Monday, June 16, 2014

Bola, bola juga; usahakanlah qiyamulail



DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan..." (Yasin, ayat 12)
******************

Mulai 12 Jun hingga 13 Julai ini, Brazil akan menjadi fokus kebanyakan penduduk dunia termasuklah kaki bola di negara kita. Ini kerana Brazil akan menjadi tuan rumah Piala Dunia ke-20 FIFA.

Pertandingan bola sepak lelaki antarabangsa ini adalah yang kedua bagi Brazil yang menganjurkannya buat pertama kali pada 1950. Pasukan kebangsaan dari 31 negara akan bertarung bersama Brazil sebagai tuan rumah dalam 64 perlawanan di 12 bandar raya seluruh negara Amerika Latin itu.

Selama sebulan kaki bola termasuk di Malaysia akan 'terpaku' di depan TV masing-masing. Pada pertandingan Piala Dunia lalu (2010 di Afrika Selatan dan 2006 di Jerman), siaran langsung disaksikan pada larut malam, sebuah slogan dicipta untuk menggambarkan suasana itu - 'makan, tidur dan main bola'.

Pada kali ini, buat tempoh kira-kira dua minggu akhir pertandingan, umat Islam akan menunaikan ibadah puasa yang dijadualkan bermula pada 29 Jun dan berakhir pada 27 Julai. Ramadan adalah masa umat Islam memperhebatkan ibadat mereka dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ramadan memang tidak ada kena mengena dengan bola sepak, tetapi alangkah beruntungnya jika kaki bola yang ramai di kalangan aktivis dan pejuang Islam dapat memanfaatkan 'penjagaan malam' mereka untuk menyemarakkan ibadat masing-masing. Mereka boleh memperbanyakan ibadat malam seperti solat (qiyamulail), berzikir dan bersalawat sepanjang 'penjagaan malam' itu.

Daripada banyak-banyak ibadat itu, melakukan selawat boleh dilakukan hatta ketika sedang menyaksikan pertandingan kerana ibadat ini akan diganjari oleh Allah SWT (insya-Allah) sekalipun 'hati seseorang lalai'.

Disebabkan ruang komentar ini terhad, disenaraikan beberapa cadangan ringkas sempena musim Piala Dunia ini.

*  Kejohanan ini sewajarnya menyemarakkan sukan bola sepak negara untuk meningkatkan prestasinya sehingga layak ke Piala Dunia.

*  Elakkan kegiatan judi, termasuk judi bola yang hampir dilaksanakan pihak berkuasa pada Piala Dunia 2010 lalu. Demikian juga pengambilan minuman keras ketika menonton siaran langsung perlu dihindari sama sekali.

* Semua umat Islam terutama pemerintah perlu berjuang dan berdoa agar ahli-ahli sukan Muslim dapat menutup aurat sepenuhnya bukan saja di stadium bola tetapi di kolam renang dan gimnasium.

* Bagi kaki bola terutama yang 'lepak' di restoran mamak, awasilah kesihatan anda seperti tidak mengambil minuman berkarbonat dan teh tarik dan makanan jajan secara berlebihan kerana ini boleh membahayakan diri anda sendiri apatah lagi yang 'sudah berusia'.

* Jangan terlalu 'khusyuk' menyaksikan siaran TV sehingga tidak sedar premis anda (seperti rumah) dimasuki pencuri dan penyamun.

* 'Bola, bola juga' tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan anda tidak menunaikan kewajipan agama seperti solat subuh dan solat di siang hari, berpuasa dan meremehkan kerja-kerja harian anda atas alasan letih dan mengantuk.

No comments: