Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
**************
Antara laluan paling 'bermakna' adalah menaiki kereta api elektrik (ETS) dari Parit Buntar ke Kajang di mana saya duduk di sebelah seterusnya berkenalan dengan seorang 'real Englishman' dari Liverpool, England bernama Ian Peter, 50 tahun.
Ketika dia menunjukkan pasport yang tertera namanya, saya bertanya dia mahu dipanggil Ian atau Peter...dia menjawab panggil saja Ian. Ian akhirnya berjaya saya pujuk untuk menceritakan perihal perjalanan hidupnya yang kata saya mungkin dapat memberi manfaat kepada diri saya dan pembaca (saya memberitahu Ian bahawa saya seorang penulis) bagi mengerti hati budi dan perasaan seorang 'real Englishman' yang menginjak usia 'tak berapa muda'.
Selepas 'selesa' duduk di sebelahnya, saya bertanya Ian sama ada dia sudah minum pagi, dia jawab sudah tetapi hanya kopi saja selepas dia menaiki kereta api itu di Butterworth untuk ke Gemas. Saya mengajak Ian ke kantin, tetapi dia menolak. Di kantin, saya membeli dua cawan kopi - satu untuk saya dan satu untuk Ian.
Ketika kembali ke tempat duduk dan menyerahkan kopi itu kepada Ian, terlihat saya cahaya kegembiraan di wajahnya...selepas itu bertambah rancaknya perbualan saya dengan bekas 'banker' (ahli perbankan) dari rantau bahagian tengah Britain ini lebih-lebih lagi kerana saya tahu sedikit sebanyak mengenai kota pelabuhan LIverpool yang pernah saya kunjungi pada 2008 dulu.
'Korek punya korek'...akhirnya Ian menjelaskan antara faktor menyebabkan dia 'mengembara keliling dunia' - dia kecewa dalam alam rumah tangga...si dia tidak boleh dipercayai...dia khianat. Suatu ketika terlontar dari mulut Ian...'once bitten twice shy' yang bermaksud sekali tersengat terus beringat. Ya seseorang yang pernah ditimpa/mengalami pengalaman buruk akan sentiasa berwaspada supaya hal yang sama tidak berulang.
Perbualan kami berterusan...Ian pula mengajak saya ke kantin, kali ini dia pula membayar harga kopi yang kami pesan. Kami minum di kantin sambil meneruskan sembang. Ketika itu kereta api melepasi bandar-bandar di selatan Ipoh seperti Batu Gajah dan Kampar.
Di luar, di balik kaca, kelihatan estet-estet dan bekas lombong...secara tiba-tiba saya teringat akan Kellie's Castle dekat Batu Gajah, lantas saya menceritakan kisah berkaitan istana itu - seorang peladang British kerana cinta kasih kepada isterinya sanggup membina bangunan tersergam untuk yang tersayang...namun semuanya terpaksa ditinggalkan selepas si dia meninggal dunia.
Ian ternyata tidak tertarik dengan kisah itu. Dia minta 'permisi', meninggalkan saya 'keseorangan' di kantin. "Lain macam' orang British ini, fikir saya. Mereka ini 'direct to the point' - kalau tak suka dia tunjukkan sikap tak suka...mungkin mereka tidak seperti orang Melayu tipikal yang kerap 'berbahasa-bahasaan' bagi menjaga hati pihak lain agar tak tersinggung atau terusik atau dalam bahasa mudahnya...tidak merajuk.
Mengenai perkara merajuk ini, seorang ustaz dalam kuliahnya yang saya hadiri, memberitahu merajuk tidak seharusnya berada dalam kamus seorang lelaki lebih-lebih lagi seorang suami apatah lagi jika dia seorang pendakwah. Nabi Muhammad s.a.w. mana ada merajuk dalam usaha dakwah baginda?
Ya, saya tak boleh 'merajuk' dalam melanjutkan perbualan dengan Ian. Kembali ke tempat duduk, banyak lagi perkara kami bincangkan terutamanya mengenai Islam. Saya tunjukkan kepada Ian naskhah al-Quran yang sentiasa saya bawa dalam beg. Terkejut saya apabila Ian memberitahu dia sedang mempelajari Islam.
Perbualan mengenai Islam mendekatkan saya dengan Ian. Banyak perkara yang kami bualkan termasuklah tidak boleh berputus asa dalam hidup. Dalam hidup perlu ada sentiasa harapan...dan kepada Ian saya berlawak "Nothing to loose if you try to build a family again. Yes find a girl!" kata saya sambil menepuk-nepuk bahunya. Saya pun tak tahu macam mana saya ada 'kekuatan sedemikian rupa'.
Menghampiri stesen Kajang, kami bersalaman erat...ketika saya berada di platform, Ian dan saya masih berlambaian-lambaian, doa saya dalam hati...Ya Allah, Kau berikanlah lelaki Inggeris ini hidayah Islam...
No comments:
Post a Comment