Wednesday, October 14, 2015

Dari UKM ke Harakah (Bab 35, Akhir): Berundurlah sebelum orang benci…

****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

*************

PENGKISAHAN melalui artikel bersiri 'Dari UKM ke Harakah' berakhir sudah. Artikel ini adalah yang terakhir dalam siri penceritaan ini; yalah bukankah ada bijak pandai mengungkapkan adalah baik untuk seseorang itu berundur sebelum orang benci!

Subhanallah, dalam menjalani kehidupan di dunia ini janganlah kita mencari kebencian orang. Hidup jangan menyusahkan orang lain. Kalau tempoh kita sudah 'expired' (tamat), berundurlah. Pergilah secara terhormat sebelum orang memaksa kita pergi...

Berceloteh mengenai perbutan kita menyusahkan orang lain, teringat saya 'kerakusan' segelintir pencari barangan kitar semula (seperti tin minuman) di tempat saya yang menyelongkar tong sampah besar di tepi jalan. Mereka membiarkan sampah bertaburan; banyak bungkusan plastik pecah 'dikerjakan' mereka, kehadiran anjing dan kucing menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Pada awal pagi (biasanya selepas subuh) lori sampah akan sampai dan petugasnya mengangkat tong di tepi jalan dan meletakkannya di sisi lori. Tong itu 'mencurahkan isinya' secara automatik ke dalam lori. Suatu pagi saya memberhentikan motosikal saya bagi memerhatikan operasi mengutip sampah.

Setiap kali lori lalu berhampiran tong sampah, dua petugas melompat turun dan mengangkat tong sampah dan sampah dimasukkan ke dalam lori dalam tempoh tak sampai 30 saat. 

Tetapi bagi lokasi yang sampah bertaburan di sisi tong, petugas terpaksa menyampu, melonggok dan seterusnya memasukkannya ke tong sebelum 'dihumbankan' ke dalam lori. Saya amat-amati masa diperlukan adalah dua minit. 

Kalau ada 10 tong sampahnya bertaburan, masa diperlukan sudah 20 minit sedangkan kalau 'keadaan bersih', masa diperlukan hanya 5 minit. Demikianlah mengapa 'disusahkan orang lain', sekalipun kita mahu mencari 'sesuap nasi' dengan mencari barangan kitar semula!

Sudahlah hidup kita susah, sikap mementingkan diri sendiri (menyelongkar dan melambakkan sampah) menyebabkan orang lain seperti pekerja pengutip sampah membenci kita; tidakkah 'berbakul-bakul' sumpahan diucapkan mereka?

Jika penyelongkar sampah dibenci kerana kerakusan mereka dalam 'mencari sesen dua', sejarah mencatat pemimpin yang berada terlalu lama di puncak kuasa, juga menjadi kebencian orang. Saddam Hussein (Iraq), Ferdinand Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan Idi Amin (Uganda) adalah contohnya. Demikian juga diktator Zine el Abidine Ben Ali (Tunisia), Hosni Mubarak (Mesir) dan Muammar Gaddafi (Libya).

Jadi lebih baiklah pemimpin termasuk di negara kita yang ‘makan cili’ pergi sebelum rakyat benci! Sepuluh atau 20 tahun berkuasa adalah terlalu lama; seseorang bayi sudah menginjak dewasa dalam tempoh ini; orang tua pula sudah ganyut; dunia kata pergi kubur kata mari.

Dalam dunia politik antarabangsa kontemporari, nama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang meninggal dunia pada 2013, tetap terpelihara. Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini hanya menjadi presiden sepenggal cuma (selama lima tahun selepas menang pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April 1994).

Pada pilihan raya umum Afrika Selatan 1999, Mandela yang memimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, tetapi tokoh yang pernah meringuk 27 tahun dalam penjara memilih untuk berundur, memberi peluang kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.

Ya, Mandela adalah contoh negarawan hebat, beliau enggan berada di puncak kuasa buat tempoh masa lama, bagi beliau cukuplah sekadar meletakkan asas kepada pembentukan negara Afrika Selatan baru yang didirikan di atas kuburan dasar aparteid yang membelenggu negara itu berabad-abad lamanya.

Pada pilihan raya 1994, ANC pimpinan Mandela mendapat lebih 60 peratus undi, membolehkan beliau menjadi presiden pertama di kalangan orang kulit hitam bagi Afrika Selatan. Sokongan terhadap beliau terus meningkat selepas itu, memungkinkan beliau untuk terus berkuasa tetapi beliau enggan membuat demikian.

Hal ini amat berlainan dengan diktator-diktator dunia Arab yang mahu terus berkuasa ‘dulu, kini, dan selamanya’ semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang menunjukkan mereka dapat sokongan hebat – lebih daripada 90 peratus undi.

Mubarak, Saddam, Gaddafi, Zine el-Abidine bukannya tidak melalui pilihan raya malah setiap kali kemenangan lebih 90 peratus dicatatkan, menyakinkan mereka untuk terus berkuasa. Jelas rakyat tidak dapat mengubah mereka melalui pilihan raya tetapi cara lain.

Mubarak dan Zein el-Abiden tersingkir melalui tunjuk perasaan rakyat di jalan raya; Saddam tersungkur dalam perang dan digantung sampai mati ketika umat Islam merayakan Aidiladha oleh pentadbir Amerika Syarikat.

Di rantau sebelah sini, diktator Marcos dan Suharto juga disingkirkan oleh rakyat yang berdemonstrasi di jalan raya. Sama seperti diktator dunia Arab, kedua-dua mencatatkan kejayaan cemerlang, gemilang dan terbilang setiap kali pilihan raya. 

Ya, wahai semua termasuk pemimpin tempatan dan mereka yang berjawatan tinggi yang telah lama berkuasa...berundurlah sebelum orang benci dan memaksa kita pergi...Berhentilah dengan penuh penghormatan; jangan dicari pengakhiran yang dipenuhi kenistaan!

No comments: