Saturday, December 17, 2022

Jamadilawal 22, 1444: Cerita dari sebuah hospital swasta (i)

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


PADA awal tahun ini (2022) penulis dirawat dan menjalani pembedahan bagi menangani masalah prostat dan batu karang di sebuah hospital kerajaan. Nampaknya masalah belum selesai dan rawatan susulan perlu dilakukan.


Alhamdulillah pada akhir tahun ini (Disember), penulis mendapat pembiayaan bagi menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.Jazakumullah khairan kathira kepada pihak berkenaan.


Di hospital yang namanya gah di selatan tanah air, penulis berpeluang mengamati tata cara pengurusan termasuk layanan kepada pesakit, ragam dan profil (bangsa) pengunjung seterusnya tahap perkhidmatan dan profesionalisme petugas termasuk doktor, pakar dan jururawat.


Majoriti pengunjung adalah dari kaum Tionghua termasuk dari negara jiran Indonesia. Apa yang menariknya, orang Cina Indonesia bercakap dan berbual dalam bahasa Indonesia yang difahami 'orang kita'..


Tatkala menunggu ketibaan doktor, ada sekumpulan orang Indonesia berbual-bual dengan seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan bercakap dengan kuat; antara lain dia mengkritik kebiasaan orang menyambut hari jadi dengan mengalunkan lagu 'Panjang Umur, Panjang Umur' sedangkan pada pendapatnya mereka patut menyanyi 'Sihat, Sihat, Sihat'.


Mereka ketawa berdekah-dekah, si lelaki tadi berkata apa guna panjang umur jika kerap sakit, sakit dan sakit yang hanya menyusahkan orang lain. Kalau sakit, apa pun tak boleh bikin, kalau sihat semua boleh, makan pun lancar.


Ketika menunggu doktor selepas berjam-jam lamanya, seorang wanita Cina yang berada berhampiran apabila melihat kegelisahan penulis, mengejutkan penulis dengan berkata: "Sabar, sabar, Tuhan sayang orang sabar!" Eh, 'dahsyatnya' - dia pula mengingatkan penulis supaya sabar, sabar dan terus bersabar dalam menghadapi 'ujian ini'.. 


Di hospital swasta, membayar kos tinggi tidak bermakna seseorang itu boleh mendapatkan rawatan secepat kilat. Kalau disegerakan rawatan, alhamdulillah, tetapi dalam kebanyakan kes kita perlu bersabar, bersabar dan bersabar sama seperti di hospital kerajaan.


Bercakap mengenai 'kemahalan' hospital swasta, adalah biasa untuk pihak berkenaan meminta deposit tinggi (ada kalanya sehingga RM2,000) sebelum seseorang pesakit dimasukkan ke wad.


Pengalaman mengajar penulis bahawa kos rawatan adalah mahal, tidak lama dahulu, ibu penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta dengan bayaran depositnya RM2,000!


Selepas ibu penulis menjalani rawatan selama dua setengah hari, cajnya RM4,500; membuat penulis mengakui bahawa rawatan perubatan sebenarnya amat mahal dan sudah menjadi satu industri membuat duit. Kini semakin banyak pihak menggunakan istilah hospitaliti malah ada banyak kolej menawarkan kursus dalam bidang ini.


Berdasarkan situasi ini, penulis tidak terkejut apabila membaca sebuah berita tidak lama dahulu mengenai sebuah pusat rawatan swasta yang menolak kemasukan seorang wanita yang mahu bersalin sehingga akhirnya bayi beliau dilahirkan dalam kereta keluarga berkenaan yang diparkir berhampiran.


Kini dengan peningkatan taraf hidup rakyat di samping gaya hidup mereka yang berubah (seperti tidak mempunyai masa terluang untuk ke hospital kerajaan), pusat rawatan swasta bercambah bagaikan cendawan selepas hujan apatah lagi banyak syarikat menginsuranskan pekerja mereka dari segi kesihatan dan rawatan.


Ada pihak seperti kerajaan negeri sudah mengambil inisiatif memaju dan menggandingkan bidang perubatan dan rawatan ini dengan industri pelancongan; maka timbullah istilah rawatan pelancongan.


Berhubung bayaran tinggi hospital swasta ini, penulis teringat sebuah filem Inggeris yang penulis tonton di televisyen, mengisahkan bagaimana seorang bapa nekad menawan hospital tempat anaknya dirawat kerana dia tidak mampu menyediakan wang rawatan diminta.


Dalam filem yang tajuknya tidak lagi diingati penulis, si bapa selepas kecewa dengan sikap pengurusan hospital yang menangguh-nangguhkan pembedahan kerana dia gagal menyediakan ratusan ribu dolar yang diminta, akhirnya berjaya menyelamatkan si anak melalui pembedahan itu selepas dia mengacukan pistol ke kepalanya dan juga kepala doktor.


Nampaknya kisah ini sudah ‘menghampiri’ masyarakat kita. Perkhidmatan perubatan dan rawatan hampir menjadi satu industri; hospital dan klinik kerajaan semakin diabaikan dari segi mutunya; bukan saja pesakit ‘lari’ ke pusat rawatan swasta malah doktor-doktor turut berhijrah bagi mendapat pulangan lumayan.


Mengenai hospital swasta, seorang rakan berlawak, setiap ‘pertolongan’ diberikan kepada pesakit, semuanya dicaj; jangan ingat ia sediakan percuma.


Misalnya, jika pesakit menekan loceng kecemasan memanggil jururawat, cajnya dimasukkan dalam bil. Demikian juga apabila memanggil petugas untuk membantu memapah pesakit ke bilik air, ia bukan percuma; semuanya disertakan dalam bil yang pada masa ‘check out’ (keluar) boleh menyebabkan jantung bagai mahu putus sebab bayarannya mencecah RM5,000, RM10,000, dan seterusnya!

No comments: