Monday, March 4, 2019

Wartawan bukan pak turut...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

ISU mengarah wartawan (media massa) menyiar sesuatu berita atau ucapan (dalam kes terbaharu membabitkan RTM) mengembalikan ingatan saya kepada peristiwa berkaitan ketika saya masih 'hijau' dalam dunia kewartawanan puluhan tahun lalu.

Ada seorang pegawai tinggi sebuah kementerian selepas memberikan beberapa maklumat kepada saya, menelefon saya bertanya sama ada berita berkaitan sudah siap dan beliau meminta saya membaca kandungannya; selepas beliau berpuas hati barulah diizinkan saya menyerahkannya kepada editor.

Hal ini sewajarnya tidak berlaku, namun saya tidak 'salahkan' diri saya kerana masih 'hijau' ketika itu tetapi lama kelamaan saya mulai faham bahawa amalan 'dictate' (menentukan, merencanakan atau menetapkan) sesuatu berita atau bahan siaran oleh pihak lain (biasanya pihak berkuasa)  merendah-rendahkan profesion wartawan dan dunia kewartawanan itu sendiri.

Wartawan berwibawa menulis dari lubuk hatinya untuk pembaca; dia menentukan apa yang akan dibaca oleh orang awam sesuai dengan kehendak editornya dan editor inilah atau pasukan editor akan menentukan apa yang akan disebarkan untuk tatapan di seluruh negara. 

Sehubungan itu 'tiada ruang' sebenarnya untuk 'orang luar' (termasuk mereka yang berkuasa atau perasan berkuasa) memberitahu apatah lagi mengarah apa yang perlu atau tidak perlu disiarkan.

Hari ini sesuai dengan suasana 'Malaysia Baharu' (bukan 'Malaysia Lama' yang penuh dengan kekangan terhadap media atau sejumlah petugas media yang bagaikan kaki bodek atau 'beralasan' menjaga periuk nasi) tentunya kita tidak inginkan amalan 'dictate' ini 'merajai' dunia kewartawanan kita.

Ya, insaf-insaflah kita bahawa di Malaysia media massa mulai berubah sedikit demi sedikit selepas birokrasi lama tumpas dalam pilihan raya tidak seperti di Indonesia yang medianya berubah untuk bersama-sama rakyat menumbangkan rejim korup. 

Tidak mengapalah jika media massa arus perdana kita tidak bersama-sama rakyat bagi menamatkan pemerintahan rejim lama dulu, tetapi jika sekarang mereka mahu berubah, kita sewajarnya bersikap 'kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan'.

Media massa perlu berubah; kalau tak ia akan rebah. Ini kerana pada zaman kemajuan teknologi komunikasi sekarang ini, media tradisonal seperti surat khabar malah televisyen semakin ditinggalkan dan jika masih 'berperangai jumud' alamatnya...bersedialah untuk diucapkan 'selamat jalan'.

'Kapten' media massa termasuk wartawan tentu tahu peranan dan tanggungjawab mereka; jadi tidak perlulah orang atau pihak berkuasa hatta menteri men-'dictate' (merencanakan) kerja mereka. Orang media berwibawa tahulah menjalankan tugas masing-masing termasuk berperanan sebagai 'the fourth estate'.

Malaysia Baharu memerlukan politikus berjiwa terbuka dan besar hatta perdana menteri pun boleh dikritik, bak kata seorang tokoh veteran wartawan. Namun tentunya kita perlu sebuah badan pengawas seperti cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia kerana kita ini 'manusia biasa' yang kerap melakukan kesilapan.

Berhubung hal ini, teringat saya akan apa dikisahkan ketika Khalifah Islam terhebat, Umar Al-Khattab ketika mula-mula diangkat ke tampuk pemerintahan.

Umar berucap dan antara lain katanya dia akan berlaku adil, jika khalifah berbuat salah, dipersilakan rakyat menegurnya. Seorang Badui berdiri dengan pedang terhunus sambil berkata, "Jika engkau tidak benar, maka pedangku inilah yang akan meluruskanmu wahai Umar bin Khattab."

Jika Umar bersedia diluruskan dengan pedang, apatah kita (terutama pemimpin) teguran dengan pena (zaman sekarang papan kekunci laptop atau gajet canggih pun kita tak sanggup? Apakah kita mahu jadi macam pemimpin 'Malaysia Lama' yang medianya menulis yang muluk-muluk saja mengenai mereka yang akhirnya menyebabkan mereka tersungkur pada PRU lalu?

No comments: