Thursday, April 23, 2015

Dari UKM ke Harakah (11): PAS dan Harakah sentiasa di hati...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

ISU hudud yang panas sekarang ini mengingatkan saya akan penyertaan saya sebagai ahli PAS pada 1998 seterusnya penerimaan saya sebagai kakitangan Harakah pada tahun 1999. 

PAS yang menjanjikan hukum hakam Islam termasuk hudud menarik minat hati ini kerana bukankah menjadi kewajipan setiap Muslimin dan Muslimat berperanan dalam menegakkan hukum Allah di bumi ini?

Akhir-akhir ini fikiran ini terganggu kerana ada orang mengaku Islam sangup mempermain-main dan mempersenda hukum Allah (ada kemungkinan mereka tidak dapat membezakan antara perkara membabitkan PAS dan Islam) namun pengakuan sejumlah orang bukan Islam seperti Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran GK bahawa hudud suatu hukuman yang sempurna daripada Allah yang tidak layak dicabar manusia, terasa amat menginsafkan dan 'memukul' diri ini. 

Tidakkah orang Islam merasa malu dengan pengakuan orang bukan Islam ini? Hayatilah apa diperkata Dr Bala tatkala berucap pada 'Wacana Hudud Pada Kaca Mata 'Non-Muslim'' di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai baru-baru ini. 

Katanya, jika orang Islam sendiri menyifatkan hukum tersebut tidak sempurna lebih baik mereka 'keluar' daripada Islam. Subhanallah, 'sungguh bisanya' ayat tersebut. Tidak terasa malukah kita sebagai orang Islam tidak berusaha menegakkan hukum Allah itu? Lebih 'dahsyat' lagi ada orang Islam mempermain-mainkannya!

Menurut Dr Bala selagi hudud tidak dapat dilaksanakan menjadi undang-undang rakyat, manusia tidak mendapat kebaikan daripadanya. "Kenapa hudud dipertikaikan, hudud itu bukan hukum buatan atau ciptaan manusia, tapi hukum Tuhan Allah dan tidak dapat dipisahkan daripada orang Islam." Ya, kita doakan semoga Dr Bala diberi pentujuk oleh Allah SWT agar mendapat nur Islam. Amin.

Berceloteh mengenai PAS dan Harakah serta diri ini, teringat saya sebuah artikel lama saya bertajuk 'Dari kedai runcit ke menara gading kekangan dikenakan' dalam isu khas Kempen Satu Keluarga Satu Harakah terbitan 7 Jun 2006 yang antara lain saya menulis: "Sebelum pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998, saya hanya menjadi pemerhati kepada perkembangan PAS dan akhbar terbitannya, Harakah.

"Tidak pernah terlintas di hati untuk menyertai PAS apatah lagi berkhidmat di Harakah. Namun pengalaman bersama aktivis PAS bukan baharu kerana ketika menuntut bagi ijazah pertama pun, pada awal tahun 1980-an, saya pernah ke majlis ceramah PAS.

"Ceramah itu berlangsung di bawah rimbunan pokok selepas solat isyak, diterangi lampu bulat 60 watt dengan dihadiri segelintir orang. PAS dan Harakah tenggelam timbul dalam kehidupan saya sebagai seorang wartawan akhbar arus perdana sehinggalah munculnya gelombang kebangkitan rakyat selepas pemecatan Anwar. Peristiwa itu membawa kepada 'hidupnya' ceramah PAS yang selama ini amat malap di negeri-negeri pantai barat Semenanjung.

"Pada 1998 selepas meninggalkan akhbar berkenaan, saya mula berjinak-jinak dengan ceramah PAS yang mendapat sambutan hangat. Ribuan orang membanjiri tapak ceramah sama ada ia diadakan di padang terbuka atau laman rumah individu tertentu. Meskipun sebagai 'orang baharu' yang seronok dapat 'keluar malam' di samping 'dapat pekena' sup 'gear box' selepas ceramah, setidak-tidaknya majlis seumpama itu 'membuka jendela minda' pengunjung.

"Penceramah seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor (kini Allahyarham), Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar menarik minat ramai dan sentiasa dinanti-nanti kunjungan mereka tetapi pembabitan penceramah undangan daripada KeADILan (seperti Anwar sendiri dan Ezam Mohd Noor) serta DAP, membuka lembaran baharu dan mencelikkan mata pelbagai pihak.

"Masa menganggur (selepas berhenti daripada akhbar perdana) memberi lebih banyak masa kepada saya melakukan muhasabah diri dan apabila melihat bapa dan ibu mentua serta ramai sanak saudara memberi sokongan tidak berbelah bagi pada PAS, saya pun mendaftar sebagai ahli.

"Alangkah menakjubkan masa itu kerana jika ada ceramah, mentua dan saudara mara menawarkan saya menaiki kenderaan mereka apabila majlis itu diadakan di tempat yang jauh. Saya fikir tentulah mereka akan menyebelahi saya jika berlaku pertengkaran dengan isteri kerana hampir setiap malam saya keluar rumah dan hanya balik selepas jam 1.00 atau 2.00 pagi!"

No comments: