Saturday, March 16, 2019

Kashmir...penduduk mahu pungutan suara

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

KETIKA krisis India-Pakistan mengenai Kashmir memuncak sekarang ini, saya teringat pengalaman saya ke Kashmir, India pada 2011. 

Memasuki dan keluar dari Kashmir, pemeriksaan adalah terlalu ketat; dalam perjalanan meninggalkan Kashmir, kami diperiksa sekurang-kurangnya lima kali. Habis segala barangan dalam beg diselongkar, tubuh badan kami diraba, hatta ubat-ubatan yang biasa dibawa seperti ubat diabetes dibelek-belek dan diajukan pelbagai soalan.

Askar dan polis India pula berada di mana-mana bumi Kashmir. Di lapangan terbang, di tempat penginapan, malah suatu ketika sedang saya membuang air kecil (saya tidak tertahan lagi) di celah-celah batu sebuah bukit (membuang air di pinggir jalan bukan pemandangan luar biasa di India dan Pakistan), apabila saya mendongak, beberapa soldadu India yang menggalas senjata memandang saya tanpa sedikit senyuman pun.

Manalah saya perasaan kehadiran mereka di atas bukit sana, namun setidak-tidaknya bangga juga kerana ‘mendapat kawalan keselamatan ketika kencing’! Seorang penduduk memberitahu saya ada satu juta askar India di Kashmir (ketika itu); ini bermakna seorang askar menjaga lima penduduk, itulah ‘aku kencing pun dikawal mereka’.

Kenapa terlalu ketat sekali langkah keselamatan pihak berkuasa India di Kashmir? Pembaca perlu difahamkan bahawa negeri Kashmir di India secara sendirinya sebenarnya tidak wujud. Apa yang ada sekarang, negeri Jammu dan Kashmir. Maksudnya Jammu yang majoriti penduduknya beragama Hindu disatukan dengan Kashmir yang hampir semua penduduknya beragama Islam.

Apabila ini dilakukan, faham-fahamlah, orang Islam tidak lagi menjadi golongan majoriti besar sebaliknya mereka hanya sebahagian biasa penduduk Jammu Kashmir dengan Srinagar diisytiharkan sebagai ibu kota musim panasnya.

Kashmir juga sebenarnya sudah terbahagi kepada dua atau kadang kala dikatakan sebagai tiga. Kashmir yang beribu-kotakan Srinagar itu didakwa oleh New Delhi sebagai sebahagian rantau kekuasaannya sedangkan satu lagi Kashmir berada di bawah kekuasaan Pakistan. Negeri di Pakistan itu dinamai Azad Kashmir manakala ada rantau Kashmir berada dalam taklukan China.

Konflik di Kashmir, terutama yang membabitkan umat Islam adalah tersangat hebat tetapi sayangnya ia seolah-olah dilupakan umat Islam seluruh dunia. Tidak seperti isu Palestin, persoalan Kashmir tidak diendahkan, malah hanya beberapa kali saja dibincangkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mendakwa memayungi umat Islam seluruh dunia.

Isu Kashmir telah mengheret India dan Pakistan dalam tiga peperangan, kini memasuki yang keempat; umat Islam di sana terus menanggung penderitaan yang tiada kesudahan.

Di Kashmir, saya mengumpul maklumat mengenai keadaan umat Islam, mewancara sejumlah penduduk mengenai hasrat serta harapan mereka; dengan kebanyakannya mahu nama mereka dirahsiakan.

* 'A' yang susuk dan wajahnya nya kelihatan terlalu tua untuk umurnya 45 tahun; berkata: "Tolong khabarkan kepada dunia bahawa orang Kashmir mahukan PBB mengadakan pungutan suara di sini. Saya hampir pasti 100 peratus penduduk Kashmir ini mahukan sebuah negara merdeka; mereka tidak mahu berada dalam kekuasaaan India mahupun Pakistan."

* 'B' yang juga kelihatan jauh berusia daripada umurnya 26 tahun, berkata: "Kami dipenjara di tanah air kami sendiri. Ada lebih sejuta askar India berkeliaran di sini. Saya percaya ada terlalu banyak pengintip dan tali barut berada di mana-mana. Tolong jangan cakap kuat-kuat," katanya. 

* 'C' mendakwa wanita Kashmir paling teruk dikenakan tekanan. "Mereka tidak bebas bergerak dengan kehadiran terlalu ramai anggota pasukan keselamatan India di mana-mana. Ramai yang terpaksa menghabiskan masa di rumah saja."

* 'D' merungut terlalu banyak anjing berkeliaran di bumi Kashmir. Katanya, binatang itu yang biasanya tidur di kaki lima jalan kedai menyusahkan pekedai dan pembeli serta jemaah yang hendak ke masjid. Beliau mendakwa di Kashmir adalah menjadi kesalahan untuk menghalau anjing-anjing apatah lagi membunuhnya. Berdasarkan itu, kedapatan banyak anjing gemuk bermalas-malasan di kaki lima jalan dan di depan kedai.

* 'E' mendakwa jumlah jemaah haji dari Kashmir dihadkan kepada ribuan orang saja setahun sedangkan yang memohon lebih 30,000 orang.

Hampir semua yang diwawancara berharap penulis dapat menghebahkan penderitaan mereka kepada umat Islam di seluruh dunia. "Apabila kamu balik nanti, beritahu umat Islam terutama imam-iman agar mendoakan keselamatan dan kemenangan kami di bumi Kashmir ini," kata seorang daripada mereka. 

Ya, berdoalah untuk kesejahteraan dan keamanan umat Islam seluruh dunia termasuk di bumi Kashmir, kerana doa adalah senjata ampuh orang mukmin. 

Monday, March 11, 2019

Jangan lari... (29): Carilah kebarakahan dalam hidup...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
ORANG tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.

Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat. 

Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. 

Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan siraturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.

Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar. 

Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan menjadi perogol, pembunuh, perasuah dan sebagainya. 

Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula. 

Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda. 

Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara. 

Jika negara kita mempunyai pendapatan berbilion-bilion dolar, ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya, pembaca boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh keberkatan atau tidak. 

Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini? 

Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka? 

Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat manakala harga minyak tak stabil.

Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya. 

Jika dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT. 

Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa, di mana sebenar kedudukan negara kita, penuh keberkatan atau penuh...? 

Ini belum diambil kira kedudukan negeri-negeri yang pernah dilaporkan muflis sana, muflis sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita jawab persoalan ini dengan jujur dan kemudian bertindak segera untuk membetulkan keadaan.  

Monday, March 4, 2019

Wartawan bukan pak turut...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

ISU mengarah wartawan (media massa) menyiar sesuatu berita atau ucapan (dalam kes terbaharu membabitkan RTM) mengembalikan ingatan saya kepada peristiwa berkaitan ketika saya masih 'hijau' dalam dunia kewartawanan puluhan tahun lalu.

Ada seorang pegawai tinggi sebuah kementerian selepas memberikan beberapa maklumat kepada saya, menelefon saya bertanya sama ada berita berkaitan sudah siap dan beliau meminta saya membaca kandungannya; selepas beliau berpuas hati barulah diizinkan saya menyerahkannya kepada editor.

Hal ini sewajarnya tidak berlaku, namun saya tidak 'salahkan' diri saya kerana masih 'hijau' ketika itu tetapi lama kelamaan saya mulai faham bahawa amalan 'dictate' (menentukan, merencanakan atau menetapkan) sesuatu berita atau bahan siaran oleh pihak lain (biasanya pihak berkuasa)  merendah-rendahkan profesion wartawan dan dunia kewartawanan itu sendiri.

Wartawan berwibawa menulis dari lubuk hatinya untuk pembaca; dia menentukan apa yang akan dibaca oleh orang awam sesuai dengan kehendak editornya dan editor inilah atau pasukan editor akan menentukan apa yang akan disebarkan untuk tatapan di seluruh negara. 

Sehubungan itu 'tiada ruang' sebenarnya untuk 'orang luar' (termasuk mereka yang berkuasa atau perasan berkuasa) memberitahu apatah lagi mengarah apa yang perlu atau tidak perlu disiarkan.

Hari ini sesuai dengan suasana 'Malaysia Baharu' (bukan 'Malaysia Lama' yang penuh dengan kekangan terhadap media atau sejumlah petugas media yang bagaikan kaki bodek atau 'beralasan' menjaga periuk nasi) tentunya kita tidak inginkan amalan 'dictate' ini 'merajai' dunia kewartawanan kita.

Ya, insaf-insaflah kita bahawa di Malaysia media massa mulai berubah sedikit demi sedikit selepas birokrasi lama tumpas dalam pilihan raya tidak seperti di Indonesia yang medianya berubah untuk bersama-sama rakyat menumbangkan rejim korup. 

Tidak mengapalah jika media massa arus perdana kita tidak bersama-sama rakyat bagi menamatkan pemerintahan rejim lama dulu, tetapi jika sekarang mereka mahu berubah, kita sewajarnya bersikap 'kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan'.

Media massa perlu berubah; kalau tak ia akan rebah. Ini kerana pada zaman kemajuan teknologi komunikasi sekarang ini, media tradisonal seperti surat khabar malah televisyen semakin ditinggalkan dan jika masih 'berperangai jumud' alamatnya...bersedialah untuk diucapkan 'selamat jalan'.

'Kapten' media massa termasuk wartawan tentu tahu peranan dan tanggungjawab mereka; jadi tidak perlulah orang atau pihak berkuasa hatta menteri men-'dictate' (merencanakan) kerja mereka. Orang media berwibawa tahulah menjalankan tugas masing-masing termasuk berperanan sebagai 'the fourth estate'.

Malaysia Baharu memerlukan politikus berjiwa terbuka dan besar hatta perdana menteri pun boleh dikritik, bak kata seorang tokoh veteran wartawan. Namun tentunya kita perlu sebuah badan pengawas seperti cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia kerana kita ini 'manusia biasa' yang kerap melakukan kesilapan.

Berhubung hal ini, teringat saya akan apa dikisahkan ketika Khalifah Islam terhebat, Umar Al-Khattab ketika mula-mula diangkat ke tampuk pemerintahan.

Umar berucap dan antara lain katanya dia akan berlaku adil, jika khalifah berbuat salah, dipersilakan rakyat menegurnya. Seorang Badui berdiri dengan pedang terhunus sambil berkata, "Jika engkau tidak benar, maka pedangku inilah yang akan meluruskanmu wahai Umar bin Khattab."

Jika Umar bersedia diluruskan dengan pedang, apatah kita (terutama pemimpin) teguran dengan pena (zaman sekarang papan kekunci laptop atau gajet canggih pun kita tak sanggup? Apakah kita mahu jadi macam pemimpin 'Malaysia Lama' yang medianya menulis yang muluk-muluk saja mengenai mereka yang akhirnya menyebabkan mereka tersungkur pada PRU lalu?