Friday, August 21, 2015

Dari UKM ke Harakah (27): Belajar-belajarlah beruzlah...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

DALAM menyempurnakan tugas saya sebagai pelajar di UKM dan pekerja di Harakah, kerap benar saya bermusafir. Pada sesetengah keadaan saya terpaksa bersendirian (tanpa orang di sekeliling mengenal kita) seperti ketika berada dalam bas dan masjid.

Duduk bersendirian sambil memikirkan pelbagai perkara seperti kebesaran Allah, bermuhasabah diri, merencana perkara-perkara kebaikan dan memperbanyakkan zikir dikenali dengan pelbagai nama seperti beriktikaf (berada dalam masjid), bertakfakur, bersuluk (istilah orang sufi), 'berkhalwat' dan beruzlah.

Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti penerangan seorang ustaz mengenai kepentingan seseorang itu termasuk pemimpin untuk 'belajar-belajarlah beruzlah'. Yalah, selama ini kita 'hidup penuh glamor' tetapi tiba-tiba direntap 'keglamoran' seperti dimasukkan ke dalam penjara, menyebabkan kita hilang punca dalam kehidupan.

Namun jika 'kita sudah ada latihan' (beruzlah) sebelum itu, tidaklah kita 'panik' sangat - sekurang-kurangnya kita sudah terbiasa bersendirian. Bersendirian di sini bukan bermaksud 'saja-saja aje' tetapi 'bersama-sama' Allah.

Ustaz itu berkata, kalau kita bertakfakur bukan ikut suka-suka kita saja, tetapi berdasarkan panduan agama. Antaranya apa yang hendak ditakfakurkan; salah satunya adalah membaca seterusnya merenung ayat-ayat Allah. Kalau kita ikut suka kita, tersilap langkah kita 'jadi Aristotle' pula, mengikut jalan yang sesat.

Berdasarkan perkembangan politik yang sungguh dinamik sekarang ini, latihan beruzlah, insya-Allah dapat membantu ketika pusingan roda kehidupan kita berada di bahagian paling bawah. Subhanallah, siapa dapat menduga tiba-tiba kita dilucutkan jawatan (seperti kes TPM Muhyiddin Yassin), kecundang dalam pemilihan parti dan lebih berat lagi meringkuk dalam lokap atau penjara.

Ketika kita menjadi pemimpin, berjawatan tinggi dan mempunyai kuasa, ramailah orang di sekeliling kita (sama ada yang jujur atau jenis mengampu) tetapi selepas kita jatuh tersungkur, maaf cakaplah 'semuanya sudah hilang'. Mungkin benarlah kata-kata bijak pandai Melayu, 'sayang saudara ketika berada...'

Apabila seseorang itu biasa hidup 'penuh hehebatan', kemungkinan besar dia bermasalah besar dalam meneruskan kehidupan selepas jatuh tersungkur. Misalnya jika dulu dia biasa dibukakan orang pintu kereta dan pejabat untuknya, hampir tidak mungkin selepas tersungkur dia tahu menaiki kenderaan awam. Ya, ada ramai tokoh yang 'rela kembali menjilat' kerana tidak tahan hidup sederhana malah menderita sedangkan dulu mereka kaya, ternama dan berkuasa!

Namun jika sentiasa hidup sederhana, insya-Allah tidaklah kita 'meraban' apabila jatuh tersepok. Pengikut yang ramai (jenis pengampu) sudah lari, maka terkapai-kapailah kita meneruskan kesinambungan hidup, kadang-kadang 'sorang-sorang'.

Berceloteh mengenai jatuh bangun dalam kehidupan ini, teringat saya akan pelancaran Gerakan Harapan Baru (GHB) Melaka di Bukit Piatu pada malam Sabtu (7 Ogos) yang sempat saya hadiri. Di pentas ada ramai 'bekas pemimpin PAS' yang tak payah saya sebutkan nama mereka. 

Demikian juga bekas pemimpin Umno; golongan ini nampaknya sudah bersama dengan kepimpinan KeADILan dan DAP. Kerana begitu ramainya pemimpin nak berucap, setiap orang diberi masa 5 minit saja. Kata seorang bekas pemimpin PAS, bekas PM Mahathir Mohamad dan 'orang kuat' Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah 'akan bersama-sama' mereka tak lama lagi.

Menyaksikan aksi pemimpin-pemimpin ini teringat saya pesan seorang ustaz dalam kelas pengajiannya baru-baru ini. Katanya kalau kita kasih kepada seseorang, kasihlah secara berpada-pada. Demikian juga benci, bencilah berpada-pada. 

Bukankah ada peribahasa Melayu berbunyi buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Ini tidak, sesetengahnya dulu bukan main bijak dan lantang berkata orang itu begitu beginilah, tak taat setialah dan macam-macam lagi...sekarang ini apa dah berlaku? Takkah bagai memulangkan paku buah keras!

Sang ustaz lantas membacakan sebuah hadis yang bermaksud: "Daripada Abi Hurairah r.a., katanya: 'Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Kasihlah akan kekasihmu dengan mudah barangkali bahawa ada ia benci engkau pada suatu hari dan benci olehmu akan dibenci engkau dengan mudah barangkali bahawa ada ia kekasihmu pada suatu hari."

Hati manusia mudah berubah...apa nak dihairan. Hayatilah pantun Melayu lama ini: Asal kapas dibuat benang, daripada benang dibuat kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain. Ya anak sungai lagikan berubah inikan pula hati orang...

No comments: