Monday, April 27, 2015

Dari UKM ke Harakah (12): Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara...


***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


KETIKA saya asyik berulang-alik KL-Melaka; pada usia 40 tahun, saya sedar 'ada sedikit kelainan' pada tubuh ini. Saya kerap benar dahaga dan membuang air kecil. Selalunya dalam perjalanan dengan bas ekspres, saya meminta pemandu berhenti di perhentian rehat dan rawat (R&R).

Suatu hari ketika bas 'terhinjut-hinjut' melalui Jalan Pudu yang sesak saya melompat turun dari bas dan berlari di lorong belakang kedai dan di satu sudut 'melepaskan hajat'. Saya tidak peduli apa-apa lagi. Selepas beres, terasa lega kerana sebelum itu terasa pundi-pundi kencing macam mahu pecah.

Kerap dahaga dan membuang air kecil adalah petanda diabetes (kencing manis). Pemeriksaan doktor kemudiannya mengesahkan saya menghidap penyakit tidak berjangkit itu. Bermulalah rutin saya memakan ubat 'metformin' dan 'glibenclamide' sehingga usia saya 53 tahun kini. Penyakit saya melarat sehingga disahkan menghidap darah tinggi pula, maka perlu makan ubat covapril pula...

Demikianlah tubuh saya semakin lama semakin lemah. Tua pasti datang (saya akui diri saya pun sudah tua) dan yang lebih menakutkan kematian. Sudah bersediakah kita menghadapi kematian. Ya, kematian adalah sesuatu yang pasti; setiap yang hidup pasti mati. Namun sebelum kematian menjemput, perjuangan kehidupan perlu diteruskan; persoalannya bagaimana jalan dan liku yang harus kita tempohi itu? Panduan Islam adalah jalan untuk kita selamat dunia dan akhirat.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi daripada 'Amr bin Maimun al-Audi r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum datangnya sakitmu, keadaan kamu yang berada sebelum fakir, keadaan lapangmu sebelum sibukmu, dan keadaan hidupmu sebelum matimu."

Ya, wahai pembaca, melalui kolum ini saya berazam merebut peluang membuat kebajikan yang dapat menjadi saham dunia dan akhirat saya (seperti yang sentiasa kita berdoa...Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar' - Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksaan api neraka; berdasarkan ayat 201 Surah Al-Baqarah).

Teringat saya pesanan seorang ustaz dalam kuliahnya yang saya hadiri baru-baru ini bahawa tugas seorang pendakwah (ustaz, penulis, dai dan sebagainya) adalah untuk mendekatkan (memperkenalkan) manusia kepada Allah bukannya mendekatkan orang ramai kepada dirinya. 

Namun apa yang dapat kita saksikan hari ini semakin ramai ustaz dan penulis mencari kemasyhuran diri, mendekatkan manusia kepada dirinya dalam bentuk peminat, disanjung ramai, dipuja, dipuji dan sebagainya. Melalui dunia maya, ustaz dan penulis pun mengumpul peminat, kadang kalanya sang ustaz takut untuk bertegas menegakkan sesuatu kebenaran.

Selain itu kemewahan harta benda dan ringgit menjadi buruan...ada yang meminta bayaran sehingga RM4,000 untuk satu majlis tazkirah. Tindakan 'meletakkan harga' ini menjejaskan usaha dakwah. Kini sesetengah pihak mendakwanya sebagai 'industri atau profesion dakwah'. Subhanallah, dakwah pun sudah jadi sebuah industri, bukan bagi sebagai medan bagi menggapai keredaan Illahi.

Saya yang pada Februari lalu menyambut ulang tahun kelahiran ke-53, terasa hayat ini semakin pendek. Tiga tahun lalu pada satu majlis perjumpaan rakan-rakan setingkatan di sekolah menengah sempena ulang tahun kami yang ke-50, ada saya titipkan tulisan meminta rakan-rakan memikirkan bahawa sebenarnya kita sudah berada dalam reja (baki) kehidupan.

Jika ditakdirkan kita meninggal dunia berdasarkan usia junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., saya nyatakan kita ada baki 13 tahun lagi untuk hidup. Sekarang tiga tahun sudah berlalu. Kami cuma ada baki 10 tahun saja; kata sesetengah orang 10 kali saja untuk sambut hari raya - jadi adakah dalam tempoh masa singkat itu kita masih mahu 'hu hah' lagi?

Sepanjang tempoh tiga tahun sejak majlis perjumpaan itu, beberapa kawan kami sudah meninggal dunia. Subhanallah, kita tidak tahu bila pula giliran kita - entah esok entah lusa atau sebentar saja selepas ini. Jadi sebelum mulut kita dipenuhi tanah, bersiap sedialah dengan bekalan 'untuk kita ke kuburan'. Sesungguhnya selepas 'masuk' kubur, tiada peluang dan jalan serta masa untuk kita kembali ke dunia bagi membuat kebajikan walaupun sedetik cuma!

No comments: