Wednesday, August 19, 2020

Zulhijah 29: Imam perlu turun padang (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Walau banyak mana harta

yang kamu kumpulkan di muka bumi ini,

suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu

hinggalah kamu masuk

ke perut bumi.

--- Petikan sebuah buku terbitan sebuah mahaad tahfiz


SEKARANG ini aneka jenayah dan maksiat sudah menjadi teruk sehinggakan dalam isu zina, pemerintah terpaksa bertindak drastik seperti mewujudkan ‘bakul bayi’ (baby hatch) dan sekolah bagi remaja hamil. 

Pemimpin masyarakat termasuk di peringkat kariah dan kampung perlu berperanan lebih aktif. Di sinilah kita berpendapat pegawai dan petugas masjid, daripada pengerusinya sehinggalah kepada jawatan paling bawah berperanan mengikut kemampuan masing-masing bagi membendung salah laku masyarakat terutama generasi muda.


Namun apa yang dapat kita saksikan hari ini, berlaku kelesuan pentadbiran di sebahagian besar masjid sedangkan sumber dana masjid tidak putus-putus, misalnya adalah biasa bagi sesebuah masjid di bandar memperolehi pendapatan lebih RM2,000 pada setiap kutipan hari Jumaat.


Kita tidak mahu pentadbiran masjid dikuasai golongan tertentu yang ada kepentingan politik. Amat dikesali tokoh politik tidak mesra agama dilantik sebagai penaung masjid manakala ahli jawatankuasa dibuat secara lantikan oleh pihak terbabit tidak melalui pungutan suara dan pengundian di kalangan ahli kariah seperti sebelum ini. Masalah bertambah rumit apabila AJK lantikan bukan ahli masjid; jika lantai masjid pun jarang mereka pijak, bagaimana mereka mahu membantu menyelesaikan masalah penduduk setempat?


Pentadbir yang lesu menambah masalah ahli kariah. Di sesetengah masjid, bilal dan imam gagal menjalankan tugas dengan baik, kadang-kadang jemaah terkial-kial mencari orang yang boleh mengimamkan solat waktu.


Didoakan agar pegawai masjid termasuk imam dapat mempertingkatkan iltizam bagi membina kehidupan beragama yang membahagiakan seluruh kariah. Selain meningkatkan pengurusan di masjid, pegawai masjid wajar turun padang ke seluruh kampung bagi memastikan kehidupan anak buah sejajar dengan kehendak Islam.


Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar hendaklah dijalankan. Imam dan petugas lain perlu meluangkan masa menziarahi anggota kariah seterusnya mentarbiyah mereka, yang melanggar hukum-hakam perlu dinasihati manakala amalan beragama diperkukuhkan. Penting untuk petugas turun gelanggang kerana penduduk yang ke masjid untuk solat berjemaah dan majlis ilmu terlalu sedikit.


Imam perlu sedar bahawa tugas mereka sebagai pemimpin bukan setakat mengimamkan solat berjemaah di masjid yang mungkin berlangsung 5-10 minit setiap waktu tetapi berdasarkan perkembangan semasa yang amat negatif seperti berleluasanya zina, kelahiran anak luar nikah, pembunuhan, perompakan dan pergaduhan adalah wajar untuk mereka turun padang.


Selain mentalbiyah penduduk, imam-imam juga perlu mengusahakan jalan agar gejala tidak menyenangkan dalam masyarakat ini dapat dikurang seterusnya dibanteras sama sekali. Jalan utamanya adalah kembali kepada Islam, umat Islam perlu disedarkan bahawa dengan menegakkan hukum-hakam Islam akan tertegaklah keadilan yang membawa kesejahteraan dalam masyarakat.


Tentunya, jalan ini tidak mudah dirintis, pengorbanan imam-imam sebagai pemimpin amat diperlukan. Merekalah antara golongan paling dekat dengan masyarakat, misalnya pada setiap majlis di kampung seperti kenduri dan kematian, merekalah yang akan mengepalai upacaranya. Jadi adalah wajar imam menjadi agen perubahan, membawa masyarakat kepada pengamalan Islam sepenuhnya.


Demikianlah, kita begitu berharap dan berdoa agar imam-imam dapat menjalankan peranan mereka bagi menegakkan Islam dalam masyarakat, seterusnya ke peringkat negara dan sejagat. Amin.

No comments: