Monday, March 3, 2014

Beri peluang pembayar zakat tunaikannya kepada keluarga...

************************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan *************************** "...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl) ****************** SANG ustaz pada kuliah subuh hujung minggu di kampung saya sedang membicarakan bahagian Kebaktian dan Perhubungan Silaturrahim daripada kitab Bahru Al-Madzi - Syarah Mukhtashar Shahih At-Tirmidzi (Juzu' 13) susunan Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi. *********************** Ketika membicarakan bab keutamaan membuat bakti, sang ustaz menyatakan kedudukan teratas sekali adalah ibu, kemudian ibu, kemudian ibu (tiga kali) dan selepas itu barulah bapa, kemudian anak, datuk, nenek, adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, bapa saudara, ibu saudara dan seterusnya. ************************** Apa yang menariknya, beliau berulang kali menegaskan bahawa dalam membuat kebajikan termasuk menunaikan zakat hendaklah diutamakan kepada keluarga dulu dengan syarat anggota keluarga itu bukanlah dalam tanggungan kita seperti ibu bapa, isteri dan anak-anak tetapi termasuk dalam asnaf golongan layak menerima zakat seperti fakir dan miskin. ************************* "Jadi bukan semua wang zakat yang wajib ke atas kita, diserahkan kepada pusat zakat. Hal ini perlu orang awam ketahui dan orang yang menguruskan pusat zakat pun perlu mengetahuinya. Petugas pusat zakat sewajarnya memberitahu pembayar zakat bahawa mereka boleh memilih untuk mengambil sebahagian wang yang mereka mahu zakatkan itu untuk diberikan kepada anggota keluarga mereka yang layak," tegas sang ustaz. **************************** "Namun ini tidak berlaku, apa yang terjadi pusat zakat mengambil semua wang pembayar zakat dengan tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbakti kepada kaum kerabat. Sewajarnya, pembayar zakat dinasihatkan agar mengambil sebahagian daripada wang zakat itu untuk mereka menunaikan kewajipan itu kepada kaum keluarga masing-masing," katanya. ******************************* Sang ustaz berkata adalah lebih afdal untuk berzakat kepada kaum kerabat kerana seseorang itu akan mendapatkan pahala lebih ketika dia salurkan zakatnya kepada kerabatnya daripada dia salurkan kepada orang lain. Ini kerana menyalurkan zakat ke keluarga nilainya berganda; selain dapat berzakat kita dapat mempererat silaturrahim. ************************** Hal menyerahkan zakat kepada orang miskin yang masih kerabat dinilai lebih afdal daripada diberikan kepada orang lain, berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya zakat kepada orang miskin nilainya zakat (saja), sedangkan zakat kepada kerabat, nilainya dua: zakat dan silaturrahim.” (HR. Nasai, Dariri, Turmudzi, Ibnu Majah dan disahihkan al-Albani) - Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin 18 nombor 301 *********************** Demikianlah, apa yang biasanya berlaku kepada pembayar zakat sekarang ini - mereka menyerahkan semua wang zakat itu kepada pusat zakat manakala anggota keluarga yang layak seperti miskin, fakir, terputus perbelanjaan dalam perjalanan atau sedang menuntut ilmu tidak disantuni. Maka, makin pudarlah hubungan siraturrahim sesama anggota keluarga, misalnya seorang pakcik yang kaya dilihat 'kedekut' kerana tidak membantu si anak buah yang benar-benar memerlukan bantuan untuk melanjutkan pelajaran. ************************* Apa yang lebih menghairankan pusat zakat tidak memberikan nasihat ini sebaliknya mereka cenderung mengambil semua wang yang mahu dizakatkan. Namun apa yang lebih dikesalkan, wang zakat ada kalanya digunakan untuk tujuan politik, misalnya pemimpin politik menyerahkannya pada asnaf yang layak pada saat-saat pilihan raya akan diadakan. **************************** Memang betul penerima adalah termasuk lapan golongan yang diistilahkan sebagai asnaf seperti firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah Ayat 60 yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” ************************ Wang zakat ini perlu dikeluar dan diberikan kepada asnafnya apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Ertinya keluarkan dan berikan saja kepada golongan yang berhak tanpa diambil kira musim dan sebagainya. Orang yang ada dalam simpanannya harta yang diwajib dikeluarkan zakat mengikut syaratnya, tetapi menangguh-nangguhkan pada masa yang kononnya sesuai mengikut jadual mereka seperti hari ulang tahun kelahiran atau hari kebesaran lain, mereka hanya mengundang ancaman daripada Allah SWT. Ertinya, dalam bab zakat ini, berikan saja kepada golongan yang berhak sebab mereka ada hak di atas harta itu, jangan banyak dolak-dalih. ************************** Sehubungan itu, pihak penyampai (bantuan) zakat (pihak berkuasa) janganlah menahan-nahan wang zakat ini dan hanya tergerak untuk memberikannya pada majlis-majlis yang mereka ada kepentingan seperti menjelang pilihan raya. Sedarlah wang zakat itu adalah hak asnaf berkaitan, jadi berikan hak mereka yang berhak tanpa cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan diri, pemimpin dan parti politik kita. **************************** Berhubung dengan kehebatan zakat, alangkah eloknya projek-projek pembangunan dan bantuan daripada pihak berkuasa (berada) yang mahu disampaikan kepada rakyat, mencontohi falsafah zakat – berikan hak kepada mereka yang berhak tanpa mempedulikan imbalan yang mahu diraih, misalnya mencari keuntungan dalam kempen pilihan raya. *************************** Sehubungan itu adalah tidak perlu untuk menghebahkan projek itu dan projek ini dan menyibuk mengagih-agihan bantuan seperti zakat menjelang sesuatu pilihan raya. Apabila ini dilakukan maka akan timbul tanggapan bahawa perkara dilakukan tidak ikhlas, ada udang di sebalik batu atau terus terang dikatakan berlaku rasuah politik bagi menggula-gulakan rakyat. *************************** Alangkah indahnya jika dikuti falsafah zakat tadi, ada hak rakyat dalam perolehan pemerintah yang sesetengah pihak mendakwa berbilion-bilion ringgit yang perlu diberikan kepada yang berhak dengan segera. Tidak kiralah mereka menyokong kita atau tidak, selagi mereka berhak (jika dalam kes zakat disebut asnaf), berikan hak itu kepada mereka. Usahlah buat-buat sibuk mahu mengagih-agihan hak rakyat ini masa kempen pilihan raya, berikan kepada yang berhak akan hak mereka. ******************************** Kemudian kepada pembayar zakat, berikan hak kepada mereka untuk menunaikan zakat itu kepada anggota keluarga masing-masing yang layak! Mengapa tidak dihebahkan perkara yang tersangat baik ini yang ternyata dapat mempererat siraturrahim? Mengapa sekarang ini pusat zakat mahu membolot semua wang zakat?

1 comment:

SysOp said...

Bhai LanH...

Memang gua setuju dengan pandangan lu... Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh pembayar zakat.. dan pihak PPZ wajar memaklumkan kepada semua pembayar zakat...

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot