Tuesday, January 12, 2016

Pengantin kongsi majlis tangani kos tingg

********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************

TAHUN baharu 2016 saya menerima sejumlah kad undangan majlis perkahwinan. Pada tiga hujung minggu (Ahad) bulan Januari di kalendar saya sudah bertanda - ada majlis di Subang Jaya, Kuala Lumpur dan Banting.

Apa yang menarik perhatian saya; dua daripada tiga majlis perkahwinan ini membabitkan perkongsian majlis. Yang pertama membabitkan perkongsian majlis keluarga pengantin perempuan dan pengantin lelaki manakala yang kedua sebuah keluarga mengahwinkan dua anak mereka serentak.

Tentu ada sebab keluarga pengantin berkongsi majlis atau mengahwinkan beberapa anak serentak. Saya mencari jawapannya dengan bertanya bapa pengantin lelaki yang mengadakan majlis secara berkongsi itu. Beliau kawan baik saya, dia tidak berkecil hati malah bersedia berkongsi rasa dan hati pada saya.

Katanya, kos majlis perkahwinan sekarang tersangat tinggi - sebuah keluarga memerlukan sekurang-kurangnya RM25,000 untuk mengahwinkan seorang anak mereka. Bagi pengantin lelaki hantaran 'sederhana' sudah RM12,000 bakinya adalah untuk makanan jamuan majlis; persoalannya bagaimana perbelanjaan lain seperti sewaan dewan, pengangkutan, pakaian pengantin dan majlis-majlis pra-perkahwinan seperti merisik dan bertunang? 

Aduhai, nampaknya ramai pengantin lelaki hanya mampu menyediakan wang hantaran; yang lain diserahkan kepada kaum keluarga. Ada keluarga tak mampu pula, jadi mereka serahkan kepada keluarga pengantin perempuan untuk membuat majlis (keluarga pengantin lelaki tiada majlis, mungkin mereka membuat kenduri kecil dengan bacaan doa selamat saja) dan ada yang berpakat untuk berkongsi majlis.

Demikianlah anak muda pada zaman 'harga barang dan segala keperluan naik' sekarang ini terlalu tertekan apabila mereka mahu kahwin. Katakan seorang graduan sarjana muda mula bekerja pada usia 23 tahun, gajinya mungkin RM1,800 sebulan, jika dia menyimpan RM200 sebulan untuk kahwin, dia hanya boleh 'melunaskan' wang hantaran (RM12,000) selepas lima tahun iaitu ketika umurnya 28 tahun. Persoalannya mana 'mau dicekau' wang lain seperti bayan jamuan makanan dan pakaian pengantin?

Kos makanan bagi majlis sekarang ini pun tinggi - RM10 sekepala mungkin sesuatu yang sederhana. Jika jemputan 1,000 orang, pesanan makanan diperlukan mungkin 1,500 (dengan andaian jemputan membawa pasangan dan anak mereka) kos diperlukan adalah RM15,000! Persoalannya, bagi graduan yang baru bekerja, siapa mahu membiayai kos ini?

Graduan yang baru bekerja, banyak urusan kewangan yang perlu mereka bereskan. Bayaran makan minum, sewa rumah, pengangkutan dan membantu mak bapak ada soal biasa, tetapi wang mereka juga perlu untuk membereskan pelbagai pinjaman yang dibuat ketika menuntut dulu. 

Ada yang membuat dua pinjaman (kerajaan negeri) dan PTPTN, sewajarnya mereka 'tidak lupa' membuat bayaran bulanan (janganlah 'segan' bayar kerana akibatnya baki wang gaji anda nanti tinggal RM19 saja). Selepas ditolak ini, wang baki mereka 'tinggal ciput' saja, jadi macam mana mereka mahu kahwin?

Kos kehidupan yang tinggi sekarang ini menyebabkan ramai anak muda yang mahu kahwin 'merana' hidup mereka. Biasanya kebanyakan anak muda, pada usia 25-30 tahun, mereka sudah 'gatal' untuk kahwin. Tetapi ada 'segolongan manusia' gila glamour (orang kaya, berpangkat tinggi dan duit berguni 'tak apalah), meminta wang hantaran tinggi seperti RM20,000, RM33,333, RM44,444 atau mahu membuat majlis perkahwinan ala 'Raja-Donan' yang berlangsung 7 hari 7 malam. Cuba bayangkan bagaimana anak muda kita hendak 'cekau' duit sebegitu banyak bagi membolehkan mereka kahwin?

Bukankah ini akan menimbulkan masalah besar dalam masyarakat. Bukankah akan berlaku fitnah paling hebat dalam masyarakat? Anak-anak muda yang kemaruk untuk kahwin tetapi tidak dapat kahwin akan menerbitkan rangkaian masalah yang bukan saja menjejaskan masyarakat tetapi juga negara, bangsa dan agama. 

Ya, berkahwinlah (bernikah) wahai anak muda, itu sunnah Nabi; jika perlu berkongsi majlis atau berkahwin beramai-ramai teruskanlah; semoga dengan hidup bekeluarga Allah SWT akan menambah kebarakahan kita semua pada zaman yang serba sukar dan mencabar sekarang ini.

No comments: