Wednesday, April 29, 2020

Secebis Kisah Ramadan 6

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan


"Maka barangsiapa yang derhaka dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya." - Q.S An-Nazi'at 37-41 



Secebis Kisah Ramadan 6


Usah persia Ramadan 'berkurung' kali ini



PADA hari-hari penuh barakah Ramadan ini, terkenang saya akan 'seni kerja tangan unik' orang tua-tua Melayu-Melaka pada Ramadan terutama menjelang Aidilfitri, yang sudah pupus. Jika pembaca anak Melaka yang membesar pada tahun-tahun 70-an atau lebih awal, mungkin perasan kerja tangan mudah ini ketika berkunjung ke rumah-rumah orang veteran.


Ketika era 1960-an, saya cukup teruja dengan susunan botol-botol berisi air berwarna yang dipamerkan di rak-rak yang orang Melaka panggil para. Ada barisan air berwarna merah, hijau, biru dan sebagainya. 


Apabila botol-botol air warna yang sama bentuk dan saiznya disusun sedemikian rupa (mungkin 20 atau 30 botol), ia dengan serta-merta menjadi tarikan kanak-kanak seperti saya ketika itu. Ada kalanya ketika cahaya matahari menyimbah ke dalam rumah dan mengenai botol-botol berwarna itu, ia menghasilkan cahaya berwarna yang sungguh cantik (bagi sayalah ketika itu). 


"Nek, nak air sirap tu!" pinta saya, tak tahan melihat 'godaan' air berkilauan itu. Tetapi sungguh memeranjatkan apabila tuan rumah yang saya panggil 'nenek' itu dengan lembut memberitahu saya bahawa air itu bukan untuk diminum. Ia hanya sebagai perhiasan saja! 


Sungguh menghairankan saya, 'air secantik' itu hanya menjadi hiasan, kalaulah boleh masuk ke dalam tekak saya, tentu sedappp! 


Lama kemudian barulah saya tahu, 'air cantik' itu dihasilkan daripada air yang direndam dengan kertas warna. Air itu kemudian ditapis; sisa kertas warna dibuang manakala air dimasukkan dalam botol-botol berkenaan. Botol-botol itu kemudian disusun di para-para, biasanya para di atas sekatan ruang tamu dan dapur supaya tetamu dapatlah melihat dengan jelas keindahan botol-botol berisi air berwarna itu! Ya hasil seni ini cantik tetapi awas, airnya bukan untuk diminum! 


Sekarang ini tiada satu pun rumah orang Melayu yang saya kunjungi ada dipamerkan air berwarna. Ia hanya berada dalam memori orang seangkatan saya atau orang lebih tua. 


Sempena kehadiran  Ramadan ini, teringat juga saya 'kerja seni' orang lama Melayu-Melaka yang bermati-matian membuat kuih tradisional untuk sambutan hari raya. Antara kuih itu adalah dodol dan wajik. 


Dodol seolah-olah hidangan kemestian pada hari raya. Hampir setiap rumah, anggota keluarganya akan terbabit membuat dodol. Kerja membuat dodol terutama mengacaunya amat berat dan lama. 


Berdasarkan pengalaman saya, sebaik saja selepas sahur, kuali besar sudah diletakkan di atas tungku, api mulai dinyalakan dan santan dituang dan dikacau. Kerja mengacau kelihatan mudah, tetapi awas, bahan dikacau itu semakin lama semakin pekat dan likat, maklumlah selepas dimasukkan gula melaka dan sebagainya. Kerja mengacau itu tersangat lama, mungkin hanya berakhir selepas zuhur atau asar! 


Pertengahan waktu sebelum dodol masak adalah saat ditunggu kanak-kanak seperti saya (belum balighlah) kerana kami akan dipanggil beramai-ramai untuk makan dodol cair yang disenduk dan diletakkan di atas daun pisang. Ya, di kalangan keluarga kami, hanya kanak-kanak yang dibenarkan makan dodol cair itu, orang dewasa tidak sama sekali. 


Namun saya dimaklumkan, di sesetengah tempat, ada orang tua pun mencuba dodol yang sedap itu apatah lagi mereka sudah berlalu penat, berhempas pulas 'mendayung' (mengacau) dodol dari subuh sampai asar. Mereka tak puasa pun. Ada yang tertinggal solat subuh, zuhur dan asar kerana leka membuat dodol. 


Sama seperti 'seni' membuat 'air warna', 'seni' membuat dodol pun sudah mati. Sudah puluhan tahun, saya tidak lagi 'mengacau' dodol. Kalau teringin makan dodol 'order' saja atau pergilah ke gerai-gerai di tepi jalan. Tetapi semua itu tidak dapat menyaingi 'dodol cair' yang saya nikmati puluhan tahun lalu! 


Kalau ada orang boleh tak puasa kerana dodol, hari membantai (bergotong royong menyembelih lembu, kambing) menjelang raya juga menjadi penyebab segelintir orang tak puasa. Mereka berkata nak rasa daging baharu. Namun sama seperti 'seni' membuat dodol, acara membantai juga kian pupus. Kebanyakan urusan dilakukan secara komersial. Tetapi sekarang semuanya kena 'stop' sebab perintah 'berkurung' angkara Covid-19.


Dulu banyak juga gerai-gerai menjual daging di tepi jalan menjelang hari berbahagia itu. Namun apa yang saya perhatikan, ada orang bagaikan 'sudah jadi lembu' dalam mengendalikan perniagaan. Siang malam dengan bisnes lembunya malah tengah hari Jumaat ketika orang sibuk ke masjid, mereka tetap tekun di gerai daging lembunya. 


Demikian juga orang yang terbabit dalam bisnes lain dan para pembeli. Siang malam, berniaga dan 'bershopping' sakan untuk beraya. Tidak kira waktu sembahyang ke, malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan ke, mereka tidak peduli. Yang penting hajat mereka untuk melaram raya tercapai. 


Dulu kita banyak menghabiskan masa buat perkara sia-sia. Apa kata Ramadan kali ini yang menyaksikan kita berkurung dalam rumah, kita manfaatkan sebaik-baiknya untuk mengapai keredaan Allah SWT. Berusaha keraslah bersama anggota keluarga untuk mendapatkan tawaran istimewa Allah SWT termasuk dalam memburu Lailatulqadar-Nya!


* Diadaptasi daripada sebuah artikel lama LanH


Tuesday, April 28, 2020

Secebis Kisah Ramadan 5

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

SECEBIS KISAH RAMADAN
Memaksimumkan 'segala ada' demi keredaan-Nya...

Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia; kita kini memasuki Ramadan 1441 Hijrah. bermakna bertambahlah usia kita tetapi hakikatnya semakin hampir kita ke penghujungnya, memasuki alam barzakh (kubur) yang pasti dilalui setiap yang bernyawa 

Berdasarkan hakikat ini, marilah kita mulai saat ini membuat 'pecutan terakhir' Ramadan ini dengan 'segala ada' pada diri kita demi memburu keredaan-Nya. Hendaklah kita ingat bahawa segala yang kita sama ada kemewahan, kuasa, pangkat serta keseronokan dunia atau kepahitannya seperti penderitaan penyakit dan kesengsaraan menanggung kesusahan hidup hanyalah bersifat sementara; semuanya akan berakhir apabila nyawa direnggut daripada tubuh (mati).

Sebelum kita memasuki kubur, pergunakan 'segala kita ada' sebagai modal untuk kita mendapat keredaan Illahi. Bukankah Nabi yang kita kasihi, Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan kita supaya mempergunakan lima perkara (muda, berada, lapang, sihat dan hidup) sebelum datang lima perkara (tua, miskin, sibuk, sakit dan mati). 

Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal pula mengingatkan kita tentang umur, di mana dihabiskan; demikian juga tentang masa remaja, harta dan ilmu; apa yang telah kita lakukan. 

Berdasarkan perkembangan semasa, kita boleh mengambil iktibar daripada pelbagai peristiwa bagi membantu kita mengkoreksi (muhasabah) diri di samping menyemarakkan semangat kita berkorban bagi mendapat keredaan-Nya. 

Di peringkat antarabangsa kita melihat syahidnya pemimpin gerakan Islam tertentu sebagai kayu pengukur pengorbankan kita - apakah kita sudah bersedia melakukan pengorbanan peringkat tertinggi sehingga mempertaruhkan hatta nyawa kita demi mendaulatkan Islam? 

Selepas itu kita bertanya; apakah harta yang sudah kita korbankan untuk Islam? Apakah kita benar-benar sudah mengorbankan harta kita atau setakat sikit-sikit saja; tentunya kita akan teramat malu kerana usaha kita itu tidak sekelumit pun dapat dibandingkan dengan Ummu Mukminin Sayidatina Khadijah Khauwalid yang mengorbankan segala yang beliau ada demi Islam sehingga ketika nazaknya menawarkan tulang belulangnya kepada Rasulullah jika itu dapat digunakan untuk menegakkan Islam. 

Demikian juga masa kita; bagaimana sudah kita guna dan habiskan? Apakah selama ini kita menyia-yiakannya dengan melepak di depan TV atau di kedai berjam-jam lamanya? 

Insaflah dengan kisah perjuangan golongan lampau termasuk sahabat, tabien, tabik tabien dan ulama tetapi jika mahu contoh terdekat; apakah kita sudah menghampiri perjuangan sahabat kita termasuk doktor dan ustaz yang mengorbankan masa, tenaga dan harta mereka membantu orang memerlukan dan susah.

Bagi orang berilmu dan mampu, bagaimana sumbangan kita dalam bidang ini? Apa, adakah ilmu kita sudah manfaatkan untuk kepentingan agama kita atau kita gunakan untuk kepentingan peribadi semata-mata atau lebih buruk lagi kita menyimpannya saja atau berbuat maksiat dengannya? 

Dengan ilmu dan kuasa yang ada, kita memaksiat kepada-Nya dengan melakukan rasuah, menipu dan sebagainya. 

Kesimpulannya bagi 'orang berakal', pergunakan 'segala sumber kita ada' untuk mendapat keredaan-Nya. Pada diri kita sendiri, kedapatan banyak 'sumber-sumber' itu; misalnya mulut kita gunakannya untuk melakukan segala kebaikan seperti menunaikan tanggungjawab agama seperti beribadat, berdakwah dan berzikir, sebaliknya jangan menggunakannya untuk melakukan maksiat.

* Diadaptasi daripada artikel lama LanH

Monday, April 27, 2020

Secebis Kisah Ramadan 4: 'Tangan ajaib'

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35) 


SECEBIS KISAH RAMADAN 4

'Tangan ajaib'


DULU semasa menjadi editor sebuah akhbar, saya meminta seorang ustaz menulis untuk akhbar kami.  Ustaz itu berkata dia akan cuba. Tetapi selepas berjumpa semula, sang ustaz meminta maaf, bahan itu tak dapat disiapkan. Katanya dia tak ada bakat menulis.


Katanya, sekali pun 'biasa' menjadi khatib Jumaat, berceramah, bertazkirah, menyampaian pengajian di masjid dan tempat lain, dia tidak ada bakat menulis.


"Saya cuba menulis, tetapi tak jadi. Dulu apabila menulis menggunakan mesin taip, kerap kali saya renyuk dan lemparkan kertas ke dalam tong sampah. Tak jadi-jadi apa yang saya tulis. Maaf ya, saya tak dapat menulis untuk akhbar awak."


Sekarang ini ketika perintah 'berkurung' dan Ramadan, saya teringat kisah sang ustaz ini. Ramai orang memanfaatkan masa untuk melakukan pelbagai kerja tangan - daripada cuba memasak, membuat kuih, menanam sayur-sayuran dan membuat barangan DIY (do it yourself).


Sekarang orang kita menjadi kreatif, mereka ambil ilham daripada media sosial. Jadi mereka cuba tanam tauge, bawang dan pelbagai sayur-sayuran lain dalam bekas tertentu dan dalam rumah lagi. Mereka masak, cuba pelbagai menu. Ada yang jadi, ada yang hasilnya tak memuaskan dan lebih malang lagi ada 'projek'benar-benar lingkup (ada masakan rentung) dan merugikan!


Dulu saya yang senantiasa menanam sayur-sayuran di sekitar rumah, menghadiahkan benih bendi kepada rakan-rakan dan jiran-jiran di kampung. Seorang sidang kampung mengadu benih yang disemainya tak tumbuh-tumbuh sedangkan tanaman isterinya tumbuh subur dan segar.


Kami ketawa membicarakan hal itu. Kata saya, Allah mengurniakan 'tangan ajaib' kepada orang tertentu. Ada individu mempunyai 'tangan ajaib' dalam bab-bab pertanian - apa yang ditanamnya, insya-Allah menjadi. Ada yang 'tangannya keras dan panas'...apa yang ditanamnya berkemungkinan tak menjadi.


Orang yang 'tangan keras' dalam bab menanam, mungkin dia ada 'tangan ajaib' dalam memasak - apa yang dimasaknya sedap-sedap belaka...seorang anak berkata apa yang dimasak ibunya sedap-sedap belaka...campak-campak saja pun sedap 'nau'!


Ada orang mempunyai 'tangan ajaib' dalam bertukang. Apa yang dibuatnya semuanya menjadi. Ada pula yang 'tangan keras' atau 'keras tangan' - apa yang ditukangnya tak menjadi malah apabila dia naik darah, habis barangan yang dibuatnya dihentam dengan tukul sampai hancur lunyai!


Subhanallah, setiap orang Allah SWT bekalkan kemahiran dan kehebatan pada diri masing-masing. Mungkin tak ada orang yang mempunyai 'tangan ajaib' dalam semua perkara. Kalau seseorang itu mempunyai 'tangan ajaib' dalam semua bidang...susahlah orang lain kerana dia tak perlukan perkhidmatan orang lain.


Sebagai contoh, ada orang ada 'tangan ajaib' dalam bab berniaga; duitnya mungkin berkepol-kepol tetapi dia masih perlukan khidmat orang lain misalnya petani bagi menyediakan beras, nelayan bagi menyediakan ikan, pengusaha makanan bagi menyediakan minyak, tempe, mi, cili boh dan sebagainya. Malah dia perlukan 'tangan ajaib' sang isteri atau pembantu bagi menyiapkan 'makanan di meja'!


Jadi, jangan risau jika anda tidak mempunyai 'tangan ajaib' sebaliknya 'tangan keras' atau 'keras tangan' dalam memasak atau menanam sayur kerana hasilnya 'HANCUS', tetapi anda perlu sedar dan insaf dikurniakan Allah SWT 'tangan ajaib' dalam bidang lain...anda perlu akui nikmat Allah ini, jika tak tahu, cuba muhasabah diri, apatah lagi kini adalah Ramadan.


* TERUSKAN amalan Ramadan sekali pun dalam 'berkurung'