Saturday, January 2, 2016

Aziz Desa dan misteri 'pemuafakatan pergi tidur'...

********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************

RAKAN saya, Saudara Aziz Desa, 50, meninggal dunia pagi Ahad (27 Disember) lalu. Marilah kita bersama-sama berdoa agar rohnya di tempatkan di kalangan insan pilihan Allah SWT. Semoga Allah SWT mereda dan menerima amalan baik dan mengampuni dosa-dosanya, amin. Al-Fatihah.

Kali terakhir saya bertemu Aziz yang sakit Ogos lalu. Saya sedih dan terharu melihat kawan saya cengkung, kurus dan tidak bermaya di atas kerusi roda di rumahnya di sebuah taman perumahan berhampiran Masjid Hana di Kuah, Langkawi. Itu ketentuan Illahi, kita sebagai makhluk-Nya perlu reda dan banyak bersabar, demikan antara kata-kata semangat saya luahkan kepada Aziz. Kini Saudara Aziz sudah pergi, kita pun akan mengikuti jejaknya...

Allahyarham Aziz Desa, saya dan sejumlah lagi wartawan pelatih (saya terlupa jumlah sebenar, mungkin 10 orang) mula bekerja serentak di sebuah akhbar harian nasional pada penghujung tahun 1986. Sebelum tahun itu berakhir, kumpulan kami dihantar mengikuti kursus bina semangat (team building) di Mimaland, Gombak. Hari ini resort yang masyhur pada 1970-an dan 1980-an (termasuk lokasi membikin filem) ini hanya tinggal kenangan; ia sudah mati!

Pada suatu malam ketika kursus, kami dikehendaki membincang dan membahaskan sesama kami satu topik dan cabarannya adalah kami (semua peserta) perlu menyetujuinya (mencapai kata sepakat) yang kemudian akan diserahkan kepada fasilitator untuk dinilai.

'Bermodalkan' semangat pekerja baru (belum dapat gaji pertama pun) dan kami muda-muda belaka, kami pun mula berbincang dan berbahas secara baik tetapi lama kelamaan bukan persetujuan pendapat yang kami capai tetapi perbalahan yang semakin lama semakin besar jurangnya. Malam kian larut tetapi perbahasan makin panas. Ia berlanjutan melepasi jam 12.00 tengah malam.

Peserta 'gian berbahas' terus bercakap dengan hebatnya, tetapi sesetengahnya seperti saya sudah naik bosan. Saya berkali-kali mengguap. Aku nak tidur, aku nak ZZZZZZ, bisik hati saya. Apalah kau orang ni, nak berbahas tunggulah esok. Bila agaknya aku dapat tidur sedangkan pada siang hari tadi pelbagai aktiviti memenatkan dijalankan sedangkan esok harinya jam 6.00 pagi perlu bangun untuk solat subuh dan membuat tugasan lain pula.

Jam sudah pukul 2.00 pagi; saya naik meradang, apabila ada kesempatan, saya bangun seterusnya berkata (perkataan sebenar saya tak ingat): "Bukankah fasilitator mahu kita mencapai kata sepakat sesama kita. Sekarang sudah pukul berada dah? Kalau macam ini, tak capai kata sepakatlah. Tak tidurlah malam ni. Apa kata kita semua bersepakat bahawa kita mahu menamatkan perbahasan ini dan PERGI TIDUR. Ya kita semuanya bersepakat untuk pergi tidur!"

Semua peserta terpinga-pinga.Mereka sudah berbahas berjam-jam lamanya tetapi tiada kata sepakat; sekarang terbuka peluang untuk berbuat demikian. Namun hal ini pun tidak disepakati, berlaku lagi pergaduhan - ada yang mahu pergi tidur dan ada pula berkata orang yang mahu pergi tidur itu tidak mengenang budi - syarikat sudah buat banyak membuat kebajikan termasuk menyediakan kami penginapan dan makan minum tetapi kita pula ambil mudah apabila mahu pergi tidur!

Macam mana ni, berlaku perbalahan hangat lagi..akhirnya jam 3.00 pagi kami membuat undian. Keputusannya kami sepakat untuk menamatkan perbincangan dan pergi tidur. Bagi diri Allahyarham Aziz Desa, saya tidak ingat dia sokong kumpulan mana. Kami sampaikan keputusan kesepakatan (pergi tidur) kepada fasilitator; mereka tak kata apa-apa namun mereka membiarkan saja kami pergi tidur.

Sehingga hari ini, saya tidak tahu sama 'kesepakatan' kami itu betul atau tidak. Ia masih menjadi misteri. Namun menurut perkiraan (pandangan) saya langkah kami itu betul, kerana fasilitator sengaja membiarkan kami berdebat berjam-jam lamanya. Ya mereka sedang menguji kami kerana maklumlah manusia memang susah mencapai kata sepakat, asyik nak bergaduh saja...dalam al-Quran ada dinyatakan jika berlaku perselisihan, kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya (al-Quran dan hadis) sebagai kata pemutus!

Sekali lagi, pembaca sekian marilah kita sedekahkanlah bacaan al-Fatihah buat Allahyarham Aziz Desa.

No comments: