Thursday, September 13, 2018

Mungkinkah akan wujud ungkapan bertrilion terima kasih?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

SEKARANG ini kita dikejutkan dengan berita banyaknya duit segelintir tokoh politik tanah air; yang terbaru ibu arwah seorang menteri menuntut bahagiannya (faraid) daripada sejumlah harta RM2.1 bilion...ya pembaca, berbilion ringgit bukan jutaan ringgit dimiliki seseorang!

Teringat dulu ketika saya mula bekerja sebagai wartawan ekonomi (1985) angka bilion tidak selalu digunakan dalam menulis sesuatu artikel apatah lagi yang membabitkan ringgit (wang) tetapi hari ini seseorang individu pun ada harta berbilion-bilion ringgit. Ya, sungguh banyak wang itu. 

Selain kisah tuntutan emak bekas menteri itu, menantu seorang bekas KM pun tidak lama dulu pernah menuntut harta dan wang berbilion-bilion ringgit daripada suaminya selepas diceraikan.

Bercakap mengenai angka bilion ini, teringat saya mengenai penggunaan bahasa bagi menggambarkan budi bahasa seseorang; dulu apabila seseorang atau pihak terasa terhutang budi, dia akan mengungkapkan ‘ribuan atau jutaan terima kasih’. Ungkapan ini biasa kita temui pada bahagian akhir surat ataupun dinyatakan seseorang pada permulaan atau pengakhiran ucapannya sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkenaan.

Namun sekarang saya terlihat dan terdengar ungkapan 'berbilion terima kasih’. Mungkin ini ada kaitan dengan orang kita yang semakin banyak duit  - mereka tidak hanya ada jutaan bahkan berbilion-bilion ringgit.

Tidak tahulah saya sama ada perkembangan ini sesuatu yang positif atau negatif, yang jelas ungkapan ini lahir bagi menggambarkan keadaan masyarakat kita yang ada (segelintir orang seperti ahli perniagaan dan tokoh politik) yang mempunyai duit dan harta berbilion-bilion ringgit. 

Selepas ini hendak digunakan ungkapan apa...mungkin trilion terima kasih kerana angka ini mula digunakan secara meluaskan terutama selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hutang negara mencecah RM1 trilion! 

Seorang pengkaji budaya dan bahasa Melayu berpendapatan perubahan ‘angka’ yang dipadankan pada ucapan terima kasih membayangkan bahawa masyarakat kini semakin materialistik yang melihat keberuntungan sebagai matlamat mereka.

“Segelintir pemimpin ada harta berbilion-bilion ringgit manakala yang lain  menggegarkan minda rakyat dengan projek berbilion-bilion ringgit, jadi mereka memuntahkannya kembali dengan mengungkapan ucapan berbilion terima kasih dan berbilion tanda penghargaan,” katanya.

Jika seseorang memiliki 
harta dan wang berbilion ringgit daripada sumber yang sah dan halal, tidak menjadi masalah...namun jika wujud 'ketidak-munasabahan' seperti diutarakan oleh seorang kolumnis berhubung tuntutan seorang ibu kepada wang dan harta RM2.1 bilion milik anaknya, 'itulah masalahnya'!  

Berhubung orang gilakan harta dan wang berbilion atau mungkin nanti bertrilion ringgit, teringat saya pesanan seorang sahabat saya yang agak terkenal juga dalam dunia penulisan dan sekarang sudah menjadi arwah. Ketika berjumpa saya sebelum meninggal dunia, beliau memberi nasihat bahawa untuk merasai kenikmatan hidup, kita tidak perlukan wang dan harta yang banyak.

Allahyarham memberikan contoh mudah - antara kenikmatan hidup adalah soal makan; katakanlah makanan paling sedap seseorang itu adalah KFC...dengan jumlah wang yang sedikit katakan RM10 dia boleh menikmati makanan itu bagi makan tengah harinya, selepas itu apakah dia boleh makan KFC lagi untuk makan malamnya?  Jika orang miskin boleh makan tiga ketul ayam KFC sekali gus, orang kaya pun mungkin sama, takkan kerana duit banyak dia boleh makan 15 ketul?

Bijak pandai ada menceritakan seorang hartawan ketika mahu makan bertanyakan doktor peribadinya - daging kambing bakar itu boleh saya makan, doktornya berkata tidak; burger itu boleh saya makan, jawapannya juga tidak; nasi lemak itu boleh saya makan, tidak juga jawapannya. Jadi apa boleh saya makan, tanya orang kaya berpenyakit kronik itu. Makanlah KULIT ROTI, kata si doktor selamba.

Demikianlah sebenarnya keperluan manusia seperti makan amat sedikit tetapi kebanyakan orang terlalu tamak; seboleh-boleh mereka mahu wang dan harta menimbun setinggi gunung, malah ada hadis Nabi Muhammad SAW menyebut kalau manusia itu sudah ada satu lembah emas, dia mahu dua, kemudian tiga dan seterusnya. Dia hanya berpuas hati selepas 'mulutnya dipenuhi tanah' (matilah)!

Bagi mereka yang gila mengumpul harta - tidak kira halal atau haram - ingat-ingatlah akan kisah King Midas. Raja ini sukan emas, suatu hari seorang pari-pari membuat tawaran dia boleh menukar apa saja menjadi emas dengan sentuhan tangannya. Almari, bangku, semuanya jadi emas selepas disentuhnya. Kemudian roti pun menjadi emas, akhirnya puteri tunggalnya pun jadi emas. 

King Midas panik, rupanya emas dan harta bertimbun tidak membawa bahagia...oleh itu ingatlah semua terutama orang diamanahkan kuasa sebagai pengarah dan menteri, bahawa wang berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit apatah lagi diperolehi secara haram, tidak akan membahagiakan kita! King Midas pun akhirnya 'bertaubat', kita bila lagi?

No comments: