Sunday, April 26, 2020

Secebis Kisah Ramadan 3

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

 Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."


Secebis Kisah Ramadan 3
Sungguh bersederhana kita kali ini

Bagi penulis bersama isteri dan dua orang anak yang 'terkurung' di rumah, Ramadan kali ini (1441 H) dijalani begitu sederhana sekali. Isteri, seorang guru tak pergi sekolah, manakala seorang anak lelaki adalah siswa universiti yang sempat balik kampung, manakala yang perempuannya menunggu peluang ke IPT selepas SPM.


Sejak 'perintah duduk rumah' pada 18 Mac, memang kami solat berjemaah setiap waktu dengan penulis dan si anak lelaki bergilir-gilir menjadi imam. Ya, takkanlah isteri dan anak gadis nak jadi imam...


Ketika Ramadan tiba, penulis 'cuba-cubalah' jadi imam tarawih dengan membaca surah-surah pendek, tetapi 'pencen sebentar' (Ramadan masih panjang jadi masih ada peluang jadi imam semula) kerana 'sedar diri' apabila giliran si anak menjadi imam, dia membaca surah-surah yang panjang seperti al-Baqarah. Sekarang ini, dia 'borong' menjadi imam tarawih dan witir sekali, penulis hanya jadi makmum.


Ah malunya...Ramadan kali ini 'membuka topeng' diri...sebenarnya 'aku' taklah 'sealim' seperti disangka dan dilihat pada penampilan fizikal (seperti berkopiah dan berjubah)...demikian agaknya yang terpaksa diakui oleh ramai juga ketua keluarga yang pertama kali menjadi imam apatah lagi imam tarawih di rumah.


Bercakap soal makan (sahur dan berbuka), kali ini kami cukup sederhana sekali. Apa yang dapat disediakan di dapur itulah kami makan. Tidak ada lagi 'bahan import' seperti dari pasar dan bazar Ramadan. Tidak ada lagi 'makanan X-tra' yang dibawa balik dari masjid (seperti lebihan makanan berbuka atau moreh) dan daripada kenduri kendara (jemputan majlis berbuka puasa).


Air 'khas' (seperti jug atau tekoh teh atau kopi) pun tak disediakan. Siapa nak minum, boleh bukak pek minuman Milo ke, Nescafe ke, kopi ke, teh ke...taruh dalam mug sendiri kemudian suakan ke muncung bekas pemanas air automatik..kemudian kacau dan 'minum sendirilah'. Cara ini tak membazir kerana masing-masing boleh habiskan minuman kesukaan masing-masing. Kalau sediakan banyak-banyak seperti sejug kopi, bukan semua orang suka kopi...akhirnya dibuang saja.


Begitu juga yang mahu minum air sejuk. Ambil sendiri, bancuh sendiri kemudian masukkan dalam peti sejuk awal-awal atau nak pakai ais pun boleh. Betul, pada kali ini tiada 'air import' seperti air tebu dalam plastik atau jug, air katira apatah lagi 'air tujuh warna' tu!


Masakan pun tak banyak jenis. Kalau hidangan utamanya pada berbuka, cucur kodok udang berkuah, itu saja yang ada selain sedikit kurma dan buah-buahan; dan kalau rasa tak kenyang, adalah nasi dengan satu dua lauk, itu pun untuk 'disambung' pada sahur nanti...alhamdulillah, begitu 'ekonomikal' nampaknya 'orang rumah kita' kali ini...


DULU kita tak MACAM ini, selami artikel ini...

Ramadan bukan pesta makan-makan...




Menjelang Ramadan ini, pelbagai kisah pelik kita lihat dan dengar. Antaranya ribuan peniaga terutama yang menjual makanan berebutkan lot bazar atau pasar Ramadan.

Kemudian stesen televisyen sibuk dengan rancangan memasaknya, seperti Ketuk-ketuk Ramadan. Hotel pula sibuk dengan buffet Ramadannya. Masjid dan surau pula sibuk dengan jaudah berbuka puasa dan morehnya. Pendeknya semuanya berkaitan makanan sedangkan antara maksud puasa itu menahan daripada makan.

Menjelang Ramadan saya teringat artikel ini yang pernah saya tulis. Ia juga berkenaan pesta makan-makan dan membeli-belah pada ketika Ramadan.

Hal yang akan diperkatakan ialah mengenai perilaku sesetengah kita pada bulan Ramadan dan semasa Aidilfitri.

Pada saya perkara yang berlaku dalam masyarakat perlu diketengahkan, kemudian dikupas oleh alim ulama dan dikeluarkan nasihat, agar ibadat yang dijalani tidak diiringi perbuatan yang tidak sejajar dengan tuntutan agama.

Dalam masyarakat kita, belum pun umat Islam berpuasa, para peniaga sudah pun mengeluar dan mengedarkan risalah dan katalog tawaran Ramadan dan Aidilfitrinya.

Katalog tawaran raya sebuah rangkaian kedai perabot terkenal yang dihantar ke rumah-rumah, bukannya nipis - gulungan kertasnya membentuk sebuah 'baton lumba lari berganti-ganti'.

Selain katalog 'baton' ini, peti surat juga dipenuhi dengan pelbagai risalah tawaran istimewa. Daripada barangan elektrik sehingga kain ela, semuanya ada ditawarkan.

Pelbagai hadiah istimewa disediakan, siap dengan slogannya, 'siapa cepat dia dapat'.
Ramai suri rumah, malah 'bapa rumah', terpesona dengan tawaran istimewa itu. Mana tidaknya, misalnya, syarikat rangkaian perabot terkenal itu tidak memerlukan seseorang pembeli membayar cengkeram untuk barangannya.

Mula saja puasa, pusat membeli-belah pun berlumba-lumba menyiapkan dekrorasi dalamannya dengan 'setting' Hari Raya - ada yang yang menggabungkan sambutan Deepavali - maka jadilah Deeparaya. Sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu kota menyediakan sebuah pentas khas berbentuk pelita dengan slogan 'Cahaya Lebaran'.

Laporan berita televisyen menunjukkan eksekutif kanan pusat beli-belah itu ketika diwawancara memberitahu, bagi memeriahkan sambutan menjelang Aidilfitri, mereka akan mempersembahkan pelbagai tarian kebudayaan bagi menunjukkan betapa berpadunya rakyat Malaysia dalam menyambut pelbagai perayaan rakyatnya.

Selain pesta membeli-belah sebelum raya, di Malaysia seolah-olah sudah menjadi 'trend' untuk menjadikan Ramadan sebagai pesta atau karnival makan-makan.

Menjelang saja Ramadan, wujud pelbagai tempat pelbagai aktiviti tambahan seperti 'Pasar Ramadan, Bazar Ramadan, Pasar Minggu Ramadan, Gerai Ramadan dan Karnival Ramadan', seolah-olah bulan ini adalah untuk perhabis dari segi makan dan kegiatan membeli-belah.

Pelik sungguh, Ramadan adalah bulan puasa tetapi berdasarkan keghairahan kita mewujudkan pelbagai jenis pasar Ramadan ini, soal makan menjadi keutamaan bukannya puasa itu.

Aktiviti 'makan-makan' tidak terhad tempatnya - daripada di gerai tepi jalan sampailah ke hotel lima atau enam bintang. Makanan pelik-pelik yang tiada pada bulan lain seperti tahi itik atau tepung pelita, tiba-tiba saja muncul untuk memenuhi selera 'orang berpuasa'.

Di masjid dan surau pula diadakan 'majlis makan' (moreh), biasanya selepas solat tarawih. Adalah digalakkan untuk mengadakan majlis sederhana tetapi yang menyedihkan ada pengurusan surau yang sanggup 'mengemis bantuan' kepada orang politik (wakil rakyat) bukan Islam semata-mata untuk membeli gula dan kopi.

Di mana terletak maruah orang Islam jika untuk membeli kopi dan gula pun, mereka tidak dapat berdikari tetapi terpaksa 'meminta-minta' terutama daripada orang kaya bukan Islam?

Dalam suasana Ramadan ketika ini, di tepi-tepi jalan di sesetengah tempat, dibina gerai sementara yang menjual aneka barangan. Ada pula mendirikan bangsal untuk menjual daging lembu dan ayam. Semuanya seolah-olah menunjukkan fikiran dan tumpuan orang Islam hanya pada 'makan dan perhiasan saja'.

Seorang tokoh politik pernah meminta ulama supaya menegur sesetengah umat Islam yang menjadikan Ramadan bulan pesta makanan serta membeli-belah dan tidak mempedulikan langsung untuk meningkatkan amalan masing-masing.

Misalnya ada yang 'seronok' menjual daging lembu di bangsal di tepi jalan sehingga sehingga tidak mempedulikan solat waktu. Mereka sanggup menjadi 'penunggu lembu' siang dan malam.

Kata tokoh itu, ketika ini pelbagai kegiatan kurang sihat seperti pesta buka puasa dan Karnival Ramadan berkembang pesat.

"Jika kita tersalah langkah, ibadat puasa akan jadi pesta pula nanti," katanya.

Tokoh itu bimbang ibadat puasa umat Islam akan bertukar menjadi pesta haji seperti yang berlaku pada zaman Jahiliah.

Sejarah haji yang bermula sebagai ibadah pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan anak baginda, Ismail a.s. akhirnya bertukar menjadi pesta selepas itu sebelum dikembalikan ke landasannya oleh Nabi Muhammad s.a.w., katanya.

Pada kemuncak maksiat pesta haji itu, pengunjung Baitullah melakukan tawaf dengan keadaan bertelanjang bulat, katanya. Tokoh politik itu bimbang, jika ulama tidak membuat teguran, dikhuatiri puasa akan bertukar menjadi pesta yang terkandung pelbagai unsur negatif seperti menggalakkan amalan membazir, bercampur-gaul lelaki perempuan ketika majlis berbuka dan dicampur-adukkan dengan pesta hiburan termasuk nyanyian.

Beliau berkata, salah satu cara untuk mengukur sama ada puasa itu membawa perubahan positif atau negatif, hitunglah perbelanjaan - kalau ia terlalu besar berbanding bulan di luar Ramadan, bermakna seseorang itu gagal dalam puasanya tetapi jika ia dapat berjimat dan melebihkan ibadat dan siraturahim, bermakna dia berada di landasan yang betul.

Apabila menyambut Aidilfitri pula, pelbagai amalan songsang seperti kegiatan bermain judi (budak-budak pula main tikam-tikam), pesta-pesta hiburan dan hidangan minuman keras menjadi 'trend' sesetengah orang yang mengaku beragama Islam.

Semua amalan-amalan negatif perlu dibendung agar hukum-hakam dan syiar Islam sentiasa terpulihara manakala orang bukan Islam tidak memandang hina kepada Islam hanya disebabkan sikap buruk sesetengah penganutnya, katanya.

Saturday, April 25, 2020

Secebis Kisah Ramadan 2

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) *


Assalamualaikum wbt sahabat/i yang dikasihi
RAMADAN KAREEM

Secebis Kisah Ramadan 2


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) mengehadkan pergerakan saya di dalam dan sekitar rumah. Namun ada kalanya saya 'berpeluang' bergerak jauh - baru-baru ini ke sebuah klinik komuniti bagi mendapatkan bekalan ubat penyakit diabetes dan darah tinggi.


Sebenarnya pada PKP ini saya mempunyai temu janji untuk diambil darah dan seminggu kemudiannya berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan...biasalah bagi pesakit kronik tak berjangkit ini ada temu janji tiga atau empat bulan sebelum diberikan ubat.


Tetapi ketika penularan COVID19 sekarang ini pertemuan dengan doktor ditangguhkan, sebaliknya pesakit diberi ubat dan mendapat temu janji baru - tiga atau empat bulan lagi dan bagi saya Ogos nanti.


Apabila keluar rumah, dapatlah saya 'meluaskan' pandangan. Antara perkara saya lihat pekerja pembersih seperti tukang sapu masih bekerja. Sayu melihat sesetengahnya pekerja tanpa penutup mulut dan hidung (mask) termasuk di klilik yang saya kunjungi.


Hampir semua orang memakai 'mask' apatah lagi di petugas di depan klinik yang siap 'berplastik' lagi, tetapi seorang tukang sapu tua 'selamba' menjalankan tugasnya tanpa 'pelindung'. Mungkin si pak cik ini tak mampu membeli 'mask' yang sekarang ini susah didapati dan mahal pula. Mungkin wang RM2 atau RM5 lebih berharga untuk dia atau keluarganya membeli keperluan asas seperti beras.


Terharu saya melihat senario itu, saya meraba poket dan menghulurkan sekeping not kepadanya. Bagi orang 'pencen' tanpa 'duit pencen' ini, sumber 'wang mahsyuk' saya cukup-cukup makan dan bayar bil saja apatah lagi pada PKP ini, tetapi saya yakin si pekerja tadi lagi susah nasibnya.


Sebenarnya, duit yang saya bagi itu adalah sebahagian 'seciput' wang yang biasa saya masukkan dalam tabung masjid pada setiap hari dan Jumaat. Sekarang tak boleh berbuat demikian selepas masjid 'ditutup', jadi saya kumpulkan dan sedekah kepada jiran atau mereka yang difikirkan kurang mampu yang sempat ditemui.


Si pakcik tadi mengucapkan ribuan terima kasih, saya lihat wajahnya terkuak sedikit keceriaan, senyuman yang dihadiahkan membuatkan saya 'begitu terpukul; saya berasa seolah-olah hari itu 'ada makna' bagi saya...


UNTUK RENUNGAN


  1. DALAM Al-Quran banyak sekali ayat yang menganjurkan Muslimin untuk senantiasa memberikan sedekah. Antara ayat yang dimaksud adalah firman Allah SWT yang ertinya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (QS An Nisaa [4]: 114)
  1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‫والصدقة‬‫تطفىء‬‫الخطيئة‬‫كما‬‫تطفىء‬‫الماء‬‫النار‬ “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi, di shahihkan Al Albani dalam Shahih At Tirmidzi, 614) 

  2. Allah Ta’ala berfirman: َّ‫ن‬ِ‫إ‬ََ‫ين‬ِ‫ق‬ِِّ‫د‬ّ‫ص‬ُ‫م‬ْ‫ال‬َِ‫ت‬‫ا‬َ‫ق‬ِِّ‫د‬ّ‫ص‬ُ‫م‬ْ‫ال‬ َ‫و‬ََ‫أ‬ َ‫و‬‫وا‬ُ‫ض‬َ‫ر‬ْ‫ق‬ََ ّ‫اَلل‬َ‫ضا‬ ْ‫ر‬َ‫ق‬َ‫نا‬َ‫س‬َ‫ح‬َُ‫ي‬َُ‫ف‬َ‫ع‬‫ا‬َ‫ض‬َْ‫م‬ُ‫ه‬َ‫ل‬ َْ‫م‬ُ‫ه‬َ‫ل‬ َ‫و‬َ‫ر‬ْ‫ج‬َ‫أ‬َ‫يم‬ ِ‫ر‬َ‫ك‬ “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)
  1. “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik- baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Allah Kasih Pada Orang Bersedekah, Al-Baqarah, Ayat 195

  2. Allah akan membalas kebaikan kepada orang yang bersedekah Al-Baqarah, Ayat 215: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang- orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”
  1. “Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual- beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.” Sedekah Jadi Peneman Di Hari Akhirat, Al-Baqarah, Ayat 254:

  2. Allah melipat gandakan ganjaran kepada orang bersedekah, Al-Baqarah, Ayat 261: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

  3. Allah janjikan pahala kepada orang bersedekah, Al-Baqarah, Ayat 262: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Friday, April 24, 2020

Secebis Kisah Ramadan 1

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)


SECEBIS KISAH RAMADAN 1

RAMADAN KAREEM

ALHAMDULILLAH, Ramadan ini mengingatkan saya akan penegasan seorang lelaki Palestin ketika saya berkunjung ke Baitulmaqdis menjelang bulan suci itu setahun lalu. Dakwanya, dunia sudah berada di ambang 'peristiwa akhir zaman'. 

Pada era ini tidak berlaku peperangan membabitkan senjata canggih (sofistikated) seperti sekarang, tetapi manusia bertempur menggunakan senjata 'tradisional' seperti pedang dan menunggang kuda, dakwanya.

Ketika itu saya tidak dapat membayangkan apa yang dicakap oleh lelaki Palestin itu. Sukar untuk saya menerima bahawa senjata-senjata canggih seperti peluru berpandu dan bom nuklear tidak dapat digunakan oleh kuasa-kuasa besar dunia. 

Bukankah dengan mudahnya, seperti contoh pada Perang Teluk (Iraq), mereka dengan sombong meledakkan' senjata pemusnah dari jauh dengan menekan 'butang' saja. Mereka mendakwa boleh memusnahkan dunia dengan sentuhan jari!

Habis, kenapa senjata sofistikated tidak dapat digunakan pada 'akhir zaman'?  Dulu payah saya membayangkannya, tetapi sekarang 'kehadiran' wabak COVID 19, 'menyerlahkan' apa didakwa lelaki Palestin itu. Beliau tidak sabar-sabar menanti kehadiran era itu kerana Palestin dan rakyatnya sudah cukup dizalimi,

Serangan virus menyebabkan seluruh dunia lumpuh, ternyata kuasa besar dunia atau yang berlagak demikian seperti Amerika Syarikat, China, Jerman dan Itali menyaksikan mangsa termasuk korban yang tak terperi ramainya. Mana dia senjata canggih mereka...

Sempena Ramadan ini, marilah kita ingat-ingat kembali dan merenung Surah Al-Fiil (Surah 105) dan maknanya...


Surah Al-Fiil - سورة الفيل

Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

A001
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
(Al-Fiil 105:1) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark
A002
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
(Al-Fiil 105:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark
A003
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
(Al-Fiil 105:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark
A004
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
(Al-Fiil 105:4) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark
A005
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.





Tanah Suci 17: Tersesat sehingga ke Masjid Jin

WALAUPUN sudah banyak tahun mengerjakan fardu haji, kisah di Makkah ini tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini.


Saya menunaikan fardu haji setahun sebelum bersara daripada jabatan kerajaan, iaitu pada April 1992.

Melalui sebuah syarikat swasta, Citra, saya dan rombongan bertolak dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Tanah Suci.

Kami yang bercadang mengerjakan haji tamattuk, bertolak terus ke Madinah Al-Munawarrah selepas tiba di Jeddah. Kami berada di Madinah selama lapan hari, jadi dapatlah kami solat fardu 40 waktu di Masjid Nabawi yang agung lagi mulia itu.

Kami juga berpeluang menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah seperti ke Jabal Uhud dan Masjid Quba. Untuk menambah pengalaman, kadang-kala saya berjalan seorang diri apabila ada masa terluang.

Selepas lapan hari, akhirnya kami ke Makkah untuk menunaikan umrah. Mengikut kaedah menunaikan haji, apabila seseorang itu berniat dan berazam menunaikan haji tamattuk, dia hendaklah terlebih dahulu mengerjakan umrah sebelum menunaikan haji. Kaedah haji tamattuk memerlukan seseorang jemaah itu membayar dam, iaitu seekor kambing.

Setelah sekian lama berada di Tanah Suci Makkah menunggu keberangkatan ke Arafah bagi menunaikan haji, saya terasa seakan-akan sudah biasa, macam di tanah air pula.

Saya tidaklah berapa berminat berjalan ke sana ke sini mengikut anggota rombongan lain, oleh itu saya menggunakan peluang itu menumpukan perhatian kepada beramal ibadat saja.

Saya berpendapat bermadailah saya ke Tanaim dan Jarranah sebagai tempat permulaan untuk mengerjakan umrah sunat.

Rupa-rupanya niat saya untuk bersendirian dalam mengerjakan umrah semacam tidak direstui Allah SWT.

Suatu hari semasa sendirian beredar dari Masjidilharam untuk balik ke hotel, selepas solat subuh, saya tidak nampak tempat penginapan saya sekalipun sudah beberapa kali saya berlegar-legar di sekitar Hotel Al-Ansar yang saya diami.

Hendak bertanya segan, mulut seakan bisu, kaki bertambah lesu hinggalah terik matahari baru dapat saya kembali ke bilik hotel!

Ketika itu jam hampir 12.00 tengah hari. Ketika saya mahu masuk ke hotel, jemaah lain pula sibuk meninggalkan tempat penginapan, menuju ke masjid untuk menunaikan solat zuhur.

Pada pagi keesokan harinya, dalam perjalanan balik dari Masjidilharam ke hotel, nasib saya serupa juga, malah lebih teruk. Kali ini saya tersesat lebih jauh. Saya tebalkan muka, membuka mulut bertanya orang ramai.

Saya berpegang pada pepatah 'segan bertanya sesat jalan'. Pada jam 3 petang, saya sampai ke sebuah kantor pos, saya memasukinya, kononnya untuk membeli setem, tetapi sebenarnya untuk bertanya di mana hotel penginapan saya.

Nasib baik kerani pos itu tahu di mana kedudukan hotel saya itu.

Pada kali ketiga, cabaran lagi hebat. Mana tidaknya, selepas solat Isyak, saya yang cuba kembali ke hotel, tersesat lagi.

Kali ini sehingga matahari terbit pada keesokan harinya barulah saya menemui hotel penginapan.

Pada malam 'penuh bersejarah' itu, saya sempat singgah di sebuah gerai tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan.

Ketika berjalan, saya perasan jalan itu agak sunyi dan menghala ke kubur Sayidatina Siti Khadijah (Perkuburan Ma'la).

Semasa berjalan-jalan mencari jalan pulang, saya mula perasaan orang mula tiada di jalan raya. Hati saya mula cemas.

Saya berjalan lagi dan ternampak ada seorang hamba Allah di sisi kedainya yang sudah ditutup.

Dari jauh saya ucapkan salam dan bertanya: "Mina Haram?"

Dia menunjukkan ke arah sebuah masjid. Saya pun menuju ke arah yang ditunjukkan. Akhirnya saya sampai di Masjid Jin!

Ada dua orang perempuan di situ. Seorang ibu dan anaknya meminta saya menunjukkan mereka jalan ke Kedai Makan Malaya.

Saya kata: "Saya pun sesat, Hajah."

Kami pun bersama-sama mencari jalan keluar, dan akhirnya selepas diizinkan Allah, selepas matahari terbit pada keesokan harinya barulah saya ketemui orang yang dapat membantu kami.

Selepas kejadian itu, saya mohon keampunan dan taubat, setelah itu kejadian buruk tidak lagi menimpa diri saya. - HASHIM MAT NASIB

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com