mewah di kalangan pembesar kerajaan yang mengakibatkan pemborosan dalam penggunaan wang kerajaan.


3. Terlampau kasarnya sikap Aurangzeb dalam melaksanakan ide-idenya yang menyebabkan terjadinya konflik antara penganut pelbagai agama dan juga antara orang Syiah dan Sunnah.


4. Semua pewaris takhta kerajaan pada zaman terakhir kekuasaan Moghul adalah orang-orang yang lemah dalam bidang kepemimpinan; mereka tidak mampu menguasai tentangan kumpulan tertentu apatah lagi dengan kemasukan orang Inggeris.


Berlawanan dengan sejarah kisah Aurangzeb yang digambarkan orientalis Barat sebagai pemerintah lemah yang gagal menangani masalah rakyatnya, sesetengah sejarawan Islam menganggap Aurangzeb sebagai seorang raja paling zuhud dan alim.


Kecenderungan Aurangzeb pada Islam menyebabkan orientalis menuduhnya zalim kepada penganut agama lain. Menurut sejarawan Islam, orientalis mengangkat hebat nama Akbar sehingga kisahnya dimasukkan dalam buku teks Tawarikh termasuklah yang menjadi kitab tatapan saya semasa dalam darjah lima dulu.


Aurangzeb adalah tokoh yang tegas, berani dan kuat memegang syariat. Beliau juga adalah ahli sufi yang benar-benar kuat menjalankan mujahadah dan latihan-latihan rohani. Beliau juga mujahid yang tidak teragak-agak mengangkat senjata bila keadaan memerlukan. Sembahyang dan puasanya banyak. Beliau mengharamkan kembali peminuman arak, nyanyi-nyanyian, tarian dan gundik yang telah bermaharajalela dalam istana Dinasti Moghul.


Mungkin ketaksuban Aurangzeb kepada ajaran Islam menyebabkan beliau dibenci British dan puak-puak bukan Islam; menyebabkan tekanan paling hebat dikenakan ke atas pemerintah selepas itu sehingga akhirnya berakhirnya kegemilangan empayar Islam (Moghul) di bumi India pada 1857.

Tuesday, November 1, 2022

6 Rabiulakhir 1444: Pemimpin datang dan pergi...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


KITA kini di ambang pilihan raya umum (PRU). Kita dapat menyaksikan sejumlah pemimpin datang dan pergi. Ada yang naik dan ada  jatuh. Segelintir yang tersembam, naik kembali, tetapi kebanyakannya tersungkur tak bangun-bangun lagi.


Pemimpin boleh datang dan pergi dan kerap kali tergelincir dan tersasar, tetapi perjuangan untuk hidup bersandarkan al-Quran dan hadis tetap akan diteruskan sehingga kiamat. 


Hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang, bukannya menjadikan tokoh ternama  sebagai sandaran perjuangan. 


Jika pun seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti. 


Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya. 


Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa. 


Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon semuanya hancur. Demikian juga Donald Trump dan Bush.


Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'. Lihatlah 'si tokoh kecil' di sekeliling pemimpin besar sebagai misalannya. Ketika si besar merengkok dalam penjara, 'si tokoh kecil' ini berkokok menghina, tetapi selepas si besar dibebaskan, dia tidak malu-malu untuk kembali 'membodek'. 


Berhubung perjuangan melepasi batasan tokoh dan sempadan politik ini, penulis tertarik dengan perbicaraan seorang bekas pensyarah universiti dalam satu pertemuan tidak lama dulu. 


Berikut antara pesanan beliau: "Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana." 


Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat dan pergerakan Islam sedangkan pihak lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional. 


"Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global," katanya. 


Berdasarkan perkembangan semasa, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam. 


Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'. 


Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar. 


Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan. 


Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam. 


Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat atau, mereka akan dihancurkan. 


Kesimpulannya, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung. 


Bagi individu Muslim, perjuangan itu adalah sepanjang hayat manakala jemaah Islam usaha menegakkan Islam akan berterusan sehingga hari kiamat!