Sunday, October 11, 2020

Safar 23, 1442: Ya Allah, ampuni aku kerana aku pun 'liberal'...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Orang-orang mukmin, hatinya menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Maksud Ayat 28 Surah Ar-Ra'ad)


SELEPAS mengunjungi Indonesia beberapa kali, pada pendapat dan pemerhatian saya umat Islam negara itu bersifat lebih 'terbuka' daripada masyarakat kita. Ya, mungkin ada kebaikan dan keburukan daripada sifat 'terbuka' ini, terutama pada ketika persoalan 'sekular', 'liberal', 'ekstremis', 'fundamentalis' dan 'wasatiyah' berkumandang kuat dalam masyarakat.


Pada salah satu kunjungan itu, ketika di Bandung saya sempat solat waktu subuh di Masjid Assa'adah di Jalan Karang Urum dan di sebuah 'musholla' (surau) di Lembah Sakoresmi. Sekalipun terletak di lorong bersebelahan dan begitu hampir, di Masjid Assa'adah subuhnya tiada qunut, sedangkan di surau terbabit ada bacaan qunut malah siap lagi berzikir beramai-ramai sebelum dan selepas solat subuh. Perbezaan ini nyata diterima secara terbuka oleh umat Islam Indonesia.


Bagi kita tentunya asing untuk berzikir beramai-ramai (membaca Subhanallah, Laa Illaha IllAllah, Alhamdulillah dan Allahuakbar) selepas azan subuh menungguh iqamah, tetapi itulah yang saya alami di surau berkenaan. Malah seorang ustaz bergelar doktor memberitahu ada hadis yang menyatakan hal itu, cuma kita saja tidak tahu. Wallahu a'lam.


Pada ketika riuh rendah umat Islam Indonesia berhadapan dengan isu seperti 'Islam sekular' dan 'liberal' malah 'komunis' termasuk hal itu didakwakan ke atas anggota Kabinet Presiden Jokowi, ada perkembangan menarik di sana yang boleh dicontohi oleh umat Islam dan masyarakat 'bisnes' Malaysia.


Apabila saya berkunjung ke gedung-gedung perniagaan yang besar-besar seperti Pacific Place di Jalan Sudirman, Jakarta, saya dapati ternyata mereka menyediakan 'musholla' yang besar dan gah sekali lengkap dengan petugas sepenuh masanya.


'Bilal' musholla Pacific Place, Irfan Muhammad Fathurohman, yang lengkap 'beruniform segak' melayan mesra pengunjung termasuk menghulurkan telekong kepada muslimat sesetengahnya berpakaian 'rugged' dan tak bertudung pun.


Ya, sesetengah wanita ini, solat-solat juga, berpakaian 'rugged', berpakaian 'rugged' juga. Inilah bagi sesetengah pihak, contoh Muslim 'liberal' atau 'sekular', maafkan saya jika teringat akan Sisters in Islam (SIS) di Malaysia apabila 'terserempak' situasi sebegini.


Di Indonesia, 'liberal'nya pada pandangan saya sudah agak 'ke depan' daripada di Malaysia. Tidak lama dahulu, diadakan kempen 'No Hijab Day' di mana muslimah diseru meninggal atau menanggalkan tudung mereka buat sehari saja. Gerakan ini meminta setiap muslimah berjilbab melepaskan hijabnya. Ya, bukan suatu hal sangat besar, kata mereka, kerana apalah sangat untuk satu hari saja mendedahkan kepala daripada 365 hari dalam setahun!


Kempen 'No Hijab Day' adalah perjuangan golongan liberal agar umat Islam bersikap bebas, tak terikat aturan agama. Sesungguhnya ajakan untuk 'melepaskan' hijab walaupun cuma sehari adalah amat menyesatkan.


Islam bukanlah agama yang memaksa seseorang untuk memeluknya, tetapi orang tersebut sudah Islam, dia wajib tunduk kepada seluruh ajaran Islam. Inilah dinamakan konsisten dalam beragama. Sebagai perbandingan di dunia ini, anda boleh memilih untuk tidak atau menggunakan jalan raya atau lebuh raya tetapi sebaik-baik berada di atasnya, semua undang-undang jalan raya perlu anda patuhi. Jika anda langgar, anda boleh terbabit dalam kemalangan dan mati atau disaman!


Melepaskan hijab walau sehari adalah menyesatkan...serta merta diri ini terkenang hari perkahwinan saya kira-kira 25 tahun lalu di mana isteri (pengantin perempuan) diminta atau dipaksa untuk membuka tudung supaya boleh 'diperapi' dan 'disandingkan' sebagai 'ratu sehari' yang siap dengan sanggul lintang di kepalanya. Haa, bukan apa-apa, kata orang-orang tua, hanya sehari saja. Hanya sehari saja seumur hidup kamu!


Astagfirullah, bukankah tidak bertudung kepala sehari semasa menjadi pengantin itu adalah menepati kempen 'No Hijab Day'.Ya, terasa begitu banyak dosa diri ini apabila teringat kisah-kisah 'zaman jahiliah' dulu. Saya ingat bukan saya saja melalui 'zaman jahiliah' ini - ramai 'pengantin veteran (lama)' di luar sana pun sama saja, malah dulu ustazah dan budak sekolah agama sekalipun bertudung, menampakkan jambul!


Ya, Allah, Kau ampunkan kami kerana takut-takut kami juga termasuk dalam golongan sesat atau liberal itu. Atau lebih dahsyat lagi kami termasuk dalam golongan sekular - memisahkan agama daripada kehidupan atau mengambil apa yang difikirkan sesuai dan baik daripada al-Quran tetapi menolak apa yang dirasakan pahit.


Subhanallah, 'tak sekularkah' kita apabila baru-baru ini ada pihak putuskan bahawa tidak salah untuk golongan lelaki menyerupai perempuan atau mengenakan pakaian mereka. Ya Allah, Kau ampuni kami kerana kami sudah jauh terpesong; ya Allah, Kau tunjukkilah kami jalan Engkau yang lurus...Amin.

No comments: