Sunday, April 19, 2020

Tanah Suci 16: Terselamat daripada Tragedi Muassim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PENGALAMAN menunaikan haji pada usia 20-an amat berbeza dengan mengerjakannya pada usia yang agak lanjut. Namun semua itu bergantung kepada keupayaan diri dari segi kewangan, kesihatan dan yang penting matlamat haji itu sendiri.

Bagi saya mengerjakan haji pada waktu muda adalah matlamat utama yang saya idamkan kerana saya bimbang tak dapat mengerjakannya dengan sempurna ketika usia tua. Lagi pun mengerjakan haji pada usia muda memungkinkan kita menimba lebih banyak pengalaman haji dan umrah jika ada kesempatan sebelum tua dan uzur.

Pengalaman pertama kali mengerjakan haji pada tahun 1990 tidak lekang daripada ingatan saya. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Madinah dan Makkah dan dalam tahun itulah terjadinya tragedi Muassim yang mengorbankan banyak jemaah haji dari seluruh dunia.

Alhamdulillah saya terselamat apabila bas yang sepatutnya membawa kami ke Muassim untuk melontar, telah 'tersesat'. Kami sepatutnya tiba di Muassim sebelum subuh, tetapi terpaksa pula 'berkukus' dalam bas yang tak ada hawa dingin lebih 12 jam.

Dalam bas yang agak daif, bilangan jemaah tak begitu ramai kerana kami naik bas yang hampir penghabisan. Di pertengahan jalan bas berhenti-henti untuk menumpangkan jemaah yang berjalan kaki iaitu jemaah dari negara lain. Ini menyebabkan bas penuh sesak.

Saya terpaksa berdiri memberikan ruang duduk kepada wanita tua. Saya tak bawa makanan melainkan sebiji epal, sedikit air yang dibuat wuduk dan untuk minum. Tiba di terowong Azziziyah dekat Makkah, bas sudah tak boleh bergerak ke mana lagi, kami diarah turun dan cari jalan sendiri ke arah bendera Malaysia yang sayup kelihatan dari tempat kami diturunkan.

Keadaan cuaca terlalu panas. Saya, kakak dan abang ipar meredah jalan-jalan yang dipenuhi oleh khemah-khemah sementara.

Sepanjang jalan saya hanya mampu berdoa: "Ya Allah terimalah amalku, ya Allah kuatkanlah kakiku ini untuk ibadah kepada-Mu sepanjang hayat. Ya Allah jika sampai ajalku, Engkau redalah ke atas diriku, ampunilah aku. Rabbana atina fid dunnya hasanah, wa fil akhiroti hasanah, wa qina 'azabbannar." Itulah doa yang saya ucapkan di samping doa-doa yang dihafal dari buku Al-makthurat sepanjang jalan sementara sampai ke Muassim.

Perut yang berdendang berkeroncong sudah tak dihiraukan lagi. Tak banyak yang kami bualkan sepanjang jalan. Sekali sekala kami berhenti dekat khemah jemaah lain, tapi tak ada siapa mempelawa kami berteduh jauh sekali nak pelawa minum atau makan.

Mungkin kerana perbezaan bahasa. Air yang kami bawa tak diminum sangat kerana hendak berjimat. Masa itu juga terfikir di mana jemaah yang berkhemah itu buang air kerana tak nampak pun 'tandas bergerak' .

Pada masa itu selain zikir dan doa yang tak henti-henti, kami melihat-lihat dan tercari-cari jemaah-jemaah lain yang tadinya turun daripada bas bersama kami. Tapi hanya kelihatan dua tiga orang sahaja.

Hendak mencari mereka pun, sudah tidak terfikir. Kami perlu sampai ke destinasi, yang pada ketika itu tak pasti tempatnya. Tiada petugas haji sepanjang jalan. Kami hanya bertanya-tanya kepada orang yang kami temui, hanya satu perkataan disoal balik: "Malaizia?"

Akhirnya sampai juga kami ke khemah KT60 yang terletak hampir di hujung. Kami mengambil masa kira-kira dua jam setengah, mungkin kira-kira lima kilometer jauhnya. Tiba di khemah jam 2.30 petang, masih sempat untuk solat zuhur.

Letih tak boleh nak dibayangkan. Waktu itu adalah hari raya, orang di Malaysia tentunya sedang sedap menghadap ketupat dan TV, tapi kami ketika itu terpinga-pinga dengan kesesakan yang luar biasa.

Keluarga di Malaysia pula sentiasa mengikuti skrin TV, takut jika nama kami terpapar sebagai arwah. Bimbang keluarga berbeza dengan bimbang kami yang masih tak dapat membayangkan apa yang terjadi. Kami tidak mendengar radio, tidak menonton TV dan tidak membaca akhbar.

Pada ketika itu kami tidak tahu apa yang berlaku sehingga waktu Maghrib barulah ustaz-ustaz bertugas buat pengumuman tentang terjadinya kemalangan di tempat melontar.

Malam itu mutawif haji membawa kami melontar waktu tengah malam melalui jalan lain iaitu di luar bukit yang menyaksikan tragedi 'kematian beramai-ramai'. Jaraknya lebih kurang empat kilometer berbanding dua kilometer jika ikut terowong.

Keadaan kelam kabut di khemah kerana ada anak-anak yang pulang dari terowong tanpa ibu bapa. Ada yang hilang mahram, macam-macam peristiwa tangisan yang membuat kami bertambah bingung.

Dalam kesesakan manusia, kami patuh arahan petugas Tabung Haji walaupun kakak saya sudah ada pengalaman haji sebelumnya.

Apa yang sebenarnya terjadi dan bagaimana kejadian berlaku masih tidak kami ketahui. Kami lebih menumpu kepada ibadah.

Alhamdulillah walaupun siangnya kami sudah berjalan kaki sejauh lima kilometer, dan malamnya terpaksa lagi berjalan lapan kilometer (pergi balik) tetapi Allah masih memberikan kekuatan sehingga selesai ibadah melontar.

Inilah kekuatan luar biasa yang saya alami sepanjang hidup, berjalan berbatu-batu siang dan malam. Walaupun saya masih ada kesan demam campak, saya gagahi segalanya untuk menyempurnakan rukun Islam saya.

Tak dapat saya bayangkan jika kejadian itu berlaku ketika usia saya lebih 60 tahun. Dapatkan saya berjalan segagah itu? Saya merasa amat lega apabila tanggungjawab seorang Muslim sudah tertunai dan tahun-tahun berikutnya saya berkesempatan melakukan umrah.

Pengamalan ibadah haji yang pertama itu telah mengajar saya erti sabar, tabah, bertolak ansur dan paling penting ialah ia mengajar erti tawakkal yang sebenar.

Ketika berjalan tanpa panduan dan peta, di sebuah negara asing, tiada sanak saudara yang hendak dihubungi, terasa betapa dekatnya diri dengan Allah.

Hanya Allah ada di hati, di lidah dan di fikiran. Itulah saatnya saya merasakan tawakkal saya berada di puncak. Alhamdulillah, bersyukur saya kerana telah menyempurnakan rukun Islam kelima. - HAJAH LATIFAH

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com

Sunday, April 12, 2020

Tanah Suci 15: Perangai Arab cepat minta maaf...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan *************************** "Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


SAYA dan isteri menunaikan ibadat haji secara muasasah, kelolaan Lembaga Tabung Haji beberapa tahun lalu.

Selepas menerima surat tawaran, kami membuat persiapan rapi termasuk menghadiri kursus, membeli kelengkapan haji, memohon cuti dan menguruskan hal ehwal anak-anak yang akan ditinggalkan.

Adalah dinasihatkan kepada suami isteri yang bercadang menunaikan haji supaya melebihkan perbelanjaan untuk anak-anak yang ditinggalkan kerana kadang-kadang pelbagai perkara tidak diduga berlaku seperti penangguhan penerbangan balik.

Saya dan isteri mengerjakan haji ifrad kerana ia lebih afdal, lebih-lebih lagi kami berlepas ke Tanah Suci lapan hari sebelum hari wukuf.

Alhamdulillah selama lapan hari sebelum ke Arafah dan Mina dan sehingga selesai semua manasik haji, saya dan isteri berjaya menjaga tata tertib dan pantang larang ketika ihram.

Dalam hal ini, seseorang yang menunaikan haji perlu mempunyai ilmu kerana jika dilanggar pantang larang ketika ihram ia akan merosakkan ibadat haji.

Antara pantang larang itu, ada dikenakan dam (denda) ringan dan ada pula berat. Misalnya jika melanggar larangan seperti mengerat kuku dan menanggalkan bulu pada anggota tubuh, dam dikenakan ringan seperti memberi makan kepada fakir miskin.

Berlainan halnya jika seseorang itu melakukan persetubuhan dalam ihram, dia akan dikenakan dam (denda) berat, iaitu seekor unta dan hajinya menjadi rosak dan dia diperlukan untuk kembali menunaikan haji pada tahun berikutnya.

Selain haji ifrad, seseorang itu diperlukan untuk mengetahui dua lagi kaedah menunaikan haji iaitu tamattuk iaitu mengerjakan umrah dulu sebelum haji manakala satu lagi kaedah ialah haji qiran iaitu mengerjakan haji dan umrah secara serentak.

Apabila selesai ibadah haji, untuk melengkapkan ibadah tersebut, jemaah haji akan melakukan ibadah umrah (haji ifrad - haji dahulu diikuti umrah).

Untuk melakukan ibadah umrah sama ada yang wajib atau sunat, para jemaah perlu pergi ke miqat seperti Tanaim atau Jahranah untuk memakai pakaian umrah, niat umrah dan solat sunat umrah.

Ramai jemaah haji memilih menaiki van orang Arab yang mudah didapati di hadapan maktab (tempat penginapan jemaah). Ramai juga yang memilih menaiki bas. Bayarannya kira-kira empat riyal (RM4.00) untuk perjalanan pergi dan balik.

Suatu hari ketika mengerjakan ibadat umrah (saya lupa umrah yang keberapa) saya, isteri dan kawan-kawan sebilik memilih sebuah van untuk pergi ke Tanaim.

Van tersebut hanya boleh memuatkan kira-kira 10 penumpang sahaja, tetapi pemandu van tersebut (seorang lelaki Arab) telah mengarahkan kami kesemuanya (lebih kurang 15 orang) menaiki van tersebut.

Saya yang bertindak sebagai jurucakap kerana boleh berbahasa Arab sikit-sikit, telah membantah dengan meluahkan kalimah "zimmah, "zimmah" yakni penuh, penuh.

Akhirnya pemandu van itu mengalah dan memuatkan kira-kira 10 penumpang sahaja.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Tanaim, pemandu itu asyik membebel sahaja. Ketika perjalanan balik ke Makkah, van itu berhenti di sebuah lampu isyarat dan kebetulan di sebelahnya juga ada van yang mengangkut jemaah haji dari Tanaim.

Pemandu tersebut telah berbual dengan pemandu van satu lagi dan antara lain dalam perbualan tersebut pemandu van saya naiki berkata: "Di dalam van ini ada wahid syaitan."

Apabila sampai di Makkah, semasa hendak memberi tambang van tersebut, saya telah menegur pemandu van itu yang telah menggelarkan diri saya 'wahid syaitan'.

Pemandu itu terperangkap kerana tidak disangkanya saya memahami apa yang dibualkannya.

Sekalipun kelihatan amat bersalah tetapi dia terus menghulurkan tangannya, meminta maaf dan terus memeluk saya.

Ketika bersalaman, dia memuji-muji saya kerana boleh berbahasa Arab. Saya memaafkannya dengan memberi balasan senyuman dan bergelak ketawa selepas itu.

Itulah serba sedikit pengalaman saya. Mungkin jemaah haji lain 'terkena' dengan sesetengah orang Arab tempatan yang mengambil kesempatan, tetapi mereka nampaknya cepat meminta maaf apabila menyedari kesilapan masing-masing. - WAN ISMAIL

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com

Friday, April 3, 2020

Tanah Suci 14: RM50 sebulan, lama-lama dapat jua tunai haji

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DISEBABKAN saya ke Tanah Suci secara bersendirian, kadang-kadang timbul juga rasa cemas jika tidak menemui teman yang sesuai apabila berada di sana.

Bagaimanapun kebimbangan itu tidak berasas kerana sebaik saja berada dalam perut pesawat Saudi Airlines, saya sudah temui jiran (penumpang sebelah saya) yang begitu peramah dan baik hati.

Sejam sebelum kapal terbang mendarat, dia memberitahu saya, dia sudah nampak tanah padang pasir dan bukit-bukau yang kemerah-merahan, membayangkan keadaan panas terik yang akan kami alami semasa mengerjakan haji pada tahun 1423 Hijrah itu.

Di Jeddah kami dapati banyak bendera negara seperti China, India, Pakistan, Indonesia dan Malaysia bagi memudahkan jemaah negara-negara berkenaan berkumpul.

Dari Jeddah kami dibawa dengan bas ke Makkah. Di kota suci ini, kami menginap di Hotel Muhajiren II.

Bagi memudahkan pengenalan, tempat penginapan kami dikenali Maktab 85, Rumah Ketupat manakala nombor bilik saya 105 - tetapi saya dan beberapa rakan disuruh mendiami bilik 1005 di tingkat 10.

Dua hari kemudian kami disuruh pindah ke tingkat satu dan mendiami bilik 105 seperti dijadualkan.

Untuk berpindah sudah tentu merumitkan lebih-lebih lagi apabila terpaksa menggunakan lif.

Bagi mereka yang banyak barang, tentulah amat membebankan apabila disuruh berpindah.

Bagi diri saya yang pernah sakit pinggang, kesakitannya berulang, maklumlah saya sudah menjangkau usia 60-an.

Tetapi elok juga berpindah ke tingkat satu. Namun tingkat satu bukan bermakna kami tidak perlu 'menapak'. Nama saja tingkat satu, sebenarnya bilik kami terletak di tingkat tiga.

Saya gembira kerana tidak payah menggunakan lif yang sentiasa sesak tetapi terpaksalah menapak 64 anak tangga.

Di sini diuji kesabaran seseorang. Di Hotel Muhajiren II, hanya terdapat dua lif. Kalau satu digunakan untuk mengangkut makanan, terpaksalah kami menunggu lama.

Saya juga bersyukur kerana keadaan bilik tidak terlalu sesak. Saya sepatutnya tinggal bersama-sama dua jemaah lain (tiga orang sebilik), tetapi seorang jemaah lebih senang menetap sebilik dengan sanak-saudaranya.

Seorang jemaah haji yang menetap di bilik 104 (jiran kami) menarik perhatian saya.

Bapa empat anak ini sungguh bijak dan menambah semangat sesiapa yang mendengar kisahnya.

Jemaah ini bercerita bagaimana dia dan anak-anak serta isteri bersusah-payah menabung bagi membolehkan mereka menunaikan fardu haji serentak.

Sebelum ini orang kampungnya menyebut-nyebut dia mendapat duit pampasan manakala ada yang berkata dia menggunakan wang perolehan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan dia anak beranak ke Tanah Suci.

Sebelum ke Tanah Suci, dia mengadakan kenduri doa selamat dan menjemput kenalan, sahabat, sanak-saudara dan jiran-jiran.

Pada hari berkenaan, setelah jemputannya mengambil tempat masing-masing, bakal haji ini tidak berlengah-lengah bangkit lalu memberi ucapan alu-aluan.

Selain meminta maaf, dia kemudian membocorkan rahsianya dengan berkata: "Sebenarnya Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang serta sekalian yang hadir, kami pergi ke Makkah ini bukannya dengan duit ganjaran atau KWSP atau mendapat duit terpijak, tetapi hasil penabungan untuk anak-anak.

"Apabila mereka lahir saja, saya lekas-lekas membuat tabungan di Tabung Haji.

"Hasilnya, kalau sebulan RM50, dalam masa 21 tahun sudah tentu dapat pergi haji kerana sudah ada lebih RM10,000 seorang," katanya gembira lalu meminta imam masjid membaca doa selamat. - MUZAFFAR

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com