Monday, September 17, 2018

Jangan lari... (8): Malaysia syurga dunia, dakwa Dr MIA

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


PULUHAN tahun lalu ketika pulang menaiki pesawat dari Johannesburg, Afrika Selatan ke tanah air, saya berkenalan dengan seorang warga emas negara itu yang membawa sejumlah anggota keluarganya ke Malaysia untuk bercuti.

Veteran itu memberitahu saya beliau secara peribadi (tidak termasuk anak-anak, menantu dan cucu-cucunya) mahu menghabiskan banyak masa di masjid-masjid di Malaysia. Katanya, dia akan berusaha mencari ketenangan hati dan jiwa di Malaysia, suasana di negaranya (Afrika Selatan) ketika itu amat kacau bilau.

Benar ketika itu, orang luar, terutama yang beragama Islam memandang tinggi kepada Malaysia; sebagai contoh ketika saya ke Kyrgyzstan (bekas sebuah republik Soviet Union), beberapa penggubal undang-undangnya (ahli Parlimen) yang ditemui memuji-muji Malaysia terutama ketika disebut nama Anwar Ibrahim sebagai TPM ketika itu.

Pelawat Islam Malaysia juga dipuji  mereka kerana tidak minum arak, sebaliknya mereka menghamburkan kata-kata marah kepada sejumlah pelawat Islam negara lain termasuk Timur Tengah (biarlah nama negara ini dirahsiakan) kerana 'harapkan jubah' saja....apabila dapat arak, mereka 'gogop' bagaikan tiada hari esok!

Kekaguman orang Islam luar negara ini adalah cerita lama, sekarang ini orang luar tetap teruja dengan Malaysia kerana ia sudah menjadi syurga dunia...inilah sebahagian perkara dicelotehkan oleh seorang pendakwah terkenal masa kini, Dr Mohd Izhar Ariff (Dr MIA)  pada kuliah subuh di masjid kampung saya (Masjid Al-Abrar, bermaksud Masjid Orang Baik-Baik) 9 September lalu.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM itu, berbondong-bondong orang Islam dari negara luar datang ke Malaysia bagi melakukan 'perkara' yang tidak boleh atau dapat dilakukan di negara mereka.

Sebagai contoh, beliau menceritakan pengalamannya semasa menaiki sebuah pesawat dari Arab Saudi ke Malaysia. Pada awal penerbangan, beliau yang menduduki kelas 'business' perasan ada sejumlah orang Arab bersama-samanya - yang lelaki berjubah dan berserban putih manakala yang perempuan berjubah atau berabaya hitam yang hanya mata mereka saja kelihatan.

Kata, Dr MIA dia tertidur dan apabila kapal terbang mahu 'landing', dia dikejutkan seorang pramugari...apabila dia membuka mata dia merasakan macam mimpi...ya di mana orang Arab yang ramai-ramai itu...sekarang penumpang di sekelilingnya semua sudah berpakaian macam orang Eropah...yang lelaki berbaju 'sport' dan berseluar pendek manakala yang perempuan rambut mengerbang warna merah manakala pakaian mereka, 'aduh mak'...

Kehairanan dengan suasana itu, Dr MIA bertanya mereka, apa dah berlaku? Orang-orang Arab itu berkata, mereka datang ke Malaysia bagi melakukan 'perkara-perkara' yang tidak boleh dilakukan di negara mereka...Ya di negara mereka, undang-undangnya tersangat ketat...tetapi di Malaysia, mereka boleh 'ya bedu...bedu'...'yahoo...yahoo'.

Dr MIA tidak menyebut 'apa perkara' yang dilakukan oleh orang-orang Arab itu tetapi faham-fahamlah antara lain di Malaysia orang bebas minum arak, orang  bebas main judi dan macam-macam maksiat lain. Malaysia sekarang sudah jadi syurga dunia...maka berbondong-bondonglah segala mat dan minah ke sini.

Melanjutkan hujahnya bahawa Malaysia adalah syurga dunia...Dr MIA menarik perhatian akan perkembangan di Brunei Darussalam. Katanya sejak melaksanakan hukum syariah, Brunei berjaya membendung maksiat seperti minum arak, judi dan sebagainya tetapi pemerintahnya 'terkejut beruk' kerana kes anak luar nikah semakin meningkat.

Apabila dikaji, rupa-rupanya banyak pasangan tidak berzina di Brunei sebaliknya mereka melakukan hal terkutuk itu negara jiran; Malaysia! Tidak sukar orang Brunei ke Sabah dan Sarawak...jadi mereka memanfaatkan 'status' Malaysia sebagai syurga dunia untuk melempiaskan nafsu binatang masing-masing!

Jadi kepada pemerintah Malaysia buatlah sesuatu kerana sekarang ini ramai orang luar LARI dari negara asal mereka untuk berbuat maksiat di Malaysia!

No comments: