Wednesday, March 3, 2010

Pastikan Program Khidmat Negara benar-benar manfaat

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri.” (Al-Hadid:23)
***

SETIAP tahun selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lebih 450,000 pelajar akan ‘lepak-lepak’ saja sehingga keputusan diumumkan, diikuti pengambilan pelajar ke Tingkatan Enam Rendah dn kemasukan ke pusat pengajian tinggi pada pertengahan tahun.

Hanya sejumlah kecil pelajar berkenaan dikenal pasti menggunakan masa terluang untuk melanjutkan pelajaran, meningkatkan kemahiran dan memasuki pasaran pekerjaan.

Sehubungan itu, apabila Program Khidmat Negara diperkenalkan, tentulah sebahagian besar anggota masyarakat seperti pemimpin, ibu bapa dan guru berasa lega.

Apa yang menjadi persoalan, bagaimana pengisian program berkenaan, keberkesanan dan pendekatan serta pemilihan pesertanya. Apakah peserta lelaki dan wanita dibenarkan untuk bercampur gaul secara bebas?

Kerajaan tidak berupaya memaksakan semua 450,000 bekas pelajar berkenaan mengikuti program itu kerana kosnya amat besar (RM2bilion-RM3 bilion), kata seorang menteri.

Program Khidmat Negara yang membabitkan pendidikan dan pendedahan menyeluruh kepada generasi muda sudah tentu memerlukan pengkajian teliti dan mendalam manakala maklum balas program yang sudah dijalankan wajar dijadikan panduan agar ia boleh diperkemaskan.

Kita tidak mahu selepas membelanjakan wang berbilion-bilion ringgit, program berkenaan akan menjadi lesu seperti Rakan Muda dan usaha membasmi dadah di kalangan generasi muda.

Tuesday, March 2, 2010

Hijrah tangga kejayaan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang beriman. (Az-Dzariyat 55)
***

KETIKA lahir, kita tidak membawa apa-apa. Kita hanya berbogel tanpa sebarang harta. Bagaimanapun, hari demi hari harta dan pengalaman kita bertambah.

Antara barangan pertama milik kita ialah botol susu, kemudian bantal busuk, kemudian ketika bertatih-tatih kita miliki ‘walker’. Selepas itu kereta dan basikal mainan.

Apabila memasuki alam persekolahan, kita ada beg, buku, kasut dan sebagainya. Apabila umur bertambah kita sudah basikal, bilik sendiri dan sebagainya.

Di universiti kita sudah ada motosikal dan mungkin sudah ada kekasih. Apabila memasuki alam pekerjaan, kita sudah ada rumah, kereta dan banyak lagi harta. Kita juga sudah ada isteri, anak-anak dan semakin tua, ada cucu dan kemudian cicit.

Demikianlah manusia berubah dari semasa ke semasa. Perubahan ini adalah penghijrahan. Selain berubah dari segi fizikal dan pemilikan, manusia juga berubah dari segi lokasi.

Semasa kecil kita mungkin tinggal di kampung. Apabila remaja, kita memasuki sekolah berasrama penuh di negeri lain. Dengan ini bermulalah lembaran baru kita sebagai anak dagang.

Sebaik saja mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM, ramai yang berhijrah lebih jauh lagi seperti ke Amerika Syarikat, Britain dan Mesir.

Setelah tamat pengajian, kita ditawarkan kerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Bahru. Guru-guru pula ramai ditawarkan mengajar di Sabah dan Sarawak.

Demikianlah sejarah hidup kita yang penuh dengan penghijrahan. Tiada sesuatu yang luar biasa mengenai penghijrahan. Tetapi apabila seseorang atau sesuatu pihak bercakap mengenai penghijrahan bagi kepentingan politiknya, maka timbullah permasalahan seperti “300,000 rakyat Kelantan terpaksa berhijrah kerana tiada pekerjaan di negeri itu.”

Pihak yang menuduh dengan cepat menyatakan keadaan ini membuktikan kerajaan negeri tidak pandai memerintah. Pemimpin yang ada hanya tunggul kayu dan tidak melakukan sebarang projek pembangunan.

Benarkah dakwaan berkenaan atau permasalahan ini segaja diada-adakan bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri? Eloklah kita melihat permasalahan penghijrahan dari perspektif luas (usahlah mengambil sikap bagaikan katak di bawah tempurung).

Tamadun besar dunia kebanyakannya bermula dengan penghijrahan. Negara Amerika Syarikat yang diagung-agungkan sesetengah pihak itu, dimajukan oleh ribuan pendatang dari England, Perancis dan negara Eropah lain.

Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang digahkan sesetengah pihak itu (malah ada mengaku dia keturunan Iskandar Zulkarnain), diasaskan oleh seorang anak raja dari Palembang.

Teladan paling hebat iaitu pemerintahan Islam sejak daripada zaman Rasulullah s.a.w. sehingga ke hari ini, penuh dengan penghijrahan. Selepas Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke kota Madinah, barulah Islam berkembang pesat di Semenanjung Tanah Arab dan wilayah yang lebih jauh.

Demikianlah terbukti dengan berhijrahlah seseorang atau sesebuah masyarakat itu berubah ke arah kebaikan. Air yang mengalir akan sentiasa segar sebaliknya yang bertakung akan membusuk.

Ikutilah pepatah Melayu iaitu semasa kecil kita ditimang ibu, apabila sudah besar ditimang gelombang dan untuk mengelakkan diri kita apabila mati nanti dihimpit kubur, hendaklah kita segera melakukan penghijrahan, misalnya daripada jahil kepada berilmu dan daripada malas beribadat kepada rajin beribadat.

Selamat berhijrah dan jangan segan meninggalkan slogan lapuk; “dulu, kini dan selamanya.” Berhijrahlah!

Monday, March 1, 2010

Payahnya mendidik anak pada 'zaman gerhana' ini

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barang siapa mengucapkan syahadat dan mengingkari penyembahan selain daripada Allah, maka terjagalah harta dan darahnya, sedangkan perhitungan batin orang itu terserah kepada Allah." (Sahih Muslim)
***

DIDIKLAH anak-anak untuk keperluan zamannya - demikian antara lain kata Sayidina Ali k.w. Ini bermakna anak-anak kita (termasuk anak saya) perlu diasuh dan dididik untuk memenuhi masa depan umat dan negara, mungkin pada 2015, 2020, 2025, 2030 dan seterusnya.

Tetapi dalam usaha mendidik anak-anak ini, cabaran sekarang dirasakan amat berat sekali, berbeza dengan zaman persekolahan kita atau orang tua kita.

Kerap terdengar, guru-guru mengadu betapa sukarnya mengendalikan anak-anak di sekolah sekarang ini. Untuk mendisiplinkan anak-anak supaya duduk dalam kelas pun sukar, inikan pula untuk mengajar mereka.

Seorang guru mengadu pada saya, hari ini bukan saja hampir tiada pelajar sudi mengangkat buku-buku latihan dari kereta cikgu, malah jika berselisih jalan, guru pula dilanggar mereka.

Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda kita ini? Ramai ibu bapa yang mengorbankan banyak tenaga dan masa di rumah dalam mendisiplinkan anak-anak pun turut mengeluh. Kata mereka, di dalam rumah, anak-anak mungkin mendengar cakap, tetapi pengaruh persekitaran merosakkan segala-galanya.

Pengaruh luar ini tidak semestinya ketika anak-anak berada di luar rumah. Ia berupa alat dunia baru seperti televisyen, komputer (internet), radio dan telefon.

Rancangan televisyen hari ini begitu menakutkan. Filem, dokumentari, rancangan hiburan dan iklan menjurus kepada budaya lagha. Manakala siaran radio pula berkonsepkan hiburan terutama muzik sepanjang hari, tidak kira siang atau malam.

Itu belum diambil kira 'komputer keluarga' yang mempunyai akses internet. Jika seseorang anak sudah 'lekap' di depan monitor komputer, alamat dari pagi sampai malam dia akan berada di situ.

Dengan penggunaan telefon selular pula, pelbagai aktiviti lagha boleh dilakukan. Semuanya dibuat dari rumah, tanpa anak-anak kita dipengaruhi rakan dan faktor persekitaran luar rumah.

Di luar pula, persekitaran tidak menyebelahi ibu bapa dan guru dalam membentuk anak-anak membesar dalam suasana keagamaan. Anak-anak dipaparkan dengan pelbagai kegiatan kurang sihat, misalnya kebanjiran bahan lucah menjijikkan, percampuran tanpa batasan lelaki perempuan, kewujudan pusat-pusat hiburan serta perjudian dan perlakuan orang dewasa yang buruk.

Anak-anak sukar mengenali idola yang baik. Ada pemimpin, pemimpin korup (bukan semua); ada artis, artis tidak bermaruah (bukan semua); ada ustaz, ustaz pula tergolong dalam ulama su' (segelintir saja); ada wartawan, wartawan pengampu (bukan semua); ada ibu bapa, ibu bapa pun tidak pedulikan agama (bukan semua) dan sebagainya.

Demikian betapa sukar untuk mendidik anak-anak pada 'zaman gerhana' ini. Kemajuan diukur bukan berdasarkan kehendak Islam, tetapi mengikut nafsu serakah manusia yang berkiblatkan Barat dengan segala 'isme' yang jelas menolak agama daripada kehidupan.

Hanya kepada Allah kita berserah. Hanya Dia Yang Mengetahui apa sebenarnya sudah berlaku kepada negara kita dan dunia ini. Sebagai manusia, kita hanya berusaha, berjaya atau tidak bukan urusan kita yang daif ini.

Kemungkaran wajib dibanteras, tidak kira siapa pelakunya. Selain pelakunya, ada tangan-tangan halus yang membela kemungkaran ini. Tangan-tangan halus ini perlu diperangi sedaya upaya kerana ia adalah pencetus gelombang kemungkaran ini. Siapa golongan ini, tepuk dada tanya selera.