Monday, August 3, 2015

Dari UKM ke Harakah (25): Bersabar, bersabar, bersabarlah....

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

SALAH satu subjek saya pelajari di UKM adalah 'Decision Making' (Membuat Keputusan). Namun tidak dapat saya mencelotehkan secara khusus mengenai perkara ini kerana pengajian peringkat sarjana saya terbantut di tengah jalan. Saya berhenti belajar selepas membuat keputusan nekad memberikan komitmen 100 peratus kepada perjuangan PAS melalui kerjaya sebagai wartawan di Harakah.

Antara perkara yang saya ingat adalah pesanan pensyarah akan kepentingan membuat sesuatu keputusan berdasarkan mesyuarat (musyuarah) - itu lebih penting daripada 'kita pandai sendiri-sendiri' (seperti yang saya buat untuk berhenti belajar di UKM). Berhubung perkara ini, teringat saya akan mesyuarat sidang editorial Harakah yang akan memberi peluang kepada setiap pengarang untuk mengesyorkan bahan seterusnya tajuk muka depan akhbar Harakah pada setiap keluaran. Ya, bermesyuarah banyak kelebihan dan ini digalakkan dalam Islam.

Berdasarkan latar belakang ini insaflah saya bahawa pandangan orang lain amat penting termasuklah dalam 'kita melakar kehidupan sendiri', agar tidaklah 'kita syok sendiri'. Ya, kepada semua termasuk pemimpin; bersedialah mendengar pandangan orang lain sebelum kita membuat 'sesuatu keputusan'. Jika saya membuat keputusan sendiri-sendiri (misalnya berhenti daripada UKM), risikonya hanya saya tanggung tetapi apabila pemimpin politik membuat keputusan, ia mendatangkan kesan kepada banyak pihak termasuk rakyat.

Pada penghujung tahun lalu, beberapa hari selepas pecahnya berita saya 'disingkirkan' daripada Harakah, seorang pemimpin tertinggi PAS menelefon saya, memberitahu saya supaya bersabar, bersabar dan bersabarlah...Katanya telah berlaku salah faham; "awak boleh terus buat kerja seperti biasa di Harakah...tolonglah jangan berundur buat masa ini...nanti apabila suasana sudah tenang jika awak nak berundur, berundurlah..."

Masa berlalu dengan pantas; lima bulan kemudian (pada awal Jun) PAS mengadakan Muktamar Tahunan ke-61 di Kuala Selangor; dan sebagai 'ahli PAS yang setia', saya turut menghadiri diri...ya dengan menunggung motosikal kapcai buruk secara solo dari Melaka ke sana. Abu Hanifah Abdul Rahman (Ketua Unit Teknikal Harakah) dapat mengesahkannya kerana saya singgah sebentar di rumahnya di Kampung Pandan, KL dalam perjalanan ke muktamar. Kami sempat ke rumah Ahmad Lutfi Othman (bekas Ketua Pengarang Harakah) bagi menziarahinya yang uzur, malangnya beliau tiada di rumah kerana menjalani rawatan di Hospital UKM.

Di tapak muktamar, suatu petang sebelum pemilihan, ketika berada di gerai menikmati mi sop Utara, seorang 'saudara se-Islam' yang duduk di sebelah saya yang kemudian membelanja semua 'kawan-kawan' yang duduk di situ, memberitahu bahawa Mat Sabu (Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS ketika itu) 'akan disembelih' dalam pemilihan itu. 

Ehhh, macam mana 'mamat ni' boleh tahu, bisik hati saya. Memang betul, apabila keputusan pemilihan diumumkan, Haji Mohamad Sabu dan ramai profesional tewas...seorang 'pemerhati' yang sama-sama menumpang di sebuah masjid memberitahu saya..."GU sudah menguasai PAS." Saya terpingga-pingga...saya tak tahu apa itu GU, yang saya tahu UG iaitu 'unity government' (kerajaan perpaduan). Allah, GU tu 'Geng Ustaz', kata 'rakan baru' itu.

Pemimpin PAS yang menghubungi saya dulu, yang merayu saya bersabar, bersabar dan bersabar juga tewas. Pada permulaannya, mereka yang tewas dilihat boleh bersabar (ya bukankah kalah menang itu adat pertandingan) tetapi lama kelamaan timbul pula Kumpulan 18 (G18) dan mutakhir ini Gerakan Harapan Baru (GBH).

Saya yang naif dalam politik ini tidak faham perjuangan G18 dan GBH. Namun sesuatu yang tersemat di hati saya selepas mengembara di sejumlah negara pada masa muda saya, umat Islam tolonglah...tolonglah jangan berpecah. Kesan perpecahan ke atas ummah tersangat dahsyat, umat Islam bukan saja di perkotak-katikkan dan menjadi mangsa 'sandiwara' kuasa besar yang mengamalkan dasar pecah dan perintah tetapi kini menjadi mangsa musuh dalam selimut.

Saya menjadi keliru kenapa kita mahu berpecah angkara hasutan orang (pihak) lain? Jika dulu kita salahkan penjajah yang dakwa kita memecahbelahkan kita tetapi kini jawablah dengan jujur siapa (pihak) mana yang telah (berjaya) memecahbelahkan kita? Kenapa 'pasal orang lain' kita memilih untuk berpecah?

Benar sebagai rakyat beragama Islam, saya seperti banyak orang lain mahu melihat sebuah negara yang lebih demokratik, aman, sejahtera dan Islam sebagai dasar dalam kehidupan. Ya wahai rakan G18 atau GHB, kalian memang tidak asing dalam hati kawan mahupun lawan.Tiap-tiap perihal penindasan rakyat, muka kalianlah yang akan tampil awal.

Saya 'salut' anda; ya perjuangan tuan puan sungguh mulia, tetapi itu tidak bermakna kita mempunyai sandaran untuk berpecah-belah. Bersabar, bersabar dan bersabarlah; tolonglah jangan buat keputusan (decision making) yang dikhuatiri membawa mudarat. Beristiqamahlah, insya-Allah, Dia akan permudahkan kita!

No comments: