Friday, July 10, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 29: Perjuangan Kita Belum Selesai

Menjelang hari ulang tahun kemerdekaan negara, seperti ribuan warga lain, saya memasang dan mengibar bendera di luar rumah. Bagaimanapun, sehari dua kemudian, bendera itu hilang. Yang tinggal hanya talinya dengan kesan dipotong.

Saya percaya bendera itu dilarikan oleh remaja nakal yang mungkin seusia anak saya. Sebahagian besar remaja di negara kita sekarang adalah anak generasi pertama yang lahir selepas merdeka. Ringkasnya mereka adalah generasi kedua selepas merdeka.

Jika generasi pertama yang lahir selepas merdeka kini berusia dalam lingkungan 40-an, generasi kedua adalah anak-anak mereka di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi.

Masalah sosial yang hebat diperkatakan sekarang melanda generasi kedua ini. Pelbagai alasan dikemukakan mengapa kanak-kanak dan remaja sekarang menghadapi masalah disiplin yang serius.

Saya lebih cenderung mengaitkan permasalahan itu dengan apa yang dilalui oleh generasi pertama. Ini kerana saya termasuk golongan generasi pertama dan percaya pengalaman yang dilalui dapat dijadikan iktibar dalam kita merangka dasar, terutama yang membabitkan pendidikan pada saat negara di ambang menjadi negara maju pada tahun 2020.

Berdasarkan pengalaman, saya berpendapat sistem pendidikan pada tahun 1960-an dan 70-an yang diikuti oleh generasi pertama dulu tidak menjurus untuk melahirkan warganegara berakhlak seperti ditekankan dalam tema hari kebangsaan tahun 1997 - 'Akhlak Mulia Masyarakat Jaya'.

Dalam sistem pendidikan ketika itu, penekanan diberi bagi melahirkan seberapa ramai golongan profesional secepat mungkin. Pengajian agama tidak mendapat tempat. Ibu bapa berebut-rebut untuk menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris (kemudiannya ditukar kepada sekolah kebangsaan).

Ada sekolah dengan 1,000 murid mempunyai seorang guru agama saja. Malah banyak sekolah yang tiada langsung guru agama. Tulisan dan bacaan jawi langsung tidak diajar.

Murid ditekankan untuk lulus peperiksaan akademik. Bagi pelajar cemerlang, dalam usia 12 tahun, mereka sudah dihantar ke sekolah berasrama penuh.

Di sekolah ini, penekanan juga diberi juga diberikan kepada akademik. Hal-hal berkaitan agama, terus disisihkan. Semakin tinggi seseorang pelajar itu mendaki tangga kejayaan, semakin jauh dia daripada agama.

Dalam usia mentah (18 tahun), sebahagian besar pelajar cemerlang ini sudah berada di negara-negara Eropah, Australia dan Amerika Utara bagi menyambung pelajaran masing-masing.

Dengan asas agama yang begitu lemah, anak muda ini menghadapi pancaroba yang begitu hebat.

Daripada sistem pendidikan 1960-an dan 70-an ini, lahirlah golongan profesional Melayu daripada generasi pertama selepas merdeka.

Mereka mungkin hebat dalam bidang kerjaya tetapi miskin dari segi pegangan agama.

Mereka masih tercari-cari pedoman hidup tetapi pada masa yang sama sudah berumah tangga dan mempunyai anak yang kini menjadi generasi kedua selepas merdeka.

Betapa longgarnya pegangan dan pendidikan agama generasi pertama ini diakui oleh pemimpin kita. Mereka mengaku ramai daripada golongan ini buta al-Quran, buta jawi dan jahil dalam soal-soal agama.

Malah generasi pertama selepas merdeka ini juga mengaku betapa ceteknya pengetahuan agama mereka.

Pada tahun 1994 dulu, kita terharu dengan pengakuan seorang profesional muda Melayu yang menyatakan dia tersilap langkah memasuki kumpulan Al-Arqam kerana tiada pihak yang membimbingnya ke jalan kebenaran.

Katanya, dari segi kerjaya, dia berjaya tetapi dari segi agama, dia benar-benar miskin dan memerlukan petunjuk. Yang sedia memberi 'jalan', kepadanya adalah Al-Arqam dan itulah sebabnya dia terbabit dalam kumpulan berkenaan.

Gejala negatif dalam masyarakat seperti rasuah, menyalahgunakan kuasa dan seumpamanya kini mula menular di kalangan generasi pertama ini.

Kita dapat saksikan bagaimana seorang demi seorang golongan profesional dalam usia 30-an dan 40-an diheret ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah dan jenayah lain.

Secara logiknya, jika generasi pertama yang dilahirkan selepas merdeka ini hidup terumbang-ambing dari segi pegangan agama, anak-anak mereka iaitu generasi kedua (kini berada di sekolah dan universiti) akan melalui zaman yang lebih gelap (saya berdoa ini tidak berlaku).

Jika ibu bapa (kumpulan generasi pertama) tidak lancar pembacaan al-Quran, cetek dalam ilmu agama, bagaimana mereka dapat mendidik anak mereka pada zaman penuh cabaran ini? Bagaimana ketam dapat mengajar anaknya berjalan betul sedangkan ia sendiri berjalan senget?

Kepincangan inilah pada, pada pendapat saya, menyumbangkan kepada masalah keruntuhan moral yang hebat melanda remaja sekarang.

Perkara ini diharap dijadikan iktibar oleh ibu bapa, pendidik dan pemimpin kita sekarang. Kita mungkin membuat kesilapan dalam sistem pendidikan suatu ketika dulu, tetapi tidak rugi untuk kita mengaku salah di samping berganding bahu membaikinya.

Usaha memajukan anak watan dalam semua bidang perlu diteruskan, seperti kata seorang pemimpin, 'perjuangan kita belum selesai'. Malahan, 'perjuangan kita sebenarnya tidak pernah selesai'.

Thursday, July 9, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 28: Antara Zheng Ho, Columbus Dan Ibnu Batutta

Ketika melalui Jalan Laksamana Cheng Ho dan melewati Perigi Puteri Hang Li Po (Perigi Raja), saya teringat pesanan seorang tokoh negara bahawa rakyat negara dan rantau sebelah sini perlu mendalami sejarah bangsa mengikut pemahaman dan pandangan sendiri.

Kata tokoh berkenaan, ini bertujuan mengelak pemesongan fakta dan pendapat disebabkan sejak sekian lama penduduk rantau ini memperolehi maklumat mengenai sejarah ketamadunan bangsa melalui pengkaji Barat.

"Disebabkan itulah kanak-kanak di rantau ini lebih mengenali pelayar Christopher Columbus dan bukannya Zheng Ho (Cheng Ho) yang lebih awal menempa kejayaan sebagai pelayar," katanya ketika merasmikan Pameran Peringatan Zheng Ho di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Pesanan itu tepat sekali. Mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah suatu ketika dulu penuh dengan kisah kegemilangan orang Barat.

Saya turut terpengaruh dengan apa yang dipelajari ketika di bangku sekolah rendah pada 1970-an dulu.

Kisah tokoh terkenal dunia menarik minat saya, tetapi jika difikirkan kembali, ia hanya bertujuan mengagung-agungkan tamadun Barat sebaliknya mewujudkan rasa rendah diri kepada anak tempatan.

Bayangkan dalam usia mentah, kita disogokkan dengan kisah Joan of Arc, gadis Perancis yang membantu bangsanya menewaskan orang Inggeris dalam Perang 100 Tahun. Joan of Arc dikatakan mendengar suara ghaib, menyuruhnya memerangi orang Inggeris.

Demikian juga kisah orang ternama lain seperti Robert Clive (askar Inggeris yang membuka jalan kepada penaklukan India), David Livingstone (peneroka British di benua Afrika), George Washington (presiden pertama Amerika Syarikat) ataupun Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama (pelayar Portugis).

Mengenai sejarah tempatan pula, kita diajar supaya mengagung-agungkan tokoh seperti James Birch (residen pertama British di Perak), Sir Frank Swettenham (residen British di Selangor), Sir Hugh Low (residen British di Perak) dan Sir Hugh Clifford (residen British di Pahang).

Mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini tidak lagi mengagung-agungkan tokoh dan tamadun Barat tetapi ditulis mengikut perspektif anak bangsa dan wawasan negara kita. Bagaimanapun hal ini terbatas.

Di luar sistem pendidikan, terdapat beribu-ribu buku dan sumber maklumat lain yang mengagung-agungkan orang Barat sebagai pencetus tamadun dunia. Jarang benar kejayaan orang di Timur dicatatkan dalam sejarah.

Tataplah sebarang ensiklopedia, jurnal dan penerbitan lain. Kebanyakannya mencatatkan orang Barat sebagai pencipta itu dan pencipta ini. Misalnya dalam 'The World Almanac' senarai nama pencipta dimonopoli tokoh dari Amerika, Britain, Jerman, Perancis dan negara Barat lain.

Benarkah bangsa kita khasnya, atau orang bukan Barat lain amnya, tidak menyumbangkan sesuatu kepada kemajuan dunia?

Sukar menjawab pertanyaan ini tetapi saya akan membawa kisah tokoh bukan Barat yang mencatat kejayaan tetapi sejarah kegemilangan mereka seolah-olah dilupakan.

Orang lebih mengenali Columbus daripada Zheng Ho. Demikian juga orang lebih mengenali Marco Polo daripada Ibnu Batutta, seorang pengembara Arab Islam dari negara yang kini dikenali Maghribi.

Jika kisah Marco Polo ke China ketika pemerintahan Kublai Khan diketahui ramai (kini ada pihak meragui sama ada beliau benar-benar sampai ke negara itu), tidak ramai yang tahu bahawa Ibnu Batutta melakukan perjalanan tiga kali ganda jauhnya berbanding pengembara dari Venice itu.

Ibnu Batutta atau nama sebenarnya Syeikh Abu Abdullah Muhammad ibnu Abdullah ibnu Ibrahim al-Lawati mengembara sejauh 120,000 kilometer dan singgah di 44 negara di dua benua (Afrika dan Asia).

Ibnu Batutta mengembara selama 29 tahun, memulakan perjalanan dari Tangier, Afrika Utara pada 13 Jun 1325. Pencapaian Ibnu Batutta begitu luar biasa dan sewajarnya namanya diabadikan dalam sejarah tetapi ini tidak berlaku.

Disebabkan kebanyakan kawasan Afrika Utara dijajah oleh Perancis, manuskrip catatan Ibnu Batutta dirampas dan disembunyikan. Ia disimpan di Bibliotheque Nationale, Paris, menyebabkan bangsanya sendiri tidak dapat menghargai pencapaiannya.

Hari ini orang Arab terus kerdil bagi menghadapi ancaman dan ugutan dari dalam dan luar rantau mereka sekalipun bangsa Arab melahirkan ramai tokoh berjiwa besar seperti Ibnu Batutta.

Sekalipun, penduduk dunia Arab berjumlah 200 juta dengan lebih 20 negara tetapi mereka tidak mampu menghadapi ancaman negara kecil Israel yang terletak di tengah-tengah rantau mereka.

Israel yang wujud pada 1948 dengan bantuan kuasa besar Barat terus menunjukkan belang sedangkan sebahagian besar penduduk Arab ditanam rasa rendah diri dan memandang hebat kepada segala sesuatu dari Barat.

Tidak hairanlah jika ada jutawan dan orang ternama Arab sanggup menghamburkan wang dan menjual maruah, memburu cinta puteri, aktres dan model Barat.

Mereka berkiblat kepada Barat tanpa menyedari suatu ketika dulu anak watan rantau itu termasuklah Ibnu Batutta, mencatat kejayaan gemilang yang ditiru oleh Barat.

Suatu ketika dulu ketika Maharaja Frank (Perancis), Charlemenge hairan dengan tulisan yang diperkenalkan kepadanya, cendekiawan Khalifah Harun Al-Rasyid di Baghdad sudah pun mempunyai kepandaian mengukur garisan lintang dan bujur Bumi.

Hari ini keadaannya sudah terbalik ibarat dunia yang sentiasa bertukar. Ketika orang Baghdad bermati-matian berusaha mendapatkan sesuap makanan disebabkan sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), orang Barat sudah ke angkasa lepas dan menjelajah angkasa raya.

Tuesday, July 7, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 27: Menghayati Kemerdekaan Jiwa dan Raga

Ogos adalah bulan kemerdekaan. Selain Malaysia yang menyambut hari kebangsaan pada bulan ini, beberapa negara lain turut meraikan kemerdekaan masing-masing.

Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 9 Ogos, Indonesia pada 17 Ogos, Pakistan pada 14 Ogos manakala India pada 15 Ogos. India dan Pakistan sudah menyambut ulang tahun ke-50 tidak lama dulu.

Sambutan jubli emas kemerdekaan Pakistan dan India begitu bererti bagi rakyat kedua-dua negara yang bersaing hebat bagi membuktikan mereka adalah jaguh Asia Selatan.

Kedua-dua negara sudah terbabit dalam tiga peperangan, dua daripadanya membabitkan isu Kashmir.

Selain itu, Islamabad dan New Delhi juga didakwa bersaing memajukan senjata nuklear. Perkembangan ini kurang disenangi oleh Amerika Syarikat yang sudah pun bertindak ke atas Pakistan.

India juga diancam dikenakan tindakan selepas ia menguji peluru berpandu Prithvi.
India dikatakan lebih berjaya berbanding Pakistan dalam tempoh lima dekad sejak benua kecil itu merdeka. Ini berdasarkan satu tinjauan yang dibuat oleh majalah 'Far Eastern Economic Review' membabitkan 300 eksekutif.

Sembilan puluh lima peratus responden berkata India mempunyai kerajaan lebih demokratik berbanding Pakistan. India juga dilihat lebih stabil dari segi politik, lebih ke depan dalam pengurusan ekonomi dan lebih baik bagi membuat pelaburan.

Sekalipun isu Kashmir sering dikatakan sebagai punca ketegangan India-Pakistan, kedua-dua negara sebenarnya menghadapi pelbagai masalah dalaman yang boleh menjejaskan masa depan benua kecil itu.

Pakistan menghadapi pelbagai krisis puak, misalnya antara militan Syiah dan Sunnah yang menjejaskan keharmonian di wilayah Punjab dan Sindh. Sekalipun 97 peratus daripada 125 juta penduduk negara ini beragama Islam, perbezaan mazhab mencetuskan krisis yang mengamcam negara.

India pula menghadapi masalah berpunca daripada perbezaan agama penduduknya. Daripada satu bilion penduduk India, 83 peratus beragama Hindu, 11 peratus beragama Islam, tiga peratus Kristian dan dua peratus Sikh.

Kemuncak perbalahan antara penduduk Hindu dan Islam ialah tindakan militan Hindu membakar Masjid Babri (didirikan oleh Maharaja Moghul, Babur, pada abad ke-16) pada 1992 dulu.

Rusuhan yang berlaku selepas peristiwa itu dan pergaduhan di Bombay menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh.

Berbanding rakyat India dan Pakistan, penduduk negara kita lebih beruntung. Di negara kita tidak berlaku rusuhan, sebaliknya penduduk pelbagai kaum dan agama dapat hidup dalam suasana harmoni walaupun sekali-sekala berlaku pergeseran yang biasanya dapat dipadamkan dengan segera.

Setiap tahun, suasana meriah bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan terasa apabila bendera Malaysia dan negeri mula dipasang dan dikibarkan di merata tempat.

Selain bangunan kedai dan pejabat, bendera dipasang di kenderaan dan rumah kediaman.

Suasana ini mungkin menggambarkan peningkatan semangat patriotik rakyat tetapi pengisian kemerdekaan bukan setakat mengibarkan bendera yang jika dihalusi menguntungkan pihak tertentu. Ia lebih daripada itu.

Kemerdekaan bukan hanya membabitkan negara tetapi juga masyarakat dan individu. Bagi saya, tidak bererti negara sudah merdeka tetapi anak bangsa masih dibelenggu dan terpenjara dalam pemasalahan masyarakat yang sukar diatasi.

Demikian perasaan yang membuak di dada ketika saya duduk sebentar di bangku panjang stesen bas ekspres Melaka pada suatu hari sebaik saja tiba dari Kuala Lumpur ketika embun jantan mulai menitik.

Kerana keletihan, saya tertidur sepanjang perjalanan dan duduk sebentar di bangku itu bagi menghilangkan rasa kebingungan. Rupa-rupanya sebahagian bangku di situ berpenghuni.

Sebahagian daripadanya adalah pengembara terkandas manakala yang lain 'penghuni setia'nya. Mereka terdiri daripada golongan tidak siuman, pengemis, kutu rayau dan penagih.

Tong sampah di tempat itu sudah penuh menyebabkan sampah-sarap bertaburan, berbau dan menjijikkan.

Bosan dengan pemandangan itu, saya meneruskan perjalanan. Saya terserempak dengan dua wanita berpakaian seksi keluar dari sebuah pusat hiburan. Mereka berbual dalam bahasa Melayu sambil ketawa nyaring dan kemudiang menghilang entah ke mana.

Kemudian saya melewati sebuah pusat permainan video. Pengunjungnya masih ramai sekalipun waktu sudah awal pagi.

Mereka terus hanyut dalam keseronokan yang dicipta sendiri tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Berhampiran sebuah pawagam, saya lihat seorang wanita (mungkin pondan) berdiri, seperti menunggu seseorang. Saya amati hampir setiap malam dia menanti (pelanggan?) dengan setia di situ. Di belakang deretan kedai dekat stesen bas tempatan juga terdapat beberapa pondan berkumpul.

Sekumpulan anak muda bermotosikal memecah keheningan malam. Mereka sengaja membunyikan enjin motosikal kuat-kuat, memecut dan berlumba sebaik saja lampu isyarat bertukar hijau.

Di kaki lima jalan, seorang lelaki tidur (mabuk?) dengan lengannya dijadikan bantal.
Fikiran saya kacau menyaksikan senario tengah malam itu. Terfikir saya apakah ertinya kemerdekaan bagi insan ini jika jiwa dan raga belum lagi merdeka?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html