Friday, March 28, 2014

'Pahatlah ilmu di batu semasa muda...'

************************* DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************************* Renungan *********************** Dirawikan daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Jika manusia telah membenci orang-orang fakir dan berseronok dengan dunia serta memburunya untuk mengumpulkan wang, maka Allah akan memanah mereka dengan empat hal; masa yang di mana krisis ekonomi, penguasa zalim, pemegang hukum berkhianat dan tipu daya daripada para musuh." ******************************* CITA-CITA kanak-kanak luar biasa. Bagi pembaca yang masih ingat, di sekolah rendah dulu, kita diberikan kad 001 untuk diisikan antara lain cita-cita kita. Doktor, angkasawan, saintis dan jurutera adalah antara cita-cita pilihan kanak-kanak. *********************** Beberapa tahun lalu, saya ketawa terbahak-bahak apabila seorang anak perempuan saya yang berumur lapan tahun ketika itu memberitahu cita-citanya menjadi seorang ahli arkeologi. Saya tanya apa itu ahli arkeologi, dia sendiri tak dapat menjawabnya. Saya berlawak kepadanya dengan berkata kerjaya itu ada kaitan dengan menggali kubur dan barangan lama...dia pun berasa seram; dan tidak lama kemudian berkata, tak jadilah nak jadi ahli arkelogilah. Baik jadi polis, katanya! *************************** Ketika di sekolah menengah dulu, seorang rakan setingkatan mengheboh-hebohkan cita-citanya hendak jadi Perdana Menteri (PM). Sejak itu namanya dilekatkan dengan huruf singkatan PM itu. Maka dia pun bergelar Ramli PM. Dia dipanggil begitu sehinggalah tamat sekolah. Tak tahulah sama ada dia 'sudah dekat' nak jadi PM atau masih jauh lagi perjalanan dengan banyak ranjau yang perlu ditempoh. Yalah, Anwar Ibrahim yang sudah dekat nak jadi PM pun, tak sampai-sampai lagi sekalipun pernah setakuk lagi dia hendak sampai ke kedudukan itu. ******************************* Seorang remaja perempuan dalam blognya menyatakan antara cita-cita yang pernah dia isikan dalam kad 001 warna biru tu adalah; *********************** * Peguam syariah (masa ini saya rajin ikut pasukan bahas sekolah-sekolah, konon-kononnya nak pandai berdebat lalu jadi peguam. Oleh sebab duduk (belajar) di sekolah agama dan ada pengaruh Islamik, maka saya isi ruangan cita-cita mahu jadi peguam syariah). ************************* * Penganalisis politik (sampai sekarang pun saya tak tahu penganalisis politik itu kerjanya macam mana. Ha...ha...bunyi macam 'best', sebab itu tulis jugak. Masa itu, saya banyak baca buku-buku berbaur politik dan novel-novel ala sejarah Tanah Melayu masa nak merdeka). ************************* "Sekarang ini jika ditanya cita-cita saya, rasanya saya akan jawab, 'saya nak jadi budak dan nak jadi remaja semula! Tak seronok pun jadi orang dewasa rupa-rupanya'," tulisnya. ************************** Dalam kad 001, pelajar diperlukan menyatakan tiga cita-cita mereka. Saban tahun untuk cita-cita pertama, saya tulis WARTAWAN dengan tidak mengetahui apa sebenarnya tugas wartawan. Namun akhirnya, saya jadi wartawan juga; kini sudah hampir 30 tahun mengharung bidang ini selepas mendapat ijazah pertama bidang kewartawanan pada tahun 1985. *************************** Sebenarnya sudah lama saya 'mempencenkan' diri saya daripada menjadi wartawan. Sebaliknya saya menjadi penulis bebas, namun penulis juga perlukan 'persekitaran' untuk dia mengutip idea bagi bahan penulisannya. Salah satu kaedahnya menghadiri kelas pengajian di masjid terutama antara waktu magrib dan isyak. Tetapi harap tak tersilap sangka yang saya ke masjid untuk mendapatkan bahan tulisan; tujuan utamanya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, mendapat idea di majlis-majlis di masjid adalah secara kebetulan saja. ************************ Sejak pencen daripada bekerja sepenuh masa, hampir setiap malam saya luangkan masa, mengikuti pengajian di masjid. Namun, nampaknya sukar untuk mempelajari ilmu semasa tua ini. Selalu tersenggok-senggok dan tertidur ketika bersandar di tiang atau dinding. Ya, badan kena disandarkan di tiang atau dinding, jika tak terasa sakit tulang belakang. Teringat saya sebuah syair Arab yang sebahagiannya berbunyi begini: ************************* Kukerap terlupa apa yang kupelajari pada masa tua sedang yang kupelajari pada masa muda tidak pula kuterlupa takkan berkesan ilmu itu kecuali yang dituntut pada masa muda kalaulah boleh dibelah hati si pelajar pada waktu muda kelihatan ilmunya umpama ukiran di atas batu ilmu itu tak akan berkesan jika dituntut pada usia tua Pabila tumpul hati tumpullah pendengaran dan penglihatan hidup manusia bergantung dua; akal dan logikanya Pabila luput kedua-duanya, hidup sia-sia tidak berhaluan. ********************* Pendeknya semasa tua ini, 'pikup' (pick up) kita terhadap ilmu sangat lemah. Semakin tua seseorang semakin sukarlah untuk dia menerima ilmu. Sebaliknya, fikiran seseorang kanak-kanak masih banyak ruang kosong, membolehkan dia mudah menerima ilmu sedangkan orang dewasa banyak perkara perlu difikirkan menyebabkan dia sukar menerima perkara baru. Kata orang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Atau lebih teruk lagi, ilmu melantun keluar sebelum masuk ke dalam telinga. *************************** Jadi 'pahatkan' ilmu di batu semasa muda; jangan menunggu masa tua kerana ketika itu ia ibarat membuat lakaran di atas pasir. Apabila ombak datang, pasir pun sirna apatah lagi lakaran itu. ************************** Oleh itu wahai anak-anakku, janganlah dipersia-siakan usia muda kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara - hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, masa kayamu sebelum papamu dan zaman mudamu sebelum tuamu." - Riwayat Al-Baihaki daripada Ibnu Abbas

No comments: