Monday, June 3, 2019

Semarak Ramadan...(8): Selamat tinggal Palestin - pentingnya hidup berjemaah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DULU sebagai editor luar negara sebuah akhbar harian nasional saya dihantar ke sejumlah negara bagi membuat liputan antarabangsa; antaranya ke bekas Kesatuan Sosialis Soviet (USSR) dan Afrika Selatan.

Untuk ke USSR saya mendapat peruntukan AS$8,000 manakala ke Afrika Selatan sebanyak AS$10,000. Berdasarkan kadar pertukaran mata wang ketika itu (pada tahun 1990-an) saya mendapat lebih kurang RM20,000 untuk ke USSR dan RM25,000 ke Afrika Selatan!

Subhanallah, alangkah 'lumayan' wang yang saya bawa; dan sebagai perbandingan sebagai petugas Harakah, ketika diminta membuat liputan perang Afghanistan / isu pelarian di sempadan Afghanistan / Pakistan bersama-sama jurugambar Nasir Sudin pada 2001, pada mulanya setiap seorang daripada kami diperuntukkan RM500 tetapi ditambah sedikit lagi selepas kami membuat rayuan.

Alangkah jauhnya perbezaan itu - bagai langit dan bumi! Tetapi persoalannya, bagaimana dengan 'wang ciput' itu kami dapat membuat liputan 'yang baik atau terbaik juga' (harap-harap hal ini taklah seumpama masuk bakul angkat sendiri), Sebenarnya apa yang boleh dilakukan dengan wang RM500 itu apatah lagi di luar negara?

Sebenarnya kami pergi dengan 'menumpang' rombongan sukarelawan PAS. Terdapat nama-nama besar di kalangan mereka; ada yang sudah menjadi menteri (tak perlulah disebut nama-nama mereka). Jadi kami pergi secara berjemaah - lebih kurang 10 orang. Menjalankan tugas dalam berjemaah benar-benar mempunyai kebarakahannya - wang yang ada tidak banyak dan mewah tetapi banyak hal yang dapat dibuat dan dibereskan.

Itulah hakikatnya; apabila ukhwah sesama ummah apatah lagi di kalangan pejuang adalah kukuh, jadi 'semua masalah beres'. Ya, kalau tak semua, sebahagian besarnya dapat diselesaikan. Demikianlah alangnya indah hidup dalam berjemaah. 

Selain sesama jemaah PAS, jemaah Islam antarabangsa seperti Al-Khidmat Pakistan juga tak menang tangan, anggotanya banyak berkorban atas nama persaudaraan sesama Islam. Kami merasai limpahan bantuan mereka seperti penyediaan tempat tinggal dan membereskan soal makan minum. Jika kebanyakannya sudah dapat 'free'; tak perlu duit banyak seperti yang saya bawa ke USSR dan Afrika Selatan dulu! Jadi RM500 pun dikira cukuplah! Terima kasih kepada Harakah.

Berbalik kepada persoalan Palestin...kenapa masalah tak selesai sehingga kini malahan rejim Zionis Israel semakin ganas. Daripada tidak bernegara sebelum tahun 1948, Israel kini mengambil alih 85 peratus bumi Palestin - yang tinggal bagi orang Palestin adalah bumi Gaza dan tompokan-tompokan tanah di Tebing Barat.

Kasihan orang Palestin; menjelang lebaran ini (ketika Ramadan) rejim Zionis meningkatkan tekanan seperti membedil Gaza dan menunjukkan kuasa di tapak ibadat umat Islam seperti di Haram Al-Syarif yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, Masjid Kubah Batu dan sebagainya.

Sepanjang sejarahnya, orang Palestin pun tidak dalam satu jemaah - mereka berpecah belah. Ada yang pro-Barat (Amerika) termasuk menyokong usaha damai tajaan Barat dan ada yang kental dengan Islamnya. Syukurlah sekarang ini orang Palestin termasuk pemimpinnya yang pro-Barat sudah tidak percaya projek tajaan Barat. Mereka tidak yakin usaha damai Barat yang jelas banyak helahnya.

Kesatuan orang Palestin dalam satu jemaah mencemaskan rejim Zionis. Namun perpecahan orang Islam di negara rejim pemimpin Islam terutama negara Arab yang menjadi jirannya memberi keuntungan kepada Israel. Ya, sekarang ini Syria sudah di ambang kehancuran, Mesir berada dalam genggaman diktator kuku besi manakala Saudi tak habis-habis dengan projek membedil Yaman dan sekarang ini mahu berperang dengan Iran pula.

Negara Arab lain seperti Sudan, Libya dan Iraq pun sama keadaannya - sentiasa bergolak dan terdedah kepada campur tangan kuasa asing (besar) dunia. 

Ya, sekarang ini umat Islam tidak hidup atau terikat dalam jemaah, jadi tidak ada pihak apatah lagi rejim Zionis Israel gerun dengan mereka. Kerana hidup 'nafsu nafsi', kebarakahan mungkin jauh daripada mereka.

Namun jika umat Islam dapat hidup kukuh dalam satu jemaah, insya-Allah rahmat akan turun kepada mereka dan tidak mustahil mereka mengulangi 'keajaiban' masa lampau seperti 313 pejuang Islam dapat menewaskan lebih 1,000 musuh ketika Perang Badar, tentera Islam dapat menewaskan tentera Rom dan Parsi yang berlipat kali ganda ramainya malah pada zaman moden ini kita pernah dengar pejuang Islam yang sedikit anggotanya dapat menewaskan musuh kuasa besar di Afghanistan dan Chechnya.

Orang Palestin kental dalam menghadapi rejim Zionis - sekalipun sudah puluhan tahun sejak konspirasi Barat / Zionis  cuba melenyapkan mereka, orang Palestin terus bertahan. Namun bagi mencapai kemenangan, umat Islam seluruh dunia perlu berperanan - hiduplah secara berjemaah bagi menghancurkan rejim sombong ini. 

Kepada semua pembaca Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dipohon daripada LanH.

No comments: