Monday, June 9, 2014

Tips penulisan (Bahagian II)

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)




CELOTEH saya 'Tips penulisan terutama untuk siswa siswi USIM', (Harakah 23-25 Mei 2014) mendapat sejumlah reaksi di kalangan pembaca. Saya ucapkan 'jazakallah...' kepada pembaca yang menegur termasuk yang kurang senang dengan apa yang saya nukilkan. 
Jika pembaca diamat-amati tulisan itu, sebahagian besar daripadanya menceritakan pengalaman lama saya yang berhadapan dengan 'stail' guru-guru saya yang berusaha keras memantapkan karya anak-anak muridnya. *************
Namun dalam penceritaan itu belum lagi saya masukkan pengalaman 'dahsyat' berada di bilik jabatan pengarang pada awal-awal waktu saya diterima menjadi wartawan di mana ada editor yang mengeronyok kertas rencana dan berita yang diserahkan kepadanya di depan mata dan kemudian membalingkannya ke dalam tong sampah!**********
Berdasarkan pengalaman ini, saya terkejut betul membaca 'sikap lembik' dan kurang terbuka siswa siswi apabila diberi sedikit tips dalam penulisan...sewajarnya mereka mengambil teguran itu untuk memantapkan karya mereka. Namun adalah hak mereka untuk bersuara, pembaca ikutilah apa yang ditulisnya salah seorang daripadanya  (TANPA DIEDIT) untuk menilai minda mereka:
Saya dengan rasa rendah diri, menulis coretan ini kepada pihak Harakah. Saya teramat sedih apabila mendengar beberapa orang sahabat saya menunjukkan kekesalan mereka terhadap penulisan berbentuk sebuah teguran secara langsung kepada mahasiswa USIM di ruangan ‘Celoteh LanH’ dalam akhbar Harakah keluaran minggu ke-3, Mei 2014, bertajuk: Tips penulisan terutama untuk siswa siswi USIM.
*****************
  1. Saya rasa terpanggil untuk memohon beribu kemaafan daripada pihak tuan kerana ramai daripada pelajar USIM, khususnya sahabat-sahabat saya di Fakulti ....................yang menghantar penulisan mereka di akhbar Harakah.*****************
  2. Untuk pengetahuan pihak tuan, kami daripada program ......................., diminta oleh pensyarah untuk menghantar rencana ke mana-mana akhabar tempatan untuk diterbitkan. Dan apabila rencana kami sudah diterbitkan, ianya dikira sebagai ‘carry marks’. Mungkin sebab itu ada sebahagian daripada pelajar USIM merayu untuk diterbitkan rencana mereka.***************
  3. Ramai juga diantara kami telah menghantar rencana mereka ke beberapa akhbar tempatan. Sebagai contoh, Berita Harian (BH), Utusan, Metro dan The Star. Namun, ada sesetengah daripada pihak akhbar yang memberi respon kepada email kami. Ada juga yang tidak respon langsung. Kebanyakan rencana kami telah pun diterbitkan di Harakah, ruangan Forum dan ruangan Agama di Berita Harian.******************
  4. Saya tidak meletakkan berat sebelah kepada mana-mana pihak media. Harakah salah sebuah akhbar politik dan sentiasa menerbitkan berita-berita dan rencana-rencana berhubung isu semasa. Cuma, saya ingin memberi sedikit komentar dan cadangan kepada pihak Harakah. Budaya kerja pihak media perlu ada nilai professionalism. Mungkin pihak Harakah boleh memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa dengan mewujudkan ruangan suara mahasiswa agar mereka boleh menumpahkan idea dan pandangan mereka sekali gus mengembangkan bakat mereka.**********
  5. Anak kecil tidak sama dengan seorang bapa, mereka masih bertatih mengenal dunia, bapa sudah lama mengenal dunia. Kami sebagai pelajar, baru mengenali dunia kewartawanan dan penulisan, tidak mungkin sama dengan wartawan dan penulis berpengalaman. Kami perlu sokongan.*******
  6. Analogi lagi, kanak-kanak kalau dimarah apabila mereka berlari-lari dan membuat bising di masjid, mereka akan rasa sedih dan takut untuk mendekati rumah ibadah itu. Sedangkan kita tahu, Rasulullah S.A.W ada mengingatkan kita, kanak-kanak seperti kain putih, kitalah yang menentukan coraknya. Saya bukan ingin menyamakan pelajar universiti dengan kanak-kanak, namun itulah adat kehidupan dan sunnatullah. Kami budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. *********
  7. Pada hemat saya, pihak tuan boleh menegur kami di email kami sendiri dan minta salah seorang daripada kami untuk menyampaikan teguran tersebut kepada pelajar-pelajar USIM. Ada juga sebahagian pelajar yang masih belum diterbitkan rencana mereka walaupun sudah lama mereka hantar di akhbar-akhbar lain. Namun, mereka tidak berputus asa untuk terus menulis kerana kami (sahabat-sahabat yang sudah menyelesaikan tugas menerbitkan rencana) sentiasa memberi galakan kepada sahabat-sahabat (yang masih belum menyelesaikan tugasan tersebut). Pensyarah juga tidak jemu memberi semangat kepada kami agar terus menulis.**************
  8. Akhir sekali, saya salah seorang penyokong PAS, dan saya risau, jika ada sahabat-sahabat saya yang baru ingin mengenali apa itu akhbar ‘Harakah’, merasa hambar dan tawar hati kepada pihak Harakah. Jika pihak Harakah boleh berlapang dada, tidak mustahil akhbar Harakah tidak lagi asing dalam kampus. Saya juga seorang penuntut IPT yang punya pendapat, pandangan dan suara.***
  9. Saya berharap agar pihak Harakah meneutralkan semula nama Fakulti .................... dan USIM.***
  10. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan pula dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”, Surah al-‘Asr, ayat 3.
***
Sekian, terima kasih.
****
Yang merasa kerdil di sisi-Nya.
************
(Nama penulis dan fakultinya ada dinyatakan, tetapi tidak dituliskan di sini demi menjaga maruah pihak berkenaan)

No comments: