Saturday, October 3, 2015

Dari UKM ke Harakah (34): Penat jika mencari 'keredaan' manusia...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)

PADA artikel sebelum ini (dalam siri rencana dari UKM ke Harakah) ada dikisahkan saya tidak sempat menamatkan pengajian peringkat Sarjana di UKM. 
Ada pelbagai faktor menyebabkan saya berhenti sekerat jalan. Saya mengakui kesilapan dan kelemahan diri ini...namun dapat saya rasakan saya bertindak berdasarkan naluri sendiri bukan berdasarkan faktor mahu memuaskan hati orang lain.
Subhanallah, dalam hidup ini banyak tindak tanduk (perbuatan dan keputusan) yang kita buat adalah berdasarkan 'apa yang orang lain cakap'. Ertinya kita cuba untuk memuaskan hati orang lain.
Sebagai Muslim saya sedar sewajarnya dalam membuat apa-apapun kita sewajarnya berusaha mendapat keredaan Allah dan bukan mendapat pujian manusia dan pada majlis perkahwinan anak sulung saya baru-baru ini, saya diperkukuh pengajaran bahawa 'tiada keuntungan' jika berbuat sesuatu bagi memuaskan hati manusia.
Pada majlis perkahwinan itu, orang rumah saya menyediakan buah oren (limau) sebagai sebahagian 'door gift' (cenderamata); seorang tetamu ketika menerimanya di pintu masuk/keluar dewan perkahwinan mengomel: "ahh limau, di pasar malam pun ada limau!" 
Mungkin si tetamu berlawak tetapi ia bagai 'laser' menikam hati isteri saya yang sebelum itu saya lihat bekerja keras siang malam bersama anak-anak buahnya selama beberapa hari bagi menyediakannya. Bagi 'door gift' lain sudah banyak kalilah dia 'bershopping' di Nilai 3...yalah orang perempuan 'nak bermenantu' tahulah hal ini! Ada yang membuat persediaan menyediakan 'door gift' berbulan-bulan lamanya sebelum majlis perkahwinan!
Ya, jika kita mahu memuaskan hati (mendapat pujian) manusia kita akan kecewa dan terasa kepenatan daripada sesesuatu pekerjaan, tetapi jika kita berusaha mendapatkan keredaan Allah, insya-Allah kita akan tenang...orang puji atau keji pun semuanya sama, yang penting Yang Maha Kuasa meredai kita - ganjaran keikhlasan sudah tersimpan di alam akhirat sana - itulah yang perlu kita buru. 
Hidup ini adalah bagi memuaskan-Nya bukan selain-Nya kerana makhluk termasuk manusia (kecuali orang beriman, bertakwa) tidak akan pernah puas. Menurut sebuah hadis, manusia tidak akan puas sehinggalah tanah memenuhi mulutnya (matilah). Jika diberi satu lembah emas, dia mahu yang kedua, yang ketiga dan seterusnya!
Demikianlah selagi hayat masih di badan, manusia bebas dan akan bercakap apa saja mengikut 'kepala otak' masing-masing. Kalau kita mendengar sepenuhnya cakap manusia, kita hanya mencari kebinasaan diri...jadi carilah ilmu, timbalah khazanah yang tidak bertepian daripada Al-Quran, hadis dan cetusan ulama.
Berhubung bahaya mengikut cakap-cakap orang ini ada digambarkan dalam kisah seorang tua, anaknya dan seekor keldai. Mula-mula si anak menunggang keldai dengan si bapa menarik tali keldai, orang kampung berkata "apa punya si anak ini, tenaga kuat dibiarkan bapa yang lemah berjalan"...kemudian apabila si bapa ada di atas keldai, orang kampung lain pula berkata: "apa si tua ni, dibiarkan anak yang lemah berjalan", apabila kedua-duanya menunggang keldai, orang kampung lain berkata: "punyalah zalim anak beranak ini menyeksa keldai", kemudian apabila mereka bertindak mengikat dan memikul keldai, orang kampung lain pula berkata: "apalah bodoh punya orang..."
Subhanallah, demikianlah hati akan kecewa dan badan terasa kepenatannya jika kita cuba memuaskan hati manusia. Mereka akan terus bercakap dan bercakap sehingga mereka tidak boleh lagi bercakap. Di akhirat nanti mulut manusia akan dikunci sebaliknya semua anggota badan akan menjadi saksi akan apa-apa yang telah mereka lakukan di dunia. Ya tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua manusia...ada saja yang tak kena di hati mereka.
Namun bagi mereka yang membuat apa saja bagi mendapat keredaan Allah, insya-Allah hati akan tenang - bagi mereka pandangan dan kata-kata manusia kurang penting; apa yang diutamakan adalah pandangan Allah SWT...mereka akan berusaha keras dan seikhlas mungkin bagi mendapat  keredaan Allah. Orang puji atau orang tak puji 'tak menjadi hal bagi mereka'.
Hatta mereka yang sudah sampai ke 'makam' tinggi - ucapan terima kasih pun tak diharapkan mereka sebagaimana digambarkan ulama daripada perlakuan Sayidina Ali Abu Thalib yang secara senyap-senyap meninggalkan barangan bantuan di pintu rumah orang miskin pada waktu malam dan rahsia ini hanya diketahui selepas beliau meninggal dunia!

No comments: