Friday, February 9, 2018

Titipan Seorang Pesara (17): Perkhabaran dari langit...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

MI udang Kuala Sepetang (Port Weld) yang masyhur sejak dipublisitikan
oleh sebuah stesen televisyen dan kemudian menjadi sajian istimewa
sempena pilihan raya kecil Bukit Gantang, seolah-olah melambai-lambai
saya ke sana bagi merasainya.

Sehubungan itu, saya dan keluarga yang mengujungi saudara di Perak
suatu ketika dulu, tidak melepaskan peluang menjejak kaki di bandar
berhampiran Taiping itu bagi merasai sendiri nikmat mi udangnya.

Sepanjang jalan dari Taiping ke Kuala Sepetang, kami ketemui sejumlah
gerai dan restoran mi udang. Ada gerai mi udang Mak…dan
Kak..sehinggakan restoran Cina pun ada menawarkan mi udang.

Sesetengah pengusaha kedai makan ini memasang iklan di tepi jalan
dalam jarak beberapa puluh meter antara satu lain sepanjang dua atau
tiga kilometer dari premis mereka. Demikianlah betapa hebat penangan
mi Kuala Sepetang gara-gara hebahan TV.

Di tepi jalan berhampiran sebuah gerai saya perhatikan ada barisan
panjang kereta dan dua buah bas persiaran. Berdasarkan jumlah
kenderaan, saya mencongak ada ratusan orang singgah, menikmati mi
udang. Tidaklah saya berhenti di situ kerana pada fikiran saya, kalau
saya menyertai ‘kesesakan’ itu, bimbang juga kena ‘potong kepala’!

Akhirnya kami singgah di sebuah gerai, melabuhkan punggung dan memesan
empat mangkuk mi udang biasa dan sebuah mangkuk mi udang spesial.
Semangkuk mi udang biasa berharga RM7 manakala yang spesial RM11. Bagi
saya tiada apa yang spesial pada mi berharga RM11 itu, cuma udangnya
bersaiz besar sedikit.

Ketika dan selepas makan, kami membicarakan akan mi itu. Bagi kami, mi
udang Kuala Sepetang macam mi di tempat lain, kelebihan hanya terletak
pada udangnya. Dalam semangkuk adalah lebih kurang enam atau tujuh
ekor udang bersaiz sederhana.

Seorang daripada kami berlawak: “Kalau nak makan mi dengan udang
banyak, di Tesco udangnya baru RM14 sekilo, taruhlah seberapa banyak
udang dalam mi yang dimasak sendiri, barulah puas makan.”

Sebenarnya memakan tujuh ekor udang sederhana besar itu membuatkan
kepala saya lain macam rasanya. Saya sudah pening, tetapi buat-buat
‘steady’. Saya tahu tidak sewajarnya saya memakan udang sebanyak itu,
tetapi bukankah tujuan kami ke Kuala Sepetang untuk merasai kenikmatan
mi udangnya, jadi saya pun ‘bantai’ saja!

Sepuluh tahun lalu tiada had untuk saya makan udang, ketam dan makanan
laut lain. Dua puluh tahun lalu, saya lagi hebat. Sekilogram kerang
rebus boleh saya habiskan seorang, ketam tiga empat ekor tiada
masalah. Makan udang berbelas-belas ekor pun tiada hal; demikian juga
makan sate (termasuk kerang), berpuluh-puluh cucuk pun masih okay.

Tetapi hari ini, tujuh ekor udang pun sudah membuat saya pening-pening
lalat. Selain makanan laut, saya juga tidak lagi berupaya menikmati
buah-buahan dengan banyak seperti 10 atau 20 tahun lalu. Ketika itu
saya boleh menikmati sebiji dua buah durian; sebeg plastik rambutan
dan manggis, tetapi kini tiga ulas durian dan beberapa butir rambutan
sudah dikira ‘bahaya’. Mengapa begitu?

Saya tidak berhajat menjawabnya dari segi kesihatan tetapi mengupas
apa yang tok-tok guru ajarkan di kelas pengajian di masjid-masjid yang
saya ikuti sejak 10 tahun lalu. Kata sesetengah guru, perubahan yang
berlaku kepada diri kita adalah perkhabaran dari langit, daripada
Allah SWT yang mengingatkan kita akan kematian.

Seorang tok guru berkata dalam kebanyakan kes, kematian tidak berlaku
secara mengejut seperti dakwaan sesetengah orang. Allah SWT telah
menghantar utusannya, tetapi kebanyakan manusia tidak menyedarinya.
Salah satu daripadanya adalah penyakit, apabila umur meningkat 40
tahun ke atas, pelbagai penyakit seperti kencing manis, gout, darah
tinggi dan sakit jantung mula menyerang.

Apabila sudah terkena kencing manis, bermakna tidak boleh lagi sesuka
hati makan durian, rambutan, manggis dan sebagainya. Demikian juga
orang berpenyakit darah tinggi, terpaksalah berpantang daripada makan
itu dan ini. Ertinya Allah SWT telah menarik balik sebahagian nikmat,
bermaksud kita semakin hampir menuju kematian.

Kemudian cerminlah diri sendiri. Rambut mulai putih, ada yang sudah
botak; misai dan janggut juga sudah lebih banyak putih daripada hitam.
Ini semua adalah utusan daripada Allah SWT, awak sebenarnya semakin
hampir dengan kubur, tetapi mengapa tidak sedar-sedar diri?

Kemudian badan pula terasa lenguh-lenguh; sana sini sendi sakit;
kemampuan dan kekuatan pun tidak seperti dulu. Berjalan sikit sudah
letih; apatah lagi berlari atau mendaki tangga, tercunggap-cunggap dan
mengah, bagai mahu putus nafas.

Orang perempuan pun perlu cermin diri. Lihatlah wajah yang dulunya
cantik puas-puas. Kini sudah berkedut sana sini. Kulit pun tidak anjal
lagi. Telitilah mahkota (rambut), apakah sudah putih sehehai dua atau
lebih banyak putih daripada hitam. Dalam keadaan lebih banyak putih
daripada hitam, masakan hati masih keras tidak mahu menutupnya?

Kemudian telitilah keadaan tubuh, masih segar dan tegang atau kendur
sana sini. Bagaimana pula kesihatan diri? Masih cergas berlari ke sana
sini mengejar anak-anak nakal seperti dulu, atau anak-anak sudah tua
bangka yang menghadiahkan cucu pada kepada kita. Mampukah kita
mengejar cucu seperti mengejar anak dulu?

Insaflah diri bahawa perkhabaran dari langit sudah banyak,
memperlihatkan bahawa kita akan kembali kepada-Nya. Namun tidak ramai
menyedarinya kerana semakin meningkat usia, semakin ‘murah’ pula
rezeki. Dulu semasa muda kita goyah dari segi kewangan dan kedudukan
tetapi semakin tua semakin banyak wang manakala pangkat dan kedudukan
semakin hebat.

Semasa muda dulu kadang-kadang hendak makan durian sebiji pun tidak
mampu membelinya tetapi apabila sudah tua selori pun boleh kita beli;
malangnya kita hanya boleh makan seulas dua saja atau lebih malang
lagi tidak boleh ‘kena’ durian langsung. Sudah tua ini hanya boleh
rasa saja, sesetengah orang rasa pun tidak boleh sedangkan duit ada
berkepul-kepul dalam bank!

No comments: